Thursday, June 18, 2009

PENDIDIKAN JUGA SATU NIKMAT

Sebelum ini saya pernah menulis dalam entry yang dulu tentang pelajar-pelajar BDM yang sambung pengajian. Saya juga ada mengulas tentang peluang-peluang pembiayaan pengajian lanjutan dan pakej rangsangan ekonomi. Pada kali ini saya ingin menulis perkara yang sama tetapi dengan melihat isu kepentingan untuk generasi masa hadapan dalam bidang pengajian tinggi.

Dua hari lepas Perdana Menteri kita ada mengulas tentang kepentingan pendidikan dalam pembangunan negara. Beliau berkata Malaysia akan jadi miskin pada masa hadapan jika kerajaan mengurangkan peruntukan kewangan untuk sektor pendidikan.Pada masa kini kerajaan membelanjakan hampir RM50 bilion setahun bagi tujuan pendidikan iaitu lebih 23 peratus daripada jumlah belanjawan tahunan negara. Jika budget pendidikan dikurangkan, maka peluang pembangunan sistem pendidikan negara akan tersekat, ramai yang akan tercicir pendidikan terutamanya di peringkat pengajian tinggi. Ini bukanlah situasi yang baik, kerana salah satu komponen untuk menjadi negara maju ialah apabila bilangan penduduk yang berpendidikan tinggi adalah ramai dan menjamin bekalan tenaga sumber manusia yang berpendidikan tinggi. Tetapi apabila ramai rakyat tidak berpelajaran maka semakin tinggilah jumlah pengangguran dan kurang tenaga sumber manusia mahir, maka negara sukar berkembang dan menjadi semakin miskin.

Jika kita melihat pada zaman dahulu misalnya era tahun 60 an
dan 70 an jika dikaji mungkin pada waktu itu bagi sebuah kampung belum tentu ada anak Melayu yang layak menjejak kaki ke menara gading (universiti), kalau ada pun bagi sebuah daerah mungkin hanya ada 3 atau 4 orang yang masuk universiti. Bilangan universiti pun tak banyak pada masa tu iaitu seperti Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemudian bila masuk era 80 an bilangan pelajar masuk ke universiti semakin ramai mungkin sebuah kampung sekurang-kurangnya ada seorang anak Melayu yang dapat masuk universiti dan daerah pula mungkin jumlah 20 hingga 30 orang. Tetapi masih tak ramai. Selepas tahun 1990 an hingga sekarang bilangan pelajar universiti dan bilangan universiti juga semakin bertambah hingga sekarang. Sekarang di UUM saja ada hampir 30,000 pelajar sedang belajar manakala 70,000 pelajar telah tamat pengajian semenjak UUM ditubuhkan. Itu belum dikira jumlah pelajar di universiti-universiti lain yang mana jumlah IPTA sekarang dah 20 buah universiti manakala IPTS dah lebih 500 buah di Malaysia.

Dari segi peluang kerjaya bagi lulusan universiti juga adalah merujuk kepada perkembangan dan kemajuan negara. Misalnya pada era 60 an, 70 an dan 80 an, bilangan pelajar universiti tidak ramai maka belum tamat pengajian tahun akhir pun dah ada tawaran kerja, banyak pilihan pulak tu. Maka bertuahlah para lulusan universiti pada waktu itu. Ini kerana persaingan tak ramai. Tapi sekarang sebahagian kecil pelajar universiti terpaksa menganggur sekurang-kurang 6 bulan hingga setahun sebelum mendapat kerja manakala sebahagian besar pula terpaksa bersaing merebut peluang pekerjaan yang terbaik untuk mereka. Walau bagaimanapun nisbah jumlah lulusan universiti yang menganggur sekarang jika dibanding jumlah lulusan universiti yang telah mendapat kerja masih rendah kerana peluang kerja masih banyak di negara ini, cuma mungkin sebahagian besar mereka belum menemui pekerjaan yang sesuai atau ada yang terlalu memilih kerja.

Dari aspek kelulusan pulak, jika dilihat pada era 70 an dan 80 an
syarat-syarat permohonan kerja diutamakan bagi pemohon-pemohonan yang berkelulusan LCE atau PMR, MCE atau SPM dan STP atau SPTM, kemudiannya diploma dan paling tinggi ijazah. Kemudian sekitar era 90 an pulak syarat permohonan dah tinggi iaitu SPM, STPM, diploma dan ijazah (PMR dah kurang membantu) manakala Master (Sarjana) pula sudah pasti amat berpeluang cerah. Tetapi sekarang jika kita kaji dalam iklan-iklan jawatan kosong sama ada oleh kerajaan atau swasta maka kelulusan diperlukan adalah ijazah dan Master adalah keutamaan (SPM atau STPM semakin kurang relevan manakala diploma pun makin kurang membantu). Ini saya bercakap tentang permohonan bagi jawatan pegawai dan ke atas, bagi jawatan lebih rendah mungkin syarat kelayakan mengikut tahap jawatan. Tapi bagi lulusan universiti pasti semua mahu kalau boleh bermula sebagai jawatan pegawai.

