Tuesday, June 30, 2009

MENJADI PELAJAR BDM

Petang tadi telah diadakan sesi perjumpaan antara para pensyarah BDM dengan 200 pelajar baru yang telah memilih program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM) sebagai ijazah pilihan mereka sepanjang tiga tahun di UUM ini. Kenapa saya katakan mereka memilih? tidak pula saya katakan mereka dipilih! Ini adalah berdasarkan survey yang diadakan semasa program berkenaan, majoriti daripada mereka telah memilih BDM dalam permohonan UPU sebelum ini, ada yang memilih BDM sebagai pilihan pertama, ada yang pilihan kedua, majoriti menjadikan BDM sebagai pilihan ketiga hingga keenam daripada lapan pilihan yang dibenarkan UPU. Hanya beberapa sahaja yang memilih BDM sebagai pilihan kelapan. Tetapi ada juga sebilangan kecil yang dipilih ke program ini walaupun BDM tidak tersenarai dalam pilihan mereka. Bagaimanapun hampir kesemuanya memilih UUM dalam senarai universiti pilihan mereka. (saya tidak dapat nyatakan angka sebenar kerana tinjauan hanya dibuat secara pemerhatian rawak dan angkat tangan - tidak menggunakan kaedah saintifik)

Tinjauan juga mendapati terdapat peningkatan kualiti akademik dalam pengambilan pelajar-pelajar baru BDM ini iaitu pencapaian paling rendah adalah CGPA 2.50 ke atas, majoriti mereka dalam kategori CGPA 3.00 ke atas manakala tiada seorang pun mendapat di bawah CGPA 2.50. Selaku pensyarah dan saya juga yakin rakan-rakan pensyarah yang lain amat berbangga dengan pencapaian ini kerana salah satu faktor untuk melahirkan graduan-graduan universiti yang cemerlang faktor pencapaian awal mereka di peringkat sekolah atau matrikulasi juga amat penting dalam membantu konsistensi akademik mereka di universiti. (data berdasarkan rujukan Pengerusi Bidang pada borang pendaftaran pelajar)

Ini bukanlah saya berniat untuk merendahkan pula pelajar-pelajar yang mendapat result yang sederhana atau rendah tetapi berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Sebenarnya golongan ini akan menjadi lebih baik apabila mereka diberi peluang, mereka akan lebih berusaha berbanding rakan lain untuk meningkatkan pencapaian mereka di universiti dan akhirnya mereka lulus dengan cemerlang juga. Mereka ini adalah graduan yang hebat! kerana mereka sangat memanfaatkan peluang yang telah diberikan.

Ramai juga pelajar-pelajar yang result mereka bagus atau cemerlang seperti saya katakan di awal tadi, tetapi bila melangkah ke universiti mereka mula rasa selesa dan rasa kononnya pencapaian mereka akan konsisten seperti di sekolah atau matrikulasi, akhir mereka lalai, leka, perasan pandai lalu kurang berusaha, kurang fokus dan akhirnya mereka sekadar lulus ijazah Kelas Kedua Bawah. Meraka adalah orang yang rugi kerana mereka tidak menggunakan kepandaian dan kebolehan mereka sebaik mungkin.

Seterusnya adalah mereka yang sangat beruntung di mana mereka layak memasuki universiti atas sebab kecemerlangan akademik mereka di peringkat sekolah atau matrikulasi seterusnya mereka terus berusaha mengekalkan kecemerlangan itu di universiti lalu lulus sebagai graduan cemerlang dengan kelulusan Kelas Pertama atau sekurang-kurangnya Kelas kedua Atas. Inilah golongan yang saya maksudkan di awal tadi yang mana saya amat berbangga sebagai pensyarah jika lebih ramai golongan ini di universiti, kerana yang akan mendapat faedahnya bukanlah untuk saya tetapi untuk mereka sendiri iaitu pelajar-pelajar BDM.

Setiap kali menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti, saya amat berbangga dengan pelajar-pelajar BDM kerana perkara pertama saya akan lihat ialah senarai nama mereka di dalam penerima Ijazah Kelas Kedua Atas adalah lebih ramai daripada mereka yang mendapat Kelas Kedua Bawah. Inilah perkara yang semua pensyarah banggakan. Tetapi kami akan lebih bangga jika ada di kalangan pelajar BDM yang mendapat Ijazah Kelas Pertama dan perkara ini bakal menjadi realiti kerana saya difahamkan telah ada beberapa pelajar BDM yang dalam kategori mendapat Kelas Pertama dalam konvokesyen-konvokesyen yang akan datang dan saya doakan bilangan itu semakin ramai dan bilangan mereka yang mendapat Kelas Kedua Bawah akan menurun dan mungkin tidak ada langsung pada masa depan. Itulah sasaran kita semua iaitu pensyarah dan juga pelajar BDM.

Tetapi kepada graduan-graduan BDM yang lepas khususnya yang telah mendapat Kelas Kedua Bawah, janganlah tersentuh hati dengan perbincangan saya ini kerana bukanlah bermaksud saya merendahkan mereka, kerana saya yakin mereka telahpun berusaha, namun rezeki tidak menyebelahi mereka di UUM, tetapi saya yakin rezeki mereka ada lebih baik lagi selain daripada ijazah yang mereka perolehi. Mereka juga adalah orang yang hebat atas ukuran kemampuan mereka sendiri.

Tidak perlu kita bandingkan BDM dengan ijazah-ijazah yang lain kerana setiap bidang itu mempunyai kekuatan dan kelemahan tertentu. Walaupun contohnya jika kita mengambil bidang kejuruteraan yang hebat sekalipun tetapi kita tidak pernah berusaha dan hanya sekadar mendapat kelulusan yang rendah, maka tidak berguna juga kerana belum pasti ada tempat bagi kita. Tetapi walaupun kita mengambil bidang yang kurang menonjol sekalipun misalnya penterjemahan, tetapi kita lulus Kelas Pertama maka berbagai peluang pasti datang kepada kita.

Justeru, seharusnya jika kita telah benar-benar berusaha maka berbanggalah dengan apa yang kita perolehi dan yang penting berbanggalah yang kita pernah menjadi salah seorang pelajar BDM di UUM ini yang pernah berusaha bersungguh-sungguh dan selebihnya bergantung kepada kekuatan dan kebijaksanaan kita berusaha dalam menempatkan diri dalam meneruskan kehidupan yang mendatang.

Syahril Said
(Pelajar BDM : 2000-2003)


Anda boleh bersetuju dengan apa yang saya tulis, anda juga boleh tidak bersetuju dengan apa yang saya tuliskan di blog ini.

Monday, June 29, 2009

PROGRAM BERSAMA KETUA PENGARAH ICU

Pagi tadi UUM COLGIS dikunjungi oleh Tan Sri Khalid Ramli, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan Pembangunan atau lebih dikenali dengan nama ICU (Implementation and Coordination Unit), Jabatan Perdana Menteri. Kunjungan beliau ke UUM COLGIS sempena perlantikan beliau sebagai Profesor Adjung bagi Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM). Pada sebelah pagi beliau mengadakan perjumpaan bersama semua pensyarah Pengurusan Pembangunan serta pensyarah UUM COLGIS yang lain. Pada sebelah petang pula beliau mengadakan sesi syarahan kepada pelajar-pelajar UUM yang baru.

Semasa bersama pensyarah beliau menyampaikan taklimat berkaitan perlaksanaan projek-projek pembangunan di Malaysia serta isu-isu semasa tentang pembangunan projek. Sesi berlangsung hampir tiga jam termasuk sesi soal jawab dengan para profesor dan pensyarah. Kesempatan itu saya berpeluang menanyakan beberapa soalan kepada beliau :

1. Apakah pandangan Tan Sri berkaitan agihan pembangunan dan perlaksanaan projek yang kurang konsisten di negara ini? Misalnya, terdapat peruntukan projek yang secara bermusim (immediate project) seperti faktor pilihanraya dan faktor kepimpinan (wujud lambakan projek di kawasan-kawasan pemimpin terkenal berbanding kawasan yang tiada pemimpin terkenal).

2. Jika merujuk prosedur pembangunan perlulah berpandukan pelan pembangunan yang telah dirancang seperti Local Plan dan Rancangan Kawasan Khas yang mana dalam pelan pembangunan tersebut telah mengenalpasti kawasan-kawasan serta projek-projek yang perlu di lakukan tindakan segera, tetapi apakah pula kaitannya jika immediate project tidak merujuk pelan pembangunan?

3. Apakah pandangan Tan Sri berkaitan perlaksanaan projek jika didapati ada sesuatu projek telah dilambatkan perlaksanaannya apabila pemerintahan kerajaan yang memerintah negeri itu bertukar tangan manakala ada pula projek yang disiapkan lebih awal daripada jadual kerana ingin cepat digunakan dan akhirnya berlakulah tragedi seperti yang berlaku kepada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh di Kuala Terengganu baru-baru ini?

Memandangkan sesi berkenaan adalah sesi tertutup maka jawapan Ketua Pengarah ICU berkenaan terhadap soalan-soalan saya adalah SULIT untuk kegunaaan akademik semata-mata.

Sunday, June 28, 2009

KEMASUKAN PELAJAR BARU KE UUM HARI INI

Sekalung tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pelajar-pelajar baru yang mula datang untuk mendaftar di UUM sama ada peringkat ijazah pertama atau pasca siswazah bagi memulakan pengajian Semester Pertama Sesi 2009/2010 minggu depan.

Bermula hari ini mereka akan menjalani program suaikenal atau orientasi selama 5 hari sebelum memulakan kuliah pertama pada 5 Julai 2009 nanti. Justeru, saya ingin menyatakan bahawa mereka-mereka yang telah terpilih memasuki universiti adalah golongan yang sangat bertuah dan amat beruntung berbanding ratusan ribu yang memohon tetapi tidak mendapat tempat di universiti.

Oleh itu pergunakan peluang yang diberi sebaik-baiknya, belajarlah bersungguh-sungguh dan manfaatkan setiap masa sepanjang di universiti dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah agar mereka dapat menamatkan pengajian sebagai seorang pelajar yang cemerlang, berguna kepada agama, keluarga, masyarakat dan negara serta menjadi golongan yang boleh mengembangkan ilmu dan kemajuan negara.

Saturday, June 27, 2009

RASIONALITI PEMBINAAN JAMBATAN INDAH MENGGANTIKAN TAMBAK JOHOR

Secara peribadi saya amat mengikuti isu ini secara dekat, bukanlah kerana saya sering berulang alik dari Johor ke Singapura setiap hari, tetapi saya sangat peka terhadap mana-mana projek pembangunan yang memberi impak besar kepada kita sebagai rakyat Malaysia dan terutamanya sebagai rakyat saya sangat ambil berat akan kedaulatan negara kita ini. Justeru isu pembinaan Jambatan Bengkok menggantikan Tambak Johor ini bukanlah isu baru. Isu ini telah lama tetapi berbangkit semula kini.

Saya tak akan mengulas panjang tentang kenapa kita perlu bina atau teruskan projek pembinaan Jambatan Indah/Bengkok kerana ulasan yang lebih lengkap tuan-tuan boleh baca sendiri di blog Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertajuk The Johore Causeway/Tambak Johor. Beliau telah memberi penjelasan yang amat baik dan sangat mudah difahami terhadap isu ini. Saya pun ada memberi komen dalam blog beliau tentang isu tersebut. Jadi, sebagai orang yang peka terhadap pembangunan negara dan kedaulatan negara maka saya sarankan tuan-tuan bacalah entry yang Tun tulis itu. Bukanlah saya nak promosi blog Tun pulak, tapi apa yang baik maka kita kongsikan bersama.

Pendirian saya akan isu ini berdasarkan perkembangan ini, saya dah tulis pun dalam blog saya pada entry bulan May yang lalu. Cuma di sini saya ingin menekankan bahawa kita tidak perlu untuk bina jambatan yang ketiga bagi menghubungkan Johor dan Singapura. Kita dah ada jambatan kedua (SecondLink) di Gelang Patah. Itu sudah memadai. Tetapi isu penting di sini bukanlah tidak cukup jambatan, tetapi isunya kita perlu robohkan Tambak Johor (khususnya di kawasan perairan selat Malaysia untuk membawa lebih banyak manfaat kepada Johor Bahru dan aktiviti ekonomi dan pelabuhan di sebelah negara kita.

Kesan atau impak positif perobohan Tambak Johor itu dan digantikan dengan Jambatan Indah/Bengkok tersebut sangatlah besar kepada negara kita. Kita tidak perlu pun mendapat persetujuan atau kebenaran pihak Singapura dalam hal ini, kerana kita tidak pun akan menyentuh bahagian atau perairan negara itu. Jadi sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat maka wajar kita teruskan usaha murni ini.

Sebenarnya Singapura sangat takut apabila jambatan itu menjadi realiti kerana apabila Tambak Johor dirobohkan, laluan kapal-kapal dapat menghubungkan antara Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang, maka ini akan membuatkan industri pelabuhan Singapura semakin terjejas. Tetapi sebagai sebuah negara kapitalis maka bukankah itu adalah cabaran yang harus mereka terima? Saya fikir kita tidak perlu lagi berdiam diri, lebih lama kita tunggu mereka yang semakin untung, selepas ini pemimpin kita harus pula lihat pada isu harga air yang dijual kepada Singapura...

Thursday, June 25, 2009

KOREA UTARA : KE ARAH KONFLIK ASIA DAN AMERIKA

Dunia hari ini masih cemas dengan peningkatan wabak jangkitan Selsema Babi (H1N1) yang telah meningkat hingga lebih 55,000 mangsa dan mencatatkan angka kematian 238 orang - WHO. Di Malaysia jumlah mangsa meningkat kepada 91 orang dan 4 buah sekolah telah ditutup. Ketika dunia sibuk memikirkan kaedah terbaik mengawal wabak ini, tetapi ada satu isu besar lagi yang boleh tercetus yang mampu menjejaskan keamanan dunia. Isu itu ialah konflik yang sedang berlaku di antara negara komunis Korea Utara dengan jirannya iaitu Korea Selatan dan juga Amerika.

Hari ini Korea Utara telah mengeluarkan ancaman untuk menyerang Korea Selatan dan Amerika dengan menggunakan peluru berpandu nuklear dan bom atom. Ancaman itu berikutan amaran Amerika ke atas Korea Utara berikutan hasrat negara itu ingin terus membuat siri ujian peluru berpandu nuklear. Amerika juga menjamin akan melindungi negara Korea Selatan dan ini sangat dimarahi oleh Korea Utara. Sikap Amerika yang terus mencampuri urusan negara lain akan terus mewujudkan konflik-konflik baru ke atas benua Asia dan Timur Tengah.

Korea Utara telah memaklumkan akan mengadakan siri ujian peluru berpandu jarak dekat sebagai latihan menguatkan pertahanan negara itu. Peluru berpandu jarak dekat Korea Utara itu mampu mencapai jarak 700 kilometer. Kelmarin Korea Selatan telah memberi amaran kepada semua pihak untuk mengosongkan kawasan maritim negara itu dan Amerika pula memaklumkan akan menembak jatuh peluru nuklear Korea Utara dengan menggunakan peluru anti peluru berpandu darat dan laut. Menurut risikan keselamatan Amerika bahawa Korea Utara mempunyai peluru berpandu nuklear jarak jauh yang mampu mencapai jarak 7,500 kilometer iaitu boleh sampai hingga ke pantai Hawaii.

Konflik yang bakal dan sudah mula tercetus ini sangat merbahaya kepada keamanan dan keselamatan dunia terutama benua Asia. Situasi ini juga sangat tidak baik pada masa kini kerana dunia masih dalam keadaan kelembapan ekonomi dan ancaman wabak H1N1 yang makin meningkat. Saya fikir memanglah tindakan Korea Utara itu sesuatu yang amat tidak wajar sama sekali. Tentulah negara korea Selatan dan Jepun juga China tidak selesa dengan perkembangan ini. Namun, keadaan akan semakin rumit akibat campur tangan Amerika dalam hal ini.

Saya fikir sebenarnya Amerika ini sangat takut apabila ada negara yang cuba jadi lebih kuat daripada mereka. Mereka akan cari jalan bagaimana untuk menyekat negara itu walaupun dengan cara yang tidak betul seperti di Iran, Iraq, Afghanistan dan beberapa negara lain lagi.

Keamanan di benua Asia ini masih boleh diuruskan dengan cara yang lebih baik, bukan melalui campur tangan kuasa asing seperti Amerika. Kita masih boleh menggunakan saluran-saluran yang betul dalam menangani isu ini contoh melalui Kesatuan ASEAN boleh memainkan peranan dalam memikirkan dan mencari tindakan penyelesaian terbaik isu konflik antara Korea Utara dan Korea Selatan ini. Janganlah kita mudah menyerahkan bulat-bulat kepada campur tangan kuasa asing yang kita tahu mereka itu ada udang di sebalik batu. Janganlah konflik ini terus berlarutan kerana Malaysia sebuah negara kecil juga akan menerima kesan ini jika ianya berlaku. Jika konflik ini menjadi realiti, maka akan tercetus perang alaf baru benua Asia dan Amerika. Semuanya akan rugi, tiada seorang pun yang untung!

Wednesday, June 24, 2009

AIR ASIA HUTANG MAHB RM65 JUTA?

Air Asia boleh dianggap sebagai sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang paling berjaya di rantau Asia ini dan seringkali menerima anugerah dalam industri penerbangan tambang murah. Tetapi syarikat Air Asia ini dilaporkan tidak membayar hutangnya kepada pihak Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) sebanyak RM65 juta!. Bagaimana ini berlaku? Sedangkan Air Asia dilaporkan memperolehi keuntungan meningkat sebanyak enam kali ganda pada suku pertama tahun ini berakhir 31 Mac, 2009 berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Keuntungan syarikat itu menurut BERNAMA mencecah RM165.963 juta! dan pada tahun lepas sahaja keuntungannya ialah RM714.178 juta!.

MAHB pula adalah syarikat GLC kerana Malaysian Airline System Bhd. (MAS) adalah pemegang saham tertinggi syarikat ini iaitu lebih 70 peratus saham. Dengan kata lain, Air Asia juga berhutang dengan kerajaan. Hari ini Perdana Menteri mengatakan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan secara langsung dalam masalah ini tetapi akan melantik konsultan bagi menguruskan perkara tersebut. Kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk pembinaan Airport LCCT bagi kemudahan kegunaan Air Asia dan beberapa syarikat penerbangan tambang murah lain, tetapi inikah hasil yang kerajaan terima?

Sebelum ini saya pernah mendengar ura-ura ada pihak berhasrat untuk membina sebuah airport baru di Jelebu bagi kegunaan penerbangan tambang murah menggantikan LCCT, tetapi sekarang sudah tidak dengar lagi akan perkembangan itu. Apa dah jadi ya kepada projek Airport Jelebu itu? Sedangkan LCCT yang dibina kerajaan pun Air Asia tidak mampu bayar akan hutang tersebut, bagaimana pula nak bina sebuah airport baru di Jelebu tanpa bantuan kewangan kerajaan. Saya tidak ada kuasa dalam hal ini, tetapi saya memikirkan hal ini. Bagaimanapun saya juga sering menggunakan perkhidmatan Air Asia.

Tuesday, June 23, 2009

HORMATI KEDAULATAN IRAN

Presiden Venezuela, Hugo Chavez meminta seluruh dunia menghormati negara Iran dan kemenangan Presiden Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihan raya Presiden yang lalu. Pada entry sebelum ini saya ada mengulas kemenangan Ahmadinejad sebagai Presiden Iran untuk penggal kedua. Selepas keputusan pilihan raya itu, keadaan di Iran menjadi tidak menentu dan banyak kekecohan serta keadaan huru-hara diwujudkan oleh golongan-golongan yang kononnya mereka ini tidak berpuashati terhadap keputusan berkenaan. Golongan yang menentang ini merupakan penyokong-penyokong kepada beberapa calon presiden yang kalah.

