Friday, June 5, 2009

BERFIKIRAN BESAR

Jika kita membaca buku-buku berbentuk motivasi, pasti ada perbincangan berkaitan dengan cara-cara ingin menjadi orang yang berjaya salah satu caranya ialah kita perlu sentiasa berfikiran atau berjiwa besar. Apakah maksud berfikiran besar ini? Ia adalah tidak jauh beza dengan apa yang dimaksudkan angan-angan atau impian atau cita-cita atau matlamat hidup. Ya! Memang untuk berjaya kita harus mempunyai angan-angan atau cita-cita atau impian yang besar! Jikalau tidak bagaimana kita mahu berusaha membentuk diri kita mencapai ke arah itu.

Justeru, dalam diri kita perlu ada satu fikiran yang besar supaya mudah kita berusaha dan mendisiplinkan diri untuk mencapainya. Orang yang berjaya selalunya mereka yang mempunyai fikiran besar - itulah hasil penemuan kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar motivasi.

Berfikiran besar ini haruslah dilihat dan dibentuk dari sudut yang positif, janganlah berfikiran besar untuk niat yang tidak baik seperti mahu menunjuk-nunjuk, sombong, rasa megah diri, bongkak, takbur dan ingin dipandang tinggi oleh orang lain. Itu adalah salah, maka apa yang dicapai itu makin kuranglah keberkatannya. Ingat! kejayaan itu bukanlah untuk ingin dipandang mulia oleh orang lain! tetapi sedarlah Allah sangat menyukai orang-orang berjaya yang bertaqwa kepadaNya.

Jika hanya berfikiran besar sahaja tetapi tanpa disusuli dengan usaha, tindakan, disiplin dan kesungguhan untuk mencapai angan-angan itu maka itulah dinamakan 'angan-angan Mat Jenin'. Kosong! malah tidak bermakna langsung!

Sebaiknya kita perlu berfikiran besar disertai dengan usaha yang kuat dan konsisten, keazaman dan disiplin yang tinggi, dan kita harus meletakkan perancangan dalam angan-angan itu iaitu apakah yang diingin kita capai? berapa lama masa yang dijangkakan? (5 tahun,10 tahun dan 15 tahun, 30 tahun dan seterusnya). apakah langkah pertama, kedua, ketiga dan seterusnya? bagaimanakah kita akan mengawal tindakan ke arah itu? apakah strategi dan altenatif yang ada? (dengan kata lain sebenarnya kejayaan itu harus dirancang!).

Tetapi eloklah kita tidak memberitahu atau menceritakan apakah fikiran besar atau angan-angan atau cita-cita kita itu kepada orang lain, bimbang akan disalah erti atau dikatakan riak atau boleh menjadikan kita seorang yang takbur. Cukuplah kita tahu sendiri dan catatkan serta rancangkan fikiran besar kita itu untuk kegunaan memperbaiki diri sendiri. Kalaupun perlu memberitahu orang lain mungkin boleh cerita kepada orang-orang yang kita percaya dan kemudiannya mereka boleh memberikan dorongan yang positif kepada kita. Sebagai manusia, kita juga perlukan dorongan dan sokongan orang lain untuk terus memperbaiki diri bagi menjadi orang yang berjaya.

Perkara yang paling penting selepas kita merancang kejayaan apakah yang ingin kita capai dan mula bertindak ke arah itu, kita perlu sedar bahawa yang akan menentukan semuanya adalah datang daripadaNya. Maka wajiblah kita bertaqwa kepadaNya dan tidak putus-putus berdoakan agar Allah makbulkan cita-cita kita itu. Dan apabila Dia memakbulkan doa kita itu, maka wajiblah kita bersyukur kepadaNya.

Untuk berjaya kita memerlukan ketabahan diri yang tinggi untuk menempuh dugaan dan cabaran yang bakal dilalui, yang penting jauhkan sama sekali sifat berputus asa dalam diri, kerana kita harus sedar lebih tinggi angan-angan itu, maka lebih tinggi jugalah cabarannya. Hanya orang-orang yang bersabar sahaja dapat mencapainya.

Secara peribadinya saya berpendapat bahawa setiap daripada kita perlu ada berfikiran besar, kerana manusia itu telah dijadikan sebaik-baik kejadian oleh Allah, setiap kita mempunyai potensi dan kelebihan yang tersendiri, hanya bergantung kepada keupayaan, kebijaksanaan dan kesungguhan kita dalam memperbaiki diri sendiri. Benarlah kata hadis “Bekerjalah untuk duniamu seakan – akan kamu akan hidup selamanya. Beribadahlah untuk akhiratmu seolah – olah kamu akan mati esok".

Selamat berjaya!

No comments: