Saya percaya bahawa ingatan kita terhadap isu runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa masih baru dalam ingatan, tetapi hari ini negara dikejutkan pula dengan tragedi runtuhan pada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu yang memusnahkan hampir 50 peratus struktur binaan stadium berkenaan. Sebelum itu, pada 28 Mei yang lalu berlaku runtuhan bangunan Jaya Supermarket di Seksyen 14 Petaling Jaya yang mengorbankan 7 orang.
Stadium berkenaan yang dibuka kira-kira baru setahun yang lalu telah dibina dengan kos hampir RM300 juta! Siasatan sedang dilakukan bagi mengenalpasti punca runtuhan bumbung stadium berkenaan. Setakat ini laporan mengatakan tragedi ini tidak melibatkan kemalangan dan kecederaan manusia. Dari aspek persepsi awal saya menjangkakan punca runtuhan mungkin disebabkan oleh faktor manusia, sebabnya setakat ini tidak berlaku apa-apa bencana alam di kawasan tersebut seperti gempa bumi atau taufan beliung. Jadi, boleh saya andaikan ianya berpunca dari faktor manusia yang mana mereka adalah pihak yang terlibat secara langsung dalam merancang, merekabentuk, membina dan menyelenggarakan bangunan stadium berkenaan.
Siasatan sepatutnya dilakukan ke atas pelan asal pembinaan bangunan iaitu pelan rekabentuk bangunan, pelan struktur bangunan dan pelan kejuruteraan bangunan bagi mengenalpasti jika wujud sebarang kesalahan teknikal pada ukuran-ukuran struktur dan pengiraan beban setiapa bahagian bangunan terutamanya bahagian bumbung. Seterusnya siasatan melihat pada peringkat pembinaan di mana menyiasat kontraktor dan sub-sub kontraktor yang terlibat sepenuhnya dalam penyiapan bangunan terutamanya mengkaji dari kualiti bahan binaan yang digunakan, membandingkan ukuran bangunan stadium dengan ukuran asal di dalam pelan bangunan, kualiti penyiapan kerja (finishing) dan pematuhan terhadap garispanduan serta piawaian binaan.
Kedua-dua peringkat yang dinyatakan adalah penting dalam memastikan kualiti dan tahap keselamatan bangunan stadium. Satu lagi aspek yang penting, tetapi seringkali dianggap ringan ialah aspek penyelenggaraan bangunan stadium berkenaan. pada pendapat saya mungkin wujud kecuaian pada aspek penyelenggaraan kerana jika aktiviti penyelenggaraan dilakukan dengan baik, tentulah risiko runtuhan berkenaan boleh dikenalpasti lebih awal dan tindakan-tindakan pembaikan boleh diambil lebih cepat seperti kes di MRR2 dahulu. Maka runtuhan mungkin boleh dielakkan dan kerugian dapat dikurangkan. Tapi sekarang nasi sudah menjadi bubur, hasil pemerhatian saya satu pihak saling menyalahkan pihak lain dan menuduh pihak lain bertanggungjawab. Itu bukanlah satu tindakan awal yang bijak kerana seringkali kita melihat kelemahan orang sebenarnya lebih banyak mendedahkan kelemahan diri sendiri. Jadi, sudah banyak tragedi untuk kita jadikan pengajaran, namun kita jarang pernah untuk belajar daripadanya.
Kita harus bersyukur bahawa negara kita kurang terdedah kepada bencana-bencana alam yang berisiko tinggi seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi, tetapi hari ini kita lihat negara-negara jiran kita telah mengalami berbagai bencana alam yang besar dan kita pun dah semakin terasa tempiasnya. Seharusnya kita kini sepatutnya lebih bersedia dari pelbagai aspek, kerana bencana alam pada masa depan mungkin lebih buruk daripada apa yang kita jangkakan, mungkin ketika itu negara kita juga mungkin tidak akan terlepas lagi, kerana alam kini sudah tidak selesa lagi dengan kemusnahan akibat tangan-tangan manusia, maka manusialah harus bersedia menghadapi bagaimana alam akan bertindak balas kepada kita.
2 comments:
tu ler en sy sokong pendapat encik...masing2 menyalahkan n menunding kesalahn pd org lain..mcm maner org tempatan nak percayer kerja2 org sendiri..sy dgr pon pasni projek2 pembaikan akan dilakukan oleh syarikat dr korea selatan...sepatutnyer kepercayaan yg telah diberikan harus digunakan untuk kebaikkan bersama..biarla bajet tu besar atau ciput..atleast dpt titik pulangan yg lumayan..huh..tragis kan?? sy raser pihak2 yg terbabit lepas ni harus membuka mata agar kejadian seperti tak berulang lagik..
" MENCATAT YANG TERSURAT DAN MENULIS YANG TERSIRAT " " KEBAIKAN ITU TERKENANG KEMUDIAN "
negara kita masih diserang wabak influenza "tidak yakin kepada profesionalisme anak tempatan or syarikat tempatan" atau dikenali A2H4, hehehe...contoh yang terbaik telahpun ditunjukkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir semasa beliau menjadi PM dulu antaranya, beliau tidak pernah mendapatkan rawatan di luar negara tetapi sebaliknya beri kepercayaan kepada doktor tempatan walaupun peringkat kritikal pembedahan pintasan jantung beliau, kedua, projek-projek mega seperti menara Petronas KLCC, Putrajaya dan pembinaan KLIA diberi kepada kepakaran tempatan. bukankah itu, sudah menjadi teladan yang baik. kita jarang pernah berfikir dan menganbil pengajaran.
saya suka kata-kata akhir Isyqacombat itu, hehehe..
Post a Comment