Sunday, March 28, 2010

SEKALUNG TAHNIAH UNTUK GRADUAN BDM

1. Hari ini dan pagi ini merupakan hari besar dan bersejarah kepada para Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM). Mereka adalah tetamu yang sangat diraikan bersama ahli keluarga mereka di dalam Majlis Konvokesyen UUM Ke-23 Sidang Pertama.

2. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka semua dengan ucapan SYABAS! dan TAHNIAH!

3.Saya juga mengucapkan TAHNIAH! khas kepada Muhammad Syahmizan Azmi yang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Lim Jen Zen yang menerima anugerah Ijazah Kelas Pertama untuk BDM.

4. Saya berdoa semoga para graduan BDM ini akan terus berjaya dan cemerlang di dalam bidang kerjaya dan alam kehidupan selepas universiti.

Syahril Said,
Graduan BDM 2003
Melbourne

Friday, March 26, 2010

BERSEDERHANA ITU LEBIH BAIK

1. Satu penulisan oleh blogger Kereta Mayat yang sangat baik untuk dibaca dan difikirkan (baca sini).

2. Bersederhana itu adalah lebih baik dalam berbuat kebaikan dan urusan agama, antaranya bertujuan supaya kita tidak perasan bagus ('josh' kata blogger Hamka).

3. Apabila kita telah menjadi 'josh' dalam berbuat kebaikan dan beribadah, dibimbangi ianya boleh memudaratkan tahap keikhlasan kita dalam segala amalan dan perbuatan tersebut.

4. Kebaikan dan ibadah yang dilakukan tanpa bersifat ikhlas itu, belum tentu ianya akan diterima oleh Allah walaupun mungkin amalan dan ibadah kita itu lebih banyak daripada orang lain.

Thursday, March 25, 2010

PERMAIDANI


Nun Kau teguh di sana
Pengasih dan Penyayang
Ya Allah! hijrahkanlah diri ini...

Wednesday, March 24, 2010

APABILA AKHLAK SEMAKIN ROSAK, TIADA LAGI RASA TAKUT KEPADA ALLAH

1. Statistik anak luar nikah di Malaysia dalam kalangan orang Melayu / Islam sangat mengejutkan. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, dalam tempoh lima tahun JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam (sumber).

2. Statistik anak luar nikah Melayu/Islam :

Tahun 2007 : 16,100 orang
Tahun 2008 : 16,541 orang
Tahun 2009 : 17,303 orang

3. Tidak takutkah kita bila melihat statistik ini? Jika menjawab tidak, maka segeralah bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang fasiq dan munafik.

4. Jangan kita menundingkan jari menyalahkan dan melihat kepada orang lain dalam soal peningkatan bilangan anak luar nikah ini, tetapi lihatlah dahulu pada diri sendiri supaya kita terutamanya tidak tergolong dalam kalangan mereka yang sedang menghampiri maksiat atau zina.

5. Jika ada tanda-tanda pada diri kita tentang ciri-ciri sedang menghampiri maksiat dan zina, maka marilah kita bertaubatlah segera supaya statistik yang kita lihat itu terpelihara diri kita daripada menjadi penyumbangnya. Apakah tanda-tanda itu? Di antara tanda yang paling besar apabila lelaki dan perempuan bebas bergaul di antara satu sama lain dan mereka mula berkasih-kasihan. Apabila telah berkasih-kasihan, mereka semakin melampau, seolah-olah tidak kenal batas agama. Apabila itu berlaku, maka maruah diri, maruah keluarga dan martabat agama seolah-olah diletak di bawah kasut mereka, lalu manusia-manusia ini mula melakukan perbuatan yang menghina diri sendiri dan keturunan mereka.

6. Dunia sekarang makin mencabar, namun kembalilah kepada ajaran Islam. Tabiat kita yang semakin melampau mengagungkan hiburan, pergaulan bebas dan kesenangan dunia boleh menyebabkan kita semakin lalai, alpa, tergoda lalu terjebak menghampiri maksiat dan zina.

7. Anak luar nikah ini bermakna telah melakukan zina. Maka berzina itu adalah dosa besar. Akibat jahil tentang agama, kita semakin tidak takut melakukan dosa besar ini kerana manusia tidak berasa takut lagi dengan perkataan 'dosa besar', 'azab' dan 'neraka'.

8. Bila orang semakin tidak takut melakukan dosa besar seperti maksiat dan zina, maka runtuhlah akhlak dan hilanglah rasa malu dan rasa takut kepada 'kemurkaan' Allah.

