Friday, July 31, 2009

PERJUANGAN BELUM SELESAI

Pada tarikh 31 Julai setiap tahun merupakan sambutan Hari Pahlawan. Kesempatan ini saya mengucapkan selamat Hari Pahlawan terutamanya kepada semua bekas-bekas pahlawan dan pemimpin negara yang telah berkorban dan terkorban dalam memerdekakan negara dan mempertahankan kedaulatan negara ini. Sanjungan yang sangat tinggi pula saya tujukan kepada semua pahlawan dan pemimpin negara yang sedang menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah menjaga keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara ini setiap masa sama ada di darat - bandar, hutan, gunung, di laut dan udara. Memelihara dan memajukan negara dari aspek pemantapan ekonomi, sosial dan pemerintahan.

Tanpa budi dan bakti mereka mungkin saya dan kita semua belum tentu dapat hidup dengan aman dan harmoni di negara ini seperti yang sedang kita nikmati pada hari ini. Mereka adalah pejuang-pejuang yang patut kita hormati dan sanjungi. Tetapi secara peribadi apa yang amat saya kesalkan ialah dahulunya ketika kita dijajah, kita bersatu hati, bekerjasama dan berjuang bersama-sama menghalau penjajah, menentang musuh negara dan bersepakat menjaga kedaulatan negara untuk menjadikan negara ini berdaulat, bebas dan harmoni. Itulah yang generasi terdahulu telah wariskan kepada kita. Tetapi sebaliknya apabila negara kita tidak dijajah lagi, kembali berdaulat, telah membangun, harmoni dan selamat, kita pula yang cuba mencetuskan pergaduhan, demontrasi jalanan, membakar api perkauman, menjatuhkan kehormatan institusi beraja dan menjual maruah bangsa, agama dan negara.

Sebagai warganegara Malaysia saya fikir kita patut berterima kasih dan bersyukur dengan kedaulatan dan nikmat kemajuan yang sedang kita kecapi sekarang. Selaku manusia biasa, saya mungkin tidak akan menjadi seorang pahlawan yang menggunakan kekuatan fizikal dan kemahiran senjata dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara. Tetapi selagi ada kehidupan untuk saya dengan izin-Nya pasti saya akan menggunakan peluang itu dengan membina kekuatan ilmu dan amal pada diri sendiri untuk meneruskan perjuangan menjaga diri, agama, keluarga, bangsa dan negara. Namun saya sedar, perjuangan yang dicakapkan bukanlah sesuatu yang semudah percakapan dan perjuangan itu tiada penghujungnya kecuali di penghujung nyawa.

Perjuangan Belum Selesai

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati
Dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa
Para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan
Dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Tugas kita bukan kecil
Kerana mengisi kemerdekaan
Rupanya lebih sukar dari bermandi
Keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
Kalau bangsaku asyik mengia
Dan menidakkan,
Mengangguk dan membenarkan,
Kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?

Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya.

- Tun Dr. Mahathir Mohamad


Wednesday, July 29, 2009

MAKLUMAN KEPADA SEMUA PELAJAR UUM

Berikut saya paparkan pengumuman terkini oleh pihak universiti kepada semua pelajar UUM. Saya fikir pengumuman ini akan menggembirakan lagi pelajar-pelajar UUM

PENGUMUMAN

Berikutan penangguhan kuliah disebabkan penularan Influenza Like Illness (ILI) atau penyakit serupa Influenza pada 27 Julai (Isnin) - 1 Ogos 2009 (Sabtu). Sukacita dimaklumkan, Cuti Pertengahan Semester dikekalkan pada 14 Ogos 2009 (Jumaat) ­– 21 Ogos 2009 (Jumaat). Walau bagaimanapun, kelas ganti bagi tempoh penangguhan kuliah akan diadakan semasa tempoh minggu ulang kaji pada 23 Oktober 2009 (Jumaat) – 30 Oktober 2009 (Jumaat).

Pengarah

Jabatan Hal Ehwal Akademik

Universiti Utara Malaysia

Tuesday, July 28, 2009

KEMAHIRAN KOMUNIKASI MAKLUMAT

Saya setuju dengan pendapat Akalil seperti di dalam entry sebelum ini. Proses komunikasi melibatkan penyampaian maklumat dan penerimaan maklumat. Saya berpendapat masih ramai di kalangan masyarakat kita masih lemah dalam aspek komunikasi dan pengurusan maklumat iaitu kita mudah mempercayai apa jua maklumat yang kita dengar, baca atau yang disampaikan kepada kita tanpa membuat sebarang tindakan pemeriksaan atau siasatan terhadap maklumat itu supaya mendapat kesahihan maklumat dan kefahaman yang lebih jelas.

Akhirnya, apabila kita tidak jelas tentang sesuatu perkara atau maklumat, maka banyaklah kerugian yang kita dapat. Dalam kes ini misalnya, jika pelajar-pelajar tidak pulang ke kampung, maka mereka boleh gunakan tempoh 1 minggu ini menyiapkan tugasan atau assignment kerana library tidak ditutup. Selain itu, mereka juga boleh menggunakan peluang ini untuk keluar mencari maklumat -maklumat berkaitan assignment di organisasi-organisasi luar kerana organisasi lain juga beroperasi seperti biasa. Kalau tinggal di rumah atau di kampung, saya percaya kuranglah perhatian kepada tugasan yang telahpun banyak diberikan oleh pensyarah masing-masing.

Contohnya, semasa saya sedang mencari maklumat di Arkib Negara Malaysia di Alor Setar petang tadi, saya dapati ada beberapa pelajar UiTM Merbok yang datang ke situ untuk mencari maklumat untuk menyiapkan tugasan mereka, mereka tidak pulang ke kampung sebaliknya menggunakan peluang ini untuk menyiapkan tugasan kerana semua kuliah di kampus UiTM juga ditangguhkan selama seminggu.

Seterusnya, satu aspek yang juga sangat penting ialah penyampaian maklumat. Saya fikir wujud kelemahan komunikasi maklumat oleh beberapa pihak di universiti ini kerana pertamanya pengumuman lewat disalurkan terutamanya menerusi email kakitangan dan pelajar. Saya dapati pelajar mendapat tahu dengan lebih awal melalui komunikasi SMS tetapi bagi saya ianya agak kurang sahih kerana dibimbangi ada pihak yang membuat sebaran SMS palsu, maka apabila saya dimaklumkan oleh para pelajar tentang pengumuman ini iaitu ketika kuliah sedang berjalan, justeru saya cuba mendapatkan kesahihan dengan menyemak email staf dan pelajar lalu mendapati belum ada pengumuman itu. Justeru, saya tidak boleh mengesahkan berita itu kepada para pelajar di dalam kuliah saya ketika itu. Saya hanya dapat mengesahkan maklumat ini hanya selepas menghubungi Ketua Jabatan dan membaca email yang lewat dihantar.

Keduanya, saya tidak pasti bagaimana maklumat atau pengumuman ini disampaikan kepada pelajar di DPP masing-masing selain melalui SMS. Saya percaya mungkin wujud kelemahan dan kurang keberkesanan maklumat yang disampaikan menyebabkan ramai pelajar yang keliru dan membuat keputusan meninggalkan kampus seberapa segera. Seharusnya pihak yang bertanggungjawab menyampaikan dan menyebarkan pengumuman ini kepada para pelajar dan warga kampus perlu lebih pantas, berkesan dan lengkap dalam menerangkan maklumat yang penting seperti ini. Seharusnya juga pelajar turut dimaklumkan sama ada mereka diminta meninggalkan kampus atau digalakkan untuk terus tinggal di dalam kampus sahaja (maklumat ini juga tidak dinyatakan dalam email). Mungkin selepas ini pakar dan pelajar dalam bidang komunikasi di universiti ini harus menilai kembali apa yang telah berlaku supaya tidak berulang kejadian sama pada masa hadapan.

PENTING : PENCEGAHAN WABAK INFLUENZA A H1N1

Berikut adalah email yang saya terima daripada pihak Jabatan Pendaftar :


Semua warga UUM yang dihormati sekalian

Memandangkan wabak Influenza A H1N1 merupakan satu penyakit yang mudah menular, maka adalah dinasihatkan kepada semua staf yang merasakan diri mereka tidak sihat atau menghidap selsema untuk mendapatkan rawatan / berjumpa doktor seberapa segera di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) atau di hospital kerajaan. Ianya adalah untuk mencegah penyakit ini menular dikalangan warga Universiti.

Y.Bhg Datuk/Dato’/Y.Brs Prof/Tuan/Puan juga adalah digalakkan memakai topeng muka (face mask) terutamanya semasa berada di tempat-tempat awam.

Sekian, terima kasih.

Jabatan Pendaftar

Universiti Utara Malaysia

Monday, July 27, 2009

BELUM ADA H1N1 DISAHKAN BERLAKU DI UUM

Keputusan penangguhan kuliah di UUM selama seminggu telah dibuat oleh pihak universiti petang kelmarin bagi membendung penularan Influenza Light Illness (ILI). Ramai pihak telah salah tafsir mengatakan ada kes H1N1 di UUM. Sebenarnya belum ada pengesahan daripada pihak Pusat Kesihatan Universiti (PKU-UUM) yang mengatakan ada pelajar atau kakitangan yang disahkan menghidapi H1N1.

Pihak universiti hanya mengambil langkah awal bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku akibat keadaan penularan wabak ini yang semakin meningkat khususnya seperti yang berlaku di beberapa kampus institusi pengajian tinggi lain. Pihak universiti tidak menutup kampus ini, sebaliknya aktiviti pejabat berjalan seperti biasa kecuali kuliah dan aktiviti yang melibatkan pelajar ditangguhkan.

Justeru, pelajar juga tidak pula diberi cuti untuk pulang ke kampung masing-masing sebaliknya digalakkan berada di Dewan Penginapan Pelajar (DPP @ kolej kediaman) sebagai tindakan pencegahan. Tindakan pelajar untuk TIDAK PULANG ke kampung dapat mengelakkan pelajar daripada terdedah kepada penularan influenza di luar kampus dan juga mengelakkan mereka menyebarkan influenza kepada masyarakat luar kampus.

Apa yang saya perhatikan sebaliknya pula berlaku apabila berduyun-duyun pelajar mula meninggalkan kampus bermula petang kelmarin, kemuncaknya malam tadi dan pagi tadi menjadi kampus mula lengang pada tengahari ini. Saya dapat lihat begitu banyak bas-bas persiaran yang di sewa khas oleh pelajar beratur-ratur di luar kampus untuk membawa pulang pelajar kerana perkhidmatan bas ekspress sedia ada pasti tidak mengcukupi.

Memanglah pihak universiti tidak melarang pelajar-pelajar untuk pulang ke kampung kerana ini bukanlah dikategorikan sebagai tempoh kuarantin, tetapi saya berpendapat tindakan ramai pelajar seperti ini menunjukkan pemikiran sebahagian pelajar-pelajar ini masih tidak profesional dalam menghadapi dan membantu mencegah fenomena penularan virus merbahaya daripada terus meningkat di negara ini.

PROVIDE RELIABLE INFORMATION

All lectures and student activities have been postponed for a week beginning 27 July (monday) until 1 August 2009 (Saturday). This is to curb the spread of the influenza Light illness (ILI) not H1N1. Only student services counters will be closed.

Semua kuliah dan aktiviti pelajar ditangguhkan selama 1 minggu bermula 27 Julai hingga 1 Ogos 2009. Ini adalah untuk membendung penularan influenza light illness not H1N1. Hanya kaunter perkhidmatan pelajar yang ditutup dan lainnya masih beroperasi seperti biasa.

Harap maklum.

From: Office of Assistant Vice Counselor- UUM COLGIS

Sunday, July 26, 2009

PENANGGUHAN KULIAH : 27 JULAI - 1 OGOS 2009

Berdasarkan tajuk pengumuman berikut saya paparkan pengumuman oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Akademik UUM melalui email staf dan pelajar UUM :

Semua kuliah dan aktiviti pelajar ditangguhkan seminggu mulai 27 Julai (Isnin) sehingga 1 Ogos 2009 (Sabtu). Langkah ini diambil untuk membendung penularan Influenza Light Illness (ILI) atau penyakit serupa Influenza. Kuliah akan bermula pada 2 Ogos 2009 (Ahad).


Perkhidmatan kaunter yang melibatkan pelajar akan ditutup sepanjang penangguhan kuliah tersebut.Semua warga UUM diminta mengikuti hebahan rasmi yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.


Pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik, Encik Baharudin Yaacob (04-928 3103) atau e-mel : baha646@uum.edu.my

* Saya dapati selepas pengumuman itu dibuat (semasa kuliah saya masih belum tamat lagi petang ini) telah ramai pelajar UUM mula bersiap-siap untuk pulang ke kampung. Sebenarnya, pihak universiti hanya menangguhkan kuliah, bukannya menutup kampus seperti yang berlaku di 4 kampus cawangan UiTM, bermakna pelajar tidak perlu pulang atau sepatutnya tinggal di kampus (di DPP masing-masing) bagi mengelakkan pendedahan kepada penularan yang lebih teruk di luar kampus. Kampus masih beroperasi seperti biasa iaitu kakitangan akademik dan pentadbiran datang ke kampus seperti biasa sepanjang tempoh ini

POLITIK YANG KURANG CERDIK

Isu kampuang Buah Pala di Pulau Pinang masih berlarutan, Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang telah mengadakan perjumpaan dengan wakil penduduk dan hasil rundingan telah mengemukakan dua pilihan. Pertama ialah beliau akan menggunakan kuasa beliau sebagai KM untuk membatalkan kelulusan projek pembangunan di atas tanah tersebut yang sebelum ini telahpun mendapat kelulusan PBT. Manakala pilihan kedua ialah pihak pemaju boleh meneruskan projek pembangunan tetapi memperuntukkan sebahagian tanah untuk mengekalkan kampung berkenaan.

Saya fikir tindakan ini sebagai suatu tindakan yang kurang cerdik oleh Kerajaan Negeri yang ada sekarang apabila keputusan yang telah dibuat dilihat bersifat kepentingan politik sementara kerana mereka tidak mahu dianggap sebagai tidak prihatin dan tidak adil kepada penduduk kampung berkenaan. Mereka takut isu ini menjadi satu kelemahan atau liabiliti kepada mereka dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang, justeru mereka mengambil jalan mudah dengan memindahkan masalah tersebut kepada pihak pemaju. Ini adalah kurang cerdik.

Bukahkah pada awalnya mereka turut juga bertanggungjawab dalam memberikan kelulusan projek berkenaan? Tetapi jika mereka mendakwa kelulusan itu diberikan oleh Kerajaan Negeri sebelum mereka, kenapakah apabila mereka membentuk Kerajaan Negeri tahun lalu tidak terus membatalkan projek itu untuk menunjukkan yang mereka benar-benar prihatin terhadap penduduk kampung Buah Pala? Bukankah tindakan mereka pada hari ini melambangkan mereka hanya terdesak dan terus membuat keputusan seperti itu?

Saya fikir berdasarkan keputusan yang kurang cerdik seperti ini menggambarkan Kerajaan Negeri sekarang tidak mementing pembangunan dan kemajuan negeri tetapi sebaliknya ingin menjaga kedudukan politik dan masa depan kuasa mereka di negeri itu. Kerajaan yang selalu bertindak lepas tangan seperti ini adalah sangat tidak baik dalam menerajui kemajuan dan kestabilan negeri. Seperti yang saya pernah ulas dalam entry sebelum ini berkaitan isu ini, pembangunan negeri tidak seharusnya dihalang, kalau pun pada hari ini mereka cuba mengekalkan kawasan Kampung Buah Pala yang hanya dihuni oleh 23 buah keluarga itu, tetapi 10 tahun lagi mungkin ianya sudah tidak sesuai menjadi sebuah kampung lagi di kawasan itu, maka mahu tak mahu pembangunan tetap diperlukan. Pihak pemaju juga telah menyatakan hak mereka dari segi undang-undang untuk terus membangunkan kawasan berkenaan.

Sebaik-baiknya rundingan perlu untuk memindahkan penduduk seramai 23 keluarga itu ke kawasan yang lebih baik dan selesa untuk mereka. Jika sebelum ini sudah ramai penduduk di situ sudah berpindah kenapa tidak pula mereka. Kalau hanya mempertahankan sejarah kampung, perlu diingat telah banyak tempat-tempat bersejarah sama ada kaum Melayu, Cina dan India telah dibangunkan dengan pembangunan baru yang lebih selesa dan lengkap untuk kepentingan ramai. Kampung Baru di Kuala Lumpur juga yang sangat melambangkan sejarah dan kawasan Melayu di ibu kota itu juga telah mula dibangunkan untuk kepentingan semua pihak. Tidak timbul isu orang Melayu menentang sehingga menimbulkan kekecohan seperti di Kampung Buah Pala.

Satu lagi tindakan kurang cerdik apabila pihak MIC cuba campur tangan kononnya sanggup membelanjakan RM3.2 juta bagi mendapatkan semula tanah itu. Saya fikir ini satu lagi tindakan buang masa sahaja. Pihak pemaju dan pemilik tanah di Kampung Buah Pala telah pun menyatakan bahawa mereka akan tetap meneruskan pembangunan projek dan tidak akan menjual tanah itu kepada mana-mana pihak. Nilai tanah di kawasan itu sekarang dianggarkan telah meningkat melebihi RM100 juta, tidak mungkin mereka akan menjual kepada MIC dengan harga RM3.2 juta? Lainlah kalau MIC ingin lebih prihatin daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang dengan membelanjakan RM150 juta untuk mendapatkan semula tanah itu.

Saya fikir ada baiknya bagi MIC dengan menggunakan wang RM3.2 juta yang ingin disumbangkan itu membeli tanah di lokasi lain yang sesuai dan dibina petempatan baru yang selesa untuk penduduk Kampung Buah Pala yang perlu berpindah itu.

Wednesday, July 15, 2009

LAGI TENTANG PPSMI

Dalam entry saya tentang 'PPSMI' alasan pertama saya menolak keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI ialah kerana pada peringkat pengajian tinggi hampir 100% bahan rujukan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

Hari ini dan esok saya sedang menghadiri 'Bengkel Penterjemahan' iaitu mempelajari teknik-teknik yang berkesan dalam melakukan penterjemahan khususnya rujukan-rujukan ilmiah daripada Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu ke dalam Bahasa Inggeris.

Tidak banyak rujukan boleh diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, tetapi terlalu banyak rujukan dalam Bahasa Inggeris perlu 'diMelayukan'. Bengkel ini dikendalikan oleh pakar-pakar penterjemah dari UUM.

Menurut pakar penterjemah berkenaan hasil kajian beliau terhadap pelajar universiti mendapati majoriti pelajar Melayu, Cina dan India lebih selesa membaca bahan-bahan rujukan ilmiah dalam Bahasa Melayu!. Tetapi bilangan rujukan dalam Bahasa Melayu di library adalah sangat terhad, sebaliknya terdapat beratus ribu rujukan dalam Bahasa Inggeris!. Jadi benarlah andaian saya bahawa kesan pemansuhan PPSMI berpotensi menjejaskan pengembangan ilmu akademik pelajar di universiti, kerana minat mereka membaca bahan rujukan terbatas dan cenderung kepada rujukan dalam Bahasa Melayu yang bilangan dan kandungan ilmunya juga terhad.

Kalau ingin menterjemahkan semua bahan-bahan rujukan ilmiah dalam Bahasa Inggeris ini ke dalam bahasa Melayu untuk meningkatkan minat pelajar untuk membaca lebih banyak, maka kita hanya bazirkan tenaga, wang dan masa untuk melakukan kerja-kerja menterjemah sahaja. Setiap hari terdapat beribu-ribu ilmu-ilmu baru dan terkini dibukukan, diterbitkan atau didokumenkan di seluruh dunia. Tetapi untuk menterjemah satu buku pun sehari oleh pakar-pakar terjemahan belum tentu mampu kerana kerja-kerja menterjemah ini bukanlah mudah demi menjaga kualiti dan keaslian ilmu dalam dokumen asalnya.

Kebanyakan pakar-pakar penterjemah ini adalah hanya mempunyai kepakaran dalam bidang penterjemahan dan bahasa, mereka bukanlah pakar dalam bidang ilmu di mana dokumen yang mereka terjemahkan misalnya rujukan dalam bidang sains, perubatan, kejuruteraan, teknologi, undang-undang, astronomi, perakaunan dan lain-lain bidang lagi.

Jadi apabila perlu menterjemahkan rujukan-rujukan dalam bidang yang disebut itu, maka para pakar penterjemah ini perlukan masa yang lebih lama supaya kualiti terjemahan dikawal dan mengekalkan keaslian ilmu bidang berkenaan seperti yang ditulis dalam dokumen asal. Jika mereka menterjemah buku perubatan, maka mereka terpaksa merujuk kepada pakar-pakar dalam bidang perubatan bagi membantu mereka mengenalpasti istilah atau konsep penting kerana pakar penterjemah ini tidak fasih akan bidang yang sedang diterjemah. Kalau nak diharapkan pakar-pakar perubatan atau ahli-ahli akademik dalam bidang perubatan yang menterjemah, maka akan ramai pesakit-pesakit yang mati lebih cepat atau lebih banyak penyakit baru sukar dikawal kerana para doktor, profesor dan pensyarah asyik sibuk menterjemah buku.

Apabila saya mengikuti bengkel penterjemahan ini walaupun belum tamat, saya fikir bukanlah keutamaan kita pada masa kini untuk membanyakkan usaha penterjemahan rujukan-rujukan ilmiah tetapi usaha perlu ditumpukan mempelajari ilmu itu dalam bahasa ilmu itu ditulis. Saya akui bidang penterjemahan ini bukanlah bidang yang mudah, untuk menjadi penterjemah yang baik perlu mempunyai kepakaran yang betul dalam bidang ini dan perlu begitu teliti semasa melaksanakan kerja-kerja penterjemahan.

Walaupun pernah dalam entry saya bertajuk 'Menjadi Pelajar BDM' saya ada menyebut contoh bidang penterjemahan sebagai kurang menonjol, tetapi bukanlah saya bertujuan merendahkan bidang ini, kerana bagi saya bidang ini sangat penting dan negara perlu mempunyai lebih ramai pakar penterjemah pada masa depan, saya hanya bermaksud pada masa kini bidang ini mungkin tidak popular berbanding bidang-bidang sains yang lain.

Selepas mengikuti bengkel ini saya amat menghargai bidang penterjemahan ini dan ianya sangat murni dalam membantu menyokong perkembangan ilmu di negara ini. Bagi mereka yang berminat menjadi penterjemah atau mahu jadikan bidang ini satu kerjaya, saya sangat menyokong, mereka bolehlah menyertai mana-mana kursus atau bengkel untuk menjadi penterjemah kerana bidang ini menjadi semakin penting sekarang dan masa depan khususnya selepas pemansuhan PPSMI.

