Sunday, May 9, 2010

SELAMAT HARI IBU

1. Kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu kesayangan saya yang telah melahirkan saya ke dunia ini iaitu Bonda Hajah Saodah Binti Ali.

2. Semoga beliau sentiasa dirahmati dan dilindungi oleh Allah SWT setiap masa.

3. Jasa dan pengorbanan bonda tidak akan saya lupa hingga ke akhir hayat saya.



4. Dalam hidup saya hanya ada dua orang ibu yang amat saya muliakan dalam diri saya iaitu pertama, ibu yang telah melahirkan saya ke dunia ini dan kedua, bakal isteri saya yang akan melahirkan dan menjadi ibu kepada anak-anak saya nanti.

BLOK L DAN BLOK M (EPISOD 3)

1. Dalam akhbar hari ini Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah memberi jawapan yang agak jelas berhubung isu Blok L dan Blok M (baca sini).

2. Mungkin beliau terpanggil membuat penjelasan ini berikutan jawapan daripada Wisma Putra didapati kurang memuaskan banyak pihak, mungkin juga disebabkan beliau sendiri pernah terlibat secara langsung dalam isu ini ketika menjadi Menteri Luar sebelum ini.

3. Sekurang-kurangnya jawapan tersebut memberi lebih kejelasan terhadap isu ini.

4. Namun, diharapkan selepas ini kepimpinan negara mengambil sikap yang lebih tegas dan serius dalam menangani isu-isu berhubung kedaulatan dan keselamatan negara.

5. Tidak seharusnya untuk kita dilihat sebagai prihatin terhadap hubungan baik dengan negara-negara jiran, kita harus berkompromi dalam melonggarkan kedaulatan wilayah kita sama ada di kawasan darat dan maritim negara.

6. Isu kedaulatan dan keselamatan adalah isu yang sangat besar bagi sesebuah negara, jadi kita harus bijak dan tegas dalam menanganinya supaya di masa hadapan generasi akan datang dapat menikmati kedaulatan yang ada dan hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

7. Dalam kita menghormati negara lain, kita perlulah terlebih dahulu menghormati negara sendiri.

8. Isu Limbang masih belum selesai sebenarnya kerana kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan sedang dijalankan. Maka diharapkan tiada pihak yang cuba "mengambil mudah" perkara ini.

Thursday, May 6, 2010

BLOK L DAN BLOK M (EPISOD 2)

1. Jika dalam entry sebelum ini saya mempersoalkan 'jawapan mudah' Wisma Putra berhubung isu Blok L dan Blok M yang hanya merujuk kepada peruntukan UNCLOS. Jawapan itu agak terlalu mudah, sebagaimana kita "mengambil mudah" kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dua tahun lalu.

2. Saya fikir jawapan tersebut ternyata tidak lengkap dan tidak telus. Jawapan tersebut hanya sekadar "menjawab", bukannya "memberikan jawapan yang tepat dan lengkap". Semua pihak boleh "menjawab", tetapi bukan semua pihak boleh "memberikan jawapan yang tepat dan lengkap". Tetapi paling malang, pihak yang sepatutnya bertanggungjawab "memberikan jawapan yang tepat dan lengkap" itu hanya tahu "menjawab".

3. Mungkin Wisma Putra juga boleh "memberikan jawapan yang tepat dan lengkap" kepada penulis ini (baca sini).

4. Ramai orang dan saya nak tahu "jawapan yang tepat dan lengkap" kerana kita bukan sahaja telah "menghadiahkan" dua buah blok yang kaya dengan minyak kepada Brunei tetapi kita sebenarnya telah "mempermudahkan" kedaulatan negara diberi kepada negara lain. Ini yang amat membimbangkan.

5. Mungkinkah di Malaysia, semua yang kita mahu "mudah untuk didapati, lalu kita pun "dengan mudah pula untuk memberi"?

Tuesday, May 4, 2010

BLOK L DAN BLOK M

1. Wisma Putra mengeluarkan kenyataan dalam akhbar hari ini (baca sini) bahawa Brunei mempunyai hak kedaulatan ke atas dua blok minyak yang diserahkan Malaysia kepada negara itu pada tahun lalu berdasarkan kehendak Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

2. Jika kes kali ini Malaysia mendakwa ianya adalah berdasarkan UNCLOS, sebagai rakyat Malaysia, saya juga ingin tahu bahawa adakah kes kedaulatan Pulau Batu Puteh sebelum ini juga ICJ telah merujuk UNCLOS? Adakah Malaysia juga mempertahankan Pulau Batu Puteh di The Hague ketika itu menggunakan alasan UNCLOS? Kenapa UNCLOS tidak memihak kepada Malaysia?