9. Sekecil-kecil usaha kita untuk mencegah diri daripada maksiat dan zina, maka jagalah dan peliharalah ibadah solat dengan sempurna, kerana sembahyang yang sempurna itu mampu mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran. InsyaAllah.

10. Saya mengambil peringatan ini untuk diri sendiri terlebih dahulu.

APABILA PERPADUAN NEGARA ISLAM DAN ORANG ISLAM MAKIN LEMAH

1. Islam tidak pernah lemah sehingga Hari Kiamat. Ini kerana Allah S.W.T telah menjanjikan Dia akan memelihara kesucian agama Islam dan Al-Quran sehingga dunia ini dimusnahkan (Hari Kiamat).

2. Allah S.W.T tetap Maha Agung walaupun jika tiada seorang pun hamba-Nya sujud kepada-Nya kerana Dia tidak berkhendakkan kepada makhluk-Nya menyembah-Nya untuk Dia mengekalkan Keagungan-Nya tetapi sebaliknya makhluk Allah yang berkhendakkan pertolongan-Nya untuk terus hidup kerana Dia Maha Pencipta setiap makhluk.

3. Pada hari ini, di seluruh dunia dapat dilihat betapa perpaduan di kalangan orang Islam dan Negara Islam makin lemah. Dunia Islam makin ditindas terutamanya oleh Yahudi. Musuh-musuh Islam makin kuat bersatu menjatuhkan dan melemahkan Islam dari segenap aspek ekonomi, politik dan sosial.

4. Hari ini juga menyaksikan jika Dunia Islam tidak kembali bersatu, maka kita akan menyaksikan Dunia Islam bakal kehilangan Baitulmaqdis (baca sini).

5. Mana suara orang-orang Islam? Mana pendirian pemimpin-pemimpin Islam? Cukupkah kita hanya bersandarkan kepada perjuangan kecil oleh rakyat dan pemimpin Palestin, Iran dan Libya?

6. Perlu diingat bahawa Baitulmaqdis itu sangat penting untuk Islam bukan sahaja kerana ianya menjadi petempatan Islam Palestin, tetapi hubungan Baitulmaqdis dalam Islam cukup tinggi.

7. Nabi Muhammad s.a.w dan umat terawal yang memeluk Islam telah berkiblatkan Baitulmaqdis semasa solat ketika mereka berada di Mekah. Selepas peristiwa Hijrah, masyarakat Islam di Madinah juga turut mengadap ke Baitulmaqdis ketika solat selama kira-kira 17 bulan. Kemudian, barulah turun perintah Allah S.W.T supaya menukar arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Mekah (Al-Baqarah: 142-150) (sumber).

8.
Bandar ini menjadi saksi kepada kehidupan dan kerja-kerja para nabi serta utusan Allah S.W.T. Di situlah turunnya wahyu Allah S.W.T secara berulang-ulang. Nabi-nabi dan utusan-utusan Allah yang agung tinggal dan berpindah ke lembah-lembah serta jalan-jalannya. Mekah dan Madinah merupakan bandar-bandar yang diberkati di dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan Nabi Muhammad s.a.w. Begitu juga dengan Baitulmaqdis yang diberkati dan penting di dalam Islam kerana kaitannya dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Daud a.s, Nabi Sulaiman a.s dan Nabi Isa a.s (sumber).

9.
Kini, kerana kealpaan, kelalaian, pertelingkahan dan persengketaan orang dan pemimpin Islam sendiri, dunia menyaksikan Islam semakin cuba 'dihilangkan' oleh musuh-musuh Islam.

10. Disisi Allah, Islam tidak lemah dan tidak hilang, tetapi hari ini umat Islam yang semakin jauh hanyut dan membiarkan diri mereka dilemahkan dan disesatkan.

Saturday, March 20, 2010

SAYA PERLU BELAJAR DARIPADA POSMEN INI

1. Apapun jenis pekerjaan, pangkat dan kedudukan kita yang Allah S.W.T kurniakan di dunia ini, perkara yang paling utama ialah niat menjadikan kerja itu sebagai satu ibadah dan mencari rezeki yang halal dan berkat. Sesungguhnya pangkat dan harta itu bukanlah pandangan Allah terhadap kemuliaan seseorang hamba-Nya.

2. Walaupun mungkin pendapatan kita itu kecil dan sedikit, tetapi jika ada keberkatan-Nya InsyaAllah Allah akan menjadikan ia 'mencukupi'.

3. Kita akan lebih seronok jika mempunyai niat bekerja yang betul iaitu hanya kerana Allah S.W.T dan rasa bersyukur apabila mendapat rezeki yang berkat iaitu halal dan bersih.

4. Membayar zakat dan memperbanyakkan bersedekah adalah penting dalam mencari keberkatan rezeki.

5. Kisah posmen ini (baca sini) memberi pengajaran kepada saya sendiri.

6. Kadangkala Allah berikan rezeki yang lebih kepada kita sebenarnya adalah sebagai menguji sama ada kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya bersyukur atau tidak.

Friday, March 19, 2010

TENTANG BULAN


Bulan dan bintang
bersinar berkelipan
dan menerangi
keindahan malam
Tanpamu bulan
malam kegelapan
Tanpamu bintang
hilanglah keindahan...
Inilah kisah 'tentang bulan'


Wednesday, March 17, 2010

PERLUKAH MELAYU DIKRITIK?

1. Perlukah Melayu dikritik? Saya fikir perlu. Tetapi kritikan tersebut perlulah bersifat membina (constructive) dan memperbaiki (improve) kerana hanya kritikan bersifat demikian mampu membawa bangsa Melayu menjadi lebih kuat dan maju ke hadapan.

2. Kritikan bersifat menjatuhkan, memburukkan dan melemahkan amat tidak bermanfaat sama sekali kepada semua pihak. Maka ianya perlu dihindari.

3. Bangsa Melayu telah lama dikritik oleh bangsanya sendiri sejak kurun ke 18 lagi (Mohd Ayop Razid, Utusan, Mac 2010). Baca sini.

4. Saya juga orang Melayu. Justeru, InsyaAllah saya sendiri mengharap dan menyediakan diri saya sendiri untuk dikritik terlebih dahulu .

5. Daripada kritikan, kita akan banyak dapat belajar mencari kelemahan, kekurangan dan keburukan diri yang harus diubah dan diperbaiki.

6. Untuk menjadi orang yang berjaya dan bangsa yang kuat kita tidak sepatutnya mengharapkan pujian demi pujian kerana segala pujian itu mampu melalaikan dan melekakan kita akhirnya tanpa kita sedar diri sendiri dan bangsa kita tidak ke mana.

7. Lebih utama apabila saya ingin mengkritik orang lain dan bangsa saya sendiri, perkara paling awal ialah mulai dengan mengkritik diri sendiri terlebih dahulu supaya tidak menjadi ibarat 'kata dulang paku serpih'.

8. Jika ada mana-mana penulisan saya di dalam blog ini yang mengkritik bangsa saya, InsyaAllah saya mengkritik atas niat sayangkan bangsa sendiri.

9. Perjalanan memperkasakan bangsa Melayu masih jauh, selagi itulah perjuangan ini belum selesai...

ISU HALAL : SEBELUM ADA YANG BERTINDAK LEBIH MELAMPAU

1. Tindakan seorang pengusaha sebuah kilang memproses ayam di Pedas yang cuba mengurung sekumpulan penguatkuasa dari Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merupakan satu tindakan yang melampau (baca sini).

2. Saya fikir tindakan tersebut sebagai satu usaha cubaan memperkecilkan isu penguatkuasaan pengeluaran makanan halal untuk orang Islam.

3. Tindakan itu juga melambangkan pengusaha tersebut tidak menghormati dan tidak prihatin terhadap kepentingan isu makanan halal terhadap orang Islam.

4. Isu makanan halal adalah perkara yang sangat penting terhadap orang Islam dan tidak boleh dipandang ringan atau diambil mudah oleh mana-mana pihak.

5. Saya fikir tindakan tegas dalam bentuk perundangan perlu dikenakan terhadap pengusaha terbabit sebagai amaran supaya tidak ada pihak lain pula yang berani bertindak lebih melampau dalam soal ini pada masa akan datang.

6. Sepatutnya pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam perlu ambil serius kes-kes seperti ini dalam menjaga kemaslahatan Islam di negara ini bukannya asyik sibuk nak lompat sana lompat sini.

Monday, March 15, 2010

KEUNTUNGAN UNTUK PERLIS ATAU THAILAND?

1. Saya baca satu laporan di dalam akhbar hari ini tentang cadangan pembinaan terowong yang akan menghubungkan antara Perlis dan Wilayah Satun di Thailand (baca sini).

