Tuesday, March 29, 2011

CARA SOLAT DALAM PEPERANGAN DAN BERTAYAMUM



Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Ada tiga keadaan yang diberikan kebolehan kepada kita untuk bertayamum :
i. Apabila sakit yang tidak boleh kena air, maka dibolehkan kita bertayamum. Misalnya orang terbakar dan orang yang luka.
ii. Bermusafir. Misalnya mereka yang bermusafir di atas kapal terbang atau keretapi sekiranya tiada air, atau mereka yang terperangkap dalam traffic jammed yang teruk akibat berlaku kemalangan atau kenderaan terlalu sesak di lebuhraya.
iii. Apabila air tidak ada. Misalnya musim kemarau atau berlaku masalah bekalan air sehingga air yang ada hanya tinggal untuk diminum sahaja, maka harus bertayamum.

2. Tuntutan solat fardhu adalah wajib. Walaupun jika dalam peperangan, tetap wajib untuk bersolat. Maka perlulah ada ilmu bagaimana cara solat dilakukan ketika di dalam peperangan.

3. Cara solat apabila musuh datang dari belakang.

4. Cara solat apabila musuh datang dari hadapan.

5. Syarat-syarat tayamum :
i. Masuk waktu solat. Wudhuk boleh diambil sebelum masuk waktu solat atau pada bila-bila masa sebelum solat, tetapi tayamum hanya boleh diambil apabila telah masuk waktu solat.
ii. Sebelum bertayamum, bagi orang yang sihat dan boleh kena air, maka hendaklah diusahakan mencari air terlebih dahulu (pada jarak sejauh dilepaskan anak panah dari tempat kita berada), jika pasti tiada air barulah boleh bertayamum.
iii. Tanah yang suci yang mempunyai debu. Ulama berkata, harus bertayamum selain daripada tanah asalkan ia berpunca daripada bumi seperti pasir, batu-bata (dihancurkan) dan lain-lain.
iv. Debu iaitu dengan menepuk kedua-dua tapak tangan ke bumi dan dihembuskan supaya yang tinggal pada tapak tangan ialah debu tanah.
v. Sucikan najis terlebih dahulu (beristinjak), maka barulah dibolehkan tayamum.

Friday, March 25, 2011

PANDUAN SOLAT DAN BERTAYAMUM BAGI ORANG SAKIT





Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi kuliah secara praktikal ini:

1. Cara berwudhuk dan bertayamum bagi orang sakit
2. Cara solat duduk dan baring bagi orang sakit
3. Cara solat apabila tiba-tiba sakit ketika sedang bersolat
4. Cara solat orang sakit ketika di wad hospital
5. Cara solat ketika di atas kapal di tengah laut
6. Cara solat ketika di atas kapal terbang
7. Cara solat ketika suasana sangat sesak misalnya di Masjidilharam
8. Cara hendak keluar daripada solat ketika sedang bersolat apabila berlaku kecemasan
9. Cara makmum meneruskan solat apabila imam terbatal solatnya
10. Cara makmum hendak menegur imam apabila mendapati solat imam telah terbatal tetapi imam tidak menyedarinya
11. Cara solat menghormati waktu bagi orang yang sakit kritikal
12. Cara solat orang sakit yang saluran najisnya terpaksa disalur di luar anggota badan atau yang menggunakan pampers
13. Hukum batuk, sedu dan bersin di dalam solat
14. Hukum tertidur ketika sedang sujud atau tahiyyat di dalam solat

Sekurang-kurangnya jika kita meluangkan sedikit masa mengikuti kuliah panduan solat dan bertayamum ini, dapatlah kita belajar bagaimana untuk mengambil wudhuk, bertayamum dan bersolat jika ditakdirkan kita sakit. Juga, dengan ilmu yang kita pelajari ini bolehlah kita bantu mereka yang sedang sakit untuk bertayamum dan bersolat sama ada ibu kita, ayah kita, isteri kita atau suami kita, dan anak-anak kita sekiranya ditakdirkan oleh Allah SWT mereka sakit. Kita tak tahu takdir kita, kita tak tahu kita ini akan sakit atau tidak, jadi tidak rugi semasa sihat ini kita belajar untuk menambahkan ilmu.

Tuesday, March 22, 2011

TAK CUKUPKAH?



Firman Allah SWT : "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)". (Surah Ar-Ruum, ayat 41)

Sunday, March 20, 2011

PESANAN IMAM GHAZALI UNTUK MENJADI ORANG BERJAYA





Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :


Pesan Imam Al Ghazali tentang perkara-perkara yang perlu dijauhi jika ingin menjadi orang yang berjaya dalam kehidupan :

1. Jangan jadi munafiq. Bila kita munafiq, orang dah tak akan percaya kepada kita, orang takkan beri lagi kepercayaan dan orang takkan sebut lagi nama kita. Orang yang munafiq itu antaranya bila bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkir dan bila diberi amanah dia khianat. Antara sifat-sifat lain munafiq ialah bila bangun untuk solat, dia bangun dalam keadaan yang malas untuk solat, berat nak solat, susah nak solat dan bila sedang solat dia main-main, cepat-cepat nak habiskan solat. Munafiq jugak bila berada dalam sesuatu majlis ilmu, maka jiwanya tidak berada dalam majlis ilmu, fikirannya ada di macam-macam tempat, sebab tu orang munafiq jarang boleh ada dalam majlis ilmu. Munafiq jugak ialah orang yang bermuka-muka, lain di belakang, lain di hadapan, di luar lain, di dalam lain.

Orang-orang munafiq berada pada tempah yang paling bawah sekali di dalam Neraka, sama tempat dengan Firaun dan Qarun dalam Neraka dan takkan boleh keluar lagi daripada Neraka. Jadi kita kena elakkan sifat-sifat munafiq ini dan hanya diri kita sendiri yang tahu bahawa adakah ada ciri-ciri munafiq itu dalam diri kita atau tidak. Kalau kita manusia menjadi ibu dan bapa, kalau kita munafiq kepada anak-anak, kita bercakap bohong kepada anak-anak, maka tidak hairan satu hari nanti anak-anak akan bohong kepada kita. Kalau kita mungkir kepada anak-anak, satu hari anak-anak akan mungkir kepada kita.

2. Jangan jadi ujub (riyak). Ujub maknanya ialah perasan baik, rasa diri telah sempurna, merasakan diri tidak ada yang orang boleh complain, ujub juga ialah merasakan diri paling sempurna di kalangan manusia. Bila dia kaya, dia rasa dia paling kaya, bila dia dapat isteri, dia rasa isteri dia paling cantik, bila dia dapat anak, dia rasa anak dia yang paling bijak. Sheikh Ibnu Hatim berpesan, jangan mati dalam keadaan kamu buat tiga perkara di mana kalau ada perangai -perangai ini pada kita tolong berubah, jangan kita bawak sampai mati tiga perkara ini iaitu pertama ialah takkabur. Sheikh Ibnu Hatim berkata "jangan bawa sifat sombong sampai kita mati, kerana orang yang sombong kalau dia mati dalam keadaan sombong, sebelum dia mati, anak dan isteri serta saudara mara takkan pedulikan dia".

