Wednesday, June 30, 2010

AGAMA ADALAH NASIHAT

1. Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus, bahawa Rasulullah SAW bersabda " "Agama adalah an-nasihah". Kami bertanya : "Untuk siapa?". Jawab Baginda : "Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan bagi para Imam-imam muslimin dan seluruh muslimin (selain Imam-Imam) - (Hadis riwayat Imam Muslim).

2. An- nasihah untuk Allah : An-nasihah untuk Allah ialah dengan beriman kepada Allah daan menolak syirik terhadap-Nya serta tidak mengingkari sifat-sifat-Nya. Juga dengan menyifatkan-Nya dengan sifat-sifat kesempurnaan, ketinggian dan mensucikan-Nya daripada segala kekurangan. Ikhlas beribadat kepada-Nya, melakukan ketaatan, menjauhkan maksiat, kasih dan marah hanya kerana Allah semata-mata, memberi wala' kepada sesiapa yang mentaati Allah dan menentang siapa yang mengingkari-Nya.

Iltizam seorang muslim terhadap semua perkara ini dalam percakapan dan perbuatannya, akan memberi manfaat kepada dirinya sendiri di dunia dan akhirat. Kerana sesungguhnya Allah SWT tidak berhajat kepada sebarang an-nasihah daripada sesiapapun.

3. An-nasihah untuk kitab Allah : iaitu dengan beriman kepada kitab-kitab samawi kesemuanya yang diturunkan oleh Allah. Al-Quran adalah penutup dan menjadi saksi bagi semua kitab-kitab samawi. Ia merupakan kalam Allah yang penuh mukjizat, dijaga di dalam dada dan dalam bentuk tulisan daripada sebarang penyelewengan. Bahkan Allah sendiri telah menjamin daripada berlaku sebarang bentuk penyelewengan dalam Firman-Nya : "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kami memelihara dan menjaganya " (Surah Al-Hijr, ayat 9).

An-nasihah muslim untuk kitab Allah ialah membaca dan menghafalnya kerana Al-Quran boleh menghasilkan pengetahuan, menambah kebersihan jiwa, keharmonian perasaan dan juga taqwa. Dengan membaca Al-Quran juga, ganjaran dengan kebaikan yang besar akan ditulis pada catatan amalannya dan akan menjadi syafaat untuknya di hari penantian pada hari akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW : "Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat sebagai syafaat kepada pembacanya" (HR - Imam Muslim).

Berusaha memahami ayat-ayat Al-Quran dan mengamalkannya. ini kerana tiada kebaikan pada bacaan tanpa kefahaman dan tidak ada kebaikan pada kefahaman yang tidak disertai dengan amalan. Firman Allah SWT : "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukannya? Amat besar kebencian di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya." (Surah As-Saff, ayat 2-3)

4. An-nasihah untuk Rasulullah SAW : dengan membenarkan risalahnya, beriman dengan semua perkara yang didatangkan oleh Al-Quran dan as-Sunnah. Begitu juga dengan mencintai dan mentaatinya. Mengasihi Rasulullah SAW adalah sama seperti mengsihi Allah SWT. Firman Allah : "Katakanlah (wahai Muhammad) : "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu." (Surah Al Imran, ayat 31)

An-nasihah untuk Rasulullah SAW selepas kewafatan Baginda, menuntut daripada kaum muslimin supaya mengkaji sirah perjalanan hidup Rasulullah, berakhlak serta beradab dengan akhlak dan adab-adabnya, beriltizam dengan sunnahnya sama ada dalam bentuk perkataan mahupun perbuatan, mengambil pengajaran dan peringatan daripada kehidupan Baginda dan memberi saham di dalam menyebarkan sunnah Baginda di kalangan manusia.

5. An-nasihah untuk para imam muslimin : yang dimaksudkan dengan imam muslimin ialah para pemerintah umat Islam dan sesiapa sahaja yang dilantik oleh mereka. Adapun para pemerintah Islam, mereka mestilah terdiri dari kalangan muslimin supaya ketaatan terhadap mereka menjadi wajib. An-nasihah kita untuk mereka ialah dengan kita menyukai kebaikan, petunjuk dan keadilan mereka. Bukannya kita mencintai mereka kerana peribadi mereka ataupun kerana kepentingan peribadi yang akan diperolehi melalui mereka.

Kita menolong serta mentaati mereka berlandaskan kebenaran dan memperingati mereka dengan kebenaran. Kita memberi peringatan kepada mereka dengan teliti, penuh hikmah dan lembut. Sesungguhnya tidak ada kebaikan pada umat yang tidak menasihati para pemerintah mereka dan tidak mengatakan kepada pemerintah yang zalim ; Kamu Zalim! Begitu juga tidak ada kebaikan pada pemerintah yang menghina rakyatnya dan mengunci mulut-mulut mereka yang memberi nasihat serta menulikan telinganya daripada mendengar kalimah yang benar.

6. An-nasihah untuk umum muslimin : ialah dengan memberi tunjuk ajar kepada mereka demi kepentingan akhirat dan dunia mereka. Apa yang menyedihkan, umat Islam telah memandang enteng di dalam melaksanakan hak An-Nasihah terhadap muslim yang lain khususnya di dalam masalah bekalan mereka menuju akhirat. Mereka membataskan segala perhatian kepada kepentingan dan perhiasan dunia sahaja.

