Wednesday, September 30, 2009

TAKZIAH MANGSA BENCANA

1. Takziah kepada penduduk-penduduk Pulau Samoa dan Samoa Amerika yang telah menjadi mangsa tsunami terbaru akibat gempa bumi kuat yang telah berlaku di kawasan dasar Laut Pasifik pagi tadi.

2. Kekuatan gempa pada ukuran 8.0 skala richter itu menyebabkan berlaku tsunami setinggi 9 meter yang melanda kawasan pantai Pulau Samoa dan Samoa Amerika hingga menyebabkan angka kematian seramai 113 dilaporkan setakat ini. Selain kematian, berlaku kemusnahan yang besar di kawasan yang terlibat.

Kesan tsunami di Pulau Samoa
(Sumber : www.utusan.com)

3. Susulan gempa itu, petang tadi berlaku pula gempa bumi sekuat 7.9 skala richter berhampiran Sumatera Barat, Indonesia berdekatan Padang di mana jarak pusat gegaran gempa hanya 481 kilometer daripada Kuala Lumpur. Setakat ini belum ada kejadian tsunami dan ramalan pakar melaporkan tiada potensi tsunami dikesan hasil gegaran akibat gempa itu. Namun, kesan gegaran dapat dirasai di sekitar Padang dan Medan, Indonesia dan di sebahagian kawasan Pantai Barat Malaysia terutamanya beberapa bangunan pencakar langit di Lembah Klang.

4. Selain becana gempa bumi, satu lagi bentuk bencana yang merupakan eringatan daripada Yang Maha Kuasa ialah bencana ribut taufan Tropika Ketsana yang mengakibatkan banjir besar yang telah melanda beberapa negara jiran seperti Filiphina dan Vietnam.

5. Setakat ini dilaporkan hampir 250 orang telah terkorban di Filiphina dan 25 orang di Vietnam. Presiden Filiphina, Gloria Arroyo menyatakan 1.9 juta kediaman di negara itu terjejas akibat bencana tersebut.

Kesan banjir di Manila, Filiphina
(Sumber : www.utusan.com)


Mangsa Ketsana di Vietnam
(Sumber : www.utusan.com)

6. Melihat bencana yang berlaku di tempat lain perlu mengingatkan kita supaya insaf dan bersyukur kerana Allah masih melindungi negara ini daripada segala bencana yang besar seperti yang sedang melanda di beberapa negara jiran.

PEMILIHAN PEMIMPIN

1. UMNO telah memutuskan Tan Sri Mohd. Isa Samad dipilih sebagai calon untuk bertanding dalam PRK DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober 2009 nanti.

2. Alasan utama pemilihan beliau menurut Timbalan Presiden UMNO ialah kerana beliau dikatakan mendapat sokongan padu oleh penduduk tempatan di situ dan mereka mahu agar Tan Sri Isa dipilih sebagai calon.

3. Mungkin benar Tan Sri Isa adalah pilihan penduduk tempatan kerana jasa beliau amat banyak terhadap penduduk di situ khususnya dan rakyat Negeri Sembilan amnya di mana beliau pernah menjadi Menteri Besar selama 22 tahun iaitu satu tempoh yang sangat lama. Jasa beliau terhadap pembangunan negeri sangat besar sebab itulah beliau perlu dihormati dan dihargai. Beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

4. Saya fikir kemungkinan peluang untuk beliau menang dalam PRK Bagan Pinang nanti sangat tinggi.

5. Tetapi secara peribadi saya fikir pemilihan beliau sebagai calon untuk bertanding dalam PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober nanti kurang tepat.

6. Rasionalnya beliau tidak perlu dipilih adalah disebabkan rekod beliau yang tidak bersih dalam UMNO kerana pernah didapati bersalah atas tuduhan rasuah semasa pemilihan parti itu suatu ketika dahulu. Kesalahan merasuah perlu dilihat sebagai satu tindakan yang tidak bermoral dan pemimpin yang rasuah merupakan pemimpin yang tidak amanah, justeru orang yang tidak amanah tidak lagi layak diberi peluang untuk memimpin.

7. Memilih pemimpin yang pernah terlibat dalam amalan rasuah juga akan memburukkan imej dan kredibiliti sesebuah parti untuk jangka panjang.

8. Selain itu, saya fikir pengalaman menjadi Menteri Besar selama 22 tahun merupakan satu nikmat dan keistimewaan yang sangat berharga kepada Tan Sri Isa. Justeru, sebagai pemimpin yang baik beliau seharusnya menggunakan pengalaman itu untuk membentuk, mendidik, membimbing dan menasihati golongan muda untuk menjadi pemimpin pelapis.

9. Dengan kata lain, seharusnya beliau tidak perlu bertanding kerana beliau telah mendapat banyak manfaat dan kedudukan hasil pimpinan beliau ini, justeru pada kali ini beliau perlu memberi peluang kepada orang lain khususnya generasi pemimpin muda di situ untuk menimba pengalaman. Sebaliknya, peranan Tan Sri Isa adalah sebagai mentor dan penasihat kepada pemimpin pelapis melalui pengalaman istimewa beliau sebelum ini.

10. Seorang pemimpin yang baik dan hebat pasti tahu di mana kemuncak kedudukannya dan beliau perlu menggunakan pengalaman yang ada untuk membimbing dan membentuk golongan muda untuk menjadi pemimpin pada masa depan bukanlah membolot semua peluang dan ruang untuk kepentingan diri sendiri.

11. Pemimpin yang baik juga perlu mengambil peranan menyediakan golongan pemimpin pelapis yang berkaliber untuk menggantikannya di masa akan datang dan apabila masa itu tiba, beliau harus serahkan kedudukannya kepada pemimpin generasi seterusnya.

12. Oleh itu, pada pendapat saya seharusnya Tan Sri Isa memberi ruang dan kepercayaan kepada calon lain khususnya tenaga yang lebih muda daripada beliau untuk bertanding dan beliau memainkan peranan utama dengan menggunakan pengaruh beliau untuk mengajak pengundi tempatan menyokong calon tersebut.

13. Saya fikir merujuk kepada keputusan yang telah dibuat ini, UMNO didapati kurang memberi kepercayaan kepada pembentukan pemimpin pelapis atau mereka ketandusan pemimpin pelapis yang berkaliber untuk dicalonkan di kawasan itu. Ini sangat tidak baik untuk pengukuhan parti itu di masa hadapan.

Monday, September 28, 2009

PENGURUSAN JALAN RAYA

1. Isu kesesakan dan kemalangan jalan raya di negara ini adalah satu isu yang besar. Isu ini menjadi semakin kronik dan kritikal apabila setiap kali musim perayaan-perayaan seperti sambutan Aildilfitri, Aildiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Christmas dan cuti sekolah.

2. Pelbagai strategi, kempen, program, latihan dan berbagai lagi usaha telah dibuat oleh semua pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini, namun statistik kemalangan dan kematian tetap tidak menurun.

3. Contoh, OPS Sikap ke-20 yang baru tamat kelmarin mencatatkan angka kemalangan dan kematian yang terus meningkat iaitu jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang tempoh OPS Sikap ke-20 ini ialah 261 berbanding hanya 208 pada OPS Sikap 19 pada tahun 2008.

4. Apapun, tahniah! saya ucapkan kepada pihak JPJ dan LPKP atas usaha yang dilakukan terhadap pemeriksaan awal terhadap pengangkutan awam seperti bas di mana tiada sebarang kematian atau kemalangan dicatatkan melibatkan pengangkutan awam sepanjang tempoh OPS Sikap 20 ini. Usaha dan strategi seperti ini seharusnya dilaksanakan sepanjang masa bukan sahaja ketika musim perayaan.

5. Tetapi bagi menguruskan pengangkutan persendirian (private vehicles) adalah satu masalah yang kompleks. Belum ada satu jalan penyelesaian yang total bagi masalah ini.

6. Statistik kemalangan dan kematian yang berpunca daripada kenderaan persendirian ini sangat tinggi, paling tinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dan diikuti kereta.

7. Jika dikaji dari aspek kawasan kemalangan, statistik kemalangan lebih tinggi berlaku di Jalan Bandaran, Jalan Negeri dan Jalan Persekutuan berbanding kemalangan di lebuh raya.

