Monday, August 31, 2009

MERDEKA

1. Kesempatan ini saya mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52.

2. Saya amat bersyukur dan berbangga menjadi Anak Malaysia.

3. Erti kemerdekaan yang perlu kita sama-sama hayati dan fahami ialah apabila kita tahu mengenang jasa mereka-mereka yang telah berjuang menuntut kemerdekaan negara ini dan menghargai budi mereka-mereka yang sedang berjuang menjaga kedaulatan negara kita.

4. Erti kemerdekaan juga ialah apabila kita tahu berterima kasih kepada negara iaitu dengan memberi khidmat dan setia kepada negara bukannya hanya mengharap apa nikmat yang negara boleh berikan kepada kita.

5. Namun maksud 'merdeka' secara peribadi untuk diri saya sama seperti video yang saya paparkan pada bahagian Prinsip Blog dalam blog ini.

6. Bagi generasi muda, bacalah tentang sejarah negara supaya kita semua tahu di mana asal-usul kita.

Saturday, August 29, 2009

PERLU SERIUS ISU AGAMA

1. Apa yang saya dapati dalam masa seminggu ini terlalu banyak isu-isu agama sama ada telah dipersendakan ataupun tidak memberi perhatian yang serius dalam menegakkan kesucian agama oleh pihak-pihak tertentu.

2. Bermula dengan kes hukuman sebat ke atas model Kartika yang dikenakan hukuman sebanyak 6 sebatan kerana 'ditangkap' sedang meminum minuman keras. Saya fikir hukuman sebat itu seperti yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah tersebut adalah setimpal sebagai pengajaran buat model itu.

3. Usahlah ada pihak terutamanya pemimpin politik, parti politik dan pihak-pihak yang tiada kaitan dengan Agama Islam mempertikaikan atau mencampuri keputusan mahkamah tersebut. Hukuman dalam Islam tidak boleh dibandingkan atau disamakan seperti hukuman oleh Mahkamah Sivil.

4. Hukuman menurut syariah Islam bukanlah berasaskan logik akal tetapi ditentukan dengan merujuk kepada sumber Al-Quran, Hadis, Ijmak Ulamak dan nas-nas sahih lain. Hukum Hudud bukan bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah tetapi juga memberi pengajaran kepada orang lain supaya insaf daripada melakukan kesalahan itu.

5. Misalnya, hukuman 'potong tangan' ke atas orang mencuri bukanlah bertujuan 'menghukum' si pencuri yang telah dibuktikan bersalah, tetapi supaya menginsafkan pencuri-pencuri lain yang belum ditangkap atau mereka yang berniat untuk mencuri menjadi takut dan insaf.

6. Manakala urusan menjatuhkan hukuman dalam Islam bukanlah dibuatkan secara membuta tuli, kerana si pesalah harus dibuktikan bersalah dengan mengemukakan saksi-saksi yang sahih , bukti yang mencukupi dan mengambilkira niat serta keinsafan pesalah.

7. Cara hukuman dijalankan juga sangat dititikberatkan dalam Islam, misalnya hukuman sebat ke atas Kartika ini tidaklah sama dengan hukuman sebat yang biasa dijatuhkan oleh Mahkamah Sivil, kerana dari segi ciri-ciri rotan yang akan digunakan, cara-cara sebatan ke atas wanita dan tempat pada bahagian badan yang akan dirotan serta adab semasa sebat sangat dipertimbangkan oleh Islam. Manakala niat menyebat bukanlah untuk mencederakan sebaliknya untuk menginsafkan pesalah.

8. Saya tidak nampak kenapa hukuman itu perlu dipertikaikan oleh pihak-pihak yang mungkin 'jahil' agama ini (saya pun bukanlah orang alim agama juga). Malah saya fikir hukuman yang sering dijatuhkan oleh Mahkamah Sivil mungkin lebih berat dan tidak adil tetapi jarang pula pihak-pihak ini pertikaikan. Jadi janganlah cuba mempersendakan hukum agama.

9. Seterusnya saya sangat 'mengecam keras' tindakan sekumpulan penduduk beragama Islam di Seksyen 23 Shah Alam yang membawa kepala lembu dalam perarakan demontrasi membantah keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk membina kuil di situ.

10. Memanglah saya tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor ini kerana ianya sama sekali tidak mematuhi prosedur perancangan dan tidak menghormati sensiviti penduduk agama Islam yang merupakan majoriti penduduk di situ. Namun, membuat demonstrasi sambil membawa kepala lembu itu bukanlah satu tindakan yang bijak dan betul, tetapi gunakan cara perundingan atau perbincangan dan bukannya cara yang kontroversi sehingga boleh dianggap menghina agama lain kerana Islam melarang kita menghina agama lain serta Islam mengajurkan cara musyawarah dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Kalau perlu, gunakan tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Negeri Selangor dalam mencabar kesahihan keputusan tersebut.

11. Isu lain adalah berkenaan Hadis Palsu tentang Fadhilat atau kelebihan Solat Tarawih pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan ini. Berdasarkan entry saya sebelum ini, saya telah memohon maaf kepada semua pihak dan keampunan daripada Allah S.W.T atas 'kejahilan' saya itu. Namun apa yang saya sangat kesalkan, saya dapati usaha mengawal atau menghentikan penyebaran Hadis Palsu ini masih tidak meluas kerana pertamanya artikel Hadis Palsu ini diletakkan dalam laman web sebuah Jabatan Agama Islam (rujuk entry saya sebelum ini).