Hasil daripada kekecohan yang diwujudkan itu banyak berlaku kematian, kecederaan dan kerosakan harta benda. Siapakah yang membuat kerosakan itu? Mereka adalah penduduk dan rakyat Iran sendiri. Kerajaan Iran telah mengambil keputusan untuk mengira semula secara rawak 10 peratus daripada kertas undi sebagai memenuhi ketidakpuasan golongan itu. Jika kita fikir ada penipuan seperti yang didakwa, maka bagaimana kerajaan berani untuk mengambil keputusan berkenaan? Ini menunjukkan pihak yang benar sentiasa tidak perlu takut kepada apa-apa dakwaan yang palsu.

Saya fikir kekecohan yang dicetuskan adalah satu strategi yang ditaja oleh pihak luar yang ingin mencampuri dan melemahkan urusan pemerintahan Presiden berkenaan dan Kerajaan Iran. Ini adalah kerana kita tahu bahawa Ahmadinejad adalah seorang pemimpin negara Islam yang sangat lantang menentang dasar-dasar luar Amerika dan beliau tidak disukai oleh Barat. Justeru ada usaha untuk menjatuhkannya. Setelah pihak luar itu gagal menjatuhkannya melalui pilihanraya, maka cara yang kotor adalah mewujudkan suasana yang tidak stabil dan huru-hara dalam negara berkenaan bagi memboleh pihak luar campur tangan.

Hugo Chavez yang bukanlah seorang pemimpin Islam tetapi turut mengatakan bahawa ada usaha melemahkan revolusi Islam di Iran. Bagaimana pula pemimpin negara Islam yang lain? Tidak ada pula pemimpin negara Islam yang mengutuk tindakan campur tangan Amerika itu dalam hal ehwal dalaman Iran (patutlah hingga hari ini Palestin terus hilang tanah wilayahnya kepada Israel). Sebelum pilihanraya itu, kita dapati keadaan dalaman negara Iran adalah baik selain daripada sekatan pembangunan teknologi nuklear ke atas mereka. Pemimpin seperti Hugo Chavez dan Ahmadinejad ini perlu ada lebih ramai pemimpin seperti mereka kerana mereka ini sentiasa memperjuangkan kebenaran dan menolak kezaliman kuasa besar ke atas negara-negara kecil.

Sunday, June 21, 2009

KISAH LUCU

Kisah Profesor dan Driver

Kisah seorang profesor yang sangat pintar. Beliau seringkali dijemput oleh banyak organisasi untuk menyampaikan ceramah-ceramah berkaitan bidang kepakaran beliau. Profesor ini mempunyai seorang driver yang selalu menghantar beliau ke mana sahaja dan mengikut beliau dalam setiap ceramah hingga driver itu pun sangat tahu apa yang profesor itu akan cakapkan dalam setiap ceramah beliau. Suatu hari, profesor berkenaan mulai rasa bosan untuk menyampaikan ceramah kerana sudah setiap hari beliau berceramah. Pada kali ini beliau menyuruh drivernya pula menyamar menjadi profesor itu dan menyampaikan ceramah, manakala profesor itu hanya duduk di belakang dewan menyamar sebagai driver.

Memang tepat sangkaan profesor itu apabila drivernya berjaya menympaikan ceramah berkenaan hingga selesai seperti yang biasa profesor itu buat. Driver itu juga dapat menjawab semua pertanyaan oleh peserta dengan baik macam profesor itu sering jawab, tetapi sebelum sesi tamat, ada seorang peserta bangun bertanya satu soalan tambahan yang belum pernah ditanya kepada profesor itu dalam ceramah-ceramah sebelumnya. Maka, driver itu tidak boleh menjawab, lalu dia berkata " this is a easy question, even my driver at the back can answer the question..."


cerita ini saya ambil dari sesi ceramah oleh Profesor Adjung Tan Sri Ismail Adam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada tengahari tadi (hanya selingan dalam ceramah yang disampaikan beliau - sekadar hiburan)

WASPADA TERHADAP INFLUENZA A (H1N1)

Hari ini media melaporkan kes jangkitan Influenza A (H1N1) meningkat kepada 49 kes di negara ini dan apa yang lebih kritikal kini jumlah jangkitan di peringkat tempatan telah meningkat. Pada sebelum ini kes-kes jangkitan hanya dilaporkan berlaku ke atas mereka yang baru pulang dari luar negara terutama dari negara-negara yang tinggi jumlah mangsa jangkitan virus berkenaan seperti Amerika, Mexico, Australia, Kanada dan negara-negara lain yang kini menurut WHO melibatkan lebih 94 buah negara dan bilangan mangsa jangkitan ialah 44,287 jumlah mangsa dengan 180 kematian.

Kemuncak terkini penularan jangkitan virus ini di Malaysia menyebabkan sebuah sekolah terpaksa ditutup selama seminggu iaitu SRJK Cina Jalan Davidson, Kuala Lumpur akibat tiga pelajar sekolah berkenaan disahkan positif virus H1N1.

Kita perlu insaf akan situasi yang sedang melanda kini, ambillah langkah-langkah waspada bagi mencegah penularan virus ini. Perbanyakkanlah berdoa kepada Allah agar kita diberi perlindungan oleh-Nya daripada sebarang musibah di muka bumi ini. Amin.


Menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya'Ulumuddin: "Bagaimana doa boleh mengubah qadak sedangkan qadak sudah ditetapkan dan tidak boleh ditolak lagi?Ketahuilah sesungguhnya antara qadak Allah itu sendiri ialah menolak bala dengan berdoa" (Sumber :
http://halaqah.net)


Saturday, June 20, 2009

PEMBANGUNAN ARAB CITY DI MELAKA

Saya ucap tahniah dan syabas atas kejayaan kerajaan negeri Melaka menarik pelaburan sebanyak RM1.2 bilion bagi pembangunan projek baru di negeri itu yang diberi nama Arab City. Projek ini adalah pembangunan sebuah kawasan pelancongan berkonsepkan seperti di negara-negara arab melalui pembinaan prasarana-prasarana pelancongan yang akan dibangunkan dalam tiga fasa. Projek itu dijangka akan mampu menyediakan 200 ribu peluang pekerjaan dan menjana pulangan pelaburan RM 1 bilion setahun. Projek berkenaan juga dijangka akan memperkenalkan Melaka di 20 buah negara arab dan seterusnya meningkatkan jumlah pelancong arab di negeri tersebut pada masa depan. Pelaburan Arab City ini adalah oleh sebuah syarikat yang berpengkalan di Dubai dan Arab Saudi dan mempunyai rakan kongsi di Malaysia.

Secara peribadi saya mengkagumi daya usaha yang berterusan dan kreativiti kerajaan negeri Melaka dalam mempertingkatkan pembangunan sektor pelancongan di negeri itu sebagai sumber pendapatan utama negeri dan rakyat. Bandaraya Melaka kini terkenal sebagai sebuah bandar warisan dan telah disenaraikan sebagai UNESCO World Heritage Centre. Jikalau kita ke negeri Melaka sekarang kita akan dapat melihat pembangunan yang pesat di negeri itu terutamanya dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan.

Saya amat menyukai usaha pembangunan sungai di Bandaraya Melaka terutamanya dalam menghidupkan pengangkutan air dan memanfaat pembangunan tebing sungai sebagai khazanah sektor pelancongan negeri berkenaan. Saya juga pernah menaiki Melaka River Cruise pada waktu malam baru-baru ini dan pengalaman itu sangat menarik yang tentunya pasti sukar dilupakan.

Usaha seperti ini sepatutnya dicontohi oleh negeri-negeri lain juga di negara ini.

Melaka River Side

Night River Cruise in Melaka City

The Melaka River Cruise

A Beauty Night

Friday, June 19, 2009

KHUTBAH JUMAAT : UJIAN KE ATAS MANUSIA

Khutbah Jumaat pada hari ini di Masjid Al-Hussin, Alor Setar adalah menyampaikan peringatan dan pesanan kepada jemaah berkaitan ujian Allah ke atas manusia. Berdasarkan kandungan khutbah berkenaan hari ini telah memperbetulkan sedikit kefahaman saya berkaitan perkara berkenaan (maklumlah masih begitu banyak ilmu agama yang perlu saya belajar lagi supaya dapat memperbaiki diri).

Secara ringkasnya menurut khutbah berkenaan, ada 2 jenis ujian dari Allah kepada manusia iaitu ujian ringan dan ujian berat. Sebelum ini tentulah saya fikir dan mungkin juga sebahagian orang fain juga fikir yang ujian berat itu adalah seperti ditimpa kesusahan, banyak masalah, ditimpa sakit, ditimpa bala dan macam-macam lagi perkara-perkara buruk yang berlaku kepada kita itu adalah sesuatu yang sangat berat.

Sebenarnya saya salah. menurut khutbah berkenaan dengan contoh-contoh ayat Al-Quran dan merujuk kepada banyak hadith, ujian Tuhan kepada kita seperti perkara-perkara negatif yang telah saya sebutkan itu adalah hanyalah ujian yang ringan! Jadi apakah ujian yang berat pula?

Ujian yang berat ke atas manusia ialah Allah uji kita dengan harta kekayaan dan pangkat! Itulah ujian yang berat! Bagaimana jadi begini? Pada mula khutbah tu memang saya kurang faham juga, bila lebih lama dengar baru saya faham. Sebenarnya apabila Allah timpakan kita dengan kesusahan dan kesakitan adalah kerana Allah nak ampunkan dosa-dosa kita, apabila sakit maka gugurlah dosa-dosa kecil, kalau sakit maka secara tak langsung kuranglah kita melakukan dosa-dosa yang sering kita lakukan. Bila kita dalam kesusahan baru ramai yang nak ingat Tuhan, maka semasa susah barulah ramai nak dekat dengan Tuhan. Baru nak bertaubat. Ini ada kebenarannya. Maka sebab itulah ujian ini dikatakan ringan kerana Allah bukanlah nak memudaratkan kita tetapi Allah nak kita bertaubat dan dekat dengan-Nya supaya kita kembali kepada-Nya sebagai hamba-hamba yang bertakwa.

Bila Allah berikan kita kekayaan, harta yang banyak, pangkat yang tinggi, wanita yang cantik dan lain-lain lagi maka ramai manusia yang hanyut dengan kelazatan dunia. Ramai yang semakin jauh dengan Tuhan, lalai pada hukum agama, kurang beribadah kerana kesibukan hal-hal keduniaan, lupa diri, merasa sempurna hingga lupa kepada siapa Penciptanya dan macam-macam dosa yang kita lakukan kerana tenggelam dalam kelazatan dunia, maka semakin jauhlah ingatan kita kepada akhirat. Maka saya fahamlah bahawa inilah rupa-rupa ujian yang sangat berat yang Allah ujikan kepada sebahagian manusia.

Semoga ilmu daripada khutbah berkenaan menjadi iktibar kepada saya dan juga sebahagian manusia lain.


KEINDAHAN ALAM

Angin pagi berlalu meresap jiwaku
Burung-burung menyanyi berkicauan

Desir ombak berlalu memukul ke pantai

Kanak-kanak berlari berkejaran


Suasana yang indah dan permai

Pohon nyiur pun melambai

Suara alam mendayu menyanyi lagu ku

Bagai hati yang pilu yang merayu


Suria pagi menyinar megah di angkasa

Embun di hujung rumput mula pudar
Desir ombak berlalu memukul ke pantai

Kanak-kanak berlari berkejaran



Artis - Flybaits


Keindahan Alam


Thursday, June 18, 2009

PENDIDIKAN JUGA SATU NIKMAT

Sebelum ini saya pernah menulis dalam entry yang dulu tentang pelajar-pelajar BDM yang sambung pengajian. Saya juga ada mengulas tentang peluang-peluang pembiayaan pengajian lanjutan dan pakej rangsangan ekonomi. Pada kali ini saya ingin menulis perkara yang sama tetapi dengan melihat isu kepentingan untuk generasi masa hadapan dalam bidang pengajian tinggi.

Dua hari lepas Perdana Menteri kita ada mengulas tentang kepentingan pendidikan dalam pembangunan negara. Beliau berkata Malaysia akan jadi miskin pada masa hadapan jika kerajaan mengurangkan peruntukan kewangan untuk sektor pendidikan.Pada masa kini kerajaan membelanjakan hampir RM50 bilion setahun bagi tujuan pendidikan iaitu lebih 23 peratus daripada jumlah belanjawan tahunan negara. Jika budget pendidikan dikurangkan, maka peluang pembangunan sistem pendidikan negara akan tersekat, ramai yang akan tercicir pendidikan terutamanya di peringkat pengajian tinggi. Ini bukanlah situasi yang baik, kerana salah satu komponen untuk menjadi negara maju ialah apabila bilangan penduduk yang berpendidikan tinggi adalah ramai dan menjamin bekalan tenaga sumber manusia yang berpendidikan tinggi. Tetapi apabila ramai rakyat tidak berpelajaran maka semakin tinggilah jumlah pengangguran dan kurang tenaga sumber manusia mahir, maka negara sukar berkembang dan menjadi semakin miskin.

Jika kita melihat pada zaman dahulu misalnya era tahun 60 an
dan 70 an jika dikaji mungkin pada waktu itu bagi sebuah kampung belum tentu ada anak Melayu yang layak menjejak kaki ke menara gading (universiti), kalau ada pun bagi sebuah daerah mungkin hanya ada 3 atau 4 orang yang masuk universiti. Bilangan universiti pun tak banyak pada masa tu iaitu seperti Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemudian bila masuk era 80 an bilangan pelajar masuk ke universiti semakin ramai mungkin sebuah kampung sekurang-kurangnya ada seorang anak Melayu yang dapat masuk universiti dan daerah pula mungkin jumlah 20 hingga 30 orang. Tetapi masih tak ramai. Selepas tahun 1990 an hingga sekarang bilangan pelajar universiti dan bilangan universiti juga semakin bertambah hingga sekarang. Sekarang di UUM saja ada hampir 30,000 pelajar sedang belajar manakala 70,000 pelajar telah tamat pengajian semenjak UUM ditubuhkan. Itu belum dikira jumlah pelajar di universiti-universiti lain yang mana jumlah IPTA sekarang dah 20 buah universiti manakala IPTS dah lebih 500 buah di Malaysia.

Dari segi peluang kerjaya bagi lulusan universiti juga adalah merujuk kepada perkembangan dan kemajuan negara. Misalnya pada era 60 an, 70 an dan 80 an, bilangan pelajar universiti tidak ramai maka belum tamat pengajian tahun akhir pun dah ada tawaran kerja, banyak pilihan pulak tu. Maka bertuahlah para lulusan universiti pada waktu itu. Ini kerana persaingan tak ramai. Tapi sekarang sebahagian kecil pelajar universiti terpaksa menganggur sekurang-kurang 6 bulan hingga setahun sebelum mendapat kerja manakala sebahagian besar pula terpaksa bersaing merebut peluang pekerjaan yang terbaik untuk mereka. Walau bagaimanapun nisbah jumlah lulusan universiti yang menganggur sekarang jika dibanding jumlah lulusan universiti yang telah mendapat kerja masih rendah kerana peluang kerja masih banyak di negara ini, cuma mungkin sebahagian besar mereka belum menemui pekerjaan yang sesuai atau ada yang terlalu memilih kerja.

Dari aspek kelulusan pulak, jika dilihat pada era 70 an dan 80 an
syarat-syarat permohonan kerja diutamakan bagi pemohon-pemohonan yang berkelulusan LCE atau PMR, MCE atau SPM dan STP atau SPTM, kemudiannya diploma dan paling tinggi ijazah. Kemudian sekitar era 90 an pulak syarat permohonan dah tinggi iaitu SPM, STPM, diploma dan ijazah (PMR dah kurang membantu) manakala Master (Sarjana) pula sudah pasti amat berpeluang cerah. Tetapi sekarang jika kita kaji dalam iklan-iklan jawatan kosong sama ada oleh kerajaan atau swasta maka kelulusan diperlukan adalah ijazah dan Master adalah keutamaan (SPM atau STPM semakin kurang relevan manakala diploma pun makin kurang membantu). Ini saya bercakap tentang permohonan bagi jawatan pegawai dan ke atas, bagi jawatan lebih rendah mungkin syarat kelayakan mengikut tahap jawatan. Tapi bagi lulusan universiti pasti semua mahu kalau boleh bermula sebagai jawatan pegawai.

Tetapi pada masa akan datang pasti syarat-syarat itu semakin tinggi. Jika sekarang syarat minimum bagi jawatan pegawai adalah ijazah maka semakin hari jumlah mereka yang memiliki ijazah semakin ramai maka tentulah pada masa depan syarat itu semakin tinggi. Sekarang ini pun mereka yang memiliki sarjana lebih diberi keutamaan. Ini adalah adat, kelayakan kita diukur melalui tahap kelulusan yang kita ada. Mungkin pada masa depan syarat kelayakan bagi jawatan yang lebih tinggi akan terus meningkat, mungkin ijazah juga semakin kurang membantu (ini hanya pandangan - mungkin tidak betul bagi semua pekerjaan), mungkin pada masa depan mereka yang memiliki Master juga semakin ramai. Jika kita lihat situasi sekarang kebanyakan pegawai atau kakitangan kerajaan yang ingin naik pangkat kena buat Master sebab persaingan tinggi sesama mereka, maka siapa yang adalah kelulusan lebih tinggi akan lebih berpeluang. Begitu juga syarikat-syarikat swasta yang besar juga memerlukan lebih ramai lulusan sarjana bagi mengisi jawatan-jawatan tinggi (cuba rujuk iklan-iklan jawatan kosong dalam Star Jobs - akhbar The Star). Inilah realiti. Satu contoh lagi, pada masa dahulu sesiapa yang ingin memohon jawatan pensyarah sekurang-kurangnya perlu ada Master manakala jawatan tutor perlu ada ijazah, tetapi selepas tahun 2008 bagi jawatan tutor perlu memiliki Master dan syarat memohon jawatan pensyarah universiti perlu mempunyai PhD.

Saya menulis ini bukanlah bermaksud menyuruh semua orang sambung buat Master, bukan itu tujuan saya. Tetapi kita perlu fikir ke hadapan 10 atau 20 tahun lagi, bagaimana perkembangan negara dan dunia. Kita tidak boleh berfikir untuk hari ini dan esok sahaja. Kita tidak boleh fikir untuk diri kita sekarang sahaja, tetapi kita perlu fikir akan generasi kita pada masa akan datang. Sesiapa yang berpeluang sambung Master itu adalah mereka-mereka yang beruntung kerana mungkin sebahagian mereka ada peluang itu kerana kemampuan keluarga untuk membiayai pengajian, atau dapat pembiayaan lain seperti biasiswa atau pinjaman dan mereka belum mempunyai komitmen terhadap perkara-perkara lain yang mendesak seperti menyara keluarga sendiri, membantu ibu bapa menyara adik-adik yang masih bersekolah dan komitmen lain yang memerlukan mereka bekerja bagi memperolehi pendapatan. Bagi mereka yang belum berpeluang, bukanlah mereka tidak bagus, tetapi keutamaan mereka kepada perkara-perkara yang saya sebutkan itu lebih utama. Maka kerjalah, carilah pendapatan kerana itu lebih baik untuk mereka. Tetapi suatu hari nanti jika ada peluang maka mereka juga boleh menyambung pengajian lagi.

Bagi yang dah atau sedang atau akan menyambung pengajian, belajar bersungguh dan lulus dengan cemerlang, kerana sesuatu peluang itu selalunya akan datang sekali sahaja dan mungkin sudah tidak ada lagi peluang yang sama pada masa depan. Justeru, pergunakan peluang belajar itu dengan sebaiknya. Manakala yang bekerja, bekerjalah bersungguh-sungguh, jadilah pekerja cemerlang dan binalah kerjaya dengan sebaiknya. Semoga kitalah orang-orang yang menjadi generasi dan nadi pembangunan negara ini pada masa hadapan.