MANEK URAI

Keputusan PRK N41 - Manek Urai telah memihak kepada YB Mohd Fauzi Abdullah daripada PAS. Tahniah YB! Tetapi kemenangan itu adalah sangat tipis dan telah merosot dengan teruk berbanding kemenangan oleh PAS pada PRU ke-12 tahun lalu.

Saya fikir keputusan di Manek Urai menunjukkan bahawa penduduk Manek Urai khususnya dan penduduk Kelantan amnya telah mula memberi isyarat bahawa mereka memerlukan pembangunan yang lebih baik di kawasan dan negeri mereka daripada hanya apa yang ada sekarang.

Hanya terdapat 65 orang sahaja yang telah menyebabkan mereka gagal mendapatkan pembangunan dengan lebih awal. Saya fikir Kelantan secara keseluruhannya perlu dibangunkan dengan lebih baik dan terancang pada masa depan, justeru mereka perlu menunggu sehingga PRU ke-13 nanti untuk merealisasikan impian tersebut.

Tuesday, July 14, 2009

SOLAT SUBUH

Beberapa hari kebelakangan ini saya menghadapi kekangan masa untuk menulis dalam blog ini kerana mengurus perkara-perkara berhubungan melanjut pengajian. Pagi tadi bila saya membaca email (selepas 3 hari tidak sempat baca email) ada satu artikel yang cukup baik untuk dikongsi dalam blog ini. Artikel ini tentang Solat Subuh yang saya ambil daripada email yang dihantar oleh Shahrin Haji Ahmad ke dalam email Muslim Group.

Ganjaran Pahala Solat Subuh Mengatasi Keindahan Dunia


RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Muslim)Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta'arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari.

Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat.
Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.

Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau 'Subuh gajah', iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.

Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.

Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: "Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya) ." (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas." (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: "Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya."Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh?

Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?Diriwayatk an Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:"Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim).

Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat.
Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.Diriwayat kan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga." (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, "Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka." (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.

Sunday, July 12, 2009

RAHSIA SOLAT AWAL WAKTU

Artikel ini saya ambil daripada email yang dihantar oleh En. Abdul Halim B Md Jusoh kepada staf UUM Muslim Group. Saya fikir kandungan email ini amat baik untuk dikongsikan dalam blog ini.


Rahsia Solat Awal Waktu

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak aid ?

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM

Friday, July 10, 2009

PPSMI

Kerajaan telah membuat keputusan memansuhkan PPSMI dan ianya dilakukan secara berperingkat hinggalah tahun 2012. Apabila orang bertanya apakah pandangan saya tentang pemansuhan ini? Sudah tentu jawapan saya ialah tidak setuju!. Sebelum kerajaan buat keputusan ini lagi, memang saya sudah berpendirian tidak menyokong pemansuhan PPSMI. Bukanlah ini bermakna saya anti kerajaan, walaupun tidak bersetuju, tetapi saya hormati keputusan itu. Bukanlah pula keputusan saya sebab Tun Dr. Mahathir tidak setuju, jadi saya sokong beliau...bukan...ini bukan soal sokong sesiapa, tapi saya ada pendirian tentang isu ini.

Pertama, saya melihat PPSMI bukanlah soal isu Bahasa Inggeris tetapi yang lebih penting penguasaan orang Melayu dalam ilmu pengetahuan sains dan matematik. Mungkin di peringkat sekolah buku-buku teks dan bahan-bahan rujukan kedua-dua subjek ini boleh diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia. Tetapi bila sampai peringkat pengajian lebih tinggi dan profesional, berapa banyak bahan ini dalam Bahasa Malaysia? Kalau kita lihat buku-buku akademik di perpustakaan di universiti-universiti, di kedai-kedai buku terkemuka dan bahan-bahan rujukan di Internet, beratus-ratus ribu malah jutaan bahan dalam Bahasa Inggeris! Tidak berlakukah perubahan minat para pelajar untuk membaca rujukan-rujukan dalam Bahasa Inggeris kerana sudah lama mereka belajar bidang berkenaan dalam Bahasa Malaysia di sekolah? Lebih buruk lagi apabila mereka juga tidak dapat menguasai baik Bahasa Inggeris. Jadi bagaimana pengembangan ilmu dan pengetahuan sains dan matematik di peringkat tinggi boleh ditingkatkan? Dari sudut ini sebenarnya tanpa kita sedar kita telah membataskan pengembangan ilmu sains dan matematik itu sendiri. Boleh saya katakan hampir 100% rujukan peringkat tinggi bagi bidang sains, matematik, kejuruteraan, perakaunan, perubatan, aerospace, dan macam-macam lagi perkembangan teknologi dalam bahasa Inggeris!

Kedua, adakah sesuatu tamadun bangsa itu dihormati dan disegani kerana ketinggian bahasanya atau ketinggian ilmu pengetahuan dan kepakaran mereka? Zaman ini ilmu sains dan matematik amat penting dalam memajukan negara dan tamadun manusia. Jika kita merujuk sejarah perkembangan ilmu sains dan matematik, bidang ini pada awalnya dipelopori oleh tokoh-tokoh ilmuan Islam yang hebat pada zaman kegemilangan tamadun Islam, pada waktu itu semestinya ilmu ini ditulis dan disampaikan dalam bahasa Arab. Kemudian orang-orang Barat mengembangkan tamadun mereka dengan belajar ilmu ini daripada orang Islam, mereka terpaksa belajar ilmu ini dalam Bahasa Arab dan kemudian apabila tamadun Islam runtuh, orang-orang Barat telahpun menguasai serta mengembangkan ilmu sains dan matematik dan menulis di dalam Bahasa Inggeris dan mereka terus menjadi peneraju bidang ini hingga kini. Sebab itulah semua kini semua kepakaran dalam sains dan matematik ditulis dalam Bahasa Inggeris. Orang Jepun juga semas proses pembinaan kemajuan bangsa dan negara mereka terpaksa menuntut ilmu ini daripada Barat dan terpaksa mempelajari dalam Bahasa Inggeris. Sekarang mereka sudah dapat bina teknologi menggunakan Bahasa Jepun. Tapi kita? Semestinyalah kita perlu belajar ilmu sanis dan matematik ini dalam Bahasa Inggeris kerana kepakaran bidang ini ditulis dalam bahasa berkenaan. Apabila kita sudah menguasai bidang ini sekurang-kurang menyaingi Jepun dan Korea saya percaya kita boleh majukan bidang ini dalam Bahasa Ibunda kita. Jadi ilmu lebih penting atau bahasa lebih penting?

Ketiga, saya sangat cintakan Bahasa Malaysia, tapi saya lebih cintakan ilmu pengetahuan yang boleh memajukan bangsa dan negara kita.

Keempat, pada pendapat saya kalau ingin meningkatkan martabat Bahasa Malaysia, maka yang perlu dilakukan ialah meningkatkan kualiti pengajaran matapelajaran bahasa itu sendiri bukanlah kerana ianya tidak digunapakai untuk matapelajaran lain. Kalau Bahasa Malaysia digunakan dalam matapelajaran lainpun, tetapi pencapaian pelajar dalam matapelajaran Bahasa Malaysia sendiri tidak cemerlang, maka tidak sampai juga hasrat untuk meningkatkan martabat bahasa ini. Jika pelajar cemerlang dalam sains dan matematik pun bukanlah bermakna Bahasa Malaysia telah maju, tapi kedua-dua subjek itu yang berlaku peningkatan.

Kelima, sains dan matematik diperkenalkan dalam Bahasa Arab, kemudian bidang ini dimajukan dalam Bahasa Inggeris oleh orang Barat, jadi ianya bukanlah asalnya dari bangsa Melayu. Cuma orang Melayu boleh majukan bidang ini dalam bahasa mereka hanya setelah mereka dapat menguasai hebat ilmu sains dan matematik, seperti mana orang Jepun lakukan.