8. Berbagai cadangan dan pandangan dikemukakan oleh pakar-pakar pengangkutan (transport expertise), pemimpin, organisasi dan orang ramai antaranya mencadangkan pelbagai strategi dan hukuman seperti meningkatkan jumlah pemantauan elektronik (berkamera) di jalan raya bagi menggantikan polis trafik, menaikkan jumlah saman trafik kepada pesalah-pesalah trafik kerana mendapati jumlah saman RM300 sekarang adalah kecil, menggantung lesen memandu selama 3 tahun, menamatkan permit syarikat pengangkutan yang terlibat dalam kemalangan maut, mengurangkan had kelajuan sedia ada (pernah juga ada cadangan supaya meningkatkan had laju sedia ada), meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam, mengasingkan laluan kenderaan misalnya antara kereta dan motosikal, meningkatkan had umur permohonan lesen memandu kepada 21 tahun ke atas, menambah kurikulum pada modul kursus lesen memandu, melebarkan jalan raya dan lebuh raya di negara ini kepada 4 lorong, 6 lorong, 8 lorong dan bermacam-macam lagi strategi lain yang difikirkan berkesan dalam mengurangkan jumlah kemalangan.

9. Saya akui semua strategi dan hukuman yang dicadangkan ada sebahagiannya bernas dan bagus, ada sebahagiannya telah pun dilaksanakan di negara ini, namun, hari demi hari kita terus melihat angka kemalangan dan korban jalan raya masih juga bertambah.

10. Saya fikir masalah utamanya ialah jumlah kenderaan yang semakin bertambah dan pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya meningkatkan lagi risiko kemalangan berlaku.

11. Saya berpendapat sebagai penyelesaian yang terbaik kita TIDAK PERLU lebarkan jalan dan lebuh raya kepada 10 lorong, bina lebuh raya bertingkat, gantung lesen memandu hingga 5 tahun!, naikkan saman hingga RM1000!, hukum sebat dan penjara pemandu yang cuai hingga sebabkan kematian, berikan tol percuma di musim perayaan, pasang kamera setiap 100 meter sepanjang jalan, kurangkan had laju di lebuh raya kepada 70KM/J!, tetapi kita perlu kurangkan jumlah kenderaan khususnya kenderaan persendirian di jalan raya!

12. Saya tahu mungkin ramai yang tidak akan bersetuju dengan cadangan ini, kerana rakyat Malaysia lebih suka menggunakan kenderaan sendiri untuk ke mana-mana.

13. Kita juga harus ingat bahawa sikap orang ramai apabila kita menghalang mereka melakukan sesuatu, maka itulah perkara mereka paling suka lakukan. Jika kita melarang orang memandu laju, maka lebih ramai orang akan menunjuk-nunjuk dengan memandu secara merbahaya di jalan raya. Kita suruh mereka pakai tali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang, makin ramai pula pemandu dan penumpang hadapan tidak memakai tali pinggang keselamatan. Ini umpama kita melarang kanak-kanak jangan bermain mancis, dia akan cari kesempatan untuk menyalakan mancis apabila tiada siapa yang melihatnya. Tetapi jika kita kata "nah mancis ni, pi main sampai terbakar jari, mungkin dia jadi takut pula untuk main".

14. Cadangan ini bukanlah bermakna untuk menghalang orang ramai daripada memiliki kereta ataupun motor atau bukan menghalang mereka daripada menggunakan kenderaan mereka. Kita tidak boleh halang hak orang ramai memandu dan membeli kenderaan. Ini adalah salah. Orang Malaysia tidak suka dihalang.

15. Mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya bukanlah bermakna kerajaan harus mengurangkan pengeluaran dan penjualan kenderaan, ini tidak bagus untuk perkembangan industri automatif negara seperti Modenas, Proton, Perodua dan Naza. Apabila pengeluaran dan penjualan kenderaan dikurangkan makan industri sukar nak berdaya maju dan bersaing kerana industri ini secara majoritinya masih bergantung kepada pasaran tempatan pada masa kini.

16. Strategi ini juga bukan bermakna mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan import ke dalam negara kerana apabila kurang kenderaan import akan menyebabkan daya saing industri tempatan menjadi lemah kerana kurang pesaing, jadi sukarlah nak tingkat kualiti dan teknologi kereta Proton kerana mereka kurang berusaha memperbaiki kualiti akibat tidak perlu bersaing dengan jenama lain.

17. Apabila kenderaan kurang di jalan raya, kerajaan dapat menjimatkan berbilion RM setiap tahun dalam Belanja Pembangunan kerana tidak perlu melebarkan jalan-jalan yang sesak, memperbaiki kerosakan jalan raya dan perabot jalan yang rosak akibat kemalangan, membayar subsidi tol kepada syarikat konsesi lebuh raya kerana semakin kurang lebuh raya baru di bina, mengurangkan perbelanjaan menyediakan infrastruktur jalan raya untuk tujuan pemantauan kesalahan lalulintas seperti memasang kamera-kamera di sepanjang jalan. Kos-kos ini sangat tinggi setiap tahun.

18. Hasil penjimatan bernilai bilion RM ini boleh ditumpukan kepada aspek pembangunan lain seperti pembangunan luar bandar dan meningkatkan tahap pembangunan di Kelantan. Lebih penting perbelanjaan ini dapat dihalakan kepada projek meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

19. Bagaimana hendak mengurangkan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya? Langkah pertama seharusnya apabila ingin dikurangkan sesuatu pasti ada sesuatu juga perlu ditambah iaitu dengan menambahkan bilangan pengangkutan awam dengan pelbagai mode seperti keretapi laju untuk jarak jauh, komuter dan MRT untuk jarak sederhana, dan LRT, Monorel dan tram untuk jarak dekat di samping menambah bilangan bas dan teksi.

20. Namun penambahan bilangan pengangkutan awam sahaja belum mencukupi tetapi yang lebih penting ialah kualiti perkhidmatan dan kecekapan pengurusan perkhidmatan berkenaan merangkumi aspek kawasan liputan perkhidmatan, jarak dan masa perjalanan, ketepatan masa, keselesaan penumpang, kekerapan jadual, kemudahan terminal yang bertaraf tinggi, keadaan fizikal kenderaan pengangkutan awam, penyelenggaraan terminal dan fizikal pengangkutan, integrasi (linkages) antara mode pengangkutan dan terminal, panduan jadual perjalanan, maklumat destinasi, keselesaan menunggu, hospitaliti (layanan kepada penumpang), kadar tambang dan promosi tambang yang baik, integrasi tiket perjalanan, corak pemanduan (bas dan teksi), tempahan perjalanan secara online, tahap keselamatan kenderaan dan berbagai lagi strategi memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam.

21. Saya fikir kelemahan dalam aspek melaksanakan strategi memperkasa pengangkutan awam di negara ini adalah antara faktor utama masih ramai rakyat Malaysia yang kurang berminat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, apatah lagi antara strategi yang disenaraikan hanya terdapat di sekitar Lembah Klang sahaja dan tidak di tempat lain. Justeru, strategi ini sepatutnya diperluaskan dengan segera dengan menggunakan nilai penjimatan Belanja Pembangunan seperti yang saya nyatakan.

22. Apabila perkhidmatan pengangkutan awam semakin diperkasakan, saya percaya banyak penjimatan yang dapat dilakukan bukan sahaja tidak perlu tambah jalan raya baru, tetapi tidak perlu tambah jumlah tempat letak kereta dalam bandar-bandar mengambil semakin banyak ruang guna tanah dalam bandar. Masa perjalanan dapat dijimatkan kerana kesesakan semakin kurang dan kadar pencemaran udara dan bising akibat kesesakan kenderaan dapat dikurangkan juga.

23. Orang ramai juga semakin bebas dan selesa untuk bergerak dalam bandar. Pengangkutan awam seperti bas dan train juga dapat membawa lebih ramai penumpang dalam satu perjalanan berbanding hanya 5-7 orang apabila menggunakan sebuah kereta.

24. Apabila tahap perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini 'sudah bersedia' di seluruh negara barulah strategi pengurangan kenderaan persendirian wajar dilaksanakan contohnya yang telah dilaksanakan di negara-negara maju termasuk terbaru di Korea.

25. Contohnya di Korea mereka juga mengeluarkan kenderaan sendiri seperti jenama KIA dan Hyundai yang telah terkenal, mereka juga mempunyai kecanggihan teknologi yang tinggi dalam kejuruteraan pembinaan lebuh raya berkualiti tinggi. Namun, dasar pengangkutan di Korea telah berubah dengan mengutamakan rakyat mereka menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan di sana telah mengurangkan pembinaan lebuh raya baru tetapi menggalakkan usaha pembinaan pengangkutan awam rel seperti komuter dan LRT.

26. Mereka menggunakan kepakaran mereka dalam kejuruteraan lebuh raya diterjemahkan kepakaran itu dalam pembinaan rel. Namun, pada masa yang sama mereka tidak pula menghalang rakyat mereka membeli kereta, tetapi sebaliknya strategi mereka ialah 'menyukarkan pemilik kenderaan menggunakan kenderaan mereka di jalan raya'.