Monday, June 15, 2009

MENDEKATI ILMU

Hari ini saya berpeluang berbual panjang dengan rakan pensyarah senior iaitu Prof. Madya Dr. Ali Embi dan Ustaz Amir Hamzah. Banyak topik perbincangan dibincangkan berkait kepada perkembangan universiti, isu-isu semasa, hinggalah kepada konteks sejarah dan agama. Duduk berbual dan berbincang dengan orang-orang ilmuan ni menjadikan saya lebih sedar banyak lagi ilmu yang kena belajar, banyak lagi buku yang kena baca, banyak lagi kena dalami Al-Quran dan Hadith agar menjadikan saya seorang yang berilmu pada masa hadapan. Yang lebih penting peluang berbual dengan orang-orang berilmu ini menjadikan sesi berbincang itu bukan sekadar sembang kosong!

Tambahan lagi orang seperti Ustaz Amir ni saya kagum kerana beliau tinggi ilmu sejarah bukan sahaja sejarah Malaysia, malah sejarah Asia, sejarah dunia dan sejarah berkaitan agama Islam. Beliau dapat mengaitkan suatu sejarah yang berlaku dengan hubungannya dengan sejarah negara-negara lain dan dikembangkan pula dengan sokongan agama seperti hadith dan Al-Quran.

Sangat bertuah rasanya bila ada kesempatan yang lebih banyak dapat bersama dengan para ilmuan sama ada di dalam universiti atau ramai lagi di luar sana, menjadikan diri saya berasa kerdil dari segi ilmu apatah lagi teramat kerdil sebagai hamba di hadapan Allah.

Orang berilmu ini dapat melihat sesuatu perkara daripada pelbagai sudut kerana pengalaman dan pengetahuan mereka luas, berbanding bagi orang yang masih kurang ilmu mungkin cenderung melihat sesuatu perkara itu dalam konteks yang sempit. Maka, salah satu cara untuk meningkatkan ilmu, selain belajar, banyakkan membaca dan mengkaji ilmu, menghadiri majlis-majlis ilmu (seperti kuliah di universiti - maka janganlah ponteng kuliah), kita perlu meluangkan sebahagian masa dengan mendekati orang-orang yang berilmu supaya manfaat ilmu yang ada pada mereka bolehlah turut sama kita manfaatkan.

Sempat saya catatkan sebuah hadith yang disebutkan dalam perbincangan itu iaitu : Berkata Abu Hurairah r.a : bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: “Ada tujuh kelompok (manusia) yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan-Nya. Mereka adalah :

  1. pemimpin yang adil
  2. anak muda yang senantiasa beribadah kepada Allah Azza wa Jalla
  3. seseorang yang hatinya senantiasa dipertautkan dengan masjid
  4. dua orang yang saling mencintai kerana Allah, yakni keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah
  5. seorang lelaki yang ketika dirayu oleh seorang wanita bangsawan lagi rupawan lalu dia menjawab: “Sungguh aku takut kepada Allah”
  6. seseorang yang mengeluarkan sedekah lantas di-sembunyikannya sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat tangan kanannya
  7. seseorang yang berzikir kepada Allah di tempat yang sunyi kemudian ia mencucurkan air mata”.

(Hadith Riwayat Bukhary - Muslim)



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.”

(Hadith Riwayat ibnu Abid-Dunya)

Sunday, June 14, 2009

KEAMANAN SATU NIKMAT

Baru-baru ini negara New Zealand telah diiktiraf sebagai sebuah negara yang paling selamat dan aman. Pengiktirafan itu adalah berdasarkan ukuran pada indeks keamanan global (Global Peace Index - GPI). Tempat kedua ialah negara Denmark dan ketiga ialah negara Norway. Manakala Malaysia menduduki tangga ke-26 sebagai negara yang aman di dunia ini.

Untuk mengukur tahap keamanan sesebuah negara bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu mengambilkira pelbagai faktor dan petunjuk (indicator) yang mendefinisikan keamanan. Berdasarkan GPI, ukuran keamanan itu berdasarkan kepada kurangnya berlaku, keganasan, konflik dan peperangan dalam sesebuah negara.

Di Malaysia, kita semakin bimbang dengan berlakunya peningkatan kadar jenayah, kemalangan, gejala sosial dan budaya-budaya negatif di kalangan penduduk dan kesan-kesan negatif akibat jumlah pendatang asing yang berterusan ramai jumlahnya. Ini adalah faktor-faktor dalam negara yang memberi kesan terhadap tahap keamanan di negara ini.

Selain itu, kita juga turut menerima kesan luaran seperti kemerosotan ekonomi dunia yang sedang melanda dan seterusnya melembapkan pertumbuhan ekonomi negara sehinggakan dilaporkan negara kita mengalami pertumbuhan ekonomi negatif 6.2 peratus pada suku pertama tahun 2009 ini. Kesan ekonomi menyebabkan kelembapan turut berlaku dalam pelbagai sektor pelaburan dan meningkatkan kadar jumlah pengangguran di kalangan penduduk.

Walaupun negara kita sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dan konflik dari segi ekonomi, sosial dan politik, namun kita harus patut bersyukur kerana Malaysia masih menjadi sebuah model negara yang aman walaupun mempunyai kalangan kaum penduduk yang majmuk dan berbilang bangsa, tetapi masih bertolenrasi dengan bijaksana dalam menangani semua isu-isu serta konflik dalaman dan luaran dengan berhemah.

Walaupun secara ukurannya kita berada di tempat ke-26 di dalam senarai GPI, tetapi saya percaya bahawa di dalam realiti negara ini kita bersetuju bahawa negara kita adalah masih aman di mana majoriti penduduk masih bebas menjalankan aktiviti harian masing-masing, mencari rezeki, menuntut ilmu, membangunkan keluarga, membina kerjaya dan bermacam-macam lagi perkara boleh kita lakukan tanpa ada sekatan yang melampau atau dinafikan hak sebagai warganegara. Namun, tidak dinafikan ada juga sebahagian atau golongan kecil masyarakat yang suka menimbulkan konflik-konflik yang untuk menjejaskan negara ini.

Untuk kita rasa lebih bersyukur dengan nikmat keamanan yang kita kecapi sekarang, cubalah kita bandingkan keadaan yang berlaku di negara-negara lain contoh Thailand dan terkini di Selatan Thai, Filiphina, Vietnam, Pakistan, Iraq, Palestin, Afghanistan, Sudan, Sri Lanka dan negara-negara lain hinggalah paling terkini di mana Pyongyang, Korea Utara mula mengugut untuk berperang dengan senjata nuklear dan bom atom kerana sekatan yang semakin kuat oleh PBB (untuk makluman Korea Utara juga adalah sebuah negara komunis).

Jika kita mengambil tahu akan perkembangan negara-negara berkenaan, patutkah kita perlu rasa bersyukur dilahirkan sebagai seorang warganegara Malaysia?

Saturday, June 13, 2009

MENYOKONG SESUATU PERLU KENA PADA TEMPATNYA

Mungkin saya ini bukanlah pakar sejarah dan saya ini memanglah bukan seorang pejuang kemerdekaan tanah air negara ini zaman dahulu kerana saya hanya dilahirkan pada tahun 1981. Tetapi saya belajar sejarah dan saya baca tentang sejarah pembentukan negara ini sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah Tanah Melayu merdeka sehingga terbentuknya sebuah negara Malaysia seperti yang ada pada hari ini. Saya kurang arif tentang politik, tetapi saya baca buku-buku tentang politik. Saya updatedkan pengetahuan saya tentang politik masa kini dalam dan luar negara.

Tetapi hari ini bila saya baca tentang semakin kuatnya desakan daripada pihak-pihak tertentu (yang mungkin pengetahuan sejarah mereka juga cetek macam saya) untuk membawa pulang seorang bekas ketua komunis kembali ke negara ini. Usaha itu amat saya tolak sama sekali. Mungkin ramai yang telah lupa akan sejarah kemerdekaan negara ini dan apakah kezaliman komunis pada zaman dahulu. Mungkin ramai yang telah lupa atau tidak pernah tahu yang ada nenek moyang mereka dahulu pernah menjadi mangsa kezaliman komunis selain mangsa kezaliman tentera Jepun dan Inggeris dan kuasa-kuasa penjajah lain. Kita perlu sedar akan hakikat itu, bahawa suatu ketika dahulu negara kita pernah diancam komunis. Ramai yang menjadi korban dan mangsa seksaan komunis. Negara kita pernah darurat angkara komunis.

Jikalau ada pihak yang merasakan itu adalah sejarah dan tidak perlu dibangkitkan lagi, maka apa pula ribuan nyawa yang terkorban itu hanya sejarah semata? penderitaan mereka dahulu hanya sejarah semata-mata? Bagaimana mangsa komunis yang masih hidup kini tetapi dalam keadaan menderita adalah sejarah semata-mata. Jika ada pihak yang mengatakan kita perlu adil kepada hak asasi manusia terutamanya kepada Ching Peng, maka bagaimana dulu dia pernah nafikan hak untuk hidup oleh mangsa-mangsa yang dibunuh oleh komunis? Apa yang saya sangat sedih ada pula seorang pemimpin yang menjadi penasihat kepada sebuah parti politik yang kononnya berlandaskan keadilan yang menyokong usaha songsang itu.

Janganlah kerana inginkan sokongan politik murahan hingga sanggup gadaikan nilai sejarah negara yang tidak ternilai, janganlah kononnya untuk bertindak adil tetapi adakah kita telah adil kepada pejuang-pejuang negara zaman dahulu yang telah menjadi mangsa komunis, dan adilkah kita kepada ahli-ahli keluarga mereka yang ada sekarang?

PESANAN UNTUK BLOGGERS DALAM KHUTBAH JUMAAT

Kandungan khutbah Jumaat kelmarin di Masjid Kulim, Kedah telah menyampaikan pesanan dan teguran kepada para bloggers di negara ini yang menurut teks khutbah tersebut kini bilangan bloggers di Malaysia telah melebih 0.5 juta blogger. Disebabkan saya pun telah mendaftar dan mempunyai blog ini, maka secara langsung juga pesanan dan teguran khutbah itu untuk diri saya sendiri (setiap minggu pun semua khutbah Jumaat kena pada muka sendiri).