Yang kedua ialah hasad, jangan jadi tamak, jangan berperangai tamak sampai ke mati, jangan membawa kedekut sampai ke mati, Sheikh Ibnu Hatim berkata
"siapa yang mati dalam keadaan perangainya tamak dan haloba, maka apa yang dia tamak dan apa yang dia halobakan takkan dia dapat rasa dan takkan dia dapat menikmatinya". Yang ketiga, jangan berperangai ujub sampai mati, Sheikh Ibnu Hatim berkata "kalau kita tak berubah sebelum kita mati, mati kita akan bergelumang dengan air kencing dan bergelumang dengan najis kita sendiri".

Sebab itu bila ada orang puji kita, potong pujian itu, supaya tak jadi ujub dan takkabur. Jangan pula kita bila dipuji orang, kita sebut lagi bagus tentang diri kita.


3.
Jangan membuat sesuatu perkara yang akan menyesal di kemudian hari. Nak buat sesuatu benda kena berfikir dahulu, jangan buat satu tindakan yang boleh menyesalkan kita. Banyak ibu bapa hari ini yang membuat sesuatu tindakan yang boleh menyesalkan di kemudian hari, misalnya penceraian ibu bapa boleh mendatangkan kesan yang sangat besar kepada kehidupan dan perkembangan anak-anak. Ada orang yang mengugurkan kandungan kerana tidak mahu anak di awal perkahwinan, selepas dia mengugurkan, kemudian langsung Allah tak berikan dia anak selepas itu. Ada anak-anak yang tidak pedulikan ibu bapa mereka semasa kedua ibu bapanya masih hidup, kemudian apabila kedua-keduanya sudah meninggal dunia, barulah dia merasa menyesal atas perbuatannya melawan ibu bapa.

Ada orang yang dah ada isteri, tapi masih bermain cinta dan curang dengan perempuan lain, lalu dia ceraikan isterinya yang baik, dia ambil isteri baru yang belum tentu isteri baru itu baik macam isteri yang telah diceraikannya, tapi bila hidupnya tak tenang bersama isteri baru, barulah dia menyesal atas perbuatannya itu. Banyak isteri yang berlaku curang terhadap suaminya, bermain cinta dengan lelaki lain, dia benci kepada suaminya, dia buang suaminya, mintak cerai dari suaminya,tapi bila dapat suami yang baru, ditamparnya, dipukulnya oleh suami yang baru itu, barulah dia menyesal, sedangkan bekas suaminya dahulu jentik pun tak pernah.

Sebab itu, kalau kita nak buat sesuatu benda supaya kita tak menyesal di kemudian hari, maka lakukanlah 'istikharah' iaitu meminta daripada Allah nak buat pilihan itu supaya Allah tunjukkan pilihan yang terbaik. kita tak tahu apa benda yang akan berlaku di kemudian hari, maka mintaklah petunjuk daripada Allah SWT.


4. Jangan hasad
. Hasad terbahagi kepada tiga iaitu yang pertama ialah hasad dengki. Hasad dengki ialah berkehendak supaya orang lain yang dapat nikmat, hilang nikmat itu. Hasad dengki juga apabila kita suka melihat orang lain ditimpa musibah. Orang yang hasad ini kata Rasulullah SAW, akan dibalas balik apa yang dia hasad. Hari ini dia kata kepada orang 'padan muka', satu hari nanti orang lain pula akan kata kepada dia 'padan muka'. Maka janganlah hasad kepada orang, apa yang Allah berikan kepada seseorang, itulah rezeki yang terbaik kepada dia, dan apa yang Allah berikan kepada kita, itulah rezeki yang terbaik untuk kita, masing-masing mengikut rezeki masing-masing.

Yang kedua dipanggil qittah, iaitu kita hasad kepada seseorang dan kita nak jadi macam orang itu. Misalnya, kita tengok perniagaan orang maju, kemudian kita pun nak jadi maju seperti itu. Kita tengok anak orang pandai dan kita pun suruh anak-anak kita menjadi pandai seperti anak orang itu. Kita tengok rumahtangga orang bahagia, maka kita pun cari jalan macammana nak jadikan rumahtangga kita bahagia, tanpa menjejaskan orang lain. Qittah inilah sifat hasad yang terpuji yang mana kita hasad kepada orang lain, tetapi tanpa kita menjejaskan hak orang lain, tanpa menghilangkan rezeki orang, inilah yang disuruh.

Hasad yang ketiga dipanggil qirah iaitu cemburu (jealous). Qirah ialah sifat cemburu dalam hati, tapi dia tak usik orang dan tak jejaskan orang lain, hanya sekadar perasaan cemburu di dalam hati semata-mata, dan ianya tidak berdosa. Sifat ini adalah biasa dalam diri manusia.

5. Jangan panjang angan-angan tetapi tidak mahu berusaha (tu'lul amal). Cita-cita tinggi, tetapi tidak mahu berusaha, hajatnya besar tetapi malas, hajatnya hebat tetapi usaha tidak ada, inilah yang dipanggil tu'lul amal. Ramai orang yang bersifat sebegini. Kita tak dilarang untuk bercita-cita, kerana melalui cita-citalah akan ada pencapaian. Orang yang tidak bercita-cita adalah orang yang gagal. Orang yang tiada cita-cita adalah orang yang lemah. Apabila kita mempunyai cita-cita yang bagus, yang baik, maka inilah yang disuruh dalam agama, kalau tanpa tu'lul amal yang baik manusia tidak akan berubah, bila sakit pun takkan berubat.

Bila kita ada cita-cita kita akan ada usaha dan ada ikhtiar, namun usaha dan ikhtiar itu mestilah dengan cara yang baik dan tidak boleh hingga melampau-lampau. Misalnya ada orang yang sanggup mensyirikkan Allah dalam usaha dan ikhtiar mengubati sakit dengan mempercayai kepada bomoh dan melakukan amalan-amalan khurafat yang kononnya untuk tujuan sembuh. Ramai orang yang sanggup menipu dan menjatuhkan orang lain kerana untuk mencapai cita-cita atau mencapai rezeki dan kedudukan yang lebih baik.


Ramai orang hari ini ingin cepat kaya dan mengambil jalan mudah menyertai pelbagai bentuk skim cepat kaya dan perniagaan MLM. Menurut Persatuan Pengguna Malaysia, hari ini, guru-guru adalah golongan yang paling ramai terlibat dalam skim-skim piramid yang ada dalam pasaran termasuk perniagaan berbentuk MLM. Sedangkan, skim-skim piramid dan MLM ini adalah salah satu bentuk tahap penipuan yang dahsyat dan merugikan orang Islam. Fenomena ini adalah akibat tidak pandai mengurus nafsu, kalau kita pandai menguruskan nafsu, kita tidak akan ditipu, tetapi oleh kerana kita panjang angan-angan nak jadi cepat kaya, nak jadi hidup senang, nak jadi senang tanpa banyak usaha, maka bila dah tak dapat uruskan nafsu lalu kita memilih jalan-jalan yang tanpa kita sedari kita sedang ditipu. Sehingga hari ini, masih ramai orang yang tidak tahu realiti penipuan dalam skim-skim piramid dan penipuan dalam MLM.