Tetapi pada masa akan datang pasti syarat-syarat itu semakin tinggi. Jika sekarang syarat minimum bagi jawatan pegawai adalah ijazah maka semakin hari jumlah mereka yang memiliki ijazah semakin ramai maka tentulah pada masa depan syarat itu semakin tinggi. Sekarang ini pun mereka yang memiliki sarjana lebih diberi keutamaan. Ini adalah adat, kelayakan kita diukur melalui tahap kelulusan yang kita ada. Mungkin pada masa depan syarat kelayakan bagi jawatan yang lebih tinggi akan terus meningkat, mungkin ijazah juga semakin kurang membantu (ini hanya pandangan - mungkin tidak betul bagi semua pekerjaan), mungkin pada masa depan mereka yang memiliki Master juga semakin ramai. Jika kita lihat situasi sekarang kebanyakan pegawai atau kakitangan kerajaan yang ingin naik pangkat kena buat Master sebab persaingan tinggi sesama mereka, maka siapa yang adalah kelulusan lebih tinggi akan lebih berpeluang. Begitu juga syarikat-syarikat swasta yang besar juga memerlukan lebih ramai lulusan sarjana bagi mengisi jawatan-jawatan tinggi (cuba rujuk iklan-iklan jawatan kosong dalam Star Jobs - akhbar The Star). Inilah realiti. Satu contoh lagi, pada masa dahulu sesiapa yang ingin memohon jawatan pensyarah sekurang-kurangnya perlu ada Master manakala jawatan tutor perlu ada ijazah, tetapi selepas tahun 2008 bagi jawatan tutor perlu memiliki Master dan syarat memohon jawatan pensyarah universiti perlu mempunyai PhD.

Saya menulis ini bukanlah bermaksud menyuruh semua orang sambung buat Master, bukan itu tujuan saya. Tetapi kita perlu fikir ke hadapan 10 atau 20 tahun lagi, bagaimana perkembangan negara dan dunia. Kita tidak boleh berfikir untuk hari ini dan esok sahaja. Kita tidak boleh fikir untuk diri kita sekarang sahaja, tetapi kita perlu fikir akan generasi kita pada masa akan datang. Sesiapa yang berpeluang sambung Master itu adalah mereka-mereka yang beruntung kerana mungkin sebahagian mereka ada peluang itu kerana kemampuan keluarga untuk membiayai pengajian, atau dapat pembiayaan lain seperti biasiswa atau pinjaman dan mereka belum mempunyai komitmen terhadap perkara-perkara lain yang mendesak seperti menyara keluarga sendiri, membantu ibu bapa menyara adik-adik yang masih bersekolah dan komitmen lain yang memerlukan mereka bekerja bagi memperolehi pendapatan. Bagi mereka yang belum berpeluang, bukanlah mereka tidak bagus, tetapi keutamaan mereka kepada perkara-perkara yang saya sebutkan itu lebih utama. Maka kerjalah, carilah pendapatan kerana itu lebih baik untuk mereka. Tetapi suatu hari nanti jika ada peluang maka mereka juga boleh menyambung pengajian lagi.

Bagi yang dah atau sedang atau akan menyambung pengajian, belajar bersungguh dan lulus dengan cemerlang, kerana sesuatu peluang itu selalunya akan datang sekali sahaja dan mungkin sudah tidak ada lagi peluang yang sama pada masa depan. Justeru, pergunakan peluang belajar itu dengan sebaiknya. Manakala yang bekerja, bekerjalah bersungguh-sungguh, jadilah pekerja cemerlang dan binalah kerjaya dengan sebaiknya. Semoga kitalah orang-orang yang menjadi generasi dan nadi pembangunan negara ini pada masa hadapan.


7 comments:

secretname said...

wow..bravo2..mcm kena btg idung sy je..hehehe,..anyway..penulisan yg sangat bgs..nti sy jemput kwn2 lain bc tulisan en syahril..hehehe..tahniah!!!

shira said...

cayalah en syahril!!!!!...terasa kena kat sy jerr..hehehe...tapi ni wat sy makin bersemangat nak sambung blaja..makacih2..cayuk2..

Syahril Said said...

saya menulis tidaklah merujuk secara khusus kepada seseorang, tetapi apa yang saya cakapkan adalah perkara yang biasa terjadi kepada ramai orang termasuklah diri saya, kalau ada kebaikan daripada apa yang saya tulis tu, bagus untuk sama2 kita fikirkan...hehe..

shira said...

memang dah selalu fikir pun hehehe...kadang2 apa yg ditulis adalah sama dengan diri sesiapa sahaja..kerana kadang2 pengalaman hidup kita adalah sama walaupun kita tak serupa..

Syahril Said said...

ya...memang kita tak serupa, sebab saya lelaki manakala Shira pulak perempuan, hehehe...

secretname said...

bravo2...yeala sy yg mkn cili..tu yg terasa pedasnye..hehehe

shira said...

eeeee pakcik nie..orang cakap lain dia cakap lain lak..huhuhu...wat lawak lak..hehehe...memang kita lain pun...