12. Malam tadi semasa saya sembahyang Isyak di Masjid di Mergong , Kedah tetapi sebelum Tuan Imam memulakan Solat Tarawih, saya terkejut kerana beliau membacakan Hadis Palsu ini iaitu fadhilat solat Tarawih malam ke-8 kepada semua jemaah. Maka saya simpulkan banyak pihak lagi yang masih tidak tahu tentang perkara ini.

13. Saya tidaklah ingin menegurkan tindakan Tuan Imam itu kerana saya fikir kalau saya beritahu padanya mungkin ianya di masjid itu sahaja, tetapi bagaimana di masjid-masjid atau surau-surau di tempat lain yang saya percaya masih banyak pihak yang tidak sedar kepalsuan Hadis tersebut. Maka sebagai tindakan saya akan ketengahkan perkara ini terus kepada Jabatan Agama Islam Kedah agar mereka lebih peka ke atas pemantauan di semua masjid dan surau di negeri ini.

14. Perkara terakhir ialah saya amat kesal kerana terdapat isu bekas seorang calon pilihanraya yang tewas baru-baru ini dalam satu pilihanraya kecil di Pulau Pinang yang mungkin lebih mementingkan status politik dan strategi kempen pilihanraya berbanding nasib dan hak isteri keduanya (boleh baca sendiri kerana saya tidak suka campur hal rumahtangga orang lain).

Wednesday, August 26, 2009

MOHON KEAMPUNAN DARI YANG MAHA ESA

1. Terima kasih kepada saudara yang dikenali dengan nickname 'me' di ruangan chatting blog saya kerana memperbetulkan akidah saya yang tanpa sedar saya tersilap.

2. Kesilapan itu bermula apabila saya mula memaparkan fadhilat solat tarawih dari malam pertama hingga malam ke 5 yang saya ambil daripada laman web Jabatan Agama Islam Negeri Perak :
http://jaipk.perak.gov.my

3. Saudara 'me' menegur saya dengan memberitahu bahawa itu adalah Hadis palsu yang diadakan-adakan.

4. Memanglah saya ini bukanlah seorang alim dalam hal ehwal agama dan tidak mempunyai ilmu agama terkhusus lagi tinggi tahap tasaufnya.

5. Tetapi saya sangat ambil berat dalam kewajipan agama dalam kehidupan harian saya.

6. Saya bukanlah seorang arif tentang kitab agama, tetapi ada beberapa kitab yang saya simpan dan hanya rujuk apabila perlu (nampaklah ketidakarifan saya tentang ilmu kitab).

7. Tetapi saya tidaklah seperti sesetengah golongan yang wujud seperti golongan anti Hadis ataupun golongan anti Hadis Dhaif, kerana saya juga menjadikan Hadis Dhaif sebagai rujukan tertentu.

8. Saya amat setuju dengan rakan blogger saya iaitu saudara HAMKA tentang pendapat beliau mengenai Hadis Dhaif. (boleh baca melalui link berikut : keretamayat.blogspot.com)

9. Berdasarkan bukti (seperti yang tertera di laman web JAIS maka saya akui ianya Hadis yang palsu (jika benar berdasarkan pendapat-pendapat ulamak)

10. Maka dengan itu saya telah melakukan dosa besar tanpa sedar, justeru, saya memohon maaf kepada semua pihak yang telah membaca entry sebelum ini (yang telahpun saya 'delete') usahlah diyakini akan fadhilat itu. Tetapi teruskan ibadah solat tarawih dengan sempurna moga kita akan mendapat ganjaran pahala daripada Yang Maha Esa.

11. Antara saya dengan Tuhan, saya telah memohon keampunan-Nya, semoga kemuliaan Ramadhan ini dosa-dosa saya diampunkan oleh-Nya.

12. Cuma apa yang saya kesalkan bagaimana Jabatan Agama Islam Perak masih mengekalkan artikel seperti itu (Hadis Palsu) di dalam laman web rasminya menyebabkan orang-orang tidak terlalu arif tentang agama seperti saya terkeliru. Kerana saya ambilnya daripada laman web rasmi sebuah jabatan agama, bukanlah daripada blog-blog persendirian.

13. Semoga pengajaran ini amat berguna untuk saya dah lebih memberi ruang untuk mendalami ilmu agama dari semasa ke semasa.

Saturday, August 22, 2009

SALAM RAMADHAN

1. Alhamdulillah kepada Allah kerana tahun ini usia saya dipanjangkan oleh-Nya untuk bertemu semula Ramadhan Al-Mubarak

2. Kesempatan ini saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh sabar dan taqwa kepada-Nya khususnya untuk semua muslimin dan muslimat yang mengikuti penulisan dalam blog saya yang tidaklah seberapa ini.

3. Marilah kita penuhi ibadah malam dengan mengerjakan dan menikmati kelazatan ibadah Solat Tarawih yang tidak mungkin kita dapat pada malam-malam di bulan lain.