6. Jangan jadi orang sombong.
Orang yang sombong tidak akan disukai orang. Kalau kita sombong pun kepala kita tak akan sampai ke langit dan kaki kita takkan terbenam ke dalam tanah, darah kita pun sama sahaja dengan darah orang lain, nak sombong apa? Kalau kita ada kereta yang hebat dan mahal pun, tapi kalau pancit, kena berhenti jugak di tepi jalan, sama jugak macam kereta-kereta lain. Kalau kita keturunan hebat pun, mati tetap di tanam di kubur sama macam orang-orang lain jugak. Kalau kita orang kaya, makan nasi pun datang dari beras yang sama macam orang-orang lain makan jugak, jadi apa sebabnya kita nak sombong? Sombong ini adalah sifat pada hak Tuhan, manusia tidak layak ada hak untuk sombong.

Kalau kita nak sombong sebab ada ilmu banyak pun, jika Allah takdirkan kita terjatuh dalam bilik air, terhantuk kepala ke lantai, hilang ingatan kita, jadi apa sangat kita nak sombong? Jangan sombong sangatlah bila ada banyak ilmu, mungkin kita hanya bijak dalam ilmu sains, tapi kita tak pandai dalam ilmu tauhid, tak pandai ilmu fekah. Jadi, kalau kita nak jadi orang yang hebat, janganlah jadi orang yang sombong dan orang yang berlagak. Kadang-kala ada suami yang berlagak dengan keluarga mertua, tak mahu balik kampung isteri, ada isteri yang berlagak dengan keluarga suami, ingatlah, akhirnya orang yang sombong ini saudara mara buang dia, adik beradik pun buang dia, silap-silap bila dia mati pun orang tak peduli.


7. Jangan menyesali sesuatu takdir yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT.
Tolong jangan sebut 'kalau' misalnya jika kita sebut "kalaulah dulu.... mungkin sekarang akan...." 'kalau' macam inilah yang dilarang. Misalnya, kita menyebut "Silap ayah kahwin dengan ibu kamu, kalaulah dulu ayah kahwin dengan makcik Leha, bahagia ayah" atau "Menyesal mak kahwin dengan ayah kamu, kalau dulu mak kahwin dengan uncle John, dah bahagia mak sekarang". Jangan sesekali bercakap sebegini, kerana takdir kita dah berkahwin dengan suami atau isteri kita, benda yang dah berlaku jangan lagi disebut 'kalau'. Dah ditakdirkan Allah, tentulah ada sebabnya mengapa sesuatu itu berlaku.

Ini tidak, selalu kita sebut 'kalau' sikit-sikit kita sebut 'kalau',
"kalaulah aku tak ikut jalan ni tadi, dah tentu tak terperangkap dalam jammed ni". Banyak orang macam ini, orang yang sebegini dipanggil sebagai orang yang suka meratapi nasib, orang macam ini takkan berjaya. Sepatutnya kita sebut "kalau jadi macam ni, apa aku nak buat?", sepatutnya kita sebut "oh! jammed jalan ni, tak pa, inilah pengajaran untuk aku, lain kali aku akan ikut jalan lain." Pengajaran, itulah gunanya sesuatu yang berlaku iaitu memberikan pengajaran kepada kita, bukannya menyuruh kita meratapi apa yang berlaku.

8. Jangan jadi tamak. Jangan mengamalkan budaya tamak, haloba, apa yang ada pada tangan orang nak diambil, yang di tangan sendiri pun tak habis, nak rampas yang ada pada tangan orang lain pulak. Tetapi ada tamak yang bagus iaitu tamak di dalam mencari pahala, ini yang kita kena tamak, misalnya majlis ilmu kena pi mengaji, jangan biar orang lain sahaja yang pi belajar. Malu kita bila masjid atau surau dekat-dekat tempat kita ada kuliah mengaji tapi kita tak pi, kita dok tengok orang lain saja pi mengaji.

Tamak yang dilarang ialah tamak dalam harta, tak kenyang-kenyang, sampailah tanah masuk dalam mulut barulah berhenti cari harta. Maka carilah tamak dalam mendapat pahala, selagi boleh puasa sunat, lakukanlah, selagi boleh datang mengaji, datanglah mengaji.
Ada orang kata mengaji melalui cd, melalui vcd dan rakaman video di internet tak dapat pahala, ini adalah salah. Rasulullah SAW ada menyebut dalam pengajian kena jadi empat golongan iaitu pertama, jadilah orang yang mengajar, kedua, kalau tak boleh mengajar jadilah orang yang belajar, ketiga, kalau tak boleh belajar secara berdepan jadilah orang yang mendengar majlis ilmu (mendengar melalui cd, radio, tv, vcd dan rakaman video di internet) dan keempat, kalau tidak boleh mendengar majlis ilmu, jadilah orang yang suka kepada majlis ilmu dan orang sayang dengan orang yang mengaji. Kalau kita menjadi empat golongan ini, InsyaAllah kita sentiasa dinaungi barakah dan sentiasa dalam rahmat Allah SWT.

Wednesday, March 16, 2011

SYAFAAT RASULULLAH SAW





Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Sayangnya Rasulullah SAW kepada umatnya sehinggakan di saat kewafatan Baginda pun Rasulullah masih menyebut "umatku, umatku, umatku!" hinggalah pada Hari Kiamat pun Rasulullah masih berdoa kepada Allah agar Allah melindungi umat
Baginda. Oleh itu, antara suami dan Rasulullah, mana dahulu yang kita kena sayang? Kena sayang Nabi Muhammad terlebih dahulu. Antara isteri dan Rasulullah, mana yang kita sayang dahulu? Kena sayang Rasulullah dahulu. Begitu juga antara ibu kita dengan Rasulullah, kena sayang Rasulullah dahulu daripada ibu kita. Apa sahaja pun dalam dunia, manusia yang kita kena paling sayang ialah Nabi Muhammad SAW.

2. Di Hari Kiamat, mak kita tak jumpa, ayah kita tak jumpa, suami kita tak jumpa, anak dan isteri pun kita tak jumpa. Kalau jumpa pun masa kita kena hisab di Padang Mahsyar. Bila suami dakwa isteri dia, bila isteri dakwa suami dia, masa itulah baru akan jumpa. Anak-anak nak dakwa mak bapak, lalu anak-anak kita ditanya "kenapa tak sembahyang ketika di dunia?" lalu anak-anak jawab "nak sembahyang macammana, dah bapa tak ajar! bapak tak suruh sembahyang pun!". Ditanya pula kepada isteri, "kenapa kamu tidak menutup aurat?" kemudian isteri menjawab "nak tutup buat apa, suami tak suruh tutup aurat pun!".

