Monday, June 15, 2009

MENDEKATI ILMU

Hari ini saya berpeluang berbual panjang dengan rakan pensyarah senior iaitu Prof. Madya Dr. Ali Embi dan Ustaz Amir Hamzah. Banyak topik perbincangan dibincangkan berkait kepada perkembangan universiti, isu-isu semasa, hinggalah kepada konteks sejarah dan agama. Duduk berbual dan berbincang dengan orang-orang ilmuan ni menjadikan saya lebih sedar banyak lagi ilmu yang kena belajar, banyak lagi buku yang kena baca, banyak lagi kena dalami Al-Quran dan Hadith agar menjadikan saya seorang yang berilmu pada masa hadapan. Yang lebih penting peluang berbual dengan orang-orang berilmu ini menjadikan sesi berbincang itu bukan sekadar sembang kosong!

Tambahan lagi orang seperti Ustaz Amir ni saya kagum kerana beliau tinggi ilmu sejarah bukan sahaja sejarah Malaysia, malah sejarah Asia, sejarah dunia dan sejarah berkaitan agama Islam. Beliau dapat mengaitkan suatu sejarah yang berlaku dengan hubungannya dengan sejarah negara-negara lain dan dikembangkan pula dengan sokongan agama seperti hadith dan Al-Quran.

Sangat bertuah rasanya bila ada kesempatan yang lebih banyak dapat bersama dengan para ilmuan sama ada di dalam universiti atau ramai lagi di luar sana, menjadikan diri saya berasa kerdil dari segi ilmu apatah lagi teramat kerdil sebagai hamba di hadapan Allah.

Orang berilmu ini dapat melihat sesuatu perkara daripada pelbagai sudut kerana pengalaman dan pengetahuan mereka luas, berbanding bagi orang yang masih kurang ilmu mungkin cenderung melihat sesuatu perkara itu dalam konteks yang sempit. Maka, salah satu cara untuk meningkatkan ilmu, selain belajar, banyakkan membaca dan mengkaji ilmu, menghadiri majlis-majlis ilmu (seperti kuliah di universiti - maka janganlah ponteng kuliah), kita perlu meluangkan sebahagian masa dengan mendekati orang-orang yang berilmu supaya manfaat ilmu yang ada pada mereka bolehlah turut sama kita manfaatkan.

Sempat saya catatkan sebuah hadith yang disebutkan dalam perbincangan itu iaitu : Berkata Abu Hurairah r.a : bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: “Ada tujuh kelompok (manusia) yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan-Nya. Mereka adalah :

  1. pemimpin yang adil
  2. anak muda yang senantiasa beribadah kepada Allah Azza wa Jalla
  3. seseorang yang hatinya senantiasa dipertautkan dengan masjid
  4. dua orang yang saling mencintai kerana Allah, yakni keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah
  5. seorang lelaki yang ketika dirayu oleh seorang wanita bangsawan lagi rupawan lalu dia menjawab: “Sungguh aku takut kepada Allah”
  6. seseorang yang mengeluarkan sedekah lantas di-sembunyikannya sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat tangan kanannya
  7. seseorang yang berzikir kepada Allah di tempat yang sunyi kemudian ia mencucurkan air mata”.

(Hadith Riwayat Bukhary - Muslim)



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.”

(Hadith Riwayat ibnu Abid-Dunya)

3 comments:

secretname said...

salam..adakah ini ustz amir yg join dlm projek ms sy jd RA tu?lect BPM kan?bkn kah beliau telah bersara...sy amat2 mengkagumi bakat n ilmu pengetahuan beliau..terutama dr segi ilmu sejarah n agama..klu bole sy nk jadi mcm dia sbb sy pon minat sejarah...hehe..tp beliau mmg sy kagumi...mmg patut kita hadiri majlis2 ilmuan xkira la d mn2 saja...utk mengutip secebis ilmu pgtahuan

Syahril Said said...

Ya Ustaz Amir yang join research sempadan tu la, memang best kalau dia bercakap tentang sejarah kan? kalau macam tu, Syafa jadi cikgi sejarah la...hehe..nanti jangan ponteng2 kuliah tau...hhe..

secretname said...

hak hak..mmg la..ari tu apply kpli mintak sejarah..tp xdpt..huhuhu...next time la kot apply lain..ponteng kelas mmg wajib..hahahaha