Keenam, apabila kita telah hebat dalam penguasaan dan kemajuan ilmu sains dan matematik, maka orang lain pula akan belajar bahasa kita untuk mendapatkan kepakaran yang kita ada. Dari situ, Bahasa Malaysia akan tinggi martabatnya. Contohnya, Malaysia telah menjadi rujukan dan negara contoh kepada negara-negara Islam dan negara membangun yang lain pada masa kini hanya setelah kita membuktikan keupayaan kita menguruskan pembangunan dan kemajuan negara dengan baik.

Ketujuh, sekali lagi saya ingin tegaskan pendirian saya, kemajuan bangsa kita hanya diukur berdasarkan penguasaan ilmu pengetahuan yang tinggi barulah kita akan dihormati dan diikuti. Orang tidak mengukur kehebatan kita melalui bahasa kita, tetapi apabila kita menjadi masyarakat yang menerajui ilmu pengetahuan tinggi, orang akan belajar bahasa dan budaya kita. Sayangi pembinaan masa depan bangsa kita perlu melebihi sayangkan bahasa. Bukanlah pula bermakna kita boleh rosakkan bahasa, tetapi kita perlu bijak menilai yang mana lebih utama.

Ini hanyalah pandangan peribadi saya, apa pun kerajaan dah buat keputusan, saya tak minta pun sesiapa setuju dengan pandangan saya...

Thursday, July 9, 2009

ISU MARITIM MALAYSIA 2

Tambahan...

Kapal-kapal dagang yang berlabuh di perairan Malaysia secara haram juga bukan sahaja merosakkan kabel dasar laut syarikat telekomunikasi negara, tetapi turut menyebabkan pencemaran laut akibat berlaku tumpahan minyak atau aktiviti pembuangan minyak secara haram di perairan Malaysia.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) terpaksa berbelanja tinggi bagi tujuan kerja-kerja pembersihan laut dan pantai kesan pencemaran minyak dari kapal.

Kadangkala isu ini tidak lihat secara serius oleh pihak-pihak berwajib, sepatutnya dalam proses kerajaan sedang mengenalpasti pindaan-pindaan yang perlu ke atas akta-akta tertentu sekarang, kerajaan juga harus melihat keperluan pindaan akta-akta berkaitan peraturan laut dan undang-undang pelabuhan supaya menjadi lebih mantap untuk menjaga keselamatan, kedaulatan dan memelihara perairan negara.

Wednesday, July 8, 2009

ISU AMBALAT

Pengalaman saya menjalankan kajian tentang persempadanan Malaysia khususnya di Wilayah Utara Semenanjung, menyedarkan saya tentang erti kewujudan sebuah negara, kedaulatan, maruah negara, pertahanan, keselamatan, kerjasama antarabangsa dan kesediaan mempertahankan tanah air.

Negara kita mempunyai banyak kerjasama yang sangat baik dengan negara-negara jiran dan persefahaman yang kukuh tentang hak serta kedaulatan masing-masing. Tetapi ada kalanya kita tidak dapat mengelak tentang isu-isu berkaitan persempadanan. Kita berjiran sama ada dalam bentuk sempadan daratan ataupun maritim. Sudah tentulah kalau sempadan daratan, kelihatan lebih mudah dalam merundingkan soal garisan sempadan, kerja-kerja pengukuran, penetapan kawasan sempadan, pembinaan pagar-pagar keselamatan sempadan hinggalah ke soal kawalan keselamatan sempadan.

Tetapi apabila berkaitan sempadan maritim perkara ini menjadi lebih sukar, kerana kita tidak boleh bina pagar sempadan di tengah laut, garisan sempadan maritim juga sukar diukur dan ditentukan, dan kawalan keselamatan maritim juga menjadi lebih sukar kerana peralatan dan kemudahan serta kelengkapan yang terbatas.

Tambahan lagi walaupun ada garispanduan dan perundangan yang jelas dari segi soal penentuan garisan sempadan maritim, tetapi perlaksaannya tidaklah semudah di atas kertas. Sumber kekayaan dan khazanah di dasar laut yang amat berharga menjadikan perkara ini semakin rumit kerana boleh mencetuskan minat dan tuntutan banyak negara.

Berkaitan isu ini, saya pernah ulas dalam blog ini tentang Pulau Batu Putih, Kepulauan Spratly dan Pulau Pisang, saya juga ada menyebut tentang Pulau Jarak dan Pulau Perak di Selat Melaka. Satu lagi berkaitan isu ini ialah di Ambalat. Di mana isu ini masih diperingkat perundingan antara Malaysia dan Indonesia dan belum ada penyelesaian.

Sumber : geoboundaries.wordpress.com

Sumber : http://www.tni-au.mil.id

Sumber : http://alutsista.blogspot.com

Tidak dinafikan isu ini amat penting bagi kedua-dua buah negara. Selepas ICJ telah memutuskan kedaulatan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Malaysia, isu ini menjadi lebih sensitif kepada pihak Indonesia. Saya yakin Malaysia masih merundingkan isu Ambalat ini ke arah yang lebih positif, tetapi banyak hasil bacaan saya terhadap sumber maklumat dari Indonesia, saya dapati ada sebilangan pihak di Indonesia melihat isu ini secara negatif dan cuba menimbulkan konflik antara kedua-dua buah negara.

Sumber : http://akbargood.wordpress.com

Ada pihak di Indonesia yang cuba menjadikan isu ini lebih tegang. Saya fikir mereka ini usahlah cuba memprovokasikan isu ini secara berterusan kerana telah ada pun ada Jawatankuasa Teknikal yang dilantik oleh kedua-dua buah negara dalam merundingkan isu ini. Jawatankuasa Teknikal ini berfungsi mengenalpasti dan akan mengukur garisan sempadan maritim secara teknikal dan berpandukan batas perundangan. Justeru, biarlah buat masa ini jawatankuasa berkenaan menjalankan kerja-kerja mereka. Tidak usahlah ada pihak yang membuat perkara-perkara atau tindakan yang boleh menimbulkan konflik yang tidak baik terhadap hubungan kedua-dua negara ini.

Tuesday, July 7, 2009

BANGSA MALAYSIA

Kita harus bersyukur menjadi rakyat Malaysia dan dapat tinggal di negara ini dengan penuh kemakmuran dan kedamaian. Walaupun hakikat kita mempunyai pelbagai bangsa atau kaum yang didominasi oleh Melayu, Cina, India dan etnik-etnik lain manakala pelbagai agama dapat dianuti di negara ini tanpa sekatan walaupun Islam adalah agama rasmi negara, tetapi kita dapat tinggal bersama-sama, bekerjasama, ziarah menziarahi, persefahaman, pergaulan, persaudaraan dan pelbagai lagi hubungan baik terjalin sesama kita. Kita adalah contoh sebuah negara bangsa yang hebat. Sebuah negara lain yang menjadi contoh terbaik adalah Switzerland. Tetapi di Asia ini harus diakui kitalah negara contoh dalam model masyarakat majmuk.

Sangat banyak contoh negara-negara yang sering berlaku pergolakan dalaman, konflik perkauman, konflik keagamaan, pemberontakan dan peperangan yang boleh saya sebutkan. Ada juga sebahagian daripada negara-negara itu adalah terdiri negara jiran kita. Walaupun kadangkala ada hal-hal berbangkit tentang pengurusan negara yang menyentuh soal kaum dan agama, namun kita berjaya menyelesaikannya secara tolenransi, diplomasi dan dalam keharmonian hubungan kaum.

