Thursday, June 25, 2009

KOREA UTARA : KE ARAH KONFLIK ASIA DAN AMERIKA

Dunia hari ini masih cemas dengan peningkatan wabak jangkitan Selsema Babi (H1N1) yang telah meningkat hingga lebih 55,000 mangsa dan mencatatkan angka kematian 238 orang - WHO. Di Malaysia jumlah mangsa meningkat kepada 91 orang dan 4 buah sekolah telah ditutup. Ketika dunia sibuk memikirkan kaedah terbaik mengawal wabak ini, tetapi ada satu isu besar lagi yang boleh tercetus yang mampu menjejaskan keamanan dunia. Isu itu ialah konflik yang sedang berlaku di antara negara komunis Korea Utara dengan jirannya iaitu Korea Selatan dan juga Amerika.

Hari ini Korea Utara telah mengeluarkan ancaman untuk menyerang Korea Selatan dan Amerika dengan menggunakan peluru berpandu nuklear dan bom atom. Ancaman itu berikutan amaran Amerika ke atas Korea Utara berikutan hasrat negara itu ingin terus membuat siri ujian peluru berpandu nuklear. Amerika juga menjamin akan melindungi negara Korea Selatan dan ini sangat dimarahi oleh Korea Utara. Sikap Amerika yang terus mencampuri urusan negara lain akan terus mewujudkan konflik-konflik baru ke atas benua Asia dan Timur Tengah.

Korea Utara telah memaklumkan akan mengadakan siri ujian peluru berpandu jarak dekat sebagai latihan menguatkan pertahanan negara itu. Peluru berpandu jarak dekat Korea Utara itu mampu mencapai jarak 700 kilometer. Kelmarin Korea Selatan telah memberi amaran kepada semua pihak untuk mengosongkan kawasan maritim negara itu dan Amerika pula memaklumkan akan menembak jatuh peluru nuklear Korea Utara dengan menggunakan peluru anti peluru berpandu darat dan laut. Menurut risikan keselamatan Amerika bahawa Korea Utara mempunyai peluru berpandu nuklear jarak jauh yang mampu mencapai jarak 7,500 kilometer iaitu boleh sampai hingga ke pantai Hawaii.

Konflik yang bakal dan sudah mula tercetus ini sangat merbahaya kepada keamanan dan keselamatan dunia terutama benua Asia. Situasi ini juga sangat tidak baik pada masa kini kerana dunia masih dalam keadaan kelembapan ekonomi dan ancaman wabak H1N1 yang makin meningkat. Saya fikir memanglah tindakan Korea Utara itu sesuatu yang amat tidak wajar sama sekali. Tentulah negara korea Selatan dan Jepun juga China tidak selesa dengan perkembangan ini. Namun, keadaan akan semakin rumit akibat campur tangan Amerika dalam hal ini.

Saya fikir sebenarnya Amerika ini sangat takut apabila ada negara yang cuba jadi lebih kuat daripada mereka. Mereka akan cari jalan bagaimana untuk menyekat negara itu walaupun dengan cara yang tidak betul seperti di Iran, Iraq, Afghanistan dan beberapa negara lain lagi.

Keamanan di benua Asia ini masih boleh diuruskan dengan cara yang lebih baik, bukan melalui campur tangan kuasa asing seperti Amerika. Kita masih boleh menggunakan saluran-saluran yang betul dalam menangani isu ini contoh melalui Kesatuan ASEAN boleh memainkan peranan dalam memikirkan dan mencari tindakan penyelesaian terbaik isu konflik antara Korea Utara dan Korea Selatan ini. Janganlah kita mudah menyerahkan bulat-bulat kepada campur tangan kuasa asing yang kita tahu mereka itu ada udang di sebalik batu. Janganlah konflik ini terus berlarutan kerana Malaysia sebuah negara kecil juga akan menerima kesan ini jika ianya berlaku. Jika konflik ini menjadi realiti, maka akan tercetus perang alaf baru benua Asia dan Amerika. Semuanya akan rugi, tiada seorang pun yang untung!

2 comments:

shira said...

peperangan hanya akan membawa kepada kemusnahan dan kehilangan nyawa..negara yg terasa terancam seperti Amerika akan melakukan apa sahaja utk menang dalam pentas dunia tanpa ia sedari akan kesan yg bakal menimpa dunia..inilah yg harus ditangani di mana kuasa besar spt Amerika sepatutnya tidak perlu campurtangan dalam mana2 negara..semoga negara kita,Malaysia,tidak terjebak ke lembah yg akan membawa kpd kesengsaraan..Malaysia Boleh!!!!...cayalah!!!!

Syahril Said said...

Malaysia mengamalkan dasar negara berkecuali dalam isu-isu besar, tetapi bagaimanapun negara kita boleh menyumbang dengan memeberi cadangan-cadangan yang bernas dalam mencari permasalahan konflik dunia, kita tidak boleh selalu menjadi pemerhati semata-mata, sesekali perlulah kita menyumbang sekurang-kurang sumbangan idea