Thursday, July 29, 2010

95,000 RUMAH KOS RENDAH

1. Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terdapat lebih 95,000 keluarga yang bependapatan sederhana dan rendah di seluruh negara memerlukan rumah dan tempat tinggal (baca sini).

2. Ini bermakna kerajaan adalah pihak yang mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk menyediakan rumah kos rendah ini memandangkan pihak swasta pastinya tidak akan melihat projek pembinaan perumahan kos rendah sebagai motif utama penjanaan keuntungan syarikat mereka.

3. Setakat ini pihak pemaju swasta hanya diwajibkan membina 30% rumah kos rendah daripada setiap pembangunan projek perumahan yang dibangunkan oleh mereka di sesuatu kawasan.

4. Pada masa kini, tanggungjawab menyediakan rumah kos rendah kini banyak bergantung kepada peruntukan di bawah KPKT, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan syarikat milik kerajaan iaitu pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

5. Harga jualan seunit rumah kos rendah pada masa kini ialah di antara RM25,000 - RM42,000 bergantung kepada lokasi kawasan perumahan dan jenis rumah kos rendah tersebut (rujuk sini).

6. Berdasarkan harga jualan, dapat saya anggarkan bahawa anggaran kos pembinaan sebuah rumah kos rendah ialah antara RM20,000 hingga RM30,000 (jika margin keuntungan ialah pada kadar 30%) atau secara purata boleh dianggarkan kos pembinaan sebuah rumah kos rendah ialah RM25,000.

7. Andaikan kos purata pembinaan sebuah rumah kos rendah ialah RM25,000 dan terdapat 95,000 buah rumah kos rendah perlu disediakan, maka keseluruhan perbelanjaan yang diperlukan ialah hampir RM2.4 billion perlu disediakan oleh kerajaan sekiranya keseluruhan projek ini diletakkan di bawah tanggungjawab KPKT, KKLW dan SPNB.

8. Baru-baru ini kos pembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur telah meningkat daripada RM400 juta kepada RM800 juta (baca sini). Saya tidak tahu apakah keperluan yang mendesak sehinggakan perlunya Istana Negara yang baru perlu dibina. Mungkin Istana Negara yang sedia ada sudah lama dan tidak selamat diduduki lagi. Mungkin...

9. Dengan RM800 juta berkenaan, sebanyak 32,000 unit rumah kos rendah boleh dibina iaitu 1/3 daripada jumlah 95,000 unit rumah kos rendah yang diperlukan oleh rakyat yang berpendapatan rendah.

10. Pada tahun 2006, apabila tindakan kerajaan telah membatalkan projek pembinaan Jambatan Bengkok yang akan menggantikan Tambak Johor, maka kerajaan telah terpaksa membayar ganti rugi atau pampasan kepada syarikat kontraktor yang dilantik iaitu Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) sebanyak RM254.7 juta (baca sini).

11. Dengan wang sebanyak RM254.7 juta tersebut sebanyak 10,188 unit rumah kos rendah boleh dibina kepada rakyat yang berpendapatan rendah. Tetapi baru-baru ini, kerajaan dijangka berkemungkinan akan mengkaji semula keperluan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor. Saya yakin kos projek yang baru itu mungkin akan meningkat berkali-kali ganda berbanding kos asal sepertimana yang terjadi ke atas projek pembinaan landasan berkembar antara Padang Besar-Johor Bahru.

12. Isu semasa juga menunjukkan kerajaan sedang mengkaji keperluan pembinaan Bangunan Parlimen yang baru di Putrajaya. Saya tidak tahu apakah keperluan yang terlalu mendesak sehinggakan Bangunan Parlimen perlu dibina di Putrajaya dan kenapakah isu penyelenggaraan Bangunan Parlimen sedia ada masih tidak selesai sedangkan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan tersebut kerap kali dilakukan.

13. Boleh saya anggarkan jika benar kerajaan mahu membina Bangunan Parlimen yang baru dibina di Putrajaya, mungkin kos pembinaannya dianggarkan sekitar RM200 juta (setelah merujuk kos pembinaan 'Masjid Besi' juga menelan belanja RM200 juta). Sebagai rakyat biasa, saya berpendapat bahawa tidak perlu Bangunan Parlimen yang baru dibina di Putrajaya, tetapi sebaliknya Parlimen boleh dibawa ke Putrajaya dengan menggunakan Putrajaya International Convention Centre (PICC) sebagai tempat persidangan Parlimen. Pada masa kini saya yakin bahawa kemudahan dan kecanggihan PICC belum dimanfaatkan sepenuhnya dan berpotensi tersenarai dalam projek yang dilabel sebagai 'projek gajah putih'.

14. Tetapi jika kerajaan masih mahu membina Bangunan Parlimen yang baru di Putrajaya, maka sekali lagi kos yang tinggi perlu dibelanjakan. Jika kos projek itu dalam anggaran RM200 juta maka dengan jumlah yang sama kerajaan boleh membina sebanyak 8,000 unit rumah kos rendah untuk rakyat berpendapatan rendah. Mungkin para Yang Berhormat (YB) dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat boleh duduk selesa dan sejuk di dalam dewan dan bangunan baru tapi hampir 8,000 keluarga di luar sana masih belum mempunyai tempat tinggal yang bersesuaian untuk mereka.

15. Laporan Ketua Audit Negara 2009 telah mendedahkan bahawa Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh telah mengalami peningkatan kos pembinaan sebanyak RM1.43 bilion iaitu kepada RM5.77 bilion daripada kos asal yang berjumlah RM4.34 bilion. Menurut Ketua Audit Negara, kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM1.14 bilion akibat peningkatan kos berkenaan (baca sini). Mungkin jika dilihat pada jumlah kerugian sebanyak RM1.14 bilion tersebut, ianya boleh membina 45,600 unit rumah kos rendah!