Paling terkini kita dapat lihat berlaku konflik di wilayah Xinjiang, China di mana berlaku konflik rusuhan antara puak Han China dan Uighur berpunca daripada fahaman agama. Setakat ini laporan mengatakan lebih 140 orang terbunuh dalam rusuhan berkenaan.dan 800 orang lagi cedera manakala berlaku kemusnahan dan kerosakan pada harta benda. Jika kita lihat pertelingkahan itu daripada bangsa yang sama hanya mempunyai etnik dan anutan agama yang berbeza. Begitulah juga yang berlaku seperti di Selatan Thailand, Sri Lanka, Iraq, Pakistan, Tibet dan banyak lagi negara yang tidak aman di negara mereka.

Justeru, sebagai generasi pewaris negara ini kita haruslah bijaksana dalam menjaga keharmonian negara dan memastikan negara ini akan mencapai mercu kejayaan pada masa hadapan dengan cara yang aman, damai, makmur dan bersatupadu. Tanpa nilai-nilai ini semua, tidak ada siapa yang untung, semua kita yang akan rugi.

Monday, July 6, 2009

ISU MARITIM MALAYSIA

Tahniah saya ucapkan kepada rancangan Talian Hayat di saluran Ntv7 pada episod minggu ini (6/7/2009) kerana telah mendedahkan isu kawalan, keselamatan dan pencerobohan kawasan laut maritim Malaysia.

Hasil pendedahan dan tinjauan oleh krew rancangan ini yang diketuai Wan Kamaruddin Wan Ibrahim, sememangnya menunjukkan masih banyak kelemahan dalam aspek kawalan dan pemantauan keselamatan kawasan maritim di negara ini. Namun rancangan berkenaan hanya tertumpu tinjauan di kawasan maritim di Selat Tebrau melalui kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan.

Menurut Laksama Pertama APMM Wilayah Selatan yang ditemubual dalam rancangan itu, tiada koordinasi yang baik antara agensi-agensi yang bertanggungjawab ke atas kawalan dan keselamatan maritim Malaysia.

Antara agensi yang bertanggungjawab dalam mengawal dan menjaga keselamatan maritim Malaysia ialah Pihak Berkuasa Pelabuhan (kawalan pelabuhan), Jabatan Laut (hal ehwal perkapalan), Polis Marin (Keselamatan), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM - pemantauan dan kawalan keselamatan), Tentera Laut DiRaja Malaysia (keselamatan dan pertahanan), Jabatan Alam Sekitar (pencemaran laut), Polis Gerakan Am (PGA- kawalan keselamatan pantai) dan lain-lain lagi agensi berkaitan seperti KDRM dan UPP yang saya fikir tentulah berkaitan penyeludupan.

Berdasarkan senarai agensi itu, saya fikir sudah mencukupi kalau diukur 'tahap kesediaan' Malaysia dalam menjaga keselamatan maritim negara boleh dianggap menyeluruh. Namun, hasil tinjauan yang dibuat mendapati terlalu banyak isu-isu berkaitan penyeludupan, pencerobohan perairan negara oleh bot-bot nelayan asing, kapal-kapal perdagangan yang tidak berdaftar, beratus-ratus kapal yang berlabuh secara haram di kawasan laut Malaysia dan banyak lagi kes-kes berunsur pencerobohan dan jenayah.

Punca utama dikenalpasti kelemahan kawalan keselamatan maritim Malaysia ialah setiap agensi itu mempunyai bidang kuasa yang berbeza-beza, tetapi tiada satu sistem perhubungan yang cukup jelas yang dapat menggabungkan kerjasama yang lebih kukuh antara satu agensi dengan agensi lain. Maka wujudlah keadaan buat kerja masing-masing. Jika ini dapat diatasi saya yakin kawalan keselamatan perairan Malaysia akan lebih mudah diuruskan dan tahap keselamatan perairan negara boleh ditingkatkan. Ini bukanlah bermakna saya mendakwa perairan negara tidak selamat, tetapi sehingga kini kes-kes penyeludupan dan pencerobohan masih banyak berlaku.

Saya berkeyakinan menulis tentang ini disebabkan saya sendiri pernah berpengalaman menjalankan satu kajian tentang persempadanan Malaysia di Wilayah Utara Semenanjung iaitu sempadan darat Malaysia-Thailand dan sempadan maritim Indonesia-Malaysia-Thailand. Walaubagaimanapun, hasil kajian adalah maklumat sulit. Sepanjang pengalaman menjalankan kajian dengan pasukan penyelidik dari UUM, pihak kami telah mendapat kerjasama yang sangat baik daripada pihak APMM. Dengan pertolongan pihak APMM saya dan rakan-rakan berpeluang membuat tinjauan kawasan sempadan maritim Malaysia-Thailand antara Selat Cincin, Langkawi dan Pulau Taratau, Thailand dan sempadan maritim Malaysia-Indonesia iaitu tinjauan di Pulau Jarak dan Pulau Perak di Selat Melaka.

Saya juga pernah berurusan dengan pihak Jabatan Laut, Polis Marin, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, PGA dan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri. APMM adalah agensi utama yang membantu kajian ini. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak APMM dan khususnya Laksamana Pertama APMM Wilayah Utara.

Oleh itu, apabila menonton pendedahan rancangan Talian Hayat mengenai isu ini amat menarik minat saya dan saya sangat bersetuju punca utama kelemahan isu ini perlu diatasi segera dengan mengadakan sistem perhubungan dan kerjasama yang lebih jelas dan kukuh antara semua agensi yang terlibat dalam kawalan keselamatan maritim Malaysia seperti yang saya sebutkan tadi.

Isu keselamatan negara bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan kedaulatan dan maruah negara kita. Berdasarkan tinjauan Talian Hayat, syarikat telekomunikasi TM telah rugi berjuta-juta ringgit setiap tahun akibat berlaku kerosakkan kabel bawah laut milik mereka telah rosak disebabkan terkena sauh kapal-kapal yang berlabuh secara haram di kawasan maritim Malaysia di samping banyak pencerobohan bot-bot nelayan asing yang datang menangkap ikan secara haram di perairan negara.

BINCANG LOKASI BARU

Persatuan Peniaga dan Penyembelih Babi Kedah meminta kerajaan negeri mencari lokasi baru bagi menggantikan tapak penyembelihan babi tidak berlesen di Kampung Berjaya yang dirobohkan minggu lalu. (Sumber : malaysiakini.com).

Lebih baik begini, kan elok kalau semua isu dibincangkan secara baik...bukannya ada faedah pun kalau semua benda nak diprovokasi. Oleh itu, Kerajaan Negeri Kedah harus sedaya upaya membantu mengenalpasti lokasi baru yang perlu dipersetujui semua pihak dan memenuhi piawaian perancangan...

KSAH : Collegian of the Century

Sejak hadir menyaksikan Pasukan Pancaragam Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) beberapa hari lalu, saya terkenangkan zaman persekolahan saya di sana. kerana di sanalah saya mula dapat berfikir tentang kepentingan ilmu dan masa hadapan. Justeru, saya mencari beberapa maklumat penting tentang KSAH untuk dimasukkan dalam blog ini tanda penghargaan saya sebagai bekas pelajar.


Sejarah KSAH
KSAH diasaskan pada 8 Disember 1908 sebagai Government English School (GES) di sebuah bangunan berhampiran Balai Nobat, Alor Star. Pengetua pertamanya ialah Encik Mohamad Iskandar (bapa Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad). GES merupakan sekolah Inggeris pertama di Kedah. Pada tahun 1911, GES dipindahkan ke Jalan Penjara Lama (belakang IPD Kota Setar) dan sekali lagi dipindahkan ke Jalan Langgar (tapak yang ada sekarang) pada tahun 1917. Pada tahun 1935 nama GES telah ditukar menjadi Sultan Abdul Hamid College (SAHC).