3. Di Hari Kiamat, seperti kita lemas di laut. Cuba kita naik kapal, naik sampan, bot atau feri, bila pecah dilambung ombak, kita jatuh dalam laut. Apa yang kita buat? Ada papan kita pegang, ada tong kita berpaut, ada manusia kita akan panjat atas manusia tu supaya kita tak lemas dan selamat, kalau ada sehelai rambut pun kita akan pegang kalau rambut tu mampu menyelamatkan kita. Itulah bandingan kalau lemas di lautan. Lemas di Padang Mahsyar ni, semua orang dia nak kait, dia tak nak masuk Neraka tu dia akan kait semua orang. Bila ditanya "kenapa kamu tak sembahyang?" dia jawab "bapa saya tak ajar saya, bagaimana saya nak sembahyang!". Dia kait bapa dia padahal di dunia bapa dia dah pun suruh dia sembahyang. bila ditanya "kenapa tak tutup aurat?" dia jawab "suami saya tak suruh tutup aurat!" sedangkan masa kat dunia bila suami suruh tutup aurat dia kata "muda lagi!". Tapi di Hari Kiamat dia dakwa suami dia, sehinggalah di Padang Mahsyar bukan sahaja suami kena dakwa, isteri kena dakwa, mak bapak kena dakwa tetapi termasuk yang kena dakwa ialah Nabi-nabi pun kena dakwa.

4. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW menceritakan Nabi Nuh A.S kena dakwa, bila Allah soal umat Nabi Nuh, "kenapa tak beriman kepada Allah? Bukankah telah dihantar kepada kamu Nuh?" lalu mereka menjawab "Nabi Nuh tidak pun menyuruh kami beriman kepada Allah!" lalu Allah memanggil Nabi Nuh lalu Allah berfirman "Wahai Nuh! Umat kamu mendakwa bahawa kamu tidak menyuruh mereka beriman kepada Allah" dan nabi Nuh menjawab "Sudah saya dakwah kepada mereka supaya beriman kepada Allah, tetapi merekalah yang menolak saya", kemudian Allah bertanya kepada Nabi Nuh "Mana saksi kamu?" padahal sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, tetapi Allah SWT itu Maha Adil, tetap Dia bertanya kepada Nabi Nuh "Mana saksi kamu?", lalu kata Nabi Nuh "saksi saya ialah umat Muhammad SAW". Kita sebagai umat Nabi Muhammad tak pernah tengok pun Nabi Nuh, tapi kenapa kita menjadi saksi? Maka Allah SWT bertanya kepada umat Nabi Muhammad SAW, "Benarkah kamu bersaksi bahawa Nabi Nuh telah berdakwah?", kata umat Nabi Muhammad, "ya! tetapi ditolak oleh umat Nabi Nuh", lalu Allah bertanya kepada umat Nabi Muhammad, "Apa bukti kamu?", lalu umat Nabi Muhammad menjawab, "buktinya telah disebut oleh Allah SWT dalam Al-Quran bahawa umat Nabi Nuh menolak Nabi Nuh A.S".

5. Firman Allah SWT : "Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): "Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya; dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata; Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku; Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman); (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman); Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran)". (Surah Nuh, ayat 1-6)

6. Kalau Nabi yang maksum (tiada dosa) pun kena soal sebab umatnya dakwa di Hari Kiamat, takkan kita tak disoal di Hari Kiamat? Firman Allah SWT : "Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu". (Surah Al-A'raaf, ayat 6)

7. Di Hari Kiamat,
Nabi Muhammad SAW adalah orang paling pertama yang masuk Syurga, tetapi kerana sifat sayang Baginda kepada umatnya sehinggakan Baginda menunggu umatnya di pintu Syurga dan berdoa kepada Allah supaya melindungi umatnya, sehinggakan apabila ada umat Nabi Muhammad yang sama berat timbangan pahala dan dosanya di Neraca Allah, lalu Nabi Muhammad mengambil serbannya dan diletakkan serban Baginda di atas timbangan sebelah kanan iaitu bahagian timbangan pahala orang itu lalu Neraca Allah condong sebelah kanan (pahala) dan Malaikat berkata kepada orang itu "masuklah kamu ke dalam Syurga", kemudian Malaikat mengadu kepada Allah, lalu Allah SWT menjawab "Itulah umat Nabi Muhammad, biarlah dia (Muhammad) nak bagi syafaat kepada umatnya". MasyaAllah, betapa sayangnya Nabi Muhammad SAW kepada kita, maka sebab itulah bila bertembung antara Nabi dan suami maka wajiblah sayang kepada Nabi Muhammad melebihi semua manusia-manusia yang lain. Suami kat dunia ini boleh tinggalkan kita, suami tak tunggu bila isteri lambat, isteri pun kat dunia boleh tinggalkan suami, tapi Nabi Muhammad SAW tunggu kita di Hari Kiamat.

8. Syafaat itu adalah pertolongan dari Allah. Nabi Muhammad SAW mempunyai lima jenis syafaat yang diizinkan oleh Allah SWT iaitu :
i. Melepaskan manusia daripada kesusahan di Padang Mahsyar iaitu dengan memberi manusia minum
air daripada Telaga Kausar (Telaga Nabi) di Padang Mahsyar. Keadaan panas dan dahaga di Padang Mahsyar sangat dahsyat, sesiapa yang dapat syafaat daripada Nabi Muhammad SAW untuk minum air daripada Telaga Kausar tidak akan dahaga sampai bila-bila. Lalu para Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, bagaimana kami boleh dapat minum air dari Telaga Nabi?" lalu Rasulullah SAW menjawab "bila kamu di dunia, kamu bagi minum dan bagi makan pada orang". Jadi, biasakan bagi minum, biasakan bagi makan kepada orang, maka peluang nak dapat minum air dari Telaga Kausar adalah cerah untuk kita.
ii. Memasukkan sesuatu kaum ke dalam Syurga tanpa hisab. Siapakah orang yang dimasukkan ke dalam Syurga tanpa hisab? Orang yang masuk ke Syurga tanpa hisab ialah manusia-manusia yang bertaqwa kepada Allah dan tidak syirik kepada Allah.
iii. Menghilangkan hisab dan azab manusia. Orang ini patut kena azab, patut kena hisab, tetapi Nabi Muhammad mintak tolong kepada Allah, "Ya Allah, tolonglah jangan hisab orang ini".
iv. Mengeluarkan orang yang dimasukkan ke dalam Neraka daripada segala orang yang derhaka dan berdosa lalu dimasukkan ke dalam Syurga. Dari satu hadis Rasulullah, ketika Rasulullah SAW duduk di dalam Syurga, datang Malaikat Jibril, kata Jibril kepada Nabi, "Wahai Muhammad, kamu seronok duduk di dalam Syurga, kamu tak dengarkah apa-apa wahai Muhammad?" kemudian Nabi Muhammad bertanya "dengar apa?" maka Rasulullah pun diam, lalu Baginda mendengar orang menjerit, kata Rasulullah kepada Jibril, "suara siapakah itu Jibril?" lalu Jibril pun menjawab "Itulah suara umat kamu yang sedang disiksa di dalam Neraka". Lalu Rasulullah pun bersujud kepada Allah dan bermohon "Ya Allah, masukkanlah orang-orang yang aku dengar suara mereka menjerit itu ke dalam Syurga, Ya Allah". (Syafaat ini dipersetujui oleh para Jumhur Ulama)
v. Meninggikan darjat manusia di dalam Syurga iaitu menaikkan darjat seseorang manusia yang masuk ke dalam Syurga ke tingkatan Syurga yang lebih tinggi. Syurga juga memiliki tingkatan. Kalau rumah pun ada tingkatan seperti rumah low cost, rumah medium cost dan rumah mewah, begitu juga tingkatan Syurga.