2. Apakah pembinaan terowong berkenaan perlu? Saya fikir tidak.

3. Cukuplah dengan jumlah pintu sempadan yang sedia ada sekarang di Wang Kelian dan Padang Besar di Perlis dan Bukit Kayu Hitam serta Durian Burung di Kedah manakala pintu sempadan yang ada di Kelantan.

4. Perlukah kita mempunyai begitu banyak pintu sempadan dengan negara jiran itu?

5. Alasan cadangan pembinaan terowong itu adalah bagi tujuan pembangunan kedua-dua kawasan berkenaan.

6. Kenapa tidak dibangunkan sahaja pembangunan di kawasan pintu sempadan yang sedia ada seperti Padang Besar dan Wang Kelian. Sedangkan kedua-dua kawasan inipun belum benar-benar membangun.

7. Dari sudut pengalaman sekarang, saya dapati pembangunan di kawasan pintu sempadan (border town) tidak banyak menguntungkan kita, tetapi lebih memberi keuntungan kepada negara jiran.

8. Pembangunan di bandar sempadan negara jiran itu dilihat lebih maju berbanding dengan bandar sempadan di Perlis dan Kedah. Kemajuan bandar sempadan di sebelah Thailand itu merupakan hasil tumpuan rakyat Malaysia dan pelancong asing. Manakala ramai rakyat Thailand juga sedang mengambil kesempatan menjalankan aktiviti ekonomi di bandar sempadan di sebelah Malaysia ekoran kemudahan perhubungan pintu sempadan yang dibuka. Ada kalanya mereka menguasai hampir sebahagian sektor ekonomi di sempadan negara ini.

9. Saya fikir jika fokus pembinaan terowong bagi tujuan memangkin perkembangan sektor pelancongan, maka pelancongan di Satun lah yang akan meningkat kerana Perlis hanya akan menjadi 'laluan' sahaja untuk ke wilayah itu berikutan perkembangan pelancongan semasa di Perlis belum mampu untuk bersaing.

10. Kos pembinaan terowong sepanjang empat kilometer itu dianggarkan memerlukan belanja ratusan juta ringgit. Begitu sangat besar belanja yang diperlukan bagi tujuan ini. Kenapa tidak peruntukan ratusan juta ringgit itu dibelanjakan sahaja untuk kepentingan pembangunan Perlis dan sektor pelancongannya terlebih dahulu? Perlis merupakan salah satu negeri yang masih 'kurang' dari sudut pembangunan dan kemajuan ekonomi.

11. Saya berharap agar kerajaan Malaysia tidak akan bersetuju dengan cadangan ini buat masa sekarang. Fokus yang lebih utama ialah membangunkan dahulu pembangunan keseluruhan negeri Perlis, bukannya mengutamakan kemudahan perhubungan Perlis dengan wilayah negara jiran.

12. Kita tidak mahu menambah lagi sebuah projek gajah putih atau yang hanya 'menguntungkan orang lain' di Perlis khususnya dan Malaysia amnya.

13. Apa pula perkembangan berita tentang pintu sempadan baru di Durian Burung?

Sunday, March 14, 2010

GHAZWUL FIKRI (PERANG PEMIKIRAN)

Seorang guru sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!" Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat.

Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.

Guru berkenaan tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita sedaya upaya cuba memesongkan kita dengan perbagai cara, mereka menukarkan sesuatu dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pada mulanya mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tetapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan kamu mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai akidah dan akhlak kita".

"Keluar berduaan serta berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah tanpa rasa malu, tanpa rasa berdosa seks sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib menjadi biasa dan materialistik kini menjadi suatu gaya hidup."

"Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, kita sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Faham?" tanya guru kepada murid-muridnya. "Faham cikgu..."

"Baik permainan kedua..." guru melanjutkan. "Cikgu ada sebuah Al-Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang kamu berdiri di luar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Al-Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berfikir. Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat, dan lain-lain.

Akhirnya guru berkenaan memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan dia pun mengambil Al-Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet. "Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya...musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak kamu dengan terang-terangan. Kerana tentu kamu akan menolaknya mentah mentah. Orang biasa pun tak akan rela kalau Islam dihina di hadapan mereka. Tapi mereka (musuh-musuh Islam) akan menggulung kamu perlahan-lahan dari pinggir, sehinggalah kamu tidak sedar".

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin merobohkan rumah, tentu susah kalau dimulai dengan tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan".