27. Antara strategi tersebut seperti melaksanakan 'Area Car Pricing', Car Free Area, Park & Ride, High Pricing Car Park dan beberapa lagi strategi yang menyebabkan pengguna jalan raya merasa beban untuk menggunakan kenderaan mereka di kawasan-kawasan tertentu menjadikan mereka berfikir untuk menggunakan pengangkutan awam yang lebih efektif. Dalam konteks ini, sebenarnya kita tidak 100 peratus menghalang mereka menggunakan kenderaan mereka, tetapi dengan sendirinya lama-kelamaan mereka mendapati lebih baik menggunakan pengangkutan awam.

28. Namun saya akui pada masa sekarang, keadaan pembangunan keseluruhan di negara ini masih belum boleh dilaksanakan strategi ini, namun ianya harus dilihat secara positif sebagai persediaan strategik untuk pembangunan masa hadapan kerana kita tidak mahu semakin ramai hayat rakyat negara ini ditamatkan di atas jalan raya di hari raya.

29. Tidak guna jika kita lebarkan jalan raya dan bina lebuh raya baru bagi mengatasi kesesakan kerana ianya tidak bersifat jangka panjang. Mungkin kita lebarkan jalan raya pada hari ini, jalan itu tidak akan sesak untuk tempoh 2 tahun, namun selepas 2 tahun kenderaan bertambah 5 kali ganda pasti jalan raya itu tadi akan sesak semula, bila kenderaan terus bertambah, kemudian kita lebarkan lagi jalan itu dan seterusnya proses ini akan berlanjutan sehingga tidak ada lagi ruang untuk lebar jalan dan bina jalan maka akhirnya masalah kesesakan tidak akan selesai juga pada masa depan.

30. Mungkin ruang untuk kita lebar dan bina jalan baru boleh digunakan untuk projek-projek lain yang lebih berfaedah dan kos untuk bina jalan baru tadi digunakan untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan itu.

Sunday, September 27, 2009

KAJI SEMULA SISTEM KUASA VETO DI PBB

1. Secara rasional jika dirujuk perkembangan kemajuan dunia dan kematangan sistem demokratik pada masa kini, seharusnya sistem kuasa Veto dalam Majlis Keselamatan PBB yang diberi kepada Amerika Syarikat, Rusia, China, Britain dan Perancis perlu dikaji semula dan digantikan.

2. Sistem ini didapati tidak adil kepada negara-negara lain khususnya berkaitan isu keselamatan dan kedaulatan.

3. Membiarkan pengekalan sistem kuasa veto ini seakan dunia merestui tindakan Amerika Syarikat bertindak ke atas negara lain atau mereka merestui tindakan negara sekutu mereka seperti Israel menyerang negara lain.

4. Sistem ini juga memperlihatkan banyak keputusan yang dibuat oleh PBB seakan berat sebelah dan tidak adil sekaligus menjejaskan imej dan kredibiliti agensi itu.

5. Seharusnya dunia memerlukan lebih ramai pemimpin-pemimpin negara yang berani menegur dan berusaha memperbetulkan penyelewengan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa besar ke atas negara lain seperti yang diperjuangkan oleh Mahmoud Ahmadinejad, Muammar Gaddafi, Tun Dr. Mahathir, Chavez dan beberapa pemimpin lain.

6.Apabila kita terus membiarkan mereka yang berkuasa bertindak tidak adil dan menyalahgunakan kuasa, tetapi tidak ada siapa yang mahu menegur atau membantah, maka orang yang mempunyai kuasa itu berfikir orang lain takut dengan mereka dan tindakan salah mereka itu direstui.

7. Jika sistem kuasa veto ini berterusan, maka kita masih tinggal dalam dunia yang 'tidak seimbang'.

Rencana lengkap baca di sini

Saturday, September 26, 2009

KEAGUNGAN AZAN



* Hormatilah azan dengan mendengar dan menjawab apabila azan dilaungkan.

Wednesday, September 23, 2009

SELAMAT HARI RAYA

Kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aildilfitri kepada semua yang sudi membaca blog ini khususnya kepada mereka yang beragama Islam.

Semoga sambutan Hari Raya Aildilfitri pada tahun ini disambut meriah dan bersederhana.

Selamat Hari Raya Aildilfitri.

Maaf Zahir dan Batin.

-Syahril Said-

Thursday, September 17, 2009

MEMULAKAN PERJALANAN

1. Jumaat dan Sabtu ini sebahagian besar rakyat Malaysia akan memulakan perjalanan 'balik kampung' beramai-ramai.

2. Namun sebahagian besar juga ada yang akan memulakan perjalanan balik kampung pada hari ini terutamanya sebelah petang lepas waktu pejabat ataupun lepas berbuka puasa dan solat tarawih malam ini. Ini berikutan keputusan prihatin oleh Kementerian Pelajaran yang membatalkan sesi persekolahan pada hari esok untuk memudahkan perancangan perjalanan orang ramai.

3. Saya fikir waktu yang paling kemuncak ialah pada petang Jumaat dan hari Sabtu nanti lebuh raya dan jalan raya akan menjadi semakin sesak dengan kenderaan.

4. Justeru perancangan perjalanan yang selesa harus dirancang untuk mengelakkan kesesakan dan agar selamat tiba di destinasi masing-masing.

5. Tahniah atas sikap prihatin pihak konsesi lebuh raya seperti PLUS yang memberi diskaun ke atas bayaran tol sebanyak hampir 20 peratus difikirkan mampu mengurangkan sedikit kos pengangkutan orang ramai yang menggunakan kemudahan lebuhraya itu. PLUS menganggarkan jumlah kenderaan yang akan menggunakan lebuh raya itu bermula esok akan mencapai 1.3 juta kenderaan berbanding 1 juta pada hari biasa.

6. Syabas juga kepada pihak konsesi LPT yang memberikan ganjaran 'tol percuma' kepada pengguna yang menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan KL-Karak iaitu pada 18 dan 24 September ini bermula jam 12 tengah malam hingga jam 5 pagi. Maka pengguna haruslah bijak merancang perjalanan ketika itu.

7. Tetapi janganlah terlalu mengejarkan diskaun dan tol percuma yang mana kadarnya tidaklah terlalu tinggi hingga menyebabkan ada pengguna yang memandu laju dan secara berbahaya semata-mata untuk mengejar tempoh masa bagi mendapatkan diskaun yang ditetapkan.

8. Ingatlah bahawa nyawa sendiri dan orang lain bukanlah hanya bernilai RM15 dan RM20 seperti kadar diskaun yang ditawarkan di plaza tol. Jadi pandulah secara berhati-hati dan berhemah sepanjang perjalanan nanti.

9. Sebelum memulakan perjalanan pastikan kenderaan dalam keadaan terbaik dan selamat untuk menempuhi perjalanan. Ingatlah juga bahawa nyawa sendiri dan ahli keluarga kita bukanlah bernilai hanya RM200 yang ingin dijimatkan kerana tidak mahu membayar kos servis kereta.

10. Mulakan perjalanan dengan doa dan apabila tiba di destinasi akhiri dengan rasa syukur . Patuhi nasihat dan panduan amalan pemanduan yang baik dan wajib patuhi undang-undang serta peraturan jalan raya seperti kadar had laju, lampu isyarat dan kawasan selekoh.

11. Saya doakan semua mereka yang akan memulakan perjalanan akan selamat sampai ke destinasi di kampung dan kembali semula dengan selamat ke rumah masing-masing setelah habis cuti raya nanti termasuklah kepada semua ahli keluarga saya juga.

12. Selamat balik kampung....

Wednesday, September 16, 2009

1MALAYSIA F1 TEAM

1. Gabungan Kerajaan Malaysia dan beberapa syarikat gergasi swasta tempatan untuk mewujudkan pasukan 1Malaysia F1 Team adalah sesuatu yang sangat positif.

2. Saya fikir ini merupakan satu projek yang 'brilliant'.

3. Projek ini akan memberikan impak yang sangat baik kepada industri permotoran negara untuk jangka panjang

4. Ia mampu meningkatkan kepercayaan pasaran dunia terhadap kenderaan buatan tempatan PROTON pada masa hadapan. Ini adalah kerana pasukan 1Malaysia F1 Team akan menggunakan kereta lumba yang dicipta dan direkabentuk hasil pembangunan dan penyelidikan (R&D) oleh PROTON dan LOTUS.