16. Jadi, berdasarkan jumlah perbelanjaan kerajaan ke atas beberapa projek yang mungkin kurang perlu atau bayaran terhadap kerugian yang terpaksa ditanggung, maka kos yang telah dibelanjakan itu jika dinilai keutamaan terhadap golongan berpendapatan rendah, maka sebanyak 95,788 buah rumah kos rendah mampu dibina untuk rakyat miskin dan kurang berkemampuan.

17. Berdasarkan perbelanjaan kerajaan terhadap hanya 4 projek yang telah, sedang atau akan dilaksanakan seperti yang dibincangkan, perbelanjaan tersebut telah menyamai kos pembinaan 95,788 unit rumah kos rendah sekaligus memenuhi keperluan 95,000 unit rumah kos rendah seperti yang dibentangkan dalam kajian oleh KPKT. Jika 95,788 unit rumah kos rendah ini ialah satu realiti, sebenarnya kerajaan berjaya menyediakan tempat tinggal kepada 95,788 keluarga atau bersamaan 478,940 rakyat Malaysia (jika purata 5 isirumah dalam setiap keluarga). Tetapi...

18. ...benarkah rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan...?

Saturday, July 24, 2010

RAMADAN KNIGHTS by HIKMAHWAY INSTITUTE

Ramadan Knights is a complete Fiqh course run by HikmahWay and taught by Sheikh Aslam AbuIsmaeel. Complete online version taught over 7-weeks with Q&A opportunity right throughout month of Ramadan.

Topics covered in the course include:
  • History of Ramadan
  • Its merits
  • Fiqh of Fasting
  • The Excellence of The Prophet SAW during Ramadan
  • Fiqh & joy of Taraweeh Prayers
  • Seeking Reward in Laylatul-Qadr
  • Eid Prayers: The beautiful spirit, its Fiqh and avoiding controversies!
  • Also, Zakah: Rulings and Calculations
This online course is completely free. For register, please click here.


Thursday, July 22, 2010

MELAYU DAN MASA DEPAN

1. Saya cuba untuk elakkan daripada mengulas tentang soal politik, kerana saya tidak layak untuk mengulas perkara ini, walaupun hati saya sangat dekat dengan politik. Tetapi, apabila mengenangkan nasib bangsa sendiri dan masa depan generasi seterusnya, hati saya sedih dan sakit. Bagaimanakah sebuah agama, bangsa dan negara yang bakal kita wariskan kepada anak dan cucu kita nanti, akibat hasil tangan-tangan kita yang sedang merosakkan masa depan mereka?

2. Sedih dan sakit bila melihat Melayu telah berpecah dan bersengketa sesama sendiri. Ya, memang pun Melayu telah lama berpecah, perkara ini bukan isu yang baru. Tetapi samapai bila? Ke mana Melayu selepas ini? Adakah kita akan terus kekal sebagai bangsa yang semakin lemah dan akhirnya tamadun Melayu akan hilang nilainya? Adakah kita rela dan suka melihat apa yang sedang berlaku kepada Melayu sekarang dan merelakan ianya terus berlaku?

3. Ini bukanlah soal kuasa Melayu, kalau difikirkan soal kuasa, setakat mana kuasa yang kita mahu? Adalah mustahil kuasa Melayu akan muncul untuk memerintah dunia, sedangkan bangsa lain pun tidak akan mampu memerintah seluruh dunia. Allah menciptakan kita dengan batasan-batasan kuasa yang tertentu supaya kita tidak menjadi bangsa yang zalim di atas muka bumi ini. Cukuplah jika Melayu mempunyai kuasa untuk memelihara agama Islam, menjaga perpaduan manusia, memelihara tamadun bangsa dan memaju serta memakmurkan bumi Malaysia secara adil dan saksama.

4. Sebagai sebuah bangsa Melayu di Malaysia, kita seharusnya paling bersyukur dan paling bertuah kerana dianugerahkan oleh Allah SWT dengan sebesar-besar anugerah iaitu Islam. Jadi Melayu itu Islam, Islam itu adalah orang Melayu di Malaysia. Sepatutnya apabila Islam itu adalah Melayu dan Melayu itu orang Islam, maka kita seharusnya boleh menjadi sebuah bangsa yang paling bertamadun dan contoh bangsa yang terbaik kepada bangsa-bangsa lain kerana kemuliaan dan keagungan Islam itu ada pada orang Melayu. Namun, akibat perpecahan, kita telah menjadi sebuah bangsa yang lemah, saling bersengketa sesama sendiri, Islam dan Melayu tidak dihormati.

5. Sedihnya di Malaysia pada masa kini, Melayu telah berpecah kepada empat golongan iaitu UMNO, PAS, PKR dan golongan mereka yang berkecuali dari mana-mana kumpulan politik ini. Politik telah menciptakan perpecahan Islam dan Melayu. Akibat perpecahan ini, kita tidak bersatu hati, lebih malang lagi kita bertelagah dan bersengketaan sesama sendiri. Semakin kurangnya nilai-nilai Islam dalam diri kita yang menyeru kepada ummah yang bersatu padu. kita lebih dilihat suka menjatuhkan antara satu sama lain. Politik menjadikan kita ego untuk bersaing dalam mendapatkan kuasa dan kedudukan. Politik juga bukan sahaja memecah-belahkan Melayu kepada UMNO, PAS dan PKR, tetapi memecah-belahkan Melayu di dalam UMNO, Melayu di dalam PAS, dan Melayu di dalam PKR untuk merebut kuasa di dalam parti masing-masing. Akhirnya menjadikan matlamat dan perjuangan kita lebih kepada untuk mendapatkan dan mengekalkan kuasa berbanding memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

6. Di sini harus kita akui bahawa politik Melayu semakin kotor dan tercemar, misalnya di dalam UMNO pemilihan pemimpin-pemimpin dari peringkat bawah hingga ke peringkat tertinggi sangat tercemar dengan gejala rasuah dan nepotisme, hinggakan ramai yang berebut untuk mendapatkan kerusi sebagai pemimpin dari peringkat cawangan hingga ke peringkat majlis tertinggi kerana menganggap kedudukan tersebut sebagai lesen untuk menjana kekayaan dan mencipta nama. Tidak apa rasuah dan nepotisme, asalkan jawatan tersebut dapat diperolehi, maka matlamat pemimpin Melayu di sini bukanlah untuk perjuangan agama, bangsa dan negara tetapi lebih kepada kepentingan diri sendiri dan kroni. maka wujudlah pemimpin-pemimpin yang kurang berkualiti.