Sambutan 100 Tahun
Pada tahun 2008, KSAH telah menyambut ulangtahun yang ke-100. Sempena Sambutan Kolej Sultan Abdul Hamid 100 Tahun, tiga orang tokoh yang merupakan bekas pelajar KSAH telah diiktiraf dan diperakukan sebagai Collegian of the Century. Pemilihan bukan sekadar ketokohan dan sumbangan yang diberikan tetapi juga membuat KSAH berbangga melahirkan pelajar yang terkenal bukan sekadar di pentas tempatan tetapi juga di persada global.

Ketiga-tiga tokoh tersebut ialah:

1. KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah
(Sultan Negeri Kedah Darul Aman)

2. Al-Marhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid
(Perdana Menteri Malaysia Pertama)

3. Y.A.Bhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (Perdana Menteri Malaysia Keempat)
`

Collegian of the Year
Anugerah Collegian of the Year yang diperkenalkan pada tahun 2000 dianugerahkan kepada bekas pelajar yang berjaya menempa nama dalam kerjaya dan menyumbang balik kepada alma mater. Pemilihan dilakukan oleh SAHOCA. Penerima anugerah diberi penghormatan untuk berucap dalam majlis Hari Anugerah Cemerlang dan namanya diabdikan di Galeri Kolej.

Penerima-penerima Collegian of the Year ialah:


Tahun - Penerima
2000 - Tan Sri Dato’ Razali bin Ismail
2001 - Tun Dato’ Seri Dr. Mohammad Zahir bin Ismail
2002 - Dato’ Wira Haji Syed Zain bin Syed Abdullah

2003 - Tan Sri Dato’ Dr. Othman bin Yeop Abdullah
2004 - Dato’ Wira Syed Abdul Jabbar bin Syed Hassan Shahabudin
2005 - Dato’ Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim
2006 - Dato’ Ir. Syed Muhammad Shahabudin
2007 - Tun Dato’ Sri Ahmad Fairuz bin Dato’ Sheikh Abdul Halim
2008 - Dato' Wira Syed Ahmad bin Syed Mohamad Al-Mahdali


(Sumber : http://www.kedah.edu.my/sahc/)

Sunday, July 5, 2009

BILA NAK ADA TERMINAL JETI BARU UNTUK KUALA KEDAH?

Melaka telah mempunyai kompleks marina baru yang dibina dengan kos RM28 juta di Muara Sungai Melaka. Ketua Menteri Melaka berhasrat memohon peruntukan baru berjumlah RM100 juta lagi dari Kerajaan Persekutuan untuk memperbesarkan dan menambah pelbagai kemudahan lagi untuk kompleks marina itu. Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri Melaka juga akan memohon peruntukan RM120 juta bagi pembinaan dua projek waterfront di negeri itu.

Saya fikir Melaka semakin mendahului negeri-negeri lain dalam konteks pembangunan pelancongan. Bila agaknya Jeti Kuala Kedah akan dinaiktarafkan kepada Kompleks Marina yang baru? atau sekurang-kurangnya menjadi terminal jeti yang selesa. Sekarang ini orang ramai yang ingin ke Langkawi melalui Kuala Kedah terpaksa menggunakan kemudahan jeti yang kurang selesa dan tidak menarik.

Apa sudah jadi kepada projek Marina Yard Harbour?....Tidak bolehkah Majlis Pelancongan Negeri Kedah fikirkan pembangunan waterfront yang lebih liveable di Ampang Jajar?

Saya tidak ada kuasa dalam hal ini, tetapi saya dah bantu dengan menghantar pelajar-pelajar BDM buat kajian di sana dan mencari maklumat di organisasi mereka. Saya percaya mereka pun tahu..., apakah pihak-pihak berkenaan tidak berfikir apa yang ramai orang fikirkan?...

Saturday, July 4, 2009

PERUNDING LUAR?

Mungkin Kerajaan Negeri Terengganu memang banyak wang, mereka melantik syarikat kontraktor luar dari Korea Selatan semasa peringkat pembinaan stadium berkenaan. Setahun kemudian sebahagian bumbung stadium itu runtuh pada 2 Jun 2009 yang lalu.

Pada kali ini kerajaan negeri sekali lagi melantik syarikat luar iaitu Perunding dari United Kingdom bagi tujuan menyiasat punca keruntuhan bumbung stadium berkenaan.

Bukanlah satu kesalahan melantik syarikat luar menjadi perunding. Mungkin syarikat tempatan tidak ada kelayakan dan kepakaran dalam perkara ini. Mungkin syarikat-syarikat perunding tempatan terutamanya berkaitan building engineering harus lihat apa kekurangan mereka supaya mereka boleh bersaing.

ISU KAMPUNG BUAH PALA : BERUNDINGLAH DENGAN PENDUDUK

Hari ini Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan kerajaan negeri tidak mampu untuk membeli semula tanah kampung Buah Pala berkenaan bagi mengekalkan perkampungan tersebut. Ini kerana jika ingin mendapatkan semula tanah berkenaan, kerajaan negeri terpaksa membeli semula tanah tersebut dengan anggaran kenaikan harga tanah sekarang sekitar RM150 juta! bagi mengekalkan petempatan 23 keluarga di kampung itu.

Saya fikir satu keputusan yang baik oleh kerajaan negeri kerana kos harga tanah yang sangat tinggi berbanding mengekalkan kampung berkenaan. Rasionalnya jika bukan sekarang mungkin beberapa tahun akan datang kawasan tersebut tidak lagi sesuai menjadi petempatan kampung selaras arus pembangunan semasa negeri Pulau Pinang.

Jadi eloklah mereka berpindah sekarang. Mungkin cara yang terbaik adalah dengan mengadakan perundingan secara baik antara penduduk kampung itu dengan pihak pemaju dan kerajaan negeri berkaitan soal pampasan yang munasabah kepada penduduk dan bantuan petempatan baru untuk mereka.


Secara peribadi ingin katakan kepada penduduk Kampung Buah Pala bahawa pengambilan tanah dan projek pembangunan adalah penting untuk tujuan kemajuan negeri, maka mereka perlu berkorban kehilangan petempatan asal mereka. Sekurang-kurangnya, pengorbanan mereka ada manfaat untuk pembangunan negeri, tidak seperti Malaysia yang telah mengorbankan Pulau Batu Putih kepada negara lain.

ISU KOREA UTARA : MANA KOMITMEN ASEAN?

Hari ini Korea Utara telah melancarkan tujuh peluru berpandu balistik jarak dekat dan sederhana. Negara komunis ini dilihat tidak mengendahkan nasihat dan kerisauan negara-negara jirannya seperti Korea Selatan, jepun dan China. Negara itu juga boleh dikatakan tidak takut kepada amaran daripada Amerika.

Saya ada ulas isu ini sebelum ini, tetapi hingga hari ini saya masih belum dapat mengenalpasti maklumat apakah usaha dan peranan oleh ASEAN dalam menangani isu ini sebagai tindakan pencegahan sebarang konflik yang boleh memudaratkan keselamatan rantau Asia. Sekurang-kurangnya ASEAN perlu bertindak sekarang sebelum konflik ini menjadi semakin parah...

Thursday, July 2, 2009

JANGAN KONTROVERSIKAN ISU

Penduduk-penduduk Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor, Pulau Pinang telah diarahkan oleh mahkamah untuk berpindah ke tempat lain kerana rumah mereka akan dirobohkan untuk tujuan pembangunan oleh pemilik tanah. Kerja-kerja perobohan yang bakal dilakukan itu adalah sah dari segi undang-undang kerana mereka membina rumah di situ bukanlah di atas tanah hak milik mereka, tetapi tanah tersebut telah dimiliki oleh sebuah syarikat pemaju. Jadi tuan tanah semestinya mempunyai hak yang sah untuk membangunkan tanah miliknya.

Dari segi sejarah pemilikan tanah, pada asalnya tanah berkenaan adalah milik kerajaan dan kemudiannya dijualkan kepada pemaju. Pemaju berkenaan difahamkan telahpun membayar pampasan RM200,000 kepada setiap keluarga yang membina rumah di atas tanah itu, banyak keluarga yang mengambil wang pampasan itu dan telah berpindah ke tempat lain tetapi ada yang tidak berbuat demikian dan tinggal di atas tanah itu hinggalah sekarang. Maka sekarang sudah tiba masa bagi pemaju itu ingin memajukan tanah miliknya, sudah pasti mereka harus berpindah keluar kerana mereka tidak ada apa-apa hak ke atas tanah itu. Tetapi mereka masih berdegil tidak mahu keluar. Lalu pemaju menggunakan saluran perundangan melalui mahkamah untuk merobohkan rumah-rumah di situ.

Jika kita lihat situasi yang berlaku ini, tidak ada apa-apa usaha yang melanggar undang-undang oleh pihak pemaju, tetapi penduduk kampung tersebut yang masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka hanyalah menumpang di atas tanah milik orang selama ini.

Kini mereka cuba mengeruhkan keadaan dengan terus membantah, berdegil, membuat tuntutan yang bukan-bukan dan melibatkan campurtangan pihak luar seperti pertubuhan yang telah diharamkan - HINDRAF.

Apa yang membuatkan saya sangat tidak setuju apabila ada di antara penduduk di situ menjadikan isu ini sebagai isu perkauman. Mereka mengatakan tindakan itu adalah percubaan untuk menghalau kaum India di situ. Ini adalah kerana penduduk di situ semua terdiri kaum India, manakala pemaju atau pemilik tanah pula adalah syarikat Melayu dan Ketua Menteri Pulau Pinang - DAP tidak mahu membantu mereka.

Inilah yang saya maksudkan mereka sengaja mengkontroversikan isu ini yang asalnya adalah isu berkaitan perundangan kepada menjadi isu perkauman pula sekarang. Ini sudah tidak benar sama sekali. Jangan suka putar-belitkan isu ini hingga boleh menimbulkan ketegangan kaum di negara ini. Sekiranya mereka memahami undang-undang sudah tentulah mereka yang harus berpindah keluar atau meminta kerajaan negeri membeli semula tanah itu daripada pemaju lalu mengekalkan petempatan mereka itu, bukanlah membuat provokasi perkauman seperti sekarang. saya fikir inilah budaya yang sangat tidak elok yang sering berlaku di negara kita.

Bukanlah saya ini seorang yang bersifat perkauman (racist), tetapi saya melihat terlalu banyak isu yang berlaku di negara kita kebelakangan ini seringkali disalah anggap sebagai perkauman, akhirnya boleh merosakkan perpaduan kaum yang telah dibina sejak dahulu. Kita harus rasional terhadap sesuatu isu dan mencari penyelesaian secara sah dan mengikut saluran yang betul.

Begitu juga isu berkaitan perobohan pusat penyembelihan babi di Alor Setar yang membuatkan DAP keluar dari Pakatan di negeri itu sebenarnya isu itu juga adalah mengikut saluran perundangan yang sah, bukanlah satu isu kontroversi untuk diskriminasi kepada orang bukan Islam. Sebenarnya pada masa dahulu di tempat yang sama dengan pusat penyembelihan babi itu terdapat juga pusat penyembelihan Islam, tetapi atas arahan kerajaan kerana kawasan itu sudah tidak sesuai untuk mengekalkan pusat penyembelihan, maka pusat penyembelihan Islam telah pun ditutup manakala pusat penyembelihan babi terus beroperasi hingga sekarang hinggalah arahan tegas kerajaan untuk merobohkan pusat penyembelihan berkenaan. Maka ianya juga bukanlah isu diskriminasi kaum, tetapi isu perundangan.

Seharusnya dalam mendepani setiap isu kita haruslah mempunyai maklumat yang tepat dan lengkap, seterus perlu menghormati serta mematuhi undang-undang yang ada. Janganlah sesekali kita mengadili sesuatu isu berdasarkan apa yang kita fikir betul sahaja atau untuk kepentingan diri sendiri kerana perbuatan dan tindakan kita itu tidak betul dan boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan negara.

Wednesday, July 1, 2009

PANCARAGAM SEKOLAH : KSAH vs SMK SULTANAH ASMA

Nampak topik kali ini ringan sahaja. Malam ini saya baru sahaja balik dari menyaksikan acara Pertandingan Akhir Pancaragam Sekolah Peringkat Negeri Kedah yang telah berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar (lokasi stadium ini kira-kira hanya 200 meter sahaja dari rumah saya).

Bila sebut sahaja tentang pancaragam sekolah di Kedah ini terdapat dua sekolah yang dominan dalam menguasai kehebatan pasukan pancaragam iaitu Sekolah Menegah Sultanah Asma Alor Setar dan bekas sekolah saya sendiri iaitu Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH). Dari sejak dahulu lagi kedua-dua buah sekolah ini sering bersaing sengit antara satu sama lain dalam setiap pertandingan sehinggakan sukar sekolah lain untuk menang.

Tetapi bagi pertandingan peringkat negeri ini, terdapat dua peringkat iaitu sekolah menengah dan sekolah rendah. Bagi peringkat sekolah menengah ada pula dua kategori diwujudkan iaitu Kategori Satu dan Kategori Dua. Kategori satu ini hanya pertandingan antara SMK Sultanah Asma dan pesaingnya KSAH kerana mereka mungkin dianggap telah profesional. Bagaimanapun tidak kurang hebat juga Kategori Dua iaitu pertandingan antara sekolah-sekolah menengah yang lain sebagai ruang mereka untuk menang.

Kehadiran penonton dan penyokong sangat ramai hingga penuh stadium. Penyokong paling ramai dan mendominasi stadium pastilah dari SMK Sultanah Asma dan KSAH saling berlawan sorak untuk pasukan masing-masing (saya rasa seronok sebab dah lama tak hadir program macam ni). Tentulah saya menyokong Kolej Sultan Abdul Hamid, sekolah tercinta. Semua persembahan pancaragam sangat hebat dan menarik terutama bagi Kategori Satu.

Kemuncak pertandingan akhirnya Johan Pancaragam Kategori Satu dimenangi oleh SMK Sultanah Asma manakala KSAH menjadi Naib Johan sahaja. Walaupun tewas saya amat bangga pada sekolah sendiri. Memang telah sejak dulu Johan pancaragam ini bergilir-gilir dimenangi oleh kedua-dua sekolah, cuma pada tahun ini nasib tidak menyebelahi KSAH. Tidak apa tahun depan KSAH boleh usaha lagi rampas kembali 'title Johan' itu.

Saya masih ingat persaingan sengit kedua-dua sekolah ini dari dahulu hingga kini terus berpanjangan, kerana kedua-duanya dianggap sekolah elit di Alor Setar. Pada masa dahulu pelajar-pelajar lelaki KSAH sering digossipkan dengan pelajar-pelajar perempuan SMK Sultanah Asma, nasiblah saya tidak terlibat dalam gossip-gossip tersebut. hehe..

Sehingga sekarang KSAH terus melahirkan ramai tokoh pemimpin-pemimpin utama negara, tokoh korporat, ahli perniagaan, cendekiawan-cendekiawan dan pakar-pakar pelbagai bidang yang telah berjaya salah seorangnya ialah Perdana Menteri Malaysia Ke-empat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya berbangga pernah menjadi sebahagian daripada KSAH dan SAHOCA (Sultan Abdul Hamid College Alumni).

Mungkin tidak ada langsung sumbangan saya dahulu kepada kehebatan pasukan pancaragam KSAH, tetapi sekurang-kurangnya saya keluar dari KSAH sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 1998 yang dianugerahkan kepada 10 pelajar yang mendapat keputusan paling cemerlang dalam SPM.