3. Ini kerana jika merujuk kepada UNCLOS semata-mata, mungkin Pulau Batu Puteh itu boleh jadi milik Malaysia kerana ianya terletak dalam kawasan sempadan maritim negara. Tetapi apa yang saya tahu, melalui maklumat dan pembacaan, dalam kes Pulau Batu Puteh, Singapura banyak menggunakan hujah-hujah lain yang memenang mereka. Hasil kemenangan Singapura, sempadan maritim Malaysia telah diubah di kawasan tersebut kepada sempadan maritim Singapura.

4. Jika alasan UNCLOS semata-mata boleh memberi hak Blok L dan Blok M kepada Brunei, maka berhubung isu tuntutan Kepulauan Spratly oleh enam negara, sudah tentu China, Vietnam dan Taiwan boleh menarik diri sekarang kerana jika merujuk kepada UNCLOS semata-mata mungkin mereka tidak akan menang.

5. Mungkin Wisma Putra juga boleh menjawab isu ini.

Monday, May 3, 2010

"MENANG-MENANG" SEKALI LAGI?

1. Berhubung isu penyerahan kawasan penggalian minyak di Blok L dan Blok M yang telah diberi milik kepada Brunei dan isu pertindihan tuntutan kawasan Limbang di antara Malaysia dan Brunei, Perdana Menteri membuat kenyataan bahawa sebarang rundingan dan perjanjian yang sedang diusahakan akan bersifat 'menang-menang' (baca sini) dan (baca sini).

2. Dalam bulan Mei dua tahun lalu apabila ICJ membuat keputusan Pulau Batu Puteh menjadi milik Singapura, saya juga mendapati Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menjadi Menteri Luar ketika itu menyatakan bahawa ianya adalah keputusan 'menang-menang'. (baca sini)

3. Merujuk kes Pulau Batu Puteh pada tahun 2008 kita telah kehilangan sebuah pulau yang sebelum itu memang sah milik Malaysia dan kita hanya mendapat 'dua ketul batu'. Kita bukan sahaja kehilangan sebuah pulau tetapi kita juga kehilangan sebahagian besar kedaulatan kawasan perairan negara. Namun, keputusan itu telah dianggap "menang-menang". Saya telah mengulas isu ini dalam blog ini pada 18 Mei tahun lalu (baca sini).

4. Dalam kes tuntutan Limbang ini Tun Abdullah pernah mendakwa tuntutan berkenaan telah selesai namun baru-baru ini Brunei menafikannya. Bermakna tuntutan tersebut belum selesai dan Limbang belum tentu akan jadi milik Malaysia sepenuhnya. Tetapi Blok L dan Blok M sudah pasti menjadi hakmilik Brunei.Sebagai perjanjian, Petronas hanya diberi hak perkongsian usahasama penggalian minyak di kedua-dua blok berkenaan selama 40 tahun.

5. Tun Dr. Mahathir mendakwa simpanan minyak di Blok L dan Blok M mampu mencapai kapasiti 1 bilion tong dan bernilai RM320 bilion. Petronas memaklumkan bahawa kontrak usahasama di kedua-dua blok berkenaan masih dalam peringkat kajian dan perundingan.

6. Saya bimbang tentang istilah "menang-menang" yang digambarkan adakah akan berulang seperti keputusan Pulau Batu Puteh? Kita sudah kehilangan hak ke atas dua blok minyak yang bernilai lebih RM320 bilion dan kita juga belum pasti dengan pemilikan Limbang oleh Malaysia. Adakah hanya mendapat kontrak 40 tahun itu sudah boleh dianggap menang? begitu juga seperti mendapat 'dua ketul batu'?

7. Saya lebih melihat isu ini bukan kerana kehilangan RM320 bilion, tetapi yang lebih berharga ialah kedaulatan perairan Malaysia juga akan berubah kesan penyerahan dua blok berkenaan.

8. Apa yang lebih membimbangkan pastinya keputusan ini akan memberi kesan jangka panjang terhadap isu tuntutan Kepulauan Spratly oleh 6 negara iaitu China, Filipina, Vietnam, Taiwan, Brunei dan Malaysia. Pastinya dalam isu ini, ada 'kelebihan' akan memihak kepada Brunei berbanding Malaysia berikutan kedudukan lokasi Blok L dan Blok M yang hampir dengan kawasan Spratly.



9. Nampaknya dalam isu "menang-menang" ini Malaysia menang apabila dijanjikan kontrak usahasama penggalian minyak selama 40 tahun, tetapi Brunei menang dengan memperolehi hakmilik Blok L dan Blok M, masih 'berpeluang' dalam isu tuntutan Limbang, kedaulatan sempadan perairan antarabangsa Brunei bertambah baik dan Brunei juga saya percaya akan ada 'kelebihan' berbanding Malaysia dalam isu tuntutan Kepulauan Spratly.

10. Namun, saya berharap pemimpin-pemimpin Malaysia yang ada sekarang 'bijak' untuk menghadapi isu ini.