7. Kepada pemimpin-pemimpin sebegini, ingatlah, kita bukan hidup untuk selama-lamanya, begitu juga kita bukan akan berkuasa untuk selamanya, janganlah apabila kita sudah kehilangan kuasa dan kedudukan nanti, baru timbul rasa menyesal dalam diri kita terhadap keburukan dan kerosakan yang telah kita lakukan, kemudian apabila kita telah kehilangan kududukan dan kuasa, lalu melihat orang Islam dan Melayu masih jauh ketinggalan, kemudian merasa teramat menyesal dan baru berfikir mengapalah ketika sedang berkuasa kita tidak memimpin dengan jujur dan amanah, tidak mengambil peluang melaksanakan suruhan agama Islam dan tidak memperjuangkan mengubah nasib bangsa Melayu. Pada waktu itu, menyesal sudah tidak ada gunanya lagi, hanya tunggu dan lihatlah sahaja kerosakan yang terus berlaku kepada Islam dan Melayu akibat kerakusan tangan-tangan pemimpin kita.

8. Gejala yang berlaku dalam UMNO juga boleh dan telah berlaku juga di dalam PAS dan PKR kerana selagi bernama manusia, harta, pangkat dan kedudukan tidak akan lepas daripada hawa nafsu manusia. Melayu di dalam PAS dan PKR juga tidak lepas daripada keinginan untuk mendapat kedudukan dan pangkat. Manusia tidak sabar apabila diuji dengan pangkat dan kuasa, akhirnya mereka lupa kepada tanggungjawab sebagai pemimpin. Walaupun memperjuangkan Islam dan keadilan, namun, PAS dan PKR juga turut menyumbang kepada perpecahan Islam dan Melayu. Akibat matlamat keinginan yang tinggi untuk berkuasa dan menjatuhkan UMNO, maka tindakan-tindakan yang dilakukan boleh membelakangi kehendak Islam dan merugikan Melayu.

9. Islam akan terus lemah dan orang Melayu akan terus rugi di Malaysia selagi mereka bersengketa akibat perjuangan politik yang berbeza matlamat melalui UMNO, PAS dan PKR. Kita perlu bersatu untuk memenuhi tuntutan agama Islam dan memperbaiki nasib Melayu. Saya tidak fikir konsep bersatu itu perlu diterjemah dalam cara UMNO, PAS dan PKR perlu bergabung menjadi satu parti politik, mungkin perkara ini sukar akibat berbeza dasar dan matlamat perjuangan.

10. UMNO dan PAS perlu terus wujud sebagai dua parti politik Islam dan Melayu yang boleh bekerjasama secara konsisten dalam melaksanakan syariat Islam dan memberi keadilan terhadap pembangunan Melayu serta bangsa lain di negara ini. Daripada itu, persengketaan sesama Islam dan Melayu dapat dijauhi dan agihan kuasa dapat dibuat secara adil dan toleransi antara kedua-dua parti. Mungkin ramai dari kita yang sedar atau tidak, MCA, GERAKAN dan DAP sebenarnya bekerjasama untuk menjaga bangsa mereka walaupun parti-parti ini berada dalam kumpulan yang berlainan.

11. Antara Melayu dan Islam, Islam itu lebih penting. Justeru, agenda utama dalam UMNO dan PAS harus meletakkan Islam sebagai matlamat utama dalam pentadbiran dan pengagihan pembangunan negara. UMNO perlu memberhentikan retorik tentang perjuangan kepentingan Melayu dan Bumiputra kerana keadilan dalam Islam itu pasti akan memihak kepada Melayu dan juga adil kepada agama serta bangsa-bangsa lain.

12. Untuk terus relevan, UMNO haruslah akui dan sanggup mengubah keadaan dalaman mereka terhadap sistem memilih pemimpin agar bebas dari semua bentuk rasuah dan nepotisme. Hanya melalui perubahan ini, UMNO akan kembali pulih dan mempunyai pemimpin-pemimpin yang jujur dan amanah dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara. PAS pula haruslah bersedia membuang perasaan dendam mereka untuk menjatuhkan UMNO, sebaliknya PAS juga harus bersedia menjadi sebuah parti besar bersama UMNO untuk memperjuangkan agama Islam, memartabatkan maruah Melayu dan melaksanakan kedilan untuk semua agama dan bangsa di negara ini. Harus diakui bahawa orang Melayu tidak boleh kehilangan UMNO dan PAS. Cuma kita tidak mahu satu bertindak sebagai pemerintah, satu lagi bertindak sebagai pembangkang, lalu persengketaan terus berlaku. Apa yang kita mahu ialah kedua-duanya bekerjasama sebagai satu haluan dan matlamat yang sama demi Islam, Melayu dan Malaysia.

13. Ingatlah bahawa di Malaysia, Islam itu adalah orang Melayu dan orang Melayu itu adalah Islam, jika Islam dinobatkan sebagai matlamat yang tertinggi, InsyaAllah keadilan akan terlaksana, Melayu akan maju dan agama serta bangsa lain akan menikmati keadilan dan kesenangan di bumi Malaysia.