Isu utama pesanan yang disampaikan ialah tentang penulisan yang ditulis dalam blog perlu tidak bertentangan dengan hukum agama, memelihara maruah dan kehormatan diri, keluarga, agama dan negara. Tidak melaporkan sesuatu yang palsu, bohong, dusta dan yang paling besar ialah FITNAH! Impak kewujudan kemudahan blog ini memberi peluang dan kebebasan kita kepada kita untuk apa sahaja dan tiada sebarang tapisan. oleh itu, apa sahaja yang kita tulis adalah tanggungjawab sepenuhnya pada diri kita.

Jadi, bagi blogger yang beragama Islam, adalah menyalahi hukum agama dan berdosa jika kita menggunakan kemudahan blog ini untuk menulis perkara-perkara yang tidak baik, palsu, bohong, menjatuhkan maruah orang lain (contoh gossip) dan membuat serta menyebarkan FITNAH! melalui blog kita, maka dosanya kita tanggunglah sendiri. Apa nak jawab dalam khubur dan di Padang Mahsyar nanti?
Justify Full
Justeru, secara tegas di sini di dalam blog peribadi ini saya hanya menulis pandangan dan pendapat peribadi saya sendiri untuk kegunaan serta bacaan diri sendiri. Setiap yang saya tulis InsyaAllah akan merujuk kepada fakta dan sumber rujukan yang betul, benar dan meletakkan sumber rujukan jika ianya diambil daripada hasil tulisan atau ciptaan orang lain. Saya juga InsyaAllah tidak akan menjadikan blog ini sebagai ruang untuk perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan menyalahi hukum Islam. Amin.

Tahniah Presiden Mahmoud Ahmadinejad

Laporan berita melaporkan keputusan piliharaya presiden memihak kepada Presiden Mahmoud Ahmadinejad dengan kemenangan yang besar! Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada beliau atas kemenangan itu sekaligus mengekalkan jawatan sebagai Presiden Iran untuk penggal ke-2.

Secara peribadi saya amat kagum dan hormat dengan kewibawaan dan kesungguhan beliau yang tegas, berani dan berprinsip mulia dalam menegakkan keagungan Islam dan kedaulatan negara Islam terutamanya Iran supaya tidak tunduk kepada tekanan dan ancaman kuasa besar seperti Amerika yang cuba menjatuhkan mana-mana negara Islam yang hendak maju dan aman seperti yang telah mereka lakukan di Afghanistan, Iraq, Palestin (mereka sekutu kuat kepada Israel) dan negara-negara Islam lain termasuklah Malaysia.


Apabila melihat kepada Ahmadinejad membuatkan saya melihat kepada pemimpin kita iaitu Tun Dr. Mahathir yang sentiasa mengkritik dasar-dasar kuasa besar yang sering menindas negara-negara kecil dan miskin. Tindakan Tun Mahathir itu membuatkan banyak pihak mengkagumi beliau dan kagum dengan ketegasan beliau hingga Malaysia menjadi sebuah negara Islam contoh dan dihormati hingga hari ini. Sekarang pun Tun masih kuat mengkritik dasar-dasar berat sebelah oleh kuasa-kuasa besar dan beliau sering menjadi undangan banyak negara untuk mendapatkan kepakaran pengalaman beliau semasa memajukan Malaysia ketika era beliau memimpin Malaysia.


Friday, June 12, 2009

PEMBETULAN

Kenapa malam ni rasa tak mengantuk pulak, dah pukul 2 pagi dah, mungkin masa drive dari Sintok ke Kulim tadi banyak sangat minum 100Plus ni, esok pagi-pagi lagi ada urusan di Penang Island pula. Sementara tidak mengantuk ni lebih baik update blog, tapi nak tulis tentang apa pula?

Pembetulan? Mungkin tajuk ini banyak sudut pendapat untuk dibincangkan. tetapi fokus perbincangan pada kali ini lebih cenderung kepada pembetulan dalam menambahbaik diri sendiri. Dalam sehari berapa banyak kita kena buat pembetulan kerja, disuruh buat pembetulan kerja, diarah perbetulkan kertas kerja, assignment, tesis, laporan praktikum, dokumen ISO dan berbagai jenis kerja yang perlu dibuat pembetulan. Hakikatnya kenapa kita perlu buat pembetulan? Semestinyalah disebabkan hasil dan kualiti kerja kita itu kurang baik, belum mencapai standard, masih banyak kelemahan dan kekurangan, tidak sempurna dan berbagai lagi unsur negatif lain. Jadi buat pembetulan ini adalah bertujuan untuk menambahbaik kualiti kerja, menepati standard, menambah kepada yang kurang, dan menjadikan sesuatu itu lebih sempurna.

Jika kita sedar akan hakikat ini, pastilah kita sedar bahawa membuat pembetulan itu adalah bersifat positif dan kebaikan, maka kita janganlah sesekali rasa marah atau rasa tidak berpuas hati jika kita diminta atau perlu membuat pembetulan.

Seterusnya perlulah kita berfikir bahawa apabila kita perlu membuat pembetulan sebenarnya ianya juga memberi isyarat bahawa diri kita ini masih banyak yang perlu diperbaiki, ini adalah kerana tentunya pembetulan itu dibuat ke atas sesuatu kesalahan atau kesilapan yang kita lakukan berpunca mungkin dari sikap kita seperti kecuaian, kekurangan maklumat dan pengetahuan, sikap kurang bersungguh melakukan sesuatu, kurang bersedia, malas, bodoh sombong, tidak peka, suka ambil mudah dan lain-lain lagi yang tidak terkira kelemahan kita. Justeru, pembetulan adalah satu peluang untuk kita memperbaiki diri kita daripada sikap-sikap negatif tersebut.

Tetapi apabila kita fikirkan, kebiasaannya kita hanya membuat pembetulan hanya apabila disuruh dan ditegur barulah kita perbetulkan. Bukankah adalah lebih baik kalau kita mampu perbetulkan sesuatu itu sebelum orang lain memberitahu kita? Kalau kita mampu melakukan itu, InsyaAllah kita boleh jadi orang yang cemerlang, kerana antara sifat orang yang cemerlang adalah sentiasa memperbaiki diri, muhasabah diri, mengkaji kelemahan dan potensi diri, dan kemudian mestilah ikhlas memperbetulkan diri sendiri. Apabila kita bersikap proaktif terhadap diri sendiri, maka kita akan terus ke hadapan.

Pembetulan itu bukanlah terhad kepada memperbetulkan hasil dan kualiti kerja semata-mata, tetapi apa yang lebih penting dan sangat mustahak ialah memperbetulkan atau membuat pembetulan ke atas diri sendiri iaitu terhadap akhidah, sikap, amalan, ibadah, niat, akhlak dan hala tuju hidup. Inilah yang paling penting!

Sebagai kesimpulan, ingin saya utarakan satu persoalan, adakah lebih baik jika setiap hari semakin banyak kita buat pembetulan atau semakin sedikit pembetulan yang perlu kita buat ? Jawapannya ada pada diri kita sendiri untuk kita fikirkan.

Tuesday, June 9, 2009

Suratan Atau Kebetulan

Sesuatu yang tak disangka
Seringkali mendatangi kita
Itukah suratan dalam kehidupan
Atau hanya satu kebetulan

Kita asyik membicarakan
Persoalan hidup dan pilihan
Sedang kejujuran semakin berkurang
Masih tiada bertemu jawapan

Walau kita dihadapkan
Dengan berbagai pilihan
Mengapa sering terjadi
Pilihan tak menepati

Hingga amat menakutkan
Menghadapi masa depan
Seolah telah terhapus
Sebuah kehidupan yang kudus

Pertemuan sekali ini
Bagi diriku amat bererti
Tetapi ku bimbang untuk menyatakan
Bimbangkan berulang kesilapan

Artist: Kenny Remy Martin


The message of the song is something good for me to think. Sometime we always thought we've did a right decision, but we didn't. The big mistake we always did when we never learned from the previous mistakes.

Monday, June 8, 2009

MINGGU RE-UNION

Sejak beberapa hari lalu saya dapat berhubung dan berjumpa dengan kawan-kawan, sepupu-sepupu dan sedara mara jauh dan dekat (especially yang jauh) yang dah lama tak berjumpa. Selalunya kalau berjumpa pun setahun sekali iaitu time hari raya ataupun jika ada kenduri kahwin barulah dapat berjumpa dan bertanya khabar. Ini sudah menjadi adat kerana di waktu lain masing-masing sibuk dengan pekerjaan, urusan-urusan sendiri dan tinggal pulak di tempat jauh dan negeri lain.

Kelmarin kenduri kahwin sepupu saya di Kuala Nerang maka dapatlah berjumpa dengan semua sanak saudara yang turut sama hadir. Lama tak jumpa, maka banyaklah perkara yang dapat dibualkan, kisah yang diceritakan dan pengalaman yang dikongsikan. Pertemuan dari pagi hinggalah ke malam. Yang kanak-kanak seronok bermain-main, yang remaja asyik cerita tentang 'game', yang dewasa banyak bincang isu-isu semasa, yang tua pula bercerita tentang penyakit masing-masing, hehe.. dan yang jadi pengantin pula ehem--ehemm...dah tak sabar tunggu malam agaknya, hehehe..

Masa kenduri ni lah waktu yang lebih panjang untuk sanak-saudara untuk re-union kerana kalau hari raya selalunya dapat berkunjung masa singkat saja sebab banyak rumah yang nak dikunjungi. So, kenduri kahwin di rumah Mak Tam saya di Kuala Nerang ni dah yang terakhir sebab termasuk pengantin maka semua anak-anaknya dah berumahtangga. Bila pulak la dapat berkumpul lagi? mungkin raya nanti la. Kalau nak tunggu kenduri kahwin saya, errr..mungkin pengantin yang kahwin kelmarin dah anak dua kot nanti...hehehe...