4. Selamat menikmati nikmat ketika berbuka puasa dan ketika bersahur

Wednesday, August 19, 2009

CADANGAN PEMBINAAN KUIL TIADA DALAM PELAN

"Kuil tidak boleh dibina di tapak di Seksyen 23 dekat sini seperti yang diputuskan oleh kerajaan negeri kerana pelan pembangunan tidak memasukkan pembinaan rumah ibadat di kawasan tersebut.

Pembangunan di sesuatu kawasan mesti mengikut perancangan yang telah dipersetujui setelah melalui proses hebahan dan diwartakan oleh pihak berkuasa. Tindakan kerajaan negeri Selangor mahu meneruskan pembinaan kuil itu adalah tidak betul dan menyalahi proses undang-undang.

Mengikut peraturan, jika mahu membuat projek yang tidak dinyatakan dalam pelan pembangunan, maka pendengaran awam perlu dilakukan terlebih dahulu. Dari situ baru diputuskan sama ada projek itu boleh diteruskan atau sebaliknya. Tetapi kerajaan negeri telah membuat keputusan membina kuil itu tanpa membuat pendengaran awam".

- Datuk Salamon Selamat, bekas Datuk Bandar Shah Alam


1. Saya amat bersetuju dengan ulasan bekas Datuk Bandar Shah Alam ini (Kenapa hanya bekas Datuk Bandar yang ulas? Kenapa pula bukan Datuk Bandar sekarang yang sepatutnya memberitahu tentang perkara ini?).

2. Apa-apa cadangan pembangunan termasuklah pembinaan rumah ibadat (masjid, kuil, gereja dan lain-lain) perlu melalui proses permohonan kelulusan perancangan seperti kebenaran merancang dan lain-lain.

3. Cadangan pembangunan (terutama tapak rumah ibadat) perlu dimasukkan ke dalam cadangan pembangunan semasa proses penyediaan pelan pembangunan (Local Plan) untuk mendengar pendapat dan bantahan awam (public participation).

4. Cadangan tapak sesuatu rumah ibadat perlu diletakkan di kawasan majoriti penganut agama tersebut, bukannya di kawasan majoriti penganut agama lain supaya tidak mendatang sebarang pertikaian kelak (sebab itulah ianya perlu dibuat pendengaran awam sebelum diluluskan).

5. Tanpa mematuhi garispanduan perancangan dan pelan pembangunan, maka tapak sesuatu rumah ibadat tidak boleh diubah (tukar lokasi) secara sewenang-wenangnya.

Monday, August 17, 2009

NASIHAT KEPADA GRADUAN

"Graduan perlu membuktikan kepada masyarakat bahawa universiti bukan sebuah institusi pengeluar graduan pasang siap yang kemampuannya terbatas. Universiti sebenarnya institusi yang mengeluarkan graduan istimewa dengan mempunyai pelbagai kemahiran berfikir, budiman, pencinta ilmu dan berperwatakan mulia.

Kesepaduan jasmani, emosi, rohani dan intelek serta pengukuhan ilmu yang dituntut adalah gabungan penting untuk bergelar graduan cemerlang.

Ilmu yang dipelajari juga akan menjadi benteng terhadap ketahanan diri daripada melakukan perkara-perkara menyalahi undang-undang dan agama. Graduan perlu memanfaatkan usia muda untuk menimba ilmu sebanyak mungkin. Peluang pekerjaan yang agak terhad ketika ini merupakan waktu paling sesuai untuk graduan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sebagai generasi muda, seharusnya graduan tidak membataskan diri sekiranya mahu berjaya dan perlu memberanikan diri mencuba suatu yang baru dan bersifat global".

- Sultanah Zanariah Tunku Ahmad, Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Sunday, August 16, 2009

BUDI NEGARA

"Barat hendak kalau boleh menguasai seluruh dunia dan kalau kita baca sejarah Barat mereka berpendapat bahawa dunia ini adalah milik mereka dan mereka sahajalah yang mempunyai tamadun maka tugas mereka adalah untuk mendidik orang-orang yang bodoh ini dan memberi mereka satu tamadun yang lebih bermakna".

“Dulu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan orang hidup susah sehingga terpaksa minum air longkang untuk hidup. Namun keadaan sekarang sangat berbeza dan segalanya telah dipermudahkan. Malah sekarang ini ada golongan bijak pandai Melayu dan bukan Melayu yang tidak nampak kenapa perlu terhutang budi kepada negara. Mereka cuma berfikir tentang diri mereka,”

-Tun Dr. Mahathir

Sepenuhnya bacalah di link berikut : Rencana Utusan

*Semoga pemergian saya ke Australia pada November ini selama tiga tahun, tidak akan mengurangkan walaupun sedikit ingatan saya tentang jasa dan budi negara ini atas nikmat kehidupan yang saya dan keluarga kecapi di tanahair sendiri.

Saturday, August 15, 2009

MASIH TENTANG PPSMI

1. Terbaru dalam blognya Tun Dr. Mahathir mengulas tentang maklumbalas ramai pihak kepada beliau tentang pemansuhan PPSMI.

