Monday, June 29, 2009

PROGRAM BERSAMA KETUA PENGARAH ICU

Pagi tadi UUM COLGIS dikunjungi oleh Tan Sri Khalid Ramli, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan Pembangunan atau lebih dikenali dengan nama ICU (Implementation and Coordination Unit), Jabatan Perdana Menteri. Kunjungan beliau ke UUM COLGIS sempena perlantikan beliau sebagai Profesor Adjung bagi Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM). Pada sebelah pagi beliau mengadakan perjumpaan bersama semua pensyarah Pengurusan Pembangunan serta pensyarah UUM COLGIS yang lain. Pada sebelah petang pula beliau mengadakan sesi syarahan kepada pelajar-pelajar UUM yang baru.

Semasa