Friday, June 5, 2009

BERFIKIRAN BESAR

Jika kita membaca buku-buku berbentuk motivasi, pasti ada perbincangan berkaitan dengan cara-cara ingin menjadi orang yang berjaya salah satu caranya ialah kita perlu sentiasa berfikiran atau berjiwa besar. Apakah maksud berfikiran besar ini? Ia adalah tidak jauh beza dengan apa yang dimaksudkan angan-angan atau impian atau cita-cita atau matlamat hidup. Ya! Memang untuk berjaya kita harus mempunyai angan-angan atau cita-cita atau impian yang besar! Jikalau tidak bagaimana kita mahu berusaha membentuk diri kita mencapai ke arah itu.

Justeru, dalam diri kita perlu ada satu fikiran yang besar supaya mudah kita berusaha dan mendisiplinkan diri untuk mencapainya. Orang yang berjaya selalunya mereka yang mempunyai fikiran besar - itulah hasil penemuan kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar motivasi.

Berfikiran besar ini haruslah dilihat dan dibentuk dari sudut yang positif, janganlah berfikiran besar untuk niat yang tidak baik seperti mahu menunjuk-nunjuk, sombong, rasa megah diri, bongkak, takbur dan ingin dipandang tinggi oleh orang lain. Itu adalah salah, maka apa yang dicapai itu makin kuranglah keberkatannya. Ingat! kejayaan itu bukanlah untuk ingin dipandang mulia oleh orang lain! tetapi sedarlah Allah sangat menyukai orang-orang berjaya yang bertaqwa kepadaNya.

Jika hanya berfikiran besar sahaja tetapi tanpa disusuli dengan usaha, tindakan, disiplin dan kesungguhan untuk mencapai angan-angan itu maka itulah dinamakan 'angan-angan Mat Jenin'. Kosong! malah tidak bermakna langsung!

Sebaiknya kita perlu berfikiran besar disertai dengan usaha yang kuat dan konsisten, keazaman dan disiplin yang tinggi, dan kita harus meletakkan perancangan dalam angan-angan itu iaitu apakah yang diingin kita capai? berapa lama masa yang dijangkakan? (5 tahun,10 tahun dan 15 tahun, 30 tahun dan seterusnya). apakah langkah pertama, kedua, ketiga dan seterusnya? bagaimanakah kita akan mengawal tindakan ke arah itu? apakah strategi dan altenatif yang ada? (dengan kata lain sebenarnya kejayaan itu harus dirancang!).

Tetapi eloklah kita tidak memberitahu atau menceritakan apakah fikiran besar atau angan-angan atau cita-cita kita itu kepada orang lain, bimbang akan disalah erti atau dikatakan riak atau boleh menjadikan kita seorang yang takbur. Cukuplah kita tahu sendiri dan catatkan serta rancangkan fikiran besar kita itu untuk kegunaan memperbaiki diri sendiri. Kalaupun perlu memberitahu orang lain mungkin boleh cerita kepada orang-orang yang kita percaya dan kemudiannya mereka boleh memberikan dorongan yang positif kepada kita. Sebagai manusia, kita juga perlukan dorongan dan sokongan orang lain untuk terus memperbaiki diri bagi menjadi orang yang berjaya.

Perkara yang paling penting selepas kita merancang kejayaan apakah yang ingin kita capai dan mula bertindak ke arah itu, kita perlu sedar bahawa yang akan menentukan semuanya adalah datang daripadaNya. Maka wajiblah kita bertaqwa kepadaNya dan tidak putus-putus berdoakan agar Allah makbulkan cita-cita kita itu. Dan apabila Dia memakbulkan doa kita itu, maka wajiblah kita bersyukur kepadaNya.

Untuk berjaya kita memerlukan ketabahan diri yang tinggi untuk menempuh dugaan dan cabaran yang bakal dilalui, yang penting jauhkan sama sekali sifat berputus asa dalam diri, kerana kita harus sedar lebih tinggi angan-angan itu, maka lebih tinggi jugalah cabarannya. Hanya orang-orang yang bersabar sahaja dapat mencapainya.

Secara peribadinya saya berpendapat bahawa setiap daripada kita perlu ada berfikiran besar, kerana manusia itu telah dijadikan sebaik-baik kejadian oleh Allah, setiap kita mempunyai potensi dan kelebihan yang tersendiri, hanya bergantung kepada keupayaan, kebijaksanaan dan kesungguhan kita dalam memperbaiki diri sendiri. Benarlah kata hadis “Bekerjalah untuk duniamu seakan – akan kamu akan hidup selamanya. Beribadahlah untuk akhiratmu seolah – olah kamu akan mati esok".

Selamat berjaya!

Thursday, June 4, 2009

Alhamdulillah - By Thoo Phat

Di saat waktu berhenti...kosong
Dimensi membutakan mata memekakkan telinga
Lalu diri menjadi hampa
Saat paradigma dunia tak lagi digunakan untuk menarka
Sadarku akan hadirMu
Mematahkan sendi² yg biasanya tegak berdiri

Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dengan apa yang kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Merenungi luar jendela
Mengagumi kebesaran Yang Maha Esa
Ku menilai kehidupan dari sudut berbeza
Tak memadai hanya kecapi rasa selesa
Mahukan harta yg mampu beli satu semesta
Berpesta ke parti botol bergelimpangan
Kekasih muda bukan takat berpegang tangan
Harta dan jamuan nafsu tidak berkekalan
Bila menjelang tua bukan itu jadi bekalan
Dan jangan puisi ini disalah tafsir pula
Bukan berkhutbah, cuba betul diri ini cuma
Ingin hidup sempurna, aset nilai berjuta
Saling tukar wanita, senyum dan mati tua
Bakat dikurnia jangan disalahguna
Jangan kufur nikmat yg diberi percuma
Guna kelebihan untuk khidmat bersama
Jagalah nama
Hidup penuh pementasan dan drama
Ada berisi ada yang kurus
Ada melencong ada yang lurus
Bukan semuanya tulus
Ada sempurna ada kurang upaya
Ada yang jadi buta hanya bila sudah kaya
Sebesar rumah bermula dengan sekecil bata
Boleh hilang dalam sekelip mata
Ucaplah Alhamdulillah bukannya sukar
Kerna semana kaya atau besar
Tetap Allahuakbar...

Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Jadikanlah ku tentera Fisabilillah
Yang tertera di kalimah harap memanduilah kita apabila persimpangan tiba
Hidup penuh dengan rintangan harus kuhadapinya
Harap ku tidak lupa diri bila gembira
Dan cuma mula mencari Kau di saat hiba
Ku cuma manusia penuh dengan kesilapan
Tapi bisa membezakan cahaya dan kegelapan
Tabah bila dikalangan duri onak dan cubaan
Teguh bila dicubakan pengaruh kuasa dan perempuan
Sentiasa legar diminda dikejar dan dipinta
Dari zaman bermula hingga ke akhirnya
Ku mengerti siapa ku tanpa Mu disisi
Dan apa guna posessi juga posisi
Sementara ini cuma hanya puisi
Nukilan tulisan dan bisikan hati
Mencari ketenangan menjiwai peranan
Menepati pesanan, janji juga saranan
Alhamdulillah atas kurniaan rezeki
Moga tidak leka dalam perjalanan ini

Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dengan apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Aku yang memandang di dalam lubuk hati
Mencari-cari rahsia yang katanya tersembunyi
Aku yang melihat alam meliputi
Wujud menyertai lalu kupindahkan alam ke dalam mata hati
Aku hakiki aku mengerti segala yang terjadi di langit dan di bumi
Gunanya tiada fantasi pelik dan benar qada' dan qadar
Kau berilahku kekuatan agar dapatku hindarkan segala kesesatan
Usah kau biarkan nafsuku terliur
Dari pandangan majazi ini
Aku yang bodoh lagi hina amat benar merindui
Moga cahaya lelatu tak membutakan mataku
Semoga segala puji takku meninggi diri
Moga segala janji dapat juga ku penuhi
Moga dapat ku hadang tikaman dari belakang
Lidah setajam pisau
Ku tidak akan risau
Dengan dugaan cabaran
Sepanjang perjalanan ku pasrah ku akur
786 Alhamdulillah Syukur!

Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dengan apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Sujudku pun takkan memuaskan inginku
Untuk hanturkan sembah sedlm kalbu
Adapun ku sembahkan syukur kepada Mu Ya Allah
Untuk nama harta dan keluarga yang mencinta
Dan perjalanan yang sejauh ini tertempa
Alhamdulillah pilihan dan kesempatan
Yang membuat hamba mengerti lebih baik tentang makna diri
Semua lebih berarti apabila dihayati
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah

* Pesanan dan nasihat dalam lirik lagu ini adalah untuk menyedarkan diri saya sendiri

UJIAN TUHAN DAN HIKMAHNYA

Hari ini Alhamdulillah ada sedikit khabar gembira berhubungan ujian Allah ke atas saya 4 hari yang lepas. Walaupun tv lcd itu telah dicuri dan kemungkinan akan dijumpai semula oleh pihak polis agak mustahil, saya telah diberitahu oleh Branch Manager SenQ cawangan Tesco Mergong (iaitu kedai tempat saya membeli tv berkenaan) bahawa tv saya itu telah diinsuranskan oleh pihak SenQ tahun lepas. Ini bermakna kemungkinan pihak SenQ akan menggantikan semula satu unit baru tv lcd berkenaan adalah positif. Lagi pula memang saya ada membeli jaminan (warranty parts and services) bagi tv berkenaan untuk tempoh 5 tahun. Justeru, pihak SenQ meminta saya menyerahkan semua dokumen-dokumen yang perlu beserta laporan dan siasatan polis untuk tindakan lanjut. Jadi, kini ada sedikit sinar harapan untuk saya.