14. Saya memohon maaf sekiranya ulasan saya ini mungkin tidak menyenangkan sesetengah pihak, saya bukanlah orang yang layak mengulas perkara ini, namun sekadar menyatakan kerisauan terhadap nasib orang Islam dan Melayu, anak dan cucu saya di masa hadapan. Jika kerosakan yang sedang berlaku sekarang tidak ditegur atau diperbetulkan, maka kita berisiko mewariskan sebuah tamadun dan negara yang rosak kepada mereka, akhirnya generasi depan pasti akan menyalahkan kita kerana kita tidak menggunakan nikmat masa, kuasa dan kepintaran yang dianugerahkan kepada kita untuk memperbaiki nasib diri dan bangsa sendiri. Bukankah Allah SWT telah berjanji akan menolong sesuatu kaum yang ingin mengubah nasib mereka sendiri? Sebagaimana firman Allah SWT : "...Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..." (Surah Ar-Ra'd, ayat 11).

14. Saya juga ini menekankan bahawa saya tidak menyatakan bahawa semua pemimpin yang ada sama ada dalam UMNO atau PAS atau PKR adalah tidak jujur dan amanah, ramai daripada mereka sangat jujur dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Namun, sistem yang ada sekarang hampir rosak dan perlu diperbaiki.

15. Beberapa sahabat dan kawan pernah menyatakan kepada saya "Hang perlu masuk politik suatu hari nanti". Menjadi pemimpin adalah amanah dan tanggungjawab yang sangat besar, bukan semua orang layak menjadi pemimpin, mungkin saya juga tidak layak. Menjadi pemimpin bukan sekadar kerana kita dipilih menjadi pemimpin, kalau kerana sekadar kita dipilih, mungkin ramai yang boleh dipilih dan ada juga yang sanggup membeli 'undi' agar mereka dipilih. Akhirnya, pemimpin yang dipilih itu, bukanlah seorang yang 'layak memimpin' tetapi hanyalah 'orang yang mahu jadi pemimpin'. Seorang 'pemimpin' ialah apabila dia benar-benar tahu apa itu amanah dan tanggungjawab bukan sekadar tahu apa itu pangkat dan kuasa.

16. Mungkin saya boleh menjawab kepada sahabat dan kawan-kawan saya, "Pada masa kini, terlalu banyak fitnah dikaitkan dengan politik seperti mahu jadi pemimpin kerana inginkan harta kekayaan, mahu jadi pemimpin kerana ingin mencipta nama, mahukan kedudukan dan pangkat serta penghormatan. Jadi untuk elakkan fitnah sebegini, sebelum ingin masuk politik atau menjadi pemimpin, kenalah kayakan dulu diri dengan ilmu yang bermanfaat terutamanya tingkatkan dulu ilmu agama, bina nama melalui kepakaran daripada ilmu yang dipelajari, daripada kepakaran orang akan mengenali kita, bila orang yang berilmu, dia akan hormat pada orang, barulah orang juga akan hormat pada kita, daripada ilmu yang bermanfaat kita boleh membantu mengubah keadaan kepada yang lebih baik, barulah orang akan memerlukan perkhidmatan kita, biarlah orang memerlukan perkhidmatan kita kerana kebaikan yang boleh kita berikan, kemudian berkhidmatlah dengan jujur dan amanah kerana agama, bangsa dan negara, InsyaAllah mungkin daripada itu barulah kita ada ciri-ciri seorang pemimpin. Cabaran menjadi pemimpin juga besar apabila dikaitkan dengan mencari kekayaan, maka carilah kekayaan dan binalah empayar kekayaan daripada ilmu yang bermanfaat itu sebelum menceburi politik, supaya tiada lagi fitnah untuk kita dalam soal harta dan kedudukan, dan InsyaAllah ketika itu jika dipilih untuk menjadi pemimpin pun adalah atas kelayakan dan keyakinan masyarakat terhadap kita dan Allah akan memberi laluan yang mudah untuk kita memikul amanah dengan jujur kerana kita telah berusaha mengatasi segala fitnah-fitnah ini".

Monday, July 19, 2010

HIKMAHWAY INSTITUTE COURSES

All muslims are invited to join these online courses. I have joined the Da'wah Course by Imtiaz Ahmed. The course is online and completely free.



YA ALLAH, DEKATKANLAH HATIKU PADA TANAH SUCIMU



Ya Allah, berikanlah aku kelapangan rezeki, kesihatan dan kesempatan masa serta umur untuk aku berupaya menunaikan ibadah haji dan umrah di Tanah Suci-Mu sebelum datang lima perkara kepadaku:

ketika aku masih waras dan sihat, sebelum aku diuji dengan kesakitan
ketika aku masih mempunyai kelapangan rezeki dan menikmati kesenangan, sebelum aku diuji dengan kesempitan
ketika aku masih memiliki sedikit kelapangan masa, sebelum aku diuji dengan kesibukan yang melampau
ketika aku masih di usia muda dan berkemampuan, sebelum datangnya usia tuaku dan nyanyuk singgah padaku
ketika aku masih mampu bernafas dan berupaya sujud serta rukuk kepada-Mu, sebelum Engkau hantarkan Malaikat Maut datang menjemputku...

Ya Allah, izinkanlah kesempatan untuk aku bersujud kepada-Mu di Tanah Suci-Mu dan debu-debu tanah suci itu sempat melekat di dahi serta dua tapak tanganku...

Sunday, July 18, 2010

MUNAJAT KEAMPUNAN



Ampunilah aku Ya Allah, Tuhan pentadbir makhluk

Ampunilah aku Ya Allah, daripada segala dosa
Ya Allah Ya Tuhanku, tambahi bagiku ilmu yang bermanfaat
Dan taufiqkan aku dengan amalan yang diterima
Dan kurniakanlah kepadaku rezeki yang luas
Dan terimalah ke atasku taubat yang nasuha

Aku adalah seorang hamba yang fakir
Sesungguhnya aku fakir dan amat memerlukan pertolongan-Mu
Dan cukupkanlah aku dengan ilmu dan rahmat-Mu Ya Allah
Ya Tuhanku yang menguasai diriku
Ya Allah, Engkau Maha Mengetahui bagaimana hamba-Mu ini...