"Begitulah cara musuh-musuh Islam sedang menghancurkan kita. Mereka tidak akan menghentam secara terang-terangan, tetapi secara perlahan-lahan mereka akan meletihkan kamu. Mulai dari perangai kamu, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun kamu seorang Muslim, tetapi kamu telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka. Dan itulah yang mereka inginkan."

Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang sedang dijalankan oleh mereka...

Thursday, March 11, 2010

PEMANSUHAN BAYARAN WAD

1. Akhbar hari ini melaporkan Kerajaan Malaysia akan memansuhkan bayaran wad yang dikenakan terhadap semua kakitangan dan pesara perkhidmatan awam bermula 1 April nanti.

2. Saya fikir ini satu tindakan yang baik. Tetapi mungkin ada juga pihak yang sentiasa tidak berpuashati dengan tindakan tersebut.

3. Saya juga kakitangan awam, semestinya saya juga berterima kasih kepada kerajaan dan bersyukur kepada Allah (kita tidak tahu bila kita akan sakit (masuk wad) kerana mungkin hari ini kita sihat, tetapi entah esok lusa Allah uji kita dengan kesakitan) .

4. Namun, saya fikir tindakan pemansuhan bayaran berkenaan tidak perlu terhad kepada golongan kakitangan dan pesara perkhidmatan awam sahaja, tetapi perlu diperluaskan khususnya kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan memerlukan.

5. Mereka yang berpendapatan rendah dan miskin walaupun tidak bekerja dengan kerajaan, pastinya turut memerlukan bantuan bentuk ini. Kemudahan ini tidak semestinya hanya istimewa untuk kakitangan kerajaan sahaja yang sudah tentunya mempunyai pendapatan tetap. Sebahagian besar kakitangan kerajaan sekarang sudah berkemampuan membeli polisi insuran kesihatan dan mendapatkan rawatan di hospital swasta.

6. Seharusnya pemansuhan turut diperluaskan kepada golongan pelajar daripada peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti sebagai satu bentuk kebajikan oleh kerajaan kepada kesihatan golongan pelajar tanpa menilai ibu bapa mereka berkhidmat dengan kerajaan atau tidak..

7. Juga diperluaskan kepada mereka yang disenaraikan sebagai golongan kurang upaya (OKU) (mungkin sekarang pun golongan ini telah dikecualikan bayaran, jika betul, bermakna saya yang tidak tahu).

8. Dari sudut positif saya menyokong tindakan pemansuhan berkenaan, tetapi dari sudut lain nampak seolah-olah tindakan ini kerajaan melaksanakan satu dasar terhadap golongan terpilih sahaja.

9. Ada ramai lagi orang awam selain daripada kakitangan awam yang perlu dibantu dari sudut perhatian terhadap kebajikan kesihatan mereka.

Monday, March 8, 2010

KISAH TELADAN : BUAH LIMAU

Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak.

Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan “Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab itu saya habiskan semuanya.”

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di’tewas’kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

* Kisah ini saya copy dari email yang diforwardkan di uummail.edu.my - Muslim Group

Saturday, March 6, 2010

MENILAI DIRI

1. Menurut Aa Gym, kita perlu mengukur (muhasabah) diri setiap saat.

2. Barang siapa hari ini yang lebih baik daripada kelmarin itulah orang yang beruntung.

3. Barang siapa yang hari ini sama sahaja dengan kelmarin itulah orang yang rugi.

4. Barang siapa yang hari ini lebih buruk daripada kelmarin itulah orang yang celaka (rujuk video di bawah)



5. Untuk mengukur diri terdapat 5 cara :

i. Berani bercermin / periksa (menilai) diri sendiri sampai kita tahu siapa diri kita

ii. Harus mempunyai guru atau bersama mereka yang 'Ahli' iaitu orang-orang alim dan soleh yang mahu membantu kita memperbaiki diri

iii. Memiliki 'cermin' iaitu sahabat sejati sama ada pasangan (isteri), anak-anak atau keluarga yang boleh secara jujur membantu kita memperbaiki diri

iv. Memanfaatkan orang-orang yang ditakdirkan tidak menyukai kita kerana daripada mereka sebenarnya kita dapat mencari kekurangan diri

v. Belajar daripada fenomena (kejadian yang berlaku di sekeliling kita) dan banyak belajar melalui apa yang berlaku kepada orang lain

Friday, March 5, 2010

BILA BANYAKNYA GEMPA BUMI

1. Semenjak gempa bumi paling dasyat yang berlaku di Banda Acheh pada 26 Disember 2004, kejadian gempa bumi terus-berterusan berlaku di merata-rata tempat di bumi.