2. Rata-rata ramai pihak yang kurang bersetuju dengan keputusan telah dibuat.

3. Saya juga mempunyai banyak maklumbalas yang sama iaitu antara alasan utama pihak yang menyokong pemansuhan PPSMI ialah kerana pelajar-pelajar Melayu di luar bandar sukar menguasai kedua-dua subjek itu kerana diajar dalam Bahasa Inggeris.

4. Jadi masalah utamanya kerana mereka kurang bagus dalam Bahasa Inggeris menjadikan mereka sukar menguasai kedua-dua subjek tersebut. Maka wajarlah pada pendapat golongan ini PPSMI dimansuhkan dan sekarang ini mereka ingin menuntut ianya dimansuhkan serta-merta!.

5. Kalau begitu, baguslah Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu kerana mereka mahir dalam bahasa itu.

6. Dari aspek lain untuk membangunkan orang Melayu, kita harus ambil langkah yang sama. Misalnya banyak bukti dan statistik menunjukkan orang Melayu dan bumiputera tidak mahir berniaga, ramai yang gagal dan bankrap.

7. Jadi janganlah suruh orang Melayu berniaga kerana mereka tidak pandai, nanti ramai yang gagal dan bankrap sahaja. Sebaliknya bagilah kepada bukan bumiputera sahaja yang berniaga kerana terbukti mereka sangat berjaya dalam perniagaan di negara ini dan dunia.

8. Orang Melayu dan bumiputera khususnya di luar bandar sangat mahir dalam berkebun, menanam padi, menangkap ikan dan aktiviti pertanian yang lain. Maka wajar kita sokong kepada perkara-perkara yang boleh menjayakan orang Melayu ini dan kita sokong supaya banyak dasar yang lebih berkesan membantu mereka menjayakan aktiviti tersebut. Tidak perlu kita beri peluang mereka berniaga nanti rugi dan bankrap sahaja.

9. Samalah macam PPSMI apabila orang Melayu dikatakan ramai gagal menguasai kedua-dua subjek itu, maka PPSMI dimansuhkan dan diajarkan dalam Bahasa Melayu kerana cara ini akan meningkatkan kejayaan mereka.

10. Begitu juga perlu dalam bidang ekonomi, kerana orang Melayu sering gagal dalam perniagaan, maka, mansuhkan DEB iaitu peruntukkan kepada bumiputera untuk berniaga, kerana terbukti mereka kurang berjaya, berikan kepada bukan bumiputera kerana mereka lebih berjaya. Jadi orang Melayu hanya tumpukan kepada pertanian kerana kerana mereka lebih mahir dalam bidang ini.

11. Itulah hakikat yang sedang kita lihat, orang Melayu masih cuba melihat apakah cara termudah untuk mereka berjaya, mereka tidak mahu laluan yang sukar untuk berjaya yang mempunyai banyak cabaran-cabaran yang boleh menguatkan struktur pembinaan kejayaan mereka.

12. Tetapi dengan hanya memilih cara mudah untuk berjaya maka asas pembinaan tamadun bangsa itu amat rapuh dan kejayaan diperolehi secara mudah menyebabkan kita sukar untuk membina dan mempertahankan kejayaan itu untuk jangka panjang kerana kejayaan yang mudah diperolehi selalunya mudah juga untuk digagalkan kerana asas pembinaan kejayaan bangsa yang tidak kuat..

13. Saya juga orang Melayu. Jika penulisan ini dikatakan saya menghina orang Melayu bermaksud saya juga telah menghina diri saya sendiri.

ISRAEL PERLU DEDAH PROGRAM NUKLEAR

1. Kita selalu mendengar dan membaca Amerika dan sekutunya melobi PBB dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menyiasat Program Nuklear yang dibangunkan di negara tertentu seperti Iraq, Iran, Syria dan terbaru Korea Utara serta beberapa negara lain yang mereka percaya boleh mengancam kedudukan mereka sebagai kuasa besar dunia.

2. Israel juga sebuah negara yang amat jahat dan secara terang-terangan menyerang Palestin dan Syria. Ramai pakar nuklear mendedahkan bahawa senjata dan peluru berpandu yang digunakan oleh Israel untuk menyerang negara lain turut mempunyai kesan nuklear, tetapi dinafikan Israel.

3. Walaupun pendedahan itu dibuat, tetapi Amerika dan sekutunya yang lain tidak pula mendesak Israel mendedahkan program nuklear negara itu.

4. Sehingga kini Israel enggan menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan membuka kemudahan nuklearnya kepada pemeriksaan IAEA.

5. Tidak ada pula desakan supaya IAEA menyiasat di Israel sepertimana mereka telah mendesak IAEA pergi ke negara-negara Islam.

6. PBB pun kurang serius dalam hal-hal berkaitan sekutu Amerika terutamanya Israel

7. Hari ini kita masih sibuk dengan kelekaan mencari keadilan dalam Malaysia yang kononnya negara ini diperintah secara tidak adil, tetapi kita jarang pernah berfikir bagaimana bentuk keadilan yang perlu kita perjuangkan dalam membentuk dunia masa hadapan.

8. Sedangkan kita tahu dan sedar bahawa kuasa-kuasa besar ini tidak pernah pun adil dalam mengurus dunia, tapi ada pula pihak di negara ini yang cuba mendapatkan perhatian kuasa besar berkenaan untuk mencampuri urusan di negara ini kononnya mereka ingin menegakkan 'keadilan' dan 'demokrasi' kepada rakyat.

9. Bagi pendapat saya pihak inilah sebenarnya 'pengkhianat' negara dan cuba 'membunuh' kedaulatan negara ini.

WANG PALSU : CUBAAN MENIPU PELANGGAN

1. Pukul 12.30 malam tadi saya singgah makan di salah satu restoran nasi kandar 24 jam di Sungai Petani

2. Sebelum itu saya luangkan masa temankan En. Yusuf Pon jalan-jalan di up town Sungai Petani (datang dari Alor Setar semata-mata nak lihat up town di situ)

3. Semasa membayar harga makanan di kaunter restoran berkenaan, saya diberi wang baki oleh mamak di kaunter itu.

4. Semasa saya menerima wang baki, saya perasan wang kertas yang diberikan kepada saya agak pelik, nampak macam kertas yang dicetak seolah-olah wang kertas biasa tetapi dakwat cetakan dah kabur

5. Saya ambil wang itu dan tanya semula mamak berkenaan sama ada itu wang atau kertas, mamak berkenaan terus terkejut (kerana saya sedar dia cuba menipu) dan cepat-cepat dia ambil kertas itu dan bagi wang kertas lain yang sebenar.

6. Jadi kesimpulannya, saya fikir ada usaha cubaan menipu pelanggan di restoran berkenaan khususnya pada waktu tengah malam yang kebanyakannya ramai pelanggan tidak prihatin atau mengantuk lalu ambil wang palsu itu dan terus masukkan ke dalam dompet tanpa memeriksa kesahihan wang yang diterima.

7. Saya fikir kita harus berhati-hati apabila makan di restoran berkenaan atau cawangan-cawangannya di tempat lain kerana saya percaya ada sebahagian mereka berani melakukan perkara ini kerana ramai di kalangan pelanggan tidak begitu prihatin.

Friday, August 14, 2009

KILANG HARAM KENAPA TIDAK DIHARAMKAN?

1. Laporan dalam Buletin Utama malam ini menarik perhatian saya berkenaan status kilang haram

2. Laporan media mengatakan sumber air bersih yang kita minum semakin tercemar akibat pembuangan sisa-sisa toksik beracun yang tidak dirawat dengan betul dibuang ke dalam sistem saliran atau sungai oleh operasi kilang-kilang haram.

3. Di Selangor dilaporkan mempunyai lebih 3000 kilang haram!

4. Bagaimana boleh wujud sebegini banyak kilang haram ini? Bagaimana operasi dan kewujudan kilang-kilang haram ini dibenarkan?

5. Setahu saya di Selangor juga turut mempunyai portfolio untuk pemantauan kilang haram sama ada oleh Exco kerajaan negeri ataupun pihak berkuasa tempatan.

6. Maknanya kewujudan kilang-kilang haram ini seperti diiktiraf untuk terus beroperasi.

7. Definisi dan kriteria kilang haram ini saya kurang maklumat dan saya perlu mendapatkan penjelasan daripada seorang rakan saya yang bertugas di salah satu PBT di Selangor. Dia juga terlibat dalam portfolio pemantauan kilang haram ini.

8. Saya fikir kilang haram ni bukan sahaja ditakrifkan terhadap kilang-kilang yang beroperasi tanpa lesen, tetapi turut melibatkan kilang-kilang yang berlesen tetapi beroperasi di kawasan yang tidak sesuai untuk aktiviti perindustrian dan pembinaan kilang tidak mematuhi garispanduan dan piawaian yang telah ditetapkan.

9. Bagaimana keadaan ini dibenarkan? bukan sahaja masalah ini berlaku di Selangor tetapi di negeri-negeri lain juga.

10. Semestinyalah kalau kilang-kilang haram ini beroperasi tanpa lesen, spesifikasi bangunan kilang dan aktiviti pengeluaran tidak mematuhi garispanduan, maka banyaklah kesalahan dan pencemaran yang boleh berlaku bukan sahaja ancaman kepada sistem saliran tetapi juga bentuk-bentuk pencemaran lain juga boleh berlaku.

11. Apa yang saya faham, apa sahaja yang berkaitan 'haram' pasti tidak boleh dibenarkan tetapi kenapakah kilang-kilang 'haram' ini masih wujud dan semakin banyak pula?

Wednesday, August 12, 2009

BENCANA : KEPEKAAN DAN PERSEDIAAN KITA?

1. Beberapa bulan lalu kita hanya mendengar, membaca dan melihat laporan tentang penularan virus Influenza H1N1 dan menghitung angka kematian akibat virus itu yang berlaku di Mexico, Amerika Syarikat dan beberapa lagi di negara Barat.

2. Tetapi hari ini kita mendengar, membaca dan melihat kes jangkitan H1N1 telah mencecah hampir 2,500 orang manakala angka kematian meningkat kepada 44 orang di negara ini!

3. Sebelum tahun 2004, kita hanya mendengar, membaca dan melihat gempa bumi dan tanah runtuh kerap berlaku di Jepun dan negara lain yang jauh dari Malaysia,

4. Tetapi selepas 26 Disember 2004 gempa bumi pada skala tinggi iaitu 8.9 skala richter berlaku di laut berdekatan Acheh menyebabkan tsunami besar memusnah sebahagian Banda Acheh dan mengorban hampir 200,000 nyawa termasuk di beberapa negara lain seperti Sri Lanka, Thailand dan sebahagian kemusnahan kecil dan beberapa kematian turut berlaku di Malaysia.

5. Pada ketika itu menurut pakar seismologi (pakar gempa bumi) jika gempa yang berlaku mencecah pada skala 9.1 magnitud, maka kesan tsunami akan melanda serta memusnahkan separuh kepulauan Semenanjung Malaysia! Alhamdulillah, Allah masih melindungi kita semua.

5. Hampir setiap bulan gempa bumi berlaku di Jepun, banyak kemusnahan dan kerosakan berlaku di negara itu. Kita boleh bayangkan penderitaan penduduk Jepun. Tetapi kita hanya diuji dengan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada awal tahun lepas, namun kita sangat ngeri dengan tragedi itu dan bersimpati melihat penderitaan mereka yang terlibat menjadi mangsa.

6. Kelmarin, media melaporkan gempa bumi kuat melanda sekitar Tokyo iaitu pada skala 6.5 magnitud mengakibatkan berlaku tanah runtuh di Tokyo hingga menyebabkan perkhidmatan 'kereta api peluru' Shinkansen digantung sementara waktu manakala pihak Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan satu gempa bumi berasingan bermagnitud 7.6 menggegarkan Lautan Hindi.

7. Pakar seismologi percaya Tokyo menghadapi kemungkinan 90 peratus dilanda satu gempa bumi besar dalam tempoh 50 tahun akan datang. Profesor seismologi di Universiti Tokyo, Katsuyuki Abe berkata pihaknya sedang mengkaji sama ada gempa bumi kelmarin menjadi petanda akan berlakunya satu gempa bumi besar yang dijangka boleh melanda rantau ini pada bila-bila masa!

8. Kajian pakar juga menunjukkan akibat gempa bumi besar di Acheh dan Nias di Indonesia, kini Malaysia turut terdedah ke dalam garisan aktif risiko gempa bumi pada masa akan datang.

9. Perang juga satu bencana, jika sekarang kita mendengar, membaca, melihat peperangan, pemberontakan, kesengsaraan dan penderitaan berlaku di Gaza-Palestin, Afghanistan, Iraq dan Pakistan, tetapi kita juga harus tahu pemberontakan juga telah berlaku di utara sempadan negara kita iaitu di Selatan Thailand dan Korea Utara sedang mendedahkan rantau ini kepada risiko peperangan nuklear!

10. Demonstrasi jalanan juga semakin diterima sebagai budaya oleh pihak tertentu di negara ini.

11. Pada masa kita mendengar, membaca dan melihat segala bentuk bencana melanda tempat lain, kita juga harus berfikir bahawa bencana tidak pernah memilih tempat dan bangsa, lambat atau cepat kita harus peka dan membuat persediaan menghadapi risiko bencana.

12. Sejauhmanakah kita pernah berfikir dan bersedia?

Tuesday, August 11, 2009

PELAJAR BDM PALING RAMAI CEMERLANG

Email terbaru yang saya baca berkenaan Majlis Penganugerahan Sijil Dekan pagi tadi di UUM COLGIS. Tahniah! juga saya ucapkan untuk Lim Jen Zen kerana berjaya mendapat Anugerah Sijil Dekan setiap semester (nice talking with you at my room, in my car and kita sama-sama pekena Iman Koew Teow Kerang di Alor Setar petang tadi). Berikut adalah email berkenaan :


Pelajar Diharapkan Cemerlang Dalam Pelbagai Aspek

Prof. Madya Dr. Asmah Laili Haji Yeon, Penolong Naib Canselor UUM College of Law, Government & International Studies (UUM COLGIS) mengingatkan agar pelajar-pelajar menunjukkan ciri-ciri kecemerlangan di dalam pelbagai aspek seperti sahsiah dan budi pekerti yang baik di samping cemerlang di dalam akademik mereka. Beliau berkata di dalam ucapan sempena majlis penyampaian Anugerah Sijil Dekan Semester Kedua Sesi 2008/2009 bertempat di DKG 5/1.

Menurut beliau lagi, pelajar perlu turut serta di dalam aktiviti samada pada peringkat Kolej Akademik dan juga Dewan Penginapan Pelajar di samping turut bergiat aktif di dalam aktiviti persatuan mengikut program di UUM COLGIS.

Pada majlis hari ini seramai 281 orang penerima telah menerima sijil masing-masing di mana program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan (BDM) mencatatkan jumlah penerima teramai iaitu 86 orang, Sarjana Muda Pengurusan Awam (BPM) seramai 81 orang, Sarjana Muda Undang-Undang seramai 68 manakala 46 orang penerima daripada program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa (INTAFF) dengan kepujian.