9. Kata Anas bin Malik, "Rasulullah SAW tak pernah marah kalau aku buat salah dalam urusan dunia, Nabi tak marah kalau setakat aku lambat angkat barang, tapi kalau aku buat salah dalam urusan berkaitan agama dan akhirat, barulah Nabi sangat tegas".

10. Amalan-amalan supaya Allah SWT mengampun dan menghapuskan dosa-dosa kita ialah :
i. Beristighfar selepas solat dan melakukan Solat Sunat Taubat. Rasulullah SAW memohon ampun dan beristighfar kepada Allah SWT tidak pernah kurang 70 kali sehari walaupun Rasulullah tidak pernah ada dosa. Sebab itulah Rasulullah SAW berpesan kepada kita supaya perbanyakkan beristighfar setiap kali selepas solat. Sesiapa yang sentiasa beristighfar dan berzikir selepas solat, Allah akan ampun dosanya.
ii. Menyambungkan silatulrahim
iii. Memberi makan kepada anak-anak yatim
iv. Menjamu orang makan. Rasulullah SAW bersabda, "siapa yang beri makan kepada orang yang berbuka puasa, pahalanya sama seperti orang yang berpuasa". Walaupun kita tak berpuasa sunat, tetapi jika kita beri makan kepada orang yang berbuka puasa sunat, pahala yang kita dapat sama seperti orang yang berpuasa sunat itu.

Monday, March 14, 2011

AIR ITU MAKHLUK ALLAH



Sesungguhnya air itu adalah makhluk Allah, lagi patuh arahan 'Pencipta'nya. Firman Allah SWT : "Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki, kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah An-Nur, ayat 45)

Bagaimana tsunami terhasil?






Sunday, March 13, 2011

MELIHAT DUNIA DARIPADA DIMENSI AKHIRAT





1. Sekiranya kita memiliki harta di dunia, bersyukurlah, tetapi pastikan harta itu dapat membawa ketenangan dalam hidup. Rasulullah SAW satu hari dilihat oleh para Sahabat ketika Baginda bangun dari tempat baringnya, didapati ada bekas-bekas kesan tikar pada badannya, lalu para Sahabat berkata "Wahai Rasulullah, apa kata kita lapik sikit tempat baring Rasulullah ini", lalu Rasulullah menolak tawaran itu lalu bersabda : "Apalah ertinya aku dengan dunia ini, tiadalah aku di dunia melainkan seperti seorang musafir yang dalam perjalanan dan pergi berehat di bawah pohon (sebentar), kemudian bangun meneruskan perjalanan dan meninggalkan pohon tersebut.” (Hadis Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi dan Al-Hakim)

2. Firman Allah SWT : "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan". (Surah Al-Qashash, ayat 77)

3. Akhirat itu adalah asas, tapi habuan (rezeki) di dunia ambillah, namun habuan dunia itu mestilah untuk manfaat akhirat. Misalnya jika Allah SWT beri rezeki kepada kita gaji RM5000 sebulan, maka carilah daripada RM5000 itu habuan untuk akhirat.

4. Kadangkala manusia ini bila dia hilang sesuatu benda, kadang-kadang seolah-olah dia dah hilang segala-galanya. Cuba renungkan, berapa banyak dalam hidup kita ini, kita dah lalui keperitan hidup? Cuba ingat. Ketika kita kena keperitan, kita rasa kita tak dapat keluar daripadanya. Tapi hari ini Allah telah keluarkan kita dan kita berada dalam keadaan yang lebih baik.

5. Ketika kita ditimpa musibah tertentu, kita kata "Habislah aku kali ni!". Tapi usia kita telah berjalan dan kita masih lagi hidup dan makan serta dapat menikmati kurniaan Tuhan. Ketika kita kata "Ya Allah, tolonglah aku! Aku susah Ya Allah". Tapi hari ini kita telah pun lupa perkataan itu dan kita pun kadang-kadang lupa untuk bersyukur di atas berbagai ranjau hidup yang Allah telah keluarkan kita daripadanya.

6. Apabila insan melihat dunia daripada dimensi akhirat, dia akan merasakan dunia ini sangat kecil, kehidupan ini sangat luas. Agak-agak berapa lama lagi kita akan hidup? Tetapi kita sering mempertaruhkan usia yang berbaki ini habis-habisan untuk mengejar habuan dunia hingga kita lupa pada satu kehidupan lagi (akhirat) yang sangat luas.

7.
Rasulullah SAW bersabda : "Pada hari kiamat didatangkan orang yang paling nikmat hidupnya sewaktu di dunia dari penghuni neraka. Lalu ia dicelupkan ke dalam neraka sejenak. Kemudian ia ditanya: ”Hai anak Adam, pernahkah kamu melihat suatu kebaikan, pernahkah kamu merasakan suatu kenikmatan?” Maka ia menjawab: ”Tidak, demi Allah, ya Rabb.” Dan didatangkan orang yang paling menderita sewaktu hidup di dunia dari penghuni syurga. Lalu ia dicelupkan ke dalam syurga sejenak. Kemudian ditanya: ”Hai anak Adam, pernahkah kamu melihat suatu kesulitan, pernahkah kamu merasakan suatu kesengsaraan?” Maka ia menjawab: ”Tidak, demi Allah, ya Rabb. Aku tidak pernah merasakan kesulitan apapun dan aku tidak pernah melihat kesengsaraan apapun." (Hadis Riwayat Muslim)

8. Dalam hidup ini kalau nak harapkan orang akan setuju dengan kita, ibarat seperti kisah Luqman Hakim dengan anaknya dan seekor keldai. Luqman Hakim telah membawa anaknya dan keldai ke pasar tempat orang ramai. Mulanya, Luqman Hakim telah menaiki keldai itu, anaknya pula yang mengendalikan keldai itu sambil berjalan kaki, maka orang ramai berkata : ”Inilah orang tua yang tidak mengasihani anaknya, dia bersenang lenang di atas keldai, anaknya pula berjalan kaki!” Berikutnya, Luqman Hakim menaikkan anaknya ke atas keldai dan beliau sendiri pula yang mengendalikan keldai dengan berjalan kaki, maka orang ramai berkata : ”Sungguh biadap anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang lenang di atas keldai!” Seterusnya, Luqman Hakim bersama anaknya menaiki keldai itu bersama sama, maka berkata pula orang ramai : ”Lihat!, seekor keldai membawa dua orang!, alangkah siksanya keldai itu membawa beban berganda!” Akhirnya, Luqman Hakim dan anaknya tidak menaiki keldai itu dan membiarkan ia kosong saja, orang ramai berkata lagi : ”Alangkah anehnya, keldai dibiarkan kosong tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki saja!”. Lalu Luqman Hakim berkata kepada anaknya, "Wahai anakku, jika kita nak menunggu manusia setuju dengan kita, ada saja yang orang tak setuju. Tapi jika kita kata "Ya Rabb" (bermohon kepada Allah) kita harap Allah redha, Allah tidak akan meninggalkan kita".