YA ALLAH, AMPUNILAH DOSA-DOSAKU



Kabulkan taubatku
Ampuni dosa-dosaku

Hanyalah Engkau pengampun dosa hamba-Mu

Dosa-dosaku tak terhitung bagai debu
Ya Illahi terimalah amal taubatku

Sisa umurku berkurang setiap hari
Dosa-dosaku makin bertambah Yaa Illahi

Hamba yang berdosa datang bersimpuh Menyembah-Mu
Mengaku menyeru dan memohon ampunan-Mu...

BIASISWA YANG DI-PERTUAN AGONG TAHUN 2010

Public Service Department has open invitations for qualified Malaysia citizen to apply for BIASISWA YANG DI-PERTUAN AGONG TAHUN 2010 to pursue Master Degree or PhD. Programme locally or abroad leading to Science & Technology, Economy or Law programme.

Number of Award

  • 6 for Master Degree programme
  • 6 for Ph.D. programme

Value of Scholarship

  • In Malaysia RM1,760.00 (Master Degree)/ RM 2,500 (Ph.D.)
  • Amerika Syarikat USD 1,923.00
  • United Kingdom £ 1,639.50
  • Australia AUD 2,070.00
  • New Zealand NZD 2,174.00

Eligibility Criteria

  • Malaysia citizens
  • Age not more than 30 years during application
  • Holds a recognized bachelor Degree/ Master Degree with a minimum of CGPA 3.75 or equivalent.
  • Active in co-curriculum activities
  • Preference will be given to those able to speak third international language.
  • Obtained a place at local universities or reputable universities abroad (Ivy League) in Science & Technology, Economy or Law programme.

Service Bond

The scholars are required to return to Malaysia upon completion of studies and to serve the Government for a minimum period of 5 years.

How To Apply

Please complete the application form (can download at portal www.jpa.gov.my or http://esilav2.jpa.gov.my ) and relevant certificates are to send to :
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Bahagian Pembangunan Modal Insan
Aras 5, Blok C1, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62510 PUTRAJAYA.
(u.p: Unit Penawaran Latihan Sebelum Perkhidmatan)
Semua pertanyaan atau kemusykilan dalam urusan ini bolehlah menghubungi:
Unit Penawaran Latihan Sebelum Perkhidmatan
Telefon: 03-8885 3436 / 3892
Faks: 03-8889 2172
Emel: esila@jpa.gov.my

Details of the scholarship

can be found at www.jpa.gov.my or http://esilav2.jpa.gov.my or read the original advertisement.

Closing date

Closing date of application is 30 july 2010.

(Source : http://malaysia-scholarship.net/)

Friday, July 9, 2010

UUM DAN PROFESOR

1. Pertama sekali saya ucapkan tahniah kepada Prof Dr. Mohamed Mustafa Ishak di atas perlantikan beliau sebagai Naib Canselor UUM yang baru.

2. Melalui bacaan wawancara di akhbar (baca sini), saya yakin beliau mampu memimpin dan memacu UUM ke arah pencapaian yang lebih tinggi, berdaya saing dan cemerlang di masa hadapan.

3. Usaha untuk melonjakkan UUM menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang cemerlang dan terkemuka bukanlah merupakan usaha satu pihak, tetapi memerlukan kerjasama yang menyeluruh oleh semua komuniti UUM iaitu kakitangan akademik, pengurusan, pentadbiran, pelajar dan semua organisasi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sama ada di dalam atau di luar universiti. Ia juga termasuk struktur universiti perlulah efisien dan efektif, dan lebih penting ialah kualiti program akademik yang ditawarkan harus bernilai tinggi, berdaya maju dan berdaya saing dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

4. Kerjasama sebagai 'satu pasukan' amat penting dan ditambah lagi dengan suasana persekitaran kampus yang kondusif dan kemudahan prasarana serta infrastruktur yang lengkap sangat membantu perkembangan UUM.

5. Komitmen untuk melonjakkan UUM di peringkat antarabangsa amatlah baik, namun, apabila Naib Canselor mengatakan "Untuk sampai ke tahap itu, kita perlu ramai profesor bertaraf antarabangsa yang berkebolehan namun ia mungkin satu perkara yang sukar dilakukan UUM memandangkan keupayaan kita agak terbatas dari segi kewangan. Namun ia tidak menjadi sebab untuk kita tidak mampu berbuat demikian. Oleh itu kita mengambil ramai profesor pelawat bertaraf antarabangsa yang membantu mengikut kepakaran masing-masing. Ketika ini di UUM sudah ada 30 peratus profesor pelawat yang dijemput khas untuk mencurahkan ilmu pengetahuan mereka kepada pelajar UUM dan pada awal Julai nanti kita akan bawa masuk 114 lagi profesor pelawat dari lapan negara yang mempunyai PhD untuk membantu merealisasikan hasrat itu". Secara peribadi, saya fikir strategi ini bukanlah pilihan yang terbaik, dan mungkin hanya sesuai untuk jangka pendek sahaja.

6. Mengambil profesor pelawat bertaraf antarabangsa bagi tujuan melonjakkan universiti di masa hadapan kurang sesuai untuk kepentingan strategi jangka panjang universiti. Usaha yang terbaik ialah dengan memberikan dorongan, galakan dan komitmen yang tinggi untuk membantu tenaga pengajar sedia ada di UUM iaitu para pensyarah, profesor madya dan profesor untuk berkembang maju dan mengaplikasikan kepakaran mereka sehingga peringkat antarabangsa. Dalam kata lain, UUM haruslah bersedia merangka strategi dan merangka satu platform yang berkesan dalam usaha mengantarabangsakan tenaga akademik yang ada di UUM sekarang.

7. Ini lebih baik daripada kita bergantung kepada kepakaran luar untuk mengantarabangsakan universiti, sebaliknya kita secara bersama untuk komited dalam mendorong para pensyarah dan profesor di UUM meningkatkan prestasi dan mengembangkan kepakaran mereka sehingga diterima di peringkat antarabangsa.