An-nasihah yang dilaksanakan mestilah tidak terhenti sekadar kata-kata, bahkan mesti menjangkau ke peringkat amalan. Dengan itu, an-nasihah akan berperanan dalam masyarakat Islam sebagai penutup keaiban dan penyekat kecacatan, penahan mudarat, pelahir maslahat (kebaikan), penyeru makruf dan pencegah mungkar, pemberi ketenangan kepada yang dewasa, rahmat kepada yang kecil dan sebagai pencegah daripada berlakunya penipuan dan hasad-dengki, sekalipun dengan melaksanakan an-nasihah itu akan memudaratkan dunia dan harta orang yang melaksanakan an-Nasihah.

Sumber : Mustafa al-Bugha dan Muhyiddin Misto. (1998). Syarah Hadis 40 Imam Nawawi (Terjemahan). Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Tuesday, June 29, 2010

MEMPERBAIKI KUALITI SOLAT

1. Firman Allah SWT : ""Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya dan rugilah orang yang mengotorinya". (Surah Asy-Syam, ayat 9-10)

2. Mendirikan solat lima waktu sama dengan menyucikan jiwa. Apalagi apabila kita mengiringinya dengan amalan solat sunat termasuk solat dhuha. apabila kita mengerjakan solat dengan baik, kita selalu memperoleh bimbingan dan perlindungan daripada segala cela dan kesesatan, sama ada yang disengajakan ataupun tidak.

3. Allah SWT berfirman : "Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingat Allah dengan bersolat itu besar keutamaannya daripada ibadah-ibadah yang lain. Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan". (Surah Al-Ankabut, ayat 45).

4. Demikian juga seseorang yang taat dan khusyuk dalam mengerjakan solat, dia mempunyai jiwa yang tenang. ini kerana dia sudah terbiasa khusyuk dan selalu berusaha mengingati Allah. Allah SWT berfirman : "... iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah, hati menjadi tenteram". (Surah Ar-Rad, ayat 28).

5.Terdapat lima kelompok solat menunjukkan golongan manusia yang mendirikan solat iaitu :

i. Mu'aqqib (pengintai). Mereka yang termasuk dalam kelompok ini adalah orang yang menganiayai diri sendiri kerana solatnya selalu kekurangan, baik dalam wuduknya, perlaksanaan solatnya, mahupun rukun-rukunnya.

ii. Muhasib (penghitung). Mereka yang termasuk dalam kelompok ini adalah orang yang mampu menyempurnakan wuduknya serta memerhatikan tertib solat dan rukun-rukunnya. Namun, mereka tidak mampu menguasai hati untuk khusyuk menghadap Allah.

iii. Mukaffar'anhu (penerima ampunan). Mereka yang termasuk dalam kelompok ini mampu memperhatikan tata tertib, rukun-rukun dan perlaksanaannya, baik dalam wuduk mahupun solatnya. Di samping itu, mereka selalu berjuang menguasai hati supaya khusyuk menghadap Allah. Mereka berusaha dan berperang melawan nafsu.

iv. Mutsab (penerima pahala). Kelompok ini mampu menyempurnakan segala kewajipan, rukun-rukun dan hatinya sibuk menjaga solatnya daripada lalai. Seluruh potensi yang ada dikerahkan bagi mendapat solat yang sempurna.

v. Muqarrab min Rabbihi (peraih kedekatan dengan Tuhan). Kelompok ini sama dengan kelompok di peringkat mutsab ditambah dengan usaha menempatkan diri di hadapan Allah Yang Maha Agung. Mereka selalu muraqabah dan mahabbah kepadanya seakan-akan mereka melihat Allah secara langsung dan hadir di hadapan Allah secara nyata. Mereka mampu mengendalikan hati hingga mereka sentiasa khusyuk mengerjakan solat. Kelompok ini berada pada tahap istimewa.

6. Agaknya, di kelompok manakah kita sekarang? Marilah kita berdoa kepada Allah SWT dan bersungguh-sungguh berusaha memperbaiki kualiti solat kita agar kita tergolong dalam kalangan mereka yang berada di dalam kelompok yang ke-4 dan ke-5. InsyaAllah.

7. Firman Allah SWT : "Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman iaitu orang khusyuk dalam solatnya". (Surah Al-Mukminun, ayat 1 hingga 2).

8. Rasulullah SAW bersabda :

"Perkara pertama yang dihilangkan daripada umat ini adalah khusyuk dalam solat hingga engkau tidak melihat ada seorang pun yang khusyuk". (Hadis Riwayat - Imam Thabrani).

"Perkara pertama yang dicabut daripada manusia adalah amanah dan yang terakhir adalah solat. Berapa ramai orang yang solat yang tidak memiliki pahala di sisi Allah?". (HR - Hakim).

Sumber : Muhammad Mokhtar. (2010). Magnet Rezeki Dengan Solat Duha. Selangor : Milennia.

Saturday, June 26, 2010

JADILAH POHON YANG SENTIASA BERBUAH

Nasihat Sheikh Hasan Al-Banna, “Jadilah kamu (sebagai orang beriman) seperti pohon yang sentiasa memberikan buah-buahan (kebaikan) kepada manusia, walaupun kadangkala pohon itu dilontar dengan batu (dihina) oleh manusia”.

(Sumber : Ahmad Haris Suhaimi, 2006, Buku : Apakah Amalan Bagi Menjauhkan Kesusahan Hidup).

Friday, June 25, 2010

ANDAIKU TAHU



* Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang telah bertanyakan khabar dan mahukan blog ini diupdated, InsyaAllah saya akan terus menulis apabila ada kesempatan dan blog ini hanyalah tulisan-tulisan biasa sekadar saya menyampaikan pendapat peribadi untuk kegunaan diri sendiri. Yang baik itu datang daripada Allah, yang kurang dan lemah itu adalah daripada sifat saya sebagai insan yang serba kekurangan. -Syahril