9. Mudah-mudahan bila kita melihat kehidupan dengan cara yang lebih luas, kita merenung masa hadapan terhadap kehidupan ini dan hubungan kita dengan Allah, Allah memberikan keajaiban kepada hidup kita dan ketenangan yang kita cari selama ini.

Saturday, March 12, 2011

MASSIVE EARTHQUAKE AND DEVASTATING TSUNAMI HITS JAPAN

Gempa bumi pada ukuran 8.9 skala Richter di Jepun kelmarin yang kemudian disertai tsunami yang besar ke atas sebahagian besar kawasan pesisir pantai negara itu telah memberi kesan yang sangat buruk terhadap kerosakan harta benda dan nyawa di sana. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mendoakan semoga Allah SWT melindungi mereka yang beragama Islam di sana dan semua rakyat Malaysia yang berada di sana supaya berada dalam keadaan selamat.




Tuesday, March 8, 2011

KEAJAIBAN BERTAWAKKAL KEPADA ALLAH



1. Firman Allah SWT : "Dan kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakkal". (Surah Ali Imran, ayat 122)

2. Firman Allah SWT :
"(Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa, dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami bertawakkal...". (Surah Al-Mumtahanah, ayat 4)

3. Di samping Islam suruh kita berusaha, Islam juga suruh kita bergantung kepada Allah SWT. Jika insan bergantung kepada Tuhan dalam erti kata yang sebenar, dia serahkan perasaan dan imannya kepada Allah di dalam sesuatu isu, di dalam sesuatu urusan dan di dalam sesuatu perkara, dia akan melihat perkara yang sangat ajaib akan berlaku dalam hidupnya.


4. Firman Allah SWT :
"(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan : "Sesungguhnya manusia (kafir musyrik) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab : "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung". (Surah Ali Imran, ayat 173)

5. Jika kita sering menyebut berulangkali dengan penuh rasa keimanan :
"Hasbunallahu wa ni`mal wakil" (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung) ketika dalam menghadapi karenah dan asam garam hidup, InsyaAllah kita akan melihat keajaiban berlaku dalam hidup, yang tak dapat digambarkan dalam perkataan dan tak dapat dinukil dengan tulisan. Kata ahli-ahli agama, siapa yang tidak melaluinya, tidak akan memahami maksudnya (tawakkal).

6. Orang-orang yang pernah hidup dan bertawakkal, mereka akan mengetahui tentang keajaiban tawakkal.


7. "Ya Allah, aku serahkan urusan ini kepada-Mu..."

Monday, March 7, 2011

HORMATI GURU DAN ULAMA





Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Rasulullah SAW bersabda :"Sesiapa yang Allah ingin memberikan kebaikan kepadanya, nescaya Allah memberi dia kefahaman yang baik tentang agama" (Muttafaqun ‘Alaih dari Mu'awiyah r.a). Maka jika ingin berubah menjadi orang yang baik, kenalah belajar dan faham tentang agama.

2. Firman Allah SWT : "Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya”. (Surah Al-Baqarah, ayat 269)

3. Firman Allah SWT : “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat. (Ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan”. (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

4. Allah angkat martabat orang yang berilmu itu pada jarak 500 tahun perjalanan menuju ke syurga mendahului orang yang tidak berilmu.

5. Apabila Allah memberikan ilmu kepada kita, maka perangai kita, tingkahlaku kita, sepatutnya sesuai dengan ilmu dan keimanan yang Allah SWT bagi. Kerana semakin orang itu berilmu, semakin tawadhu' orangnya. Semakin orang itu beriman, semakin dia merendah diri. Semakin orang itu bertambah ilmu, semakin diam mulutnya. Semakin orang itu diberikan hidayah oleh Allah, semakin insaf dirinya. Tetapi jika seseorang itu apabila semakin bertambah ilmunya, semakin sombong pula dia, maka ada sesuatu yang tidak betul dalam diri dan juga pengajiannya.

6. Guru yang mengajar itu menjadi teladan kepada orang yang diajarnya. Jika guru yang mengajar itu kasar, maka anak didiknya juga akan menjadi orang yang kasar. Tetapi apabila gurunya seorang yang tawadhu', anak didiknya juga akan menjadi orang yang tawadhu'.

7. Ilmu itu membentuk dan mendidik diri kita. Iman dan ilmu yang baik akan membentuk jiwa yang baik dan akhlak yang baik.

8. Allah SWT meletakkan iman dan ilmu itu adalah sebenar-benarnya darjat yang membezakan kedudukan setiap manusia disisi Allah. Darjat manusia disisi Allah adalah bergantung kepada tahap keimanan dan keilmuan seseorang, bukannya terletak kepada harta kekayaan, pangkat, keturunan ataupun rupa paras seseorang.

9. Yang menjadi kesedihan hari ini, terlalu banyak orang yang ingin bercakap tentang agama, yang kurang faham tentang agama pun nak bercakap tentang agama. Perkara inilah yang boleh merosakkan dan menyesatkan akidah dan akhlak umat Islam hari ini. Misalnya ditanya hukum bernyanyi kepada seorang penyanyi, ditanya hukum rasuah kepada orang yang tidak amanah. Maka, biarlah mereka yang 'ahli' sahaja yang bercakap tentang agama. Siapakah mereka yang 'ahli' itu? iaitu mereka itulah para alim dan ulama, maka rujuklah kepada mereka ini. Biarlah ulama yang menasihatkan kita.

10. Hari ini kita akan mendengar nasihat mufti atau ulama hanya jika nasihat mereka menepati kehendak dan selera kita, tetapi kita akan membelakangkan ulama apabila teguran dan nasihat mereka tidak sesuai dengan kehendak dan keinginan kita, sedangkan nasihat para ulama itu datangnya daripada sumber Al-Quran dan Hadis.

11. Orang yang berilmu itu ibarat orang yang celik, orang yang jahil itu ibarat orang yang buta.

12. Sekiranya kita meletakkan ilmu dan akhlak itu mendahului perkara-perkara lain dalam memilih sesuatu ianya akan mendatangkan kesenangan, misalnya, kalau hendak mencari suami carilah suami yang berilmu dan berakhlak, kalau hendak mencari isteri carilah isteri yang berilmu dan berakhlak, begitu juga kalau hendak memilih pemimpin atau guru atau ustaz, pilihlah pemimpin, guru dan ustaz yang berilmu dan berakhlak. Ilmu semata-mata tidak cukup, kerana berapa ramai orang yang ada ilmu seperti profesor dan pensyarah, tapi profesor dan pensyarah pun ramai yang jahat jugak. Berapa ramai ustaz-ustaz yang ada ilmu, tapi ramai jugak ustaz yang tidak betul. Tetapi kalau hanya akhlak sahaja yang baik, tetapi tidak berilmu pun tidak berguna. Sebab itulah Rasulullah SAW suruh pilih orang yang berilmu dan juga berakhlak.

