Friday, June 12, 2009

PEMBETULAN

Kenapa malam ni rasa tak mengantuk pulak, dah pukul 2 pagi dah, mungkin masa drive dari Sintok ke Kulim tadi banyak sangat minum 100Plus ni, esok pagi-pagi lagi ada urusan di Penang Island pula. Sementara tidak mengantuk ni lebih baik update blog, tapi nak tulis tentang apa pula?

Pembetulan? Mungkin tajuk ini banyak sudut pendapat untuk dibincangkan. tetapi fokus perbincangan pada kali ini lebih cenderung kepada pembetulan dalam menambahbaik diri sendiri. Dalam sehari berapa banyak kita kena buat pembetulan kerja, disuruh buat pembetulan kerja, diarah perbetulkan kertas kerja, assignment, tesis, laporan praktikum, dokumen ISO dan berbagai jenis kerja yang perlu dibuat pembetulan. Hakikatnya kenapa kita perlu buat pembetulan? Semestinyalah disebabkan hasil dan kualiti kerja kita itu kurang baik, belum mencapai standard, masih banyak kelemahan dan kekurangan, tidak sempurna dan berbagai lagi unsur negatif lain. Jadi buat pembetulan ini adalah bertujuan untuk menambahbaik kualiti kerja, menepati standard, menambah kepada yang kurang, dan menjadikan sesuatu itu lebih sempurna.

Jika kita sedar akan hakikat ini, pastilah kita sedar bahawa membuat pembetulan itu adalah bersifat positif dan kebaikan, maka kita janganlah sesekali rasa marah atau rasa tidak berpuas hati jika kita diminta atau perlu membuat pembetulan.

Seterusnya perlulah kita berfikir bahawa apabila kita perlu membuat pembetulan sebenarnya ianya juga memberi isyarat bahawa diri kita ini masih banyak yang perlu diperbaiki, ini adalah kerana tentunya pembetulan itu dibuat ke atas sesuatu kesalahan atau kesilapan yang kita lakukan berpunca mungkin dari sikap kita seperti kecuaian, kekurangan maklumat dan pengetahuan, sikap kurang bersungguh melakukan sesuatu, kurang bersedia, malas, bodoh sombong, tidak peka, suka ambil mudah dan lain-lain lagi yang tidak terkira kelemahan kita. Justeru, pembetulan adalah satu peluang untuk kita memperbaiki diri kita daripada sikap-sikap negatif tersebut.

Tetapi apabila kita fikirkan, kebiasaannya kita hanya membuat pembetulan hanya apabila disuruh dan ditegur barulah kita perbetulkan. Bukankah adalah lebih baik kalau kita mampu perbetulkan sesuatu itu sebelum orang lain memberitahu kita? Kalau kita mampu melakukan itu, InsyaAllah kita boleh jadi orang yang cemerlang, kerana antara sifat orang yang cemerlang adalah sentiasa memperbaiki diri, muhasabah diri, mengkaji kelemahan dan potensi diri, dan kemudian mestilah ikhlas memperbetulkan diri sendiri. Apabila kita bersikap proaktif terhadap diri sendiri, maka kita akan terus ke hadapan.

Pembetulan itu bukanlah terhad kepada memperbetulkan hasil dan kualiti kerja semata-mata, tetapi apa yang lebih penting dan sangat mustahak ialah memperbetulkan atau membuat pembetulan ke atas diri sendiri iaitu terhadap akhidah, sikap, amalan, ibadah, niat, akhlak dan hala tuju hidup. Inilah yang paling penting!

Sebagai kesimpulan, ingin saya utarakan satu persoalan, adakah lebih baik jika setiap hari semakin banyak kita buat pembetulan atau semakin sedikit pembetulan yang perlu kita buat ? Jawapannya ada pada diri kita sendiri untuk kita fikirkan.

2 comments:

shira said...

walaupun hanya satu pembetulan tetapi ia akan membawa kpd sejuta kejayaan..

Syahril Said said...

ramai orang yang telah berjaya sama ada dalam kehidupan dan karier mereka terpaksa melalui banyak pembetulan, mereka tabah dan sabar membuat pembetulan dan akhirnya mereka berjaya, tetapi yang penting kejayaan itu kekal dan berterusan.