2. Namun, sejak gempa bumi yang berlaku di Padang, Indonesia pada penghujung September 2009, didapati semakin banyak dan kerap kejadian gempa bumi yang berlaku di tempat-tempat lain.

3. Terlalu ramai angka kematian manusia telah dicatatkan. Tidak terbilang angka kecederaan untuk direkodkan. Bukan kepalang banyaknya angka kemusnahan untuk dihitungkan.

4. Selepas gempa bumi di Padang tahun lalu, gempa seterusnya berlaku di Samoa, Haiti dan terkini di Chile manakala hari ini gempa bumi berlaku pula di Vanuatu.

5. Kenapa Allah S.W.T menjadikan begitu banyak gempa bumi? Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Tidak akan datang hari kiamat sehingga berlaku banyak gempa bumi." (HR Bukhari)

"Sebelum berlakunya hari kiamat akan terdapatnya beberapa kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlaku tahun-tahun gempa bumi." (HR Ahmad)

6. Semasa Nabi Muhammad s.a.w diisrakkan, Baginda terlihat seorang wanita yang sangat tua. Apabila Nabi bertanya, maka Jibril a.s menyatakan, itulah dia umur dunia. Maka, tahulah Nabi bahawa umur dunia ini sesungguhnya pada zaman Nabi pun sudah tua sangat. Bayangkanlah pula usia dunia pada hari ini.

7. Kepada mereka-mereka yang masih lalai dan leka termasuklah diri saya sendiri, ingatlah masa yang tinggal untuk kita semakin suntuk.

8. Dekatkanlah diri kita kepadaNYA.

9. Kita sudah tiada masa, 'bila waktu telah berakhir'.

Thursday, March 4, 2010

PEMBATALAN SISTEM SUBSIDI PETROLEUM

1. Hari ini kerajaan telah mengumumkan hasrat membatalkan rancangan pelaksanaan penstrukturan semula sistem subsidi petroleum.

2. Keputusan tersebut sangat wajar. Sejak dari awal, saya sendiri rasa pelik dengan tindakan kerajaan mahu memperkenalkan sistem subsidi baru untuk petroleum.

3. Dalam konteks ini bukanlah saya berpandangan negatif, tetapi saya fikir tidak perlu bagi kerajaan merekabentuk sistem subsidi baru untuk petroleum kerana saya yakin apa juga bentuk sistem itu pasti membebankan orang ramai dan merumitkan pengurusan negara.

4. Saya yakin isu minyak atau petroleum adalah satu isu yang sangat besar dan amat sensitif bagi rakyat Malaysia. Sebarang perubahan pada harga petrol (selalunya harga petrol dinaikkan berbanding penurunan) akan melibatkan impak yang besar kepada orang ramai.

5. Risiko kesilapan pengurusan komoditi ini boleh berupaya 'menumbangkan sebuah kerajaan'.

6. Saya percaya rakyat Malaysia secara 'majoritinya' masih memerlukan 'bantuan' subsidi minyak.

7. Saya fikir sekiranya kerajaan belum berupaya 'memperbaiki' sistem pengangkutan awam sedia ada di 'seluruh negara'. Maka tidak perlulah kerajaan 'melihat' kepada subsidi minyak sedia ada.

8. Di negara maju contohnya Australia, penduduk tidak terlalu bergantung terhadap petrol untuk diisikan kepada kenderaan mereka kerana mereka boleh 'bergantung' kepada sistem pengangkutan awam yang efisien dalam menyokong pergerakan harian mereka. Justeru, tidak timbul isu kerajaan mereka perlu memberikan subsidi minyak.

9. Harga petrol di negara ini (Australia) lebih murah berbanding Malaysia (mengikut mata wang tempatan AUD) walaupun tiada subsidi minyak oleh kerajaan. Pemilik kenderaan boleh memilih untuk mengisi pada hari Rabu dan Khamis kerana harga petrol biasanya lebih murah berbanding hari-hari lain.

10. Di Malaysia, buat masa sekarang apa yang lebih penting ialah kerajaan perlu memastikan setiap pembangunan yang dirancang 'sampai' kepada rakyat bukannya memikirkan apakah lagi bentuk 'bebanan' yang boleh 'dikongsi' bersama rakyat.