8. Saya percaya sekarang pun sudah ramai pensyarah dan profesor di UUM yang telah mempunyai nama di peringkat antarabangsa dalam bidang kepakaran mereka, tapi jumlah yang ada mungkin masih terhad dan negara luar juga yang menerima kepakaran kita mungkin masih terhad di sekitar Asia Tenggara. Di masa hadapan UUM seharusnya komited dan berusaha membantu lebih ramai tenaga akademiknya berkembang dalam menyumbang kepakaran mereka hingga ke Eropah dan Amerika. Melalui usaha ini, InsyaAllah sekaligus mampu meletakkan UUM dalam kelompok universiti-universiti terkemuka suatu hari nanti.

9. Apabila ramai pensyarah dan profesor tempatan berkapasiti dan berkualiti antarabangsa, maka secara langsung akan meningkatkan kualiti dan imej universiti dalam pasaran serta memberikan impak yang sangat positif ke atas pembangunan kualiti nilai akademik yang akan diperolehi oleh para pelajar UUM. Seterusnya, InsyaAllah pakar-pakar dari UUM juga akan menjadi aset penting dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan dunia.

10. Mungkin secara logik strategi ini sukar dicapai, namun jika tindakan perancangan dan perlaksanaannya dimulakan dari sekarang, tiada yang mustahil. Saya melihat UUM mempunyai potensi yang tinggi untuk mencapai kecemerlangan di masa hadapan, kerana jumlah tenaga akademiknya sekarang yang begitu ramai dalam kalangan mereka yang masih muda akan meningkatkan lagi potensi mereka untuk merealisasikan usaha universiti.

11. Pensyarah-pensyarah muda inilah yang bakal mewarisi pembangunan universiti dan negara di masa hadapan, dan merekalah yang bakal menentukan sejauhmana keupayaan UUM untuk berkembang maju di peringkat antarabangsa. Jadi, usaha dan komitmen universiti dalam memberi dorongan kepada mereka pada masa sekarang amat penting.

12. Antara usaha awal yang boleh dilakukan ialah dengan menyediakan dana yang lebih tinggi untuk tujuan pemasaran dan keterlibatan para tenaga akademik UUM di peringkat antarabangsa misalnya melalui galakkan para pensyarah dan profesor mengutamakan penglibatan dalam seminar dan conference di luar negara harus menjadi suatu keutamaan menerusi kehadiran dan pembentangan kepakaran mereka di luar negara.

13. Selain itu, UUM perlu berusaha memberi keutamaan untuk menempatkan para pensyarah yang akan melanjutkan pengajian PhD di universiti luar negara yang bukan sahaja terkemuka dari segi nama, namun perlu juga universiti yang dipilih mempunyai bidang kepakaran yang tepat. Pendedahan awal para pensyarah di universiti luar negara semasa pengajian mereka mampu mendatangkan faedah dari aspek mempromosikan kepakaran mereka di luar negara. Namun, bagi mereka yang memilih pengajian PhD di universiti tempatan, seharusnya mengutamakan para pensyarah ini menjalankan kajian tertentu di luar negara bagi tempoh tiga bulan hingga satu tahun. Saya rasa Kementerian Pengajian Tinggi telah pun menyediakan dana untuk tujuan ini.

14. Universiti juga seharusnya meletakkan keutamaan bagi pensyarah yang ingin mengembangkan kepakaran mereka setelah tamat PhD mereka melalui skim latihan industri (sabatikal) dan post doctorate program agar keutamaan memilih menjalani sabatikal dan post doctorate di luar negara atau sekurang-kurangnya diattachkan dengan organisasi bertaraf antarabangsa.

15. Dari aspek lain, komitmen universiti sangat perlu dalam usaha menentukan dan menyokong agar para pensyarah dan profesor mempunyai geran penyelidikan, penerbitan dan mempromosikan kepakaran mereka melalui projek-projek perundingan di peringkat antarabangsa. Bukanlah di sini bermaksud pihak universiti harus mengeluarkan syarat dan garispanduan semata-mata untuk merealisasikan usaha ini, tetapi kita perlu sebagai 'sebuah pasukan' dalam melonjakkan dan menjayakan misi ini.

16. Akhir sekali, strategi yang boleh diusahakan ialah mendorong ramai pensyarah muda di UUM untuk berprestasi tinggi bagi memenuhi kriteria sebagai profesor muda dan bertaraf antarabangsa. Usaha dan galakkan yang berkesan perlu dirangka bagi meningkatkan lebih ramai bilangan profesor muda di UUM sekaligus melonjakkan imej universiti. Kita masih kekurangan bilangan profesor, terutamanya profesor-profesor muda berbanding universiti-universiti lain. Jadi, seharusnya harapan dan galakkan perlu diberikan kepada para pensyarah sedia ada supaya semua pensyarah muda di UUM berusaha dan berinisiatif untuk meningkatkan kapasiti dan kualiti prestasi mereka sehingga mencapai kecemerlangan dalam bidang kepakaran mereka hingga layak dianugerahkan sebagai profesor. Manakala bagi yang telah mencapai status profesor, mereka didorong lagi mencapai kelas yang tertinggi dan bertaraf antarabangsa.

17. Saya melihat, UUM mempunyai harapan yang tinggi dan potensi yang sangat besar dalam merealisasikan impian dan sasaran ini, kerana para pensyarah muda di UUM didapati berpotensi besar untuk berkembang maju, namun kerjasama berpasukan dalam memberi dorongan dan menyediakan platform ini amat mustahak.