5. Selain itu ia mampu meningkatkan promosi syarikat gergasi tempatan melalui sukan ini seperti Naza Group dan AirAsia Group yang menjadi konsortium pelabur utama untuk projek ini. Sebelum ini AirAsia telah menaja pasukan F1 Team dari luar.

6. Saya tidak nampak ini adalah sesuatu tindakan pembaziran kewangan negara oleh pihak kerajaan kerana impak jangka panjang daripada usaha ini adalah sangat positif.

7. Impak jangka pendek, kita akan jadi pasukan kedua dunia selepas Ferrari yang mempunyai litar lumba sendiri iaitu Sepang International Circuit (SIC). Kita telah melihat kejayaan SIC dalam menganjur perlumbaan F1 dan Motor GP setiap tahun dengan jaya sejak 10 tahun lalu hingga menjadi salah sebuah litar lumba dunia yang sangat terkenal dan berkualiti.

8. Impak jangka panjang kita dapat lihat contoh pada syarikat gergasi negara dan dunia iaitu PETRONAS. PETRONAS telah menjadi penaja yang berjaya untuk sukan F1 ini selama 10 tahun dan banyak kejayaan telah dicipta melalui pasukan Sauber PETRONAS dan kini BMW Sauber F1 Team.

9. Melalui F1, PETRONAS telah melangkah jauh dengan meningkatkan kualiti kejuruteraan petrol yang dihasilkan setanding dengan syarikat petrol gergasi dunia lain seperti Shell, Caltex, ExxonMobil dan beberapa syarikat lagi.

10. Kini PETRONAS juga telah menghasilkan produk petroleum yang berkualiti serta bertaraf dunia dan diberi kepercayaan dan hak mencarigali petroleum di serata dunia terutamanya di negara-negara Arab dan Afrika.

11. Jumlah perolehan dan sumber bekalan petroleum PETRONAS di luar negara pada masa sekarang lebih banyak berbanding di Malaysia menjadikan survival syarikat ini pada jangka masa panjang dan kurang lagi bergantung kepada sumber carigali petroleum di Malaysia yang semakin kurang.

12. Inilah contoh kesan pelaburan PETRONAS dan SIC dalam sukan F1 ini selama 10 tahun lalu. Saya fikir kita harus melihat impak positif yang bakal diperolehi oleh PROTON dan LOTUS melalui sukan ini pada jangka masa panjang.

13. Sebenarnya kesan yang kita ingin lihat bukanlah untuk memenangi perlumbaan semata-mata, tetapi impak pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam bidang kejuruteraan permotoran tempatan dalam menghasilkan kereta lumba dan mempromosikan jenama PROTON ke pasaran dunia adalah lebih penting.

14. Saya percaya apabila usaha ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh pada masa hadapan mampu meningkatkan pencapaian PROTON dalam meningkatkan kualiti kejuruteraan penghasilan enjin kereta yang setanding dengan BMW, Mercedes, Renault, Toyota dan Honda dan seterusnya menggalakkan peningkatan kualiti dan rekabentuk kereta yang lebih berkualiti.

15. Melalui usaha ini juga tidak mustahil PROTON akan melalui pengalaman yang sama seperti PETRONAS dan mendapat pasaran yang lebih luas dalam pasaran permotoran dunia pada masa hadapan dan pada ketika itu PROTON tidak akan lagi terlalu bergantung kepada pasaran tempatan sahaja.

16. Jika usaha ini berjaya, kita juga akan turut berbangga jika suatu hari nanti kita dapat melihat masyarakat di seluruh dunia ramai yang memandu kereta PROTON di negara ini dan negara mereka sama seperti mereka memandu kereta BMW, Mercedes, Volvo, Toyota dan Volkswagen.

17. Berkaitan cadangan pemilihan pelumba yang akan memandu kereta 1Malaysia F1 Team ini seharusnya sekurang-kurangnya satu peluang perlu diberi kepada anak tempatan dan satu lagi diperuntukkan untuk pelumba profesional dari luar.

Tuesday, September 15, 2009

KISAH SELIPAR

1. 'Kecaman' oleh seorang perwakilan MIC terhadap Tun Dr. Mahathir semasa perhimpunan parti itu Sabtu lalu adalah sesuatu yang tidak wajar.

2. Saya fikir tindakan itu mungkin boleh mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak terutamanya orang Melayu kerana pengaruh Tun Dr. Mahathir sebagai negarawan ulung negara amat besar. Maka tindakan yang wajar perlu diambil oleh parti berkenaan ke atas perwakilan itu.

3. Secara rasional saya tidak nampak kritikan Tun berkaitan isu kepimpinan parti itu sebagai sesuatu yang melampaui batas atau terlalu mencampuri urusan parti kerana didapati tindakan Presiden parti itu sendiri juga yang mencampuri urusan pengaruh undi calon bertanding dilihat kurang adil.

4. Apa yang saya fikir berkaitan kritikan Tun adalah ibarat seorang 'bekas tukang rumah' yang pernah bersama membantu membina rumah itu dahulu melihat 'tiang rumah' berkenaan 'sudah terlalu lama dan reput' serta 'tidak kuat' lagi untuk menyokong struktur rumah lalu menasihati 'penghuni rumah' supaya menukar 'tiang ' itu kerana kemungkinan rumah boleh roboh.

5. Nasihat oleh 'bekas tukang rumah' itu mungkin bertujuan untuk menyelamatkan rumah itu daripada roboh terus dan memberikan keselamatan terhadap 'penghuni' rumah berkenaan. 'Penghuni' rumah boleh memilih 'tiang' yang baru yang kuat, teguh dan 'mengikut trend' kehendak orang ramai supaya rumah itu terus 'kukuh dan kekal'.

6. Tetapi sebaliknya 'penghuni rumah' itu pula yang marahkan kepada 'bekas tukang rumah' itu kerana mereka masih suka kepada 'tiang' lama itu walaupun risikonya rumah berkenaan boleh roboh pada masa hadapan jika tidak ditukar pada masa kini.

7. Namun perlu diingat apabila rumah hampir roboh dan tidak 'dibaikpulih' segera, maka ramai 'penghuni rumah' akan berpindah keluar mencari rumah baru dan orang lain pun tidak mahu 'singgah' lagi ke rumah itu....

* errr...apa pula kaitan 'rumah' dengan selipar?.....

Monday, September 14, 2009

REKA BENTUK 'EARTHQUAKE RESISTANT BUILDING'

1. Kejadian gempa bumi pada magnitud 7.3 skala Richter di Tasikmalaya, Jakarta Barat pada 2 September lepas telah mengorbankan banyak nyawa dan ramai yang hilang masih belum dijumpai kerana diramalkan masih tertimbus di bawah runtuhan tanah atau bangunan.

2. Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan dan Malaysia juga turut membantu dari segi menghantar pasukan bantuan penyelamat ke kawasan kejadian untuk membantu walaupun pada ketika ini 'layanan' beberapa pihak di Indonesia terhadap Malaysia 'sangat baik'.

3. Kesan gempa yang berlaku menyebabkan bukan sahaja mengorbankan nyawa manusia, tetapi kemusnahan harta benda seperti kerosakan pada bangunan dan infrastruktur yang roboh dan musnah.

4. Lokasi gempa yang terbaru ini 'tidak jauh' daripada Malaysia.

5. Banyak lagi gempa susulan yang diramalkan boleh berlaku pada masa hadapan.

6. Namun, kita tetap bersama doakan gempa seperti itu tidak akan berlaku lagi.

7. Apapun kita harus menerima hakikat kejadian gempa bumi yang berlaku adalah sebahagian proses semulajadi pada bumi dan tidak dapat dielakkan.

8. Daripada hakikat itu, apakah persediaan kita?

9. Saya fikir salah satu tindakan awal yang boleh kita laksanakan ialah dengan melaksanakan pembinaan bangunan-bangunan yang direkabentuk untuk tahan gegaran yang disebabkan oleh gempa atau juga dikenali sebagai 'earthquake resistant building'.

10. Rekabentuk ini sangat penting terutamanya terhadap bangunan-bangunan pencakar langit.

11. Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun terutamanya telah lama melaksanakan reka bentuk 'earthquake resistant building' ini sebagai tindakan mengurangkan risiko kemusnahan bangunan akibat gempa bumi. Di India pun rekabentuk bangunan ini telah dilaksanakan.

12. Rekabentuk 'earthquake resistant building' bukanlah bermakna bangunan tersebut tidak akan terjejas apabila berlaku gempa, tetapi struktur rekabentuk bangunan ini dapat meminimumkan risiko kerosakan yang boleh berlaku kerana berupaya mengimbangi tahap gegaran gempa pada skala tertentu, sekaligus mengurangkan tahap kerugian kemusnahan harta benda dan kos membaikpulih bangunan apabila berlaku gempa di samping apa yang lebih penting memaksimumkan keselamatan penghuni dalam bangunan.