Minat di dalam program yang diikuti adalah sebagai satu kunci kejayaan beliau. Itulah kata-kata yang diucapkan oleh Wan Nazroof Luqman pelajar semester kelima Program Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa. Beliau juga membuat rujukan dan mendapatkan banyak maklumat daripada pelbagai sumber untuk meningkatkan pengetahuan di samping tumpuan di dalam kuliah.

Bagi Lim Jen Zen apa yang sentiasa diamalkan di dalam diri adalah keyakinan untuk berjaya adalah salah satu kaedah memotivasikan diri di dalam belajar.

ANUGERAH SIJIL DEKAN UUM COLGIS SEMESTER KEDUA SESI 2008/2009 (A082)

Saya telah dimaklumkan pada kali ini sangat ramai pelajar BDM yang menerima Anugerah Sijil Dekan. Tahniah! dan Syabas! saya ucapkan kepada mereka.

Adalah dimaklumkan bahawa UUM College Of Law, Government and International Studies (UUM COLGIS) akan menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Sijil Dekan Semester Kedua Sesi 2008/2009 seperti maklumat berikut :

Tarikh : 11 Ogos 2009 (Selasa)
Masa : 11.45 pagi
Tempat : DKG 5/1

Sehubungan itu, pelajar-pelajar UUM COLGIS yang menerima Anugerah Sijil Dekan bagi semester tersebut diwajibkan untuk hadir bagi majlis tersebut. Sila rujuk senarai nama penerima anugerah di papan kenyataan UUM COLGIS untuk semakan.

KURSUS PENGURUSAN ORGANISASI

Saya baca maklumat ini dalam email, adakah Persatuan Pengurusan Pembangunan (BDM) juga terlibat dalam kursus ini? Saya harap ada wakil yang dihantar oleh persatuan terutama Majlis Tertinggi Persatuan.

Adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi bagi Kelab dan Persatuan di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Butirannya adalah seperti berikut :-
Tarikh : 11 & 14 Ogos 2009
Masa : 8.30 Pagi - 4.00 Petang
Tempat : Kachi Training Centre, Bukit Kachi

Program Train and Place anjuran Kementerian Sumber Manusia di UMHSB

Maklumat berikut saya ambil daripada email dan paparkan di blog ini kepada mereka yang mungkin berminat :

Uniutama Management Holdings Sdn Bhd (UMHSB) telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Sumber Manusia untuk mengadakan dua (2) kursus di bawah program Train and Place. Kursus-kursus yang diluluskan tersebut ialah:

1. Live English Communications
2. Kursus Komprehensif Membentuk dan Membangun Usahawan Berpengetahuan

Tempoh kursus bagi kedua-dua kursus ialah selama sebulan dan kursus akan dikendalikan oleh pensyarah kanan UUM, perunding dan pegawai dari agensi-agensi kerajaan.

Sasaran kepada program di atas ialah

1. Belia yang tidak bekerja
2. Graduan yang belum bekerja
3. Pencari kerja

Kelebihan program ini ialah:

1. Peserta diberi elaun sebanyak RM500.00 sebulan
2. Tiada yuran latihan yang dikenakan
3. Kemudahan penginapan semasa berkursus disediakan secara percuma
4. Peserta akan menjalani latihan secara teori dan praktikal
5. Peserta diberi jaminan untuk mendapatkan pekerjaan

Peserta yang berminat dikehendaki untuk mendaftarkan diri di pejabat Bahagian Latihan dan Pendidikan UMHSB di Taman Universiti mulai jam 9.00 pagi – 4.45 petang (Ahad – Khamis). Sila bawa bersama dua (2) keping gambar berukuran passport, resume, dan salinan sijil-sijil.

Tempat adalah amat terhad. Tarikh tutup pendaftaran ialah pada 21 Ogos 2009.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 04-923 2240 / 2400 (Pn. Nurhusna Mohd Akhir / Pn. Fadhlina Md Daud / En. Norekhsan Mahmud).

RUGI APABILA TERLALU TAMAK

1. Sifat tamak sering menyebabkan kerugian berbanding keuntungan.

2. Ini dapat dilihat yang terbaru berlaku kepada 23 keluarga penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang.

3. Oleh kerana sikap mereka yang tidak mahu bertolak ansur dan suka meminta yang bukan-bukan menyebabkan pihak pemaju enggan berunding lagi dengan mereka dan tidak akan memberikan apa-apa pampasan pun. Pemaju boleh merobohkan rumah mereka pada bila-bila masa sahaja.

4. Kerajaan Negeri Pulau Pinang pun sudah tidak mahu membantu kerana menganggap penduduk kampung berkenaan dan wakil yang mereka lantik mempunyai agenda lain di sebalik tuntutan yang melampau.

5. Pergantungan para penduduk terhadap wakil dan peguam yang mereka lantik saya fikir merupakan kesilapan besar mereka kerana saya percaya orang atau pihak yang mewakili penduduk kampung itu ada agenda tersembunyi untuk tujuan kepentingan mereka, bukannya menjaga kepentingan penduduk kampung itu.

6. Yang rugi adalah penduduk kampung sendiri kerana jika benar, mereka harus berpindah keluar tanpa mendapat apa-apa.

7. Pihak yang mewakili mereka tidak akan rugi kerana mereka hanya ingin melaksanakan agenda tersendiri.

8. Penduduk kampung itu yang telah berpindah keluar lebih awal sebelum ini lebih untung kerana mereka menerima pampasan daripada kerajaan negeri sebelum ini.