18. Saya fikir, jika usaha ini dirancang dan dilaksanakan secara berkesan mulai sekarang, InsyaAllah tidak akan timbul lagi keperluan kita untuk melantik profesor pelawat yang bertaraf antarabangsa, tetapi sebaliknya kita menjadi sumber yang menyediakan profesor-profesor bertaraf antarabangsa dalam memenuhi keperluan universiti dalam dan luar negara, menjadi pemangkin kepada pembangunan negara dan menjadi aset penting kepada sumber kepakaran dunia. InsyaAllah. Namun, apa yang lebih penting, kejayaan ini juga tentulah akan menjanjikan bahawa graduan-graduan yang akan dihasilkan oleh UUM juga berkualiti tinggi ilmunya, berdaya saing kepakarannya dan menjadi keutamaan dalam pasaran kerja dalam dan luar negara, InsyaAllah.

19. Senanglah untuk mencadangkan dan menulis, tetapi ianya harus bermula daripada diri sendiri...

Wednesday, July 7, 2010

CERAMAH PENGHAYATAN PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

1. Alhamdulillah, malam tadi saya berkesempatan dan berpeluang menghadiri Ceramah Penghayatan Peristiwa Israk Mikraj. Ceramah disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Seri Hj. Abdul Hadi Awang bertempat di Hume Global Learning Center, Broadmeadows.

2. Terima kasih dan tahniah di atas usaha pihak Muhajiroon Community Development Association Inc. (MCDA) yang menganjurkan ceramah yang sangat tinggi nilai ilmunya ini untuk diri saya dan sebahagian orang Islam dari Singapura, Malaysia dan Indonesia yang berada di Melbourne ini.

3. Berada jauh di perantauan dan tinggal di sebuah negara bukan agama Islam, rasanya sangat penting sekiranya berpeluang dapat menghadiri program-program dan ceramah agama sebegini sebagai usaha mengukuhkan keimanan, pengetahuan agama dan menambahkan ketakwaan kepada-Nya.

4. Bila difikirkan semula, rasa teramatlah rugi dahulu ketika di negara sendiri agak kurang menghadiri majlis-majlis ilmu agama sebegini walaupun ianya sentiasa diadakan di merata-rata tempat, masjid dan surau. Semoga di masa hadapan pengalaman dan cabaran hidup di sini menjadikan perubahan untuk diri saya sendiri supaya lebih menghargai nikmat menghadiri majlis-majlis ilmu keagamaan apabila balik ke Malaysia nanti. InsyaAllah.

5. Inilah antara kelemahan sifat saya sebagai manusia biasa apabila sesuatu perkara yang mudah didapati, diperolehi dan ada di depan mata tetapi apabila ditambah keselesaan berada di persekitaran tempat sendiri menjadikan saya jarang untuk menghargainya, menjadi leka dan kurang memberi perhatian. Tetapi apabila sesuatu itu sukar didapati, jarang ditemui, ditambah dengan cabaran persekitaran berada di tempat orang menjadikan sesuatu perkara itu sangat berharga, bernilai tinggi dan ingin direbuti. Apatah lagi sekiranya sesuatu itu mendatangkan manfaat yang besar untuk pembangunan agama Islam dan pengukuhan iman.

6. Alhamdulillah, apabila hampir lapan bulan berada di sini sangat memberikan manfaat kepada saya untuk mendidik diri supaya insaf dan sentiasa mencari peluang memperbaiki diri yang serba kekurangan ini, bukan sahaja berusaha menambah ilmu keduniaan yang masih cetek, tetapi lebih penting ialah merebut peluang-peluang yang ada untuk memperbaiki diri, ibadah dan ilmu agama bagi mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Semoga saya tergolong dalam orang-orang yang diampuni oleh-Nya.

7. Pengalaman hidup di sini juga banyak meningkatkan kesedaran diri. Semakin banyak bergaul dengan pelbagai masyarakat di sini yang datang daripada pelbagai latarbelakang agama, bangsa dan negara menyedarkan diri bahawa ilmu dan pengalaman yang ada masih kerdil. Apatah lagi apabila pergaulan bersama masyarakat Islam yang dari pelbagai bangsa dan negara seperti dari Arab Saudi, Iran, Iraq, Australia, Amerika, Bangladesh, Turkey, Russia, Afrika, Indonesia, Malaysia, Singapura dan lain-lain negara lagi menginsafkan diri bahawa ilmu agama dalam diri dan amal ibadah juga masih kerdil berbanding mereka. Itu baru ukuran sesama manusia, mungkin ukuran amal ibadah kepada Yang Maha Esa belum ada satu titik pun kelihatan jika diletakkan pada sehelai kertas untuk dinilai oleh-Nya.

8. Saya amat bersyukur kerana di sini, usaha mengembangkan agama Islam dan ukhuwah masyarakat Islam sangat baik. Banyak program-program pengembangan dakwah dan penyatuan umat Islam sentiasa diadakan walaupun bilangan bangunan-bangunan masjidnya agak terhad atau dihadkan. Tahniah kepada rakan-rakan dari Malaysia serta beberapa pertubuhan yang ditubuhkan oleh anak-anak Malaysia di sini yang sentiasa rajin dan peka kepada keperluan mengadakan program-program berkaitan pembangunan Islam, penyatuan ukhuwah, pembinaan silatulrahim dan keperluan riadah khususnya untuk komuniti rakyat Malaysia di sini. Semoga usaha-usaha yang sedia ada akan terus kekal dan berkembang. InsyaAllah.

9. Berbalik kepada ceramah penghayatan Israk Mikraj, peristiwa besar ini sangat besar juga ertinya kepada seluruh umat Islam. Daripada peristiwa ini jugalah Allah SWT menyerahkan ibadah solat fardhu lima waktu kepada Rasulullah SAW untuk menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam setiap hari. Banyak perkara-perkara yang dilalui oleh Rasulullah SAW sepanjang perjalanan Baginda dalam peristiwa Israk Mikraj ini ada hubungkait yang sangat rapat dengan kehidupan seharian kita dan kehidupan selepas kematian kita, untuk kita tingkatkan amal ibadah, ambil pengajaran serta penghayatan dan memperbaiki diri dalam mencari rahmat dan keredhaan oleh Allah SWT.