13. Telah banyak earthquake resistant building dibina di serata dunia dan telah banyak kajian ke atas struktur reka bentuk bangunan ini. Oleh itu, kita tidak perlu menggunakan banyak masa untuk mengkaji lagi rekabentuk bangunan ini, tetapi sebagai langkah awal kita perlu menggunakan teknologi pembinaan dan melaksanakan rekabentuk 'earthquake resistant building' dalam projek-projek pembinaan baru di negara ini.

14. Memanglah kos pembinaan 'earthquake resistant building' lebih mahal berbanding struktur binaan biasa, namun, adalah lebih baik kita membelanjakan kos lebih sedikit untuk membina bangunan seperti ini berbanding jika kita terpaksa menanggung kos yang sangat tinggi untuk membina semula bangunan yang telah roboh akibat gempa.

15. Kita tak perlu 'menunggu' kesan gempa itu sampai ke negara ini baru hendak bertindak. Ketika gempa bumi terkuat pada 8.9 skala richter yang berlaku di Lautan Hindi pada 26 Disember 2004 hingga berlaku tsunami besar di Banda Acheh turut menyebabkan beberapa bangunan di Malaysia di kesan mengalami keretakan kecil (sedangkan lokasi gempa pada ketika itu 'jauh' dari Malaysia).

16. Struktur rekabentuk bangunan-bangunan (terutamanya bangunan pencakar langit) di negara ini pada ketika ini boleh diragui tahap ketahanannya terhadap risiko gegaran gempa bumi. Hakikat peristiwa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu yang runtuh pada bulan Jun yang lalu harus menyedarkan kita bahawa tanpa gegaran gempa kecil pun bangunan di negara ini boleh runtuh. Bagaimana pada masa hadapan jika kita 'diuji' dengan gempa bumi seperti yang berlaku di Indonesia?



Sunday, September 13, 2009

MENCARI MALAM LAILATUL QADAR

Nabi S.A.W pernah mengkhabarkan kepada kita dalam beberapa sabda Baginda tentang tanda-tanda Lailatul Qadar iaitu:

1. Udara dan suasana pagi yang tenang

Ibnu Abbas r.a berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:

“Lailatul qadar adalah malam tenteram dan tenang, tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu dingin, esok paginya sang surya terbit dengan sinar lemah berwarna merah” (Hadist Hasan)

2. Cahaya mentari lemah, cerah tak bersinar kuat keesokannya

Dari Ubay bin Ka’ab r.a, bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

“Keesokan hari malam lailatul qadar matahari terbit hingga tinggi tanpa sinar bak nampan” (HR Muslim)

3. Terkadang terbawa dalam mimpi

Seperti yang terkadang dialami oleh sebahagian sahabat Nabi radliyallahu’anhum

4. Bulan nampak separuh bulatan

Abu Hurairah r.a pernah bertutur: Kami pernah berdiskusi tentang lailatul qadar di sisi Rasulullah S.A.W, Baginda bersabda,

“Siapakah dari kalian yang masih ingat tatkala bulan muncul, yang berukuran separuh nampak.” (HR. Muslim)

5. Malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi syaitan)

Sebagaimana sebuah hadis, dari Watsilah bin al-Asqo’ dari Rasulullah S.A.W:

“Lailatul qadar adalah malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi syaitan)” (HR. at-Thobroni dalam al-Mu’jam al-Kabir 22/59 dengan sanad hasan)

6. Orang yang beribadah pada malam tersebut merasakan lazatnya ibadah, ketenangan hati dan kenikmatan bermunajat kepada Rabb-nya tidak seperti malam-malam lainnya.

Wallahua’lam

(Sumber : http://maramissetiawan.wordpress.com)

Selanjutnya bacalah di sini

Baca juga di sini


MUDA AKAN TUA JUGA AKHIRNYA

Friday, September 11, 2009

LAILATUL QADAR

1. Harun bin Ishaq Al-Hamdani menceritakan kepada kami, 'Abdah bin Sulaiman memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Hisyam bin 'Urwah dari ayahnya dari 'Aisyah di mana ia berkata: "Rasulullah s.a.w. biasa beri'tikaf pada sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan, dan bersabda: "Bersungguh-sungguhlah kamu (untuk mendapatkan) Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadan." Masalah yang sama diriwayatkan pula dari 'Umar, Ubayy bin Ka'b, Jabir bin Samurah, Jabir bin 'Abdullah, Ibnu 'Umar, Al-Falatan bin 'Ashim, Anas, Abu Sa'id, 'Abdullah bin Unais, Abu Bakrah, Ibnu 'Abbas, Bilal dan 'Ubadah dan Ash-Shamit. Abu 'Isa berkata: "Hadis 'Aisyah itu adalah hadis hasan sahih; sedangkan kata yujaawiru ertinya adalah beri'tikaf. Banyak riwayat dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda: "Carilah Lailatul Qadar itu pada sepuluh terakhir pada setiap yang ganjil." Diriwayatkan dari Nabi s.a.w. tentang Lailatul Qadar iaitu bahawasanya Lailatul Qadar itu adalah pada malam 21, 24, 25, 27, 29 dan malam terakhir dari bulan Ramadan." Asy-Syafi'i berkata: "Itu hanyalah pendapat saya. Dan Allah Maha Mengetahui; di mana Nabi s.a.w. menjawab suatu pertanyaan sewaktu ditanya tentang Lailatul Qadar. Dikatakan kepada baginda bahawa kami mencarinya pada malam ini, kemudian baginda bersabda: "Carilah Lailatul Qadar itu pada malam ini." Asy-Syafi'i berkata: "Riwayat yang paling kuat menurut pendapat saya ialah bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada malam tanggal 21." Abu 'Isa berkata: "Diriwayatkan dari Ubbay bin Ka'b bahawasanya ia bersumpah bahawa Lailatul Qadar itu berada pada malam 27 di mana ia berkata: "Rasulullah s.a.w. memberitahukan kepada kami dengan tanda-tanda malam itu kemudian kami menyebut-nyebut dan menghafalnya." Diriwayatkan dari Abu Qilabah bahawasanya ia berkata: "Lailatul Qadar itu berkisar pada sepuluh terakhir." 'Abd bin Humaid memberitahukan yang demikian kepada kami, 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ma'mar dari Ayyub dari ABu Qilabah dengan maksud seperti itu." (Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 2)

2.
Ibnu Abi Umar ceritakan kepada kami, Sufyan menceritakan kepada kami dari Allah bin Abi Lubabah dan Ashim yang mendengar Zirr bin Hubaisy berkata: "Barang siapa melakukan ibadah sesaat setiap malam selama satu tahun, tentu dia memperoleh Lailatul-Qadar, Ubai berkata: "Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa Abu Abdur Rahman sesungguhnya dia telah mengetahui bahawa Lailatul-Qadar adalah pada sepuluh akhir dari bulan Ramadhan dan sesungguhnya Lailatul-Qadar adalah malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan tetapi dia menghendaki agar manusia tidak berpegang kepada perkiraan itu kemudian Ubai bersumpah yang pasti bahawa Lailatul-Qadar adalah. malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan". Ziir berkata kepada Ubai: "Dengan dasar apa kamu berkata demikian hai Abal-Mundair?"Dia berkata: "Dengan dasar tanda yang diberitahukan Rasulullah SAW kepada kita iaitu bahawa matahari pada waktu itu terbit tanpa ada cahaya". Hadis ini adalah hadis Hasan Sahih. (Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 5)

3.
Dari Ibnu Abbas r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Carilah malam Qadar itu pada sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan. Malam Qadar ia berada pada hari kesembilan, tujuh atau lima yang akhir (dari bulan itu)'. (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2)

4.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw., bersabda: "Barangsiapa melakukan solat di malam qadar kerana iman dan ikhlas, nescaya diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 1)

5.
Dari 'Abdullah bin Mas'ad r.a., katanya: "Siapa yang melakukan solat malam sepanjang tahun nescaya dia bertemu dengan "Malam Qadar" Jawab Ubay, "Demi Allah! Malam itu sesungguhnya terdapat dalam bulan Ramadhan. Demi Allah! Aku tahu malam itu, di mana Rasulullah saw. menyuruh kami menegakkannya (beribadah pada malam itu), iaitu yang kedua puluh tujuh Ramadhan. Tanda-tandanya ialah, esok pagi matahari kelihatan putih tanpa sinar yang mencorot." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

6.
Mewartakan kepada kami 'Ali bin Muhammad, mewartakan kepada kami Waki', dari Kahmas bin Al-Hasan, dari 'Abdullah bin Buraidah, dari 'Aisyah, bahawasanya dia berkata: "Wahai Rasulullah, apa pendapatmu kalau aku dapat menepati LaiIalul-Qadar, aku harus berdoa bagaimana?" Beliau menjawab: "Kamu harus berdoa: Ya Allah, sesunggunnya Engkau adalah Maha Pemaaf, yang menyukai pemaafan. Maka maafkanlah aku". (Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 4)

Thursday, September 10, 2009

GAJI PEMBANTU RUMAH

1. Duta Besar Indonesia di Malaysia baru-baru ini menyatakan hasratnya (saya fikir tentulah juga mewakili hasrat negara yang diwakilinya) untuk menuntut Kerajaan Malaysia menetapkan gaji minimum pembantu rumah Indonesia yang bekerja di negara ini 'dinaikkan' kepada RM800 sebulan.