Setiap sesuatu, pasti ada hikmahnya, sesungguhnya "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah ayat 286). Allah itu Maha Adil dan Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk setiap mahluknya. Qada dan Qadar sama ada baik atau buruk perlu kita terimanya dengan redha dan sabar. Ujian ini adalah untuk saya rupa-rupanya Dia mengambil apa yang ada pada saya untuk menguji kesabaran saya tetapi kemudiannya Dia gantikan pula dengan yang lebih baru. Dia jadikan ribut dan hujan, rupa-rupanya kemudian Dia hadiahkan kita pelangi. Maha Suci Allah. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;
"Kami telah beriman,"
("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak diuji?
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,
maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan,
sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Wednesday, June 3, 2009

NAHAS PENERBANGAN

Pada hari ini laporan media mengatakan pesawat Air France AF 447 yang membawa 228 penumpang dari Brazil ke Paris yang hilang telah menemui tanda-tanda serpihan pesawat Lautan Atlantik. Pesawat yang malang itu dipercayai hilang kawalan dan terputus hubungan dengan pihak kawalan radar akibat dipanah petir setelah laporan awal mengatakan penerbangan tersebut telah melalui kawasan ribut. Usaha mengesan bangkai pesawat giat diteruskan manakala amaran awal mengatakan bahawa harapan untuk menjumpai mangsa yang terselamat amat tipis. Saya amat sedih dan mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat.



Saya memilih untuk mengulas isu ini kerana berdasarkan pengalaman sendiri ketika semasa dalam penerbangan dari LCCT ke Penang. Pada waktu itu penerbangan saya telah tertunda hampir 2 jam akibat cuaca buruk, saya hanya dapat menaiki pesawat pada jam 10.15 malam yang mana jadual asalnya ialah 8.35 malam. Semasa dalam penerbangan memang hujan lebat dan kilat serta petir, keadaan pergerakan pesawat kurang stabil mungkin disebabkan awan yang tebal, kebetulan seat saya bersebelahan dengan tingkap pesawat, pada pertengahan perjalanan pesawat berkenaan dipanah petir meyebabkan saya dan penumpang-penumpang lain sedikit panik, saya sempat melihat disebelah luar tingkap percikan api berwarna biru semasa pesawat dipanah petir, menyebabkan lampu-lampu kabin pesawat terpadam beberapa saat. Pada waktu itu saya dah mengucap dua kalimah syahadah dan terfikir macam mana nak berenang dalam Selat Melaka nanti, hehehe..tetapi Alhamdulillah pesawat dapat mendarat dengan selamat. Terima kasih kepada pilot dan krew-krew penerbangan tersebut kerana dapat mengendalikan situasi secara profesional.

Sampai sekarang saya masih bimbang setiap kali naik pesawat, tapi apabila saja terpandang kepada pramugari-pramugari yang cantik dalam pesawat terus saya hilang rasa bimbang, hehehe..

Tuesday, June 2, 2009

TRAGEDI RUNTUHAN

Saya percaya bahawa ingatan kita terhadap isu runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa masih baru dalam ingatan, tetapi hari ini negara dikejutkan pula dengan tragedi runtuhan pada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu yang memusnahkan hampir 50 peratus struktur binaan stadium berkenaan. Sebelum itu, pada 28 Mei yang lalu berlaku runtuhan bangunan Jaya Supermarket di Seksyen 14 Petaling Jaya yang mengorbankan 7 orang.



Stadium berkenaan yang dibuka kira-kira baru setahun yang lalu telah dibina dengan kos hampir RM300 juta! Siasatan sedang dilakukan bagi mengenalpasti punca runtuhan bumbung stadium berkenaan. Setakat ini laporan mengatakan tragedi ini tidak melibatkan kemalangan dan kecederaan manusia. Dari aspek persepsi awal saya menjangkakan punca runtuhan mungkin disebabkan oleh faktor manusia, sebabnya setakat ini tidak berlaku apa-apa bencana alam di kawasan tersebut seperti gempa bumi atau taufan beliung. Jadi, boleh saya andaikan ianya berpunca dari faktor manusia yang mana mereka adalah pihak yang terlibat secara langsung dalam merancang, merekabentuk, membina dan menyelenggarakan bangunan stadium berkenaan.



Siasatan sepatutnya dilakukan ke atas pelan asal pembinaan bangunan iaitu pelan rekabentuk bangunan, pelan struktur bangunan dan pelan kejuruteraan bangunan bagi mengenalpasti jika wujud sebarang kesalahan teknikal pada ukuran-ukuran struktur dan pengiraan beban setiapa bahagian bangunan terutamanya bahagian bumbung. Seterusnya siasatan melihat pada peringkat pembinaan di mana menyiasat kontraktor dan sub-sub kontraktor yang terlibat sepenuhnya dalam penyiapan bangunan terutamanya mengkaji dari kualiti bahan binaan yang digunakan, membandingkan ukuran bangunan stadium dengan ukuran asal di dalam pelan bangunan, kualiti penyiapan kerja (finishing) dan pematuhan terhadap garispanduan serta piawaian binaan.

Kedua-dua peringkat yang dinyatakan adalah penting dalam memastikan kualiti dan tahap keselamatan bangunan stadium. Satu lagi aspek yang penting, tetapi seringkali dianggap ringan ialah aspek penyelenggaraan bangunan stadium berkenaan. pada pendapat saya mungkin wujud kecuaian pada aspek penyelenggaraan kerana jika aktiviti penyelenggaraan dilakukan dengan baik, tentulah risiko runtuhan berkenaan boleh dikenalpasti lebih awal dan tindakan-tindakan pembaikan boleh diambil lebih cepat seperti kes di MRR2 dahulu. Maka runtuhan mungkin boleh dielakkan dan kerugian dapat dikurangkan. Tapi sekarang nasi sudah menjadi bubur, hasil pemerhatian saya satu pihak saling menyalahkan pihak lain dan menuduh pihak lain bertanggungjawab. Itu bukanlah satu tindakan awal yang bijak kerana seringkali kita melihat kelemahan orang sebenarnya lebih banyak mendedahkan kelemahan diri sendiri. Jadi, sudah banyak tragedi untuk kita jadikan pengajaran, namun kita jarang pernah untuk belajar daripadanya.

Kita harus bersyukur bahawa negara kita kurang terdedah kepada bencana-bencana alam yang berisiko tinggi seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi, tetapi hari ini kita lihat negara-negara jiran kita telah mengalami berbagai bencana alam yang besar dan kita pun dah semakin terasa tempiasnya. Seharusnya kita kini sepatutnya lebih bersedia dari pelbagai aspek, kerana bencana alam pada masa depan mungkin lebih buruk daripada apa yang kita jangkakan, mungkin ketika itu negara kita juga mungkin tidak akan terlepas lagi, kerana alam kini sudah tidak selesa lagi dengan kemusnahan akibat tangan-tangan manusia, maka manusialah harus bersedia menghadapi bagaimana alam akan bertindak balas kepada kita.


Monday, June 1, 2009

JEMPUTAN WALIMATULURUS

Sempena cuti persekolahan pada kali, seperti tradisi biasa akan banyaklah di sana sini di seluruh negara kita majlis-majlis Walimatulurus ataupun kenduri perkahwinan diadakan. Maka sibuklah tuan-tuan rumah mempersiapkan khemah, pelamin, bahan-bahan masakan dan kelengkapan kenduri yang lain. lebih mudah sekarang ini lebih ramai yang cenderung untuk membuat tempahan makanan melalui katering-katering yang sedap-sedap untuk menjamu tetamu yang datang nanti. Manakala mempelai atau pasangan pengantin pula sudah tidak sabar-sabar lain ingin bergelar raja dan permaisuri sehari seterusnya menempuhi alam perkahwinan.

Hingga hari ini saya masih menerima kad-kad jemputan kahwin yang dah tidak terkira banyaknya daripada sanak saudara jauh dan dekat, rakan-rakan serta pensyarah-pensyarah senior yang mana akan melangsungkan perkahwinan anak-menantu mereka pada bulan ini. terima kasih saya ucapkan atas kesudian menjemput saya, InsyaAllah jika tiada apa-apa halangan maka saya akan datang. Tetapi pergerakan saya juga ada had, yang dekat-dekat bolehlah saya datang, tetapi bagi yang jauh, mungkin saya tidak berkesempatan, jadi terlebih dahulu saya pohon maaf. Tidak lupa juga terima kasih kepada bekas pelajar-pelajar saya yang turut tidak lupa menjemput saya meraikan hari-hari bahagia mereka nanti.


Justeru, kesempatan ini saya ingin mengucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU kepada semua pasangan-pasangan pengantin yang baru dan akan mendirikan rumah tangga pada hari kelmarin, hari ini, esok, lusa, minggu depan, bulan depan tahun depan dan seterusnya. Semoga kalian semua mengharungi kehidupan rumah tangga dengan bahagia, setia, harmoni, murah rezeki dan kekal selamanya hingga beranak cucu dan akhir hayat. Ucapan khas juga saya tujukan kepada dua orang sepupu saya iaitu Zulkhairi dan Zulfadzli yang telah melangsungkan perkahwinan mereka dan akan melangsung majlis walimatulurus di rumah mereka pula pada 7 Jun 2009 nanti.


Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya,

bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari

jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya

dan dijadikanNya di antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih sayang dan

belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi

keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang

berfikir "

- Ar-Rum : Ayat 21


“ Ya Allah, sesungguhnya hati kami ini bersatu dengan kasih sayangMu,

bertemu di atas ketaatan kepadaMu, bersatu di jalan dakwahMu dan berjanji

menegakkan AgamaMu... Maha Suci Engkau, perteguhkanlah tali ikatan antara

kami ini, limpahkanlah kasih sayang di dalam hati kami ini. Engkau

tunjukkanlah kami jalan hidayahMu, sesungguhnya padaMu kami berserah dan

tempat kami memohon pertolongan “

~ Amin Ya Rabbal Alamin ~


"Ya Allah Ya Tuhanku, seandainya telah kau catatkan dia milikku, tercipta

buatku, dekatkanlah dia padaku, satukan hatinya dengan hatiku, titipkanlah

kemesraan di antara kami agar kebahagiaan itu abadi. Dan Tuhanku Yang Maha Pengasih, seiringkanlah kami dalam melayari ketepian yang sejahtera, sepertimana yang Engkau kehendaki."

~ Amin Ya Rabbal 'Alamin ~