9. Kerajaan negeri ataupun kerajaan pusat tidak terikat dari segi undang-undang untuk memberikan pampasan kepada penduduk-penduduk kawasan setinggan yang harus berpindah dan rumah mereka dirobohkan. Ini telah berlaku di banyak kawasan dan negeri lain terutamanya di Selangor yang mana mensasarkan setinggan sifar. Banyak kawasan setinggan di Selangor dirobohkan dan penduduk tidak mendapat apa-apa pampasan cuma ada sebahagian mereka diberi tempat tinggal baru yang mana mereka perlu menyewa atau membeli rumah yang disediakan.

10. Jadi jika penduduk setinggan yang lain boleh berpindah dan ada yang tidak dibayar apa-apa pampasan, maka apakah keistimewaan yang ada pada 23 keluarga penduduk setinggan Kampung Buah Pala ini menyebabkan mereka terlalu istimewa untuk menuntut itu dan ini?

Monday, August 3, 2009

TAHNIAH! DAN SELAMAT BERJUANG

1. Saya secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Mahmoud Ahmadinejad atas pengesahan dan kejayaan beliau mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Iran pada hari ini.

2. Beliau adalah seorang tokoh pemimpin negara Islam yang harus dihormati dan dikagumi atas segala usaha beliau mempertahankan kedaulatan negaranya dan menguatkan pengaruh Islam.

Source : http://news.bbc.co.uk/

3. Dunia Islam seharusnya mencontohi dan menyokong keberanian beliau dalam usaha memperjuangkan pengaruh Islam dan menentang dasar-dasar penindasan oleh Amerika, Israel dan sekutu mereka yang menindas negara Islam dan kuasa-kuasa kecil.

4. Semoga dengan kemenangan ini beliau terus kuat berjuang untuk membawa paradigma baru kepada kerjasama dan hubungan baik di kalangan negara-negara Islam.

Sunday, August 2, 2009

MAKLUMAT PENGIKTIRAFAN

1. Masih ada pihak yang kurang maklumat berkaitan pengiktirafan Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan di UUM ini.

2. Program ini telah pun mendapat pengiktirafan oleh JPA semenjak 10 tahun yang lalu iaitu sejak mula ditawarkan pada tahun 1999

3. Telah ramai pun graduan bidang ini menjadi pegawai-pegawai tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta

4. Telah ramai juga mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan mungkin juga PhD.

5. Jadi bagi mereka yang masih kekurangan maklumat tentang pengiktirafan program ini oleh JPA silalah layari laman web berikut - http://www.mqa.gov.my/mqr/paparIPTA.cfm?IdAkrKP=10124

6. Terima kasih kepada pelajar saya Akalil Anis atas informasi ini.

Saturday, August 1, 2009

DEMONSTRASI JALANAN BUKAN BUDAYA

1. Secara peribadi saya menolak budaya demonstrasi jalanan sebagai cara untuk membantah sesuatu perkara (anti) mahupun untuk menyatakan sokongan (pro) untuk perkara tersebut.

2. Saya dapati demonstrasi jalanan ini semakin dijadikan budaya oleh pihak tertentu di negara ini - ianya bukanlah satu tindakan yang baik dan sangat negatif untuk perkembangan intelektual rakyat dan kemajuan negara.


Sumber : The Star Online

3. Saya juga dapati demonstrasi jalanan ini sering dianjurkan dan disertai oleh orang atau pihak yang sama yang mengeskploitasi cara ini untuk merealisasikan impian politik dan kepentingan peribadi mereka. Orang-orang atau pihak yang berbudaya seperti ini saya fikir kurang layak dan sesuai untuk menjadi pemimpin dan menerajui pemerintahan negara yang saya cintai ini.

4. Hari ini menurut laporan media hampir 500 orang telah ditahan dalam demonstrasi jalanan berkaitan Gerakan Mansuh ISA di mana antara yang ditahan adalah golongan wanita dan remaja di bawah umur.

5. Saya amat percaya dan yakin sebahagian besar mereka yang terlibat dalam demonstrasi jalanan ini atau yang ditahan sebenarnya mereka sendiri pun tidak faham apa yang sedang mereka perjuangkan, sebaliknya mereka hanya menjadi mangsa pihak tertentu yang telah mengeksploitasi pemikiran mereka untuk turut serta menyertai demonstrasi. Saya amat kasihan dengan mereka ini.

6. Ada banyak cara lagi untuk kita menyatakan sokongan dan bantahan terhadap sesuatu perkara, di mana antara cara yang terbaik adalah melalui perundingan dan mengadakan pertemuan dengan pihak yang bertanggungjawab mengikut saluran yang betul. Mungkin cara yang paling akhir ialah melalui undi dalam pilihanraya nanti, tunjukkan suara anda pada waktu itu, tetapi bukannya melalui demonstrasi seperti ini.

7. Kita perlu wariskan sebuah negara yang aman, harmoni, mempunyai budaya kemasyarakatan berfikiran bijak dan beretika tinggi kepada generasi masa hadapan.