2. Walaupun isu ini belum dikemukakan secara rasmi oleh Kerajaan Indonesia dalam mesyuarat rasmi kedua-dua negara, saya pasti 'rakyat Indonesia' pasti 'tertunggu-tunggu' keputusan Malaysia tentang tuntutan ini kerana meraka 'sangat berminat' dengan maklumbalas negara ini.

3. Sebahagian Rakyat Indonesia telah pun menunjukkan 'minat' mereka kepada Malaysia melalui demontrasi di beberapa daerah di negara itu (susulan isu Tarian Pandek) dengan membakar 'Jalur Gemilang', berniat 'mengancam' rakyat Malaysia di sana dan melancarkan misi 'Ganyang Malaysia'.

4. Walaupun tindakan itu dinafikan oleh kerajaan Indonesia sebagai melambangkan pendirian negara itu, tetapi didapati kerajaan Indonesia kurang serius mengambil tindakan serta mengawal ke atas sebahagian media di sana yang telah menyelar Malaysia.

5. Saya fikir berdasarkan isu gaji minimum pembantu rumah Indonesia ini, sebagai sebuah negara yang 'sangat prihatin' kepada negara jiran, maka kita perlu 'tunaikan' permintaan mereka.

6. Tak apa, naikkan saja kepada gaji minimum kepada RM800 sebulan (bersamaan RUPIAH 2,271,668 juta sebulan) pasti berita itu disambut 'baik' dan disukai oleh rakyat Indonesia. (Saya menonton berita yang menemubual beberapa rakyat Indonesia tentang isu ini menunjukkan mereka sangat 'setuju' kerana kalau bekerja di negara asal mereka sebagai seorang guru pun hanya berpendapatan bersemaan RM400 sebulan).

7. Kita naikkan gaji minimum pembantu rumah Indonesia itu bukan dengan niat untuk 'menyusahkan' majikan-majikan di Malaysia yang telah menggajikan pembantu rumah warga Indonesia, tetapi dalam masa yang sama kita menyediakan pelan altenatif dalam sektor pekerjaan pembantu rumah di negara ini.

8. Saya sangat bersetuju jika kita laksanakan gaji minimum ini pastilah akan 'membebankan' mereka yang memerlukan khidmat 'pembantu rumah' tetapi kesan bebanan itu akan bersifat sementara apabila altenatif pengambilan khidmat pembantu rumah dapat dilaksanakan.

8. Antara altenatif yang kita boleh fikirkan ialah untuk jangka masa pendek seperti mengenalpasti pembantu rumah dari negara lain misalnya dari China (Negara China juga mempunyai ramai penduduk Islam), Thailand dan beberapa negara lain yang sesuai dengan budaya dan agama di Malaysia.

9. Ini akan mengurangkan pergantungan kita kepada khidmat pembantu rumah Indonesia yang 'telah mahal'. Kenapa kita bimbang untuk ambil pembantu rumah dari negara lain? Sedangkan kita makan di restoran nasi kandar yang ramai pekerja berasal dari India dan Pakistan, kebanyakan restoran biasa dikendalikan oleh pekerja dan tukang masak dari Thailand. Kita membeli kain dan karpet daripada peniaga dari Pakistan dan Kemboja, basuh kereta di 'car wash' yang ramai pekerjanya dari Pakistan, pekerja sektor binaan kini terdiri ramai juga pekerja dari Pakistan, Myanmar dan Vietnam. Jadi mereka-mereka ini 'telah ada' di Malaysia dan kita 'telah pun menerima' kehadiran mereka.

10. Kalau fikir mereka ini akan mendatangkan masalah, akibat budaya dan bahasa yang 'berbeza' , tetapi kita selalu pun melihat banyak kes dan 'masalah' melibatkan pekerja-pekerja dari 'negara jiran' itu yang bahasa dan budayanya 'hampir sama'.

11. Tetapi itu hanya untuk jangka pendek, kita juga tidak boleh terlalu bergantung kepada warga asing dalam sektor pekerja tertentu ini, seharusnya strategi jangka panjang perlu memberi ruang dan peluang untuk warga tempatan menceburi industri pembantu rumah di negara ini.

12. Mungkin pada masa kini ramai rakyat tempatan kurang berminat bekerja sebagai pembantu rumah kerana mereka masih banyak pilihan kerja lain (misalnya kerja di kilang) atau terlalu memilih kerja atau sebahagian mereka beranggapan lebih baik 'tidak bekerja' daripada kerja sebagai 'orang gaji'.

13. Justeru, perlu difikirkan altenatif untuk menyediakan pakej pekerjaan sebagai pembantu rumah yang lebih baik kepada warga tempatan pada kadar mampu dibiayai oleh para majikan yang perlukan khidmat pembantu rumah. Misalnya mewujudkan konsep pembantu rumah yang bekerja secara 'part time' waktu pejabat atau waktu yang ditetapkan oleh majikan tanpa memerlukan mereka tinggal di rumah majikan secara sepenuh masa atau mewujudkan kontrak kerja secara hujung minggu sahaja atau kerja secara ikut jam, hari-hari tertentu atau datang bekerja apabila diperlukan dan beberapa altenatif lain yang boleh difikirkan oleh Kementerian Simber Manusia yang berpengalaman dalam pengurusan kerjaya ini.

14. Untuk jangka masa panjang negara kita akan 'untung' dan mungkin bidang pekerjaan pembantu rumah ini telah diterima positif oleh warga tempatan sebagai salah satu punca rezeki.

15. Berkenaan gaji minimum yang dituntut oleh Duta Indonesia itu, tidak pula pernah saya dengar sebuah negara menuntut atau mensyaratkan kepada negara lain untuk menetapkan gaji untuk rakyat mereka yang bekerja di negara luar. Misalnya tidak pula Malaysia menuntut gaji minimum bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, Brunei, Dubai, Arab Saudi, Indonesia, Jepun dan negara-negara lain.

16. Jika tuntutan seperti ini boleh dibuat ke atas negara lain, tentulah seronok untuk bekerja di tempat orang. Pelik....(nanti mungkin Pakistan dan Myanmar juga 'berminat' untuk tuntut perkara yang sama kepada kita).


SYEKSYEN 23 SHAH ALAM

1. Berdasarkan keputusan semasa, Kerajaan Negeri Selangor masih mengekalkan keputusan untuk memindahkan tapak kuil ke Syeksyen 23, Shah Alam dengan mengubah lokasi cadangan 400 meter daripada lokasi asal yang menjadi kontroversi.

2. Walaupun saya tidak bersetuju dengan tindakan demontrasi oleh sebahagian penduduk dan tindakan sebahagian mereka yang membawa 'kepala lembu' dalam demontrasi itu, namun saya bersimpati dengan 12 orang yang telah didakwa di mahkamah atas tindakan mereka. Enam orang daripada mereka juga didakwa atas Akta Hasutan kerana membawa dan memijak kepala lembu.

3. Saya berpendirian tidak menyalahkan mana-mana pihak, namun punca awalnya berasaskan keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang mahu memindahkan kuil berkenaan tanpa merujuk aspek prosedur pembangunan dan tidak berbincang dengan penduduk yang majoriti Islam di kawasan itu pastilah menimbulkan rasa tidak puas hati oleh ramai penduduk di situ.

4. Jika kerajaan negeri lebih 'bijak' dan prihatin pada peringkat awal mungkin mereka yang sedang didakwa di mahkamah itu tidak terlibat dalam tindakan 'kurang bijak' itu dan mereka menjalani kehidupan harian dengan baik. Risiko mereka yang didakwa itu mungkin akan menerima 'hukuman' oleh mahkamah di atas tindakan mereka.