13. Akhlak kini semakin luput daripada orang-orang Melayu, semakin kurang anak-anak Melayu yang hormat bila lalu depan orang-orang tua, yang diam bila orang tua bercakap, malah ramai budak-budak sekarang sudah berani bercakap kasar dengan orang-orang tua. Penghormatan sudah hilang, sopan-santun orang Melayu sudah menjadi kenangan, pepatah Melayu dan budi bahasa bangsa Melayu hanya sudah menjadi sebutan silam, kiasan-kiasan lembut orang melayu sudah bertukar dengan bahasa-bahasa yang kasar...

14. Marilah kita menghormati ulama, marilah kita menghormati ilmu, kalau kita tidak mampu menjadi ulama, jadilah orang yang belajar ilmu dengan ulama. Disiplin nak menuntut ilmu dengan alim ulama ialah, pertama, ulama mengajar ilmu kepada orang yang nak belajar, kedua, mestilah menghormati tok guru dan ulama walaupun tok guru dan ulama itu lebih muda atau lebih rendah pangkatnya berbanding kita, ketiga, mencontohi Imam Syafie iaitu Imam Syafie menuntut ilmu dengan Imam Malik, disebabkan tinggi rasa hormatnya kepada tok gurunya, Imam Syafie tidak sanggup melunjurkan kakinya ke arah rumah Imam Malik ketika dia tidur dirumahnya.

15. Dengan sebab kita menghormati ulama, menghormati majlis ilmu, Allah turunkan barakah terhadap ilmu yang kita belajar, bila ilmu itu barakah maka rumahtangga menjadi baik, anak-anak jadi baik, murah rezeki dan kesihatan menjadi baik.

Friday, March 4, 2011

ALLAH ADALAH SEBAIK-BAIK PELINDUNG













Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :


1. Tidaklah ada seekor binatang pun di permukaan bumi ini melainkan Allah yang memberikan rezeki kepada mereka. Malah ketika Nabi Yaakub A.S kehilangan anaknya Nabi Yusuf A.S, Nabi Yaakub berkata..."Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Yang Maha Penyayang di antara para penyayang" (Surah Yusuf, ayat 64)

2. Burung yang berterbangan pun Allah jamin rezekinya, semut yang melata di bumi, walaupun ia kecil Allah jamin rezekinya. Ada seorang lelaki pernah melihat seekor burung terbang dari satu pohon ke pohon yang lain, di dalam mulut burung itu ada selonggok daging, dan dibawanya daging itu ke puncak satu pohon kurma. Maka lelaki itu memanjat ke puncak pohon kurma tersebut, tiba-tiba dia mendapati ada seekor ular yang sudah tua dan buta di atas pucuk pohon kurma itu. Apabila burung itu mendekatinya atau menganggunya, maka ular itu akan membuka mulutnya, lalu burung tadi menjatuhkan selonggok daging pada mulut ular. Seekor ular yang tua dan buta, rezekinya Allah hantarkan kepadanya sampai ke pucuk pohon kurma tersebut melalui seekor burung.

3. Berlaku banjir di Kedah dua bulan yang lepas, 15 hari selepas air surut, Bomba datang dekat pokok kelapa untuk menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas pokok kelapa semasa berlaku banjir. 15 hari terperangkap tak mati lagi kucing itu, macammana kucing itu boleh minum boleh makan atas pokok kelapa yang tinggi tu? sebab dia minum air dari celah-celah dahan pelepah pokok kelapa yang bertakung air di dalamnya. Ini yang dikatakan rezeki, Allah yang mengaturkan kehidupan kita dan Dia jugalah yang memberikan rezeki kepada kita.

4. Firman Allah SWT :
"Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tertulis di dalam Kitab (Lauh mahfuzh) yang nyata." (Surah Hud, ayat 6)

5. Allah SWT memelihara manusia mengikut situasi dan keadaan. Situasi dan keadaan ini bergantung kepada iman kita. Kalau keyakinan kita kepada Allah tinggi, maka Allah SWT bantu kita pada segenap urusan. Tapi bagi orang yang imannya lemah kadang-kadang pemeliharaan Allah itu tidak jaga kepadanya.

6. Orang yang bertaqwa Allah pelihara, orang yang bertawakkal Allah pelihara mereka. Sehinggalah orang yang bertaqwa itu kalau dia benar-benar bertaqwa, akan diberikan jalan keluar dari apa-apa jua masalah yang melanda dirinya. Allah jugalah yang memelihara dunianya dari pada segala keburukan dan menundukkan semua makhluk kepadanya.

7. Banyak orang mencari-cari apakah doa yang boleh menundukkan orang, doa nak menundukkan suami, doa nak tundukkan isteri, doa nak tundukkan rakyat, doa nak tundukkan pemimpin. Inilah jawapannya...."Allah adalah sebaik-baik Penjaga". Kalau kita taat kepada Allah, kalau kita baik dengan Allah, bertaqwa kepada Allah, maka Allah yang akan 'menundukkan' orang dan Allah yang akan memelihara kita.


8. Paling penting yang kita nak ialah supaya Allah SWT pelihara iman kita, tapi yang banyak orang berdoa ialah supaya Allah pelihara rezekinya. Siang malam pagi petang, mintak doa "Ya Allah, bagilah rezeki kepada kami, Ya Allah, bagilah aku kaya dengan rezeki yang halal". Jarang orang mintak doa "Ya Allah, peliharalah iman aku, matikanlah aku dalam iman, jadikanlah iman aku makin bertambah..".


9. Ada orang yang tercabar imannya bila dia sakit, masa sihat, iman dia tak tercabar, boleh pi masjid, boleh datang belajar, boleh berzikir, boleh pi buat haji...sebab sihat. Masa sihat dia yakin pada Allah, tapi bila dia sakit, dia yakin kepada bomoh. Allah uji dia waktu dia sakit, masa sihat baca Al-Quran, tapi masa sakit dia dok baca mantera yang bomoh ajar, masa sihat dia boleh berzikir, bertasbih, tapi bila dia sakit, bomoh suruh pi ambik tanah kubur pun dia pi ambik, minum air kain kapan pun dia minum kononnya boleh sembuh penyakit.

10. Ada orang yang iman dia tertanggal dengan sebab nak jadi kaya, waktu untung dia meniaga elok, tapi bila meniaga dah tak untung, dok rugi saja, masa ni dia dah tak kira, apa dia dapat dia ambil, yang penting adalah wang, haram halal dah tak penting bagi dia. Maka iman dia telah pun rosak.

11. Orang yang bertaqwa, Allah akan pelihara dia juga ketika dia sedang menghadapi sakaratul maut. Ketika dia akan meninggalkan dunia, pada saat-saat yang genting kerana syaitan sangat berkeinginan untuk menyesatkannya, akan tetapi seseorang yang beriman dan mukmin yang jujur dan benar, lalu Allah SWT akan sentiasa menjaga dan meluruskannya serta menunjukkannya untuk melafazkan kalimah La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah.