10. Terima kasih kepada Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, kerana ilmu yang disampaikan sangat bermanfaat. Walaupun mempunyai kedudukan tertinggi sebagai Presiden PAS, namun beliau menyampaikan ceramah agama sebagai seorang alim ulama, tiada satu pun yang perkatakan berkaitan politik, atau isu-isu semasa di Malaysia atau berkaitan PAS sepanjang ceramah beliau. Inilah ciri-ciri seorang pemimpin yang berkualiti tinggi iaitu tinggi ilmunya, sentiasa merendah diri dalam percakapannya dan alim dalam agama. Semoga perjuangan beliau sentiasa dalam kerahmatan dan hidayah Allah SWT.



Thursday, July 1, 2010

3 KISAH 3 PENGAJARAN

1. Firman Allah SWT : " Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal" (Surah Ali Imran, ayat 190).

2. Allah ciptakan manusia sebagai makhluk-Nya yang paling istimewa kerana Dia memberikan kita akal untuk menjadikan kita melebihi makhluk-makhluk lain. Dia ciptakan akal untuk membolehkan kita mencari ilmu untuk mentadbir bumi ini sebagai khalifah, Dia juga menciptakan akal untuk membolehkan kita menggunakan pancaindera kita yang lain untuk berfikir, melihat, mendengar dan merasai serta memuji Kebesaran dan Keagungan-nya.

3. Di sini ada 3 kisah dan 3 pengajaran untuk kita bersama-sama menggunakan akal yang dianugerahkan bagi memikirkan Kebesaran Allah SWT dan mengambil pengajaran.

Firman Allah SWT : "(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." (Surah Ali Imran, ayat 191)

Kisah 1



Kisah seekor harimau yang pada mulanya membaham seekor monyet yang sedang hamil hingga mati. Dengan takdir Allah SWT sewaktu harimau tersebut menyeret ibu monyet yang telah mati itu ke atas pokok maka dengan kehendak Allah, terkeluar seekor bayi monyet dari rahim ibunya yang telah mati itu. Anak monyet itu hidup. Dengan kuasa dan kehendak Allah SWT jugalah harimau yang ganas yang telah membunuh ibu monyet itu tiba-tiba menjadi belas dan kasih kepada anak monyet tersebut, lalu dia bertindak menjadi pengganti kepada ibu monyet dengan menjaga keselamatan anak monyet dan mengajarnya untuk hidup. Allah Maha Besar! Harimau yang ganas yang telah membaham ibu monyet itu telah berubah menjadi penyayang dan menjilat-jilat dan mengusap kepala bayi monyet berkenaan serta bertindak pula memelihara anak monyet. Firman Allah SWT : "Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Ali Imran, ayat 189)

Kisah 2



Kisah seekor anak gajah yang dilahirkan cacat pada kedua-dua belah kaki hadapannya. Anak gajah itu sukar berjalan. Kesukaran anak gajah itu untuk berjalan menyebabkan dia ditinggalkan oleh kumpulan-kumpulan gajah yang lain. Namun, si ibu kepada anak gajah yang cacat itu masih sabar dan kasih sayang seekor ibu gajah masih tidak sanggup meninggalkan anaknya yang cacat itu bersendirian dan mungkin akan mati. Namun hasil kesabaran si ibu dan
kecekalan serta usaha serta kesabaran si anak gajah yang cacat itu, akhirnya dengan Kuasa dan Kehendak Allah SWT, maka kaki anak gajah yang cacat itu sembuh. Sesungguhnya gajah-gajah ini juga diuji oleh Allah SWT dengan kesusahan, namun mereka tetap cekal dan sabar sehingga Allah SWT mendatangkan rahmat kepada mereka. Allah Maha Besar!

Kisah 3



Kisah ramai manusia yang tewas dengan kehendak hawa nafsu walaupun mereka dianugerahkan akal untuk mempertimbangkan yang baik dan yang buruk. Binatang yang tidak berakal pun masih mempunyai perasaan belas dan kasih kepada anak-anak mereka, tetapi semakin ramai manusia yang menjadi lebih rendah darjatnya daripada binatang apabila sanggup membunuh dan melemparkan bayi-bayi mereka yang tidak berdosa ke dalam parit, longkang, tong sampah, sungai, tepi jalan raya dan dalam tandas hingga ada bayi yang dibuang dibaham anjing! Firman Allah SWT : "
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun". (Surah Ali Imran, ayat 192).

Hari ini kes pembuangan bayi seolah-olah menjadi satu lumrah pilihan bagi si ibu dan si bapa yang berhati syaitan yang telah terlanjur melakukan noda dan zina akibat ajakan hawa nafsu dan pengorbanan cinta yang menipu. Hari ini juga menyaksikan jumlah anak luar nikah orang Islam di Malaysia telah menjangkau 81,000 berdasarkan rekod pendaftaran di Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) (baca sini). Kajian menunjukkan kebanyakan kes anak luar nikah dan pembuangan bayi adalah bermula daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan pada hari ini dalam masyarakat sudah menjadi perkara biasa dan sudah kurangnya batas-batas dan larangan agama dalam diri mereka. Hari ini juga jelas terbukti internet menambahkan lagi ruang untuk manusia memulakan pergaulan bebas.

4. Kenapakah berdasarkah ketiga-tiga kisah ini harimau dan gajah dilihat lebih mulia daripada sesetengah manusia? Bukankah manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah? Mungkin boleh sahaja harimau yang ganas itu membaham anak monyet yang kecil itu, atau si ibu gajah yang besar boleh sahaja memijak anaknya yang cacat itu hingga mati atau meninggalkan si anak bersendirian. Namun, Firman Allah SWT : "
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, maka mereka mendapat pahala yang tidak ada putus-putusnya". (Surah At Tiin, ayat 4-6). Belajarlah juga daripada kecekalan dan kesabaran si anak gajah itu...