5. Syabas ke atas tindakan pihak keselamatan negara yang tegas dalam menangani isu yang boleh menjejaskan keharmonian negara, tetapi tindakan seperti ini juga haruslah diambil tegas dan serius dalam menyiasat kes 'kepala babi' yang dilemparkan ke dalam masjid di Universiti Malaya dan kes kepala dan bangkai babi yang dilemparkan ke rumah orang Islam dan pantai di negeri Melaka pada tahun lepas.

Tuesday, September 8, 2009

AGAR SAYA TIDAK MUDAH LUPA

1. Agar saya tidak mudah lupa tanggungjawab sebagai hamba-Nya

2. Agar saya tidak mudah lupa 'keperitan' orang-orang terdahulu dalam menyediakan 'nikmat keselesaan' yang saya kecapi sekarang.

3. Agar saya tidak mudah lupa untuk menjaga maruah diri sendiri, agama, bangsa dan negara.

4. Agar saya tidak mudah lupa tanggungjawab untuk bersama-sama membina tamadun diri sendiri, agama, bangsa dan negara.

5. Agar saya tidak mudah lupa usaha untuk mencapai impian dan cita-cita.

6. Agar saya tidak mudah lupa untuk selalu bersyukur 'apabila dipilih' dan redha apabila diuji

7. Agar saya tidak mudah lupa untuk insaf dan sedar diri apabila 'tidak dipilih'

8. Agar saya tidak mudah lupa saya hanya 'dipinjamkan' sementara ke dunia dan pasti akan 'kembali'......

DIHILANGKAN SEBELUM MENGHILANG?

1. Hari ini menandakan masa yang berbaki untuk saya melakukan aktiviti harian di pejabat semakin singkat. Masa untuk saya 'pergi' semakin dekat, manakala memori dan kenangan saya di UUM akan semakin 'jauh'.

2. Pada pagi kelmarin (Isnin) peranan saya di UUM semakin 'dihilangkan' apabila Ketua Jabatan memberitahu bahawa bermula minggu depan tugas-tugas saya khususnya pengajaran kuliah perlu diserahkan kepada pensyarah baru.

3. Antara percaya dan tidak percaya maka minggu depan saya akan 'hilang nikmat' untuk mengajar di dewan kuliah dan bertemu pelajar (sesuatu yang memberikan kepuasan fikiran untuk saya sebelum ini).

4. Saya akan 'kehilangan' semua pelajar-pelajar saya.

5. Aktiviti harian saya juga akan berubah.

6. Tidak ada lagi pengajaran kuliah.

7. Tidak ada lagi mengemaskini nota kuliah pada waktu malam.

8. Tidak ada lagi peluang berjumpa pelajar di dewan kuliah.

9. Tidak ada lagi peluang berjumpa pelajar di bilik saya pada masa perundingan.

10. Tidak ada lagi peluang menyemak senarai kehadiran pelajar ke kuliah.

11. Tidak ada lagi peluang berdiskusi dengan pensyarah lain untuk mengemaskini nota kuliah.

12. Tidak ada lagi peluang melihat karenah pelajar di dewan kuliah.

13. Tidak ada lagi peluang melihat pelajar berderet-deret lambat masuk ke dewan kuliah.

14. Tidak ada lagi peluang melihat pelajar-pelajar mula resah apabila kuliah berbaki lagi 15 minit kerana semuanya suka apabila kuliah tamat lebih awal.

15. Tidak ada lagi peluang melihat pelajar yang datang hantar surat MC kerana tak hadir kuliah yang lepas.

16. Tidak ada lagi peluang melihat apabila selesai kuliah, ramai pelajar datang berjumpa saya untuk bertanyakan tentang assignment mereka.

17. Tidak ada lagi peluang untuk melihat pelajar-pelajar menjawab soalan peperiksaan akhir di dalam dewan peperiksaan.

18. Tidak ada lagi peluang membaca dan melihat jadual peperiksaan, kad matrik dan kad pengenalan pelajar semasa mereka sedang khusyuk menjawab soalan peperiksaan di dalam dewan.

19. Tidak ada lagi peluang membantu pelajar-pelajar yang angkat tangan semasa peperiksaan berjalan untuk bertanyakan soalan tentang kekeliruan mereka untuk menjawab.

20. Tidak ada lagi peluang tidak tidur malam menyemak kertas skrip jawapan peperiksaan pelajar-pelajar.

21. Tidak ada lagi peluang untuk mengukir kepuasan apabila result peperiksaan menunjukkan ramai pelajar dapat keputusan cemerlang.

22. Semua 'peluang' yang 'hilang' itu adalah sebahagian daripada 'kehidupan' saya.

23. Kini semua peluang itu semakin kabur dan suram.

24. Kini saya harus bersedia untuk 'pergi'....

25. 'Hilang' dari bumi Sintok...


Datang tidak perlu diminta, pergi tidak perlu disuruh, hadir bukan untuk dipandang, hilang bukan untuk dirasa...

Monday, September 7, 2009

NUZUL AL-QURAN

1. Alhamdulillah pada setiap 17 Ramadhan kita selaku umat Islam menyambut Nuzul Al-Quran di mana pada tarikh inilah dan pada bulan yang sangat mulia ini Allah S.W.T menurunkan wahyu pertama iaitu Al-Quran kepada junjungan besar Rasulullah S.A.W.

2. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad S.A.W. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa aA-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi S.A.W maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

3. ‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

(Sumber : http://www.islam.gov.my)

4. Jadi seharusnya, InsyaAllah dengan kemuliaan Ramadhan dan kesucian dan keagungan Al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadhan, maka saya menyeru kepada diri sendiri dan mengajak tuan-tuan dan puan-puan bersama-sama menghayati keindahan Ramadhan dengan turut memperbanyakkan masa untuk membaca Al-Quran sebagai tanda syukur kita kepada-Nya.

Sunday, September 6, 2009

ANTARA GARISAN

1. Dalam kehidupan kita ada dua bahagian iaitu putih dan hitam (macam malam dan siang).

2. 'Putih' itu mungkin cerah dan 'bersih' manakala 'hitam' pula mungkin gelap dan 'sesat'.

3. Tentu ada 'garisan' yang memisahkan antara 'putih' dan 'hitam'.

4. Tetapi selalunya kita 'tidak nampak' atau tidak perasan garisan itu.

5. Justeru, kadang-kala hidup kita 'putih' dan kadangkala 'hitam' sebab kita tak nampak garisan itu.

6. Selalulah kita memohon kepada-Nya supaya kita diberi 'penglihatan' untuk melihat garisan itu dalam mengatur hidup sendiri.

7. Seperti lirik lagu Datuk Sheila Majid - hitam putih kehidupan, sendirian menentukan, hidup ini usah persiakan.



Saturday, September 5, 2009

PUASA

1. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah berfirman: "Setiap amal anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku membalasi puasanya itu. Puasa itu bagaikan perisai; maka apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan jangan pula berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, maka hendaklah ia mengatakan: 'Aku ini puasa.' Demi Allah, yang diri Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Bagi orang yang puasa ada dua kegembiraan yang menggembirakannya: Apabila ia berbuka ia gembira, dan apabila ia menemui Tuhannya, ia gembira dengan puasanya. " (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2)

2. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah puasa sehingga kami katakan beliau tidak berbuka. Dan beliau pernah berbuka sehingga kami katakan beliau tidak puasa. Belum pernah saya melihat Rasulullah saw. mencukupkan puasa sebulan selain bulan Ramadhan. Dan saya tidak melihat beliau berpuasa (sunat) lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2)

3. Dari Quzatah r.a., katanya: "Aku mendatangi Abu Sa'id Al Khudri r.a., tetapi dia sedang banyak tetamu. Ketika para tetamu itu sudah pergi, aku berkata kepadanya: Aku tidak akan menanyakan masalah yang ditanyakan mereka itu, tetapi aku akan menanyakan perihal puasa dalam perjalanan." Jawab Abu Sa'id, "Kami pernah melakukan perjalanan bersama-sama Rasulullah saw. ke Mekah, sedangkan kami puasa. Lalu kami berhenti pada suatu perhentian. Maka bersabda Rasulullah saw., "Kamu semua sudah dekat ke tempat musuh; berbuka akan lebih menguatkan tubuhmu. Dan itU adalah suatu keringanan." Sebagian kami ada yang puasa sedang sebahagian lagi berbuka. Kemudian kami berhenti pula di tempat perhentian yang lain. Maka bersabda pula Rasulullah saw., "Esok pagi kamu akan menyerang musuh; dengan berbuka akan lebih menguatkan fizikmu; kerana itu berbukalah kamu semuanya!" Sabda beliau itu adalah perintah. Kerana itu berbukalah kami semuanya." Kata Abu Sa'id selanjutnya., "Saya fikir, sesudah itu kami selalu puasa bersama-sama Rasulullah saw. dalam setiap perjalanan." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