12. Soalan pertama yang Malaikat akan tanya kita di alam kubur ialah..."Apa pendapat kamu tentang Muhammad bin Abdullah?". Jika kita boleh jawab soalan ini maka bolehlah kita menjawab soalan-soalan yang lain. Nak boleh jawab soalan ini dalam kubur, ianya bermula pada ketika sakaratul maut. Jika sakaratul maut baik, matinya dalam Husnul Khotimah (mati dalam keadaan yang baik) maka InsyaAllah bolehlah menjawab soalan-soalan dari Malaikat di dalam alam kubur nanti.

13. Imam Ghazali ada menyebut, malam-malam kena awalkan tidur, lepas Isyak kena tidur melainkan enam golongan yang boleh lewatkan tidur iaitu :
i. orang yang bermuzakarah ilmu
ii. orang yang menziarahi orang sakit
iii.orang yang melayani tetamu di rumahnya
iv.orang yang ada perbincangan dengan keluarganya
v. orang yang berjaga untuk membaca dan menghafaz Al-Quran
vi.orang yang menjaga maslahah kampungnya atau tempat tinggalnya
Tidur yang awal penting kerana menjaga kita supaya mudah bangun awal untuk bersolat Subuh.

14. Selama mana kita hidup, kesilapan kita boleh kita perbetulkan. Tetapi bila dah mati, saat itulah yang paling menyesal jika tidak sempat bertaubat. Bilakah manusia sudah terlewat untuk bertaubat? iaitu bila berpisah roh dan jasad. Pada waktu itu, mintak untuk hidup balik ke dunia pun dah terlewat, mintak untuk kembali ke dunia walau satu minit untuk bertaubat pun sudah mustahil. Sebab itu bertaubatlah sekarang, perbetulkanlah diri kita sekarang.

15. Kita tak tahu bagaimana bentuk pemeliharaan Allah kepada kita, sebab itu kita kena selalu bermohon kepada Allah SWT biar kematian kita dalam keadaan husnul khotimah. Jika ketika hidup kita tidak memelihara syariat Allah, maka ketika kematian kita, Allah pun tidak akan memelihara syariat-Nya kepada kita, itulah kerugian kita yang paling nyata.

16. Orang yang beriman ada tiga syarat iaitu :
i. Yakin kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW
ii. Menerima serta meredhai segala ketentuan Allah dan hukum-hakam Allah
iii.Percakapan dan perbuatannya tidak akan menjahati dan menyakiti orang lain

17. Nabi Ibrahim A.S mengajak kaumnya beriman, maka tatkala kaumnya merasa sempit dada dengan dakwah Nabi Ibrahim, akhirnya mereka pun bersepakat melemparkan Nabi Ibrahim ke dalam api, lalu mereka mengikatkan Nabi Ibrahim pada tiang, lalu mereka menyalakan api untuk membakarnya, kemudian mereka berkata "lemparkan dia (Nabi Ibrahim) ke dalam api". Pada saat-saat cemas ketika itu, Malaikat Jibrail A.S datang bertanya "Wahai Ibrahim, apakah permintaan kamu kepadaku?". Nabi Ibrahim menjawab.."Kalau kepada kamu, aku tidak ada sebarang permintaan, kalau untuk Allah, aku ada permintaan". Inilah tahap keyakinan Nabi Ibrahim A.S kepada Allah, keyakinan yang paling tinggi kepada-Nya berbanding yang lain, sedangkan yang datang kepadanya itu adalah Malaikat Jibrail A.S. Lalu Nabi Ibrahim berkata...
"Hasbunallahu wa ni`mal wakil" yang bermaksud "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung" (Surah Ali-Imran, ayat 173). Akhirnya mereka melemparkan Nabi Ibrahim A.S ke dalam api, sewaktu Baginda dilemparkan ke dalam api, Nabi Ibrahim menyebut "Hasbunallahu wa ni`mal wakil "...maka Allah menolong Nabi Ibrahim dan tatkala Baginda jatuh ke dalam api Allah berfirman ke dalam api "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! " (Surah Al-Anbiyaa', ayat 69). Dan apabila Nabi Ibrahim keluar daripada api dengan selamat dan dia terhindar daripada tipu muslihat dan tipu daya kaumnya yang durjana, Allah SWT berfirman..."Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Yang Maha Penyayang di antara para penyayang" (Surah Yusuf, ayat 64).

18. Ketika orang ramai berkata kepada Nabi Muhammad SAW..."sesungguhnya orang-orang kafir Quraish telah menghimpunkan tentera-tentera untuk menyerang kamu, oleh kerana itu takutlah kepada mereka wahai Muhammad!"..lalu Nabi Muhammad SAW menjawab
"Hasbunallahu wa ni`mal wakil".

19. Bila kita faham perlindungan pertama itu adalah perlindungan dari Allah, maka jagalah hubungan kita dengan Allah. Jangan mengharap pada orang, jangan dok yakin dengan orang, yakinilah Allah sebagai Pelindung kita.

20. Kita cukup sering memohon kepada Allah di kala kesulitan melanda kita, ketika kesakitan dan penderitaan yang melanda kita hilang, lalu kita melupakan Allah. Bila sakit Allah sentiasa di mulut, naik kapal terbang kemudian bergegar kapal terbang, Allah sentiasa di mulut, naik feri kemudian bergegar feri terumbang ambing, sentiasa sebut Allah, ketika masuk bilik pembedahan pun Allah sentiasa di mulut, tapi bila kapal terbang dah mendarat dengan selamat, feri dah belayar dengan selamat, keluar bilik pembedahan dengan selamat, sakit pun dah hilang, nama Allah pun dah lupa dah...

21. Kita hanya memanggil-Nya di laut supaya Dia menyelamatkan perahu kita, tatkala kita sampai di tepi pantai, kita menderhakai Allah...lupa untuk sujud kepada Allah, lupa untuk taat kepada Allah...


22. "Hasbunallahu wa ni`mal wakil" (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung)...

Thursday, March 3, 2011

HUSNUL KHOTIMAH



Ya Allah, andai tiba saatnya kematianku, ampunilah aku dan matikanlah aku dalam husnul khotimah...Amin.

Wednesday, March 2, 2011

SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA BERSAMA KITA



Jika Allah hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang, ia tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun...
Jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang, ia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun...

Pada Hari Akhirat, Allah ambil manusia yang paling derita dalam dunia ini...
lalu dia dicelupkan masuk ke dalam Syurga, kemudian dia dikeluarkan
kemudian dia ditanya..."Wahai fulan adakah kau pernah rasa derita dalam hidup?"
lalu dia berkata ..."Tak! aku tak pernah derita pun dalam hidup ini."
Hanya kerana masuk sekelip mata di dalam Syurga, manusia lupa segala cerita derita dalam hidupnya...

Allah ambil manusia yang paling nikmat dalam dunia ini..
lalu dia dicelupkan masuk ke dalam Neraka, kemudian dia dikeluarkan
kemudian dia ditanya..."Pernahkah kau merasai nikmat dalam hidup ini?"
lalu dia berkata ..."Tak! aku tak pernah ada nikmat pun dalam hidup ini."
Hanya dengan satu celupan sahaja ke dalam Neraka, manusia lupa segala kisah nikmat dalam hidupnya...