4. Dari Hamzah bin 'Amru Al Aslami r.a., bahawa dia bertanya kepada Rasulullah saw., katanya: "Aku kuat puasa dalam perjalanan. Berdosakah jika aku puasa?" Jawab Rasulullah saw., "Berbuka puasa dalam perjalanan adalah suatu keringanan dari Allah. Maka kerana itu, siapa yang mempergunakan keringanan itu baik, dan siapa yang lebih suka puasa tidak berdosa." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

5. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Seutama-utama puasa sesudah puasa Ramadhan ialah puasa bulan Muharram, dan seutama-utama solat sesudah solat fardhu ialah solat malam." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

6. Dari 'Abdullah bin Buraidah, dari bapanya, katanya: "Ketika aku sedang duduk dekat Rasulullah saw., sekonyong-konyong datang seorang wanita lalu dia bertanya: "Aku pernah memberikan seorang hamba sahaya perempuan kepada ibu ku dan kini ibu ku telah meninggal. Bagaimana itu?" Jawab beliau, "Engkau tentu mendapat pahala dari pemberianmu itu, dan sekarang pemberianmu itu kembali kepada mu sebagai pusaka." Tanya wanita itu, "Ibuku punya hutang sebulan puasa. Bolehkah aku puasa untuk membayarnya?" Jawab beliau, "Ya, boleh! Puasalah untuknya!" Tanyanya lagi, "Ibuku belum pernah haji. Bolehkah aku yang menghajikannya? Jawab beliau, "Ya, boleh! Hajikanlah dia!" (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

7. Dari' Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa meninggal dunia sedangkan ia ketinggalan puasanya, (maka puasa yang ketinggalan itu) boleh dipuasakan (dibayar) oleh walinya." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2)

8.
Dari Ziyad Ibnu Jubair r.a., katanya ada seorang lelaki bertanya kepada Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Aku bernazar akan puasa satu hari. Kebetulan harinya bertepatan dengan hari raya Adha atau Fitri. Bagaimana itu?" Jawab Ibnu 'Umar r.a., " Allah memerintahkan supaya membayar nazar. Dan Rasulullah saw. melarang puasa pada hari ini." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

9. Dari Sahal bin Sa'ad r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Di dalam syurga ada sebuah pintu yang disebut Ar Rayyan. Orang-orang yang diperkenankan masuk ke syurga melalui pintu itu pada hari kiamat kelak hanyalah orang-orang puasa, sedangkan yang lainnya tidak diperkenankan. Mereka akan dipanggil, "Hai, orang puasa! Maka masuklah mereka melalui pintu itu. Setelah orang yang terakhir masuk, pintu itu segera ditutup dan dikunci, sehingga yang lain-lain tidak dapat lagi melaluinya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

10. Dari Zuhari r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Apabila kamu diundang orang makan, padahal kamu puasa, jawablah: "Aku puasa!" (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

11. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang makan minum kerana lupa sedangkan dia puasa, maka hendaklah diteruskannya puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang telah memberinya makan dan minum." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

12. Dari Abdullah r.a., katanya kami pernah mendengar Nabi saw. bersabda: "Barangsiapa yang telah merasa sanggup untuk berumah tangga, maka hendaklah ia kahwin. Sesungguhnya kahwin itu lebih melindungi penglihatan dan lebih memelihara bagi kehormatan. Dan siapa yang belum sanggup hendaklah dia puasa, kerana puasa itu dapat mengurangi nafsu berahi. (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2)

13. Dari Abu Hurairah r.a., (hadis ini juga dari Qutaibah), katanya: "Orang-orang fakir Muhajirin datang kepada Rasulullah saw., lalu mereka berkata: Orang-orang kaya sudah meraih darjat tinggi serta kenikmatan yang kekal abadi. Tanya Rasulullah saw., "Kenapa begitu?" Jawab mereka, "Mereka solat seperti kami solat, dan mereka puasa seperti kami puasa. Dan mereka dapat bersedekah sedang kami tidak dapat bersedekah. Mereka dapat memerdekakan budak, sedangkan kami tidak." Sabda Rasulullah saw., "Sukakah kamu kuajarkan kepada mu suatu amal, yang dapat memperoleh pahala orang-orang dahulu serta mendahului pahala orang yang sesudah kamu? Dan tidak akan ada orang yang lebih mulia daripadamu, melainkan orang yang mengamalkan seperti amalanmu." Jawab mereka, "Tentu, ya Rasulullah! Sudah tentu kami suka." Sabda Rasulullah saw., "Hendaklah kamu tasbih, takbir dan tahmid, masing-masing tiga puluh tiga kaIi setiap selesai solat. Kata Abu Shalih, "Kemudian orang-orang, itu datang pula kembali kepada Rasulullah saw., lalu kata mereka, "Kami dengar orang-orang kaya itu mengamalkan pula seperti amalan kami." Jawab Rasulullah saw., "Itu adalah kurnia Allah yang dikurniakanNya kepada siapa yang dikehendaki-Nya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 1)

14. Dari Mu'adzah r.a., katanya: "Aku bertanya kepada 'Aisyah r.a., 'Mengapa orang haid wajib mengqadha puasa, tetapi tidak wajib mengqadha solat?" Jawab 'Aisyah, "Apakah anda orang Haruriyah?" Jawab ku, "Bukan! Aku bukan orang Haruriyah! Tetapi aku bertanya." Jawab 'Aisyah, "Itulah suatu keuntungan bagi kita (wanita). Kita diwajibkan mengqadha puasa tetapi tidak diwajibkan mengqadha solat." (Hadis Sahih Muslim Jilid 1)

Thursday, September 3, 2009

TAKZIAH

1. Saya mengucapkan takziah kepada Tun Dr. Mahathir di atas kepulangan kakak sulung beliau ke rahmatullah kelmarin. Bagaimanapun saya mendoakan agar Tun terus cekal dan kuat untuk membantu membina sebuah tamadun bangsa Melayu yang maju dan mengukuhkan kedaulatan dan martabat negara ini.

2. Takziah juga saya ucapkan kepada rakyat Indonesia khususnya keluarga mangsa yang telah terkorban akibat gempa bumi kuat yang berlaku di negara itu kelmarin.

3. Gempa bumi kuat pada 7.3 skala richter yang berlaku berhampiran Tasik Malaya, Jawa Barat menyebabkan sebahagian besar kawasan di Kepulauan Indonesia mengalami gegaran hingga menyebabkan 35 orang terkorban, lebih 300 yang cedera dan berlaku banyak kemusnahan harta benda di beberapa kawasan.

4. Saya pernah mengulas mengenai bencana gempa bumi ini dalam entry sebelum ini di mana pakar-pakar seismologi telah pun meramalkan akan berlaku gempa bumi yang kuat berhampiran Jakarta. Berdasarkan gempa yang berlaku kelmarin, maka tepatlah ramalan pakar-pakar tersebut dan saya percaya akan banyak lagi risiko gempa susulan kerana pakar-pakar ini juga mendedahkan bahawa kawasan kepulauan Indonesia kini terdedah kepada garisan aktif pergerakan plak bumi yang boleh menyebabkan lebih banyak berlaku gempa bumi pada masa depan.

5. Negara kita juga terdedah kepada risiko ini kerana kedudukannya yang sangat dekat dengan Indonesia.

6. Saya juga mengucapkan takziah kepada semua mangsa banjir di Kedah khususnya penduduk di Daerah Yan kerana sebahagian mereka terpaksa menyambut ketibaan bulan Ramadhan pada minggu lepas di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir akibat kampung mereka ditenggelami banjir kerana limpahan air sungai akibat hujan lebat yang turun berlarutan tanpa henti semenjak minggu lepas.

7. Masalah banjir di Yan ini sering berlaku setiap tahun dan berisiko tinggi apabila kadar hujan yang tinggi ataupun turun berlarutan tanpa henti. Saya percaya mungkin pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kerajaan Negeri Kedah memandang serius isu ini dan mungkin juga telah ada usaha atau perancangan projek penebatan banjir di kawasan itu.

8. Namun, kos projek penebatan banjir ini sangatlah tinggi dan mengambil masa yang panjang untuk disiapkan. Namun, saya fikir strategi jangka panjang harus dikenalpasti kerana projek penebatan banjir bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian, mungkin kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan harus mengambil berat dan lebih prihatin terhadap sebarang bentuk perancangan dan pembangunan projek fizikal di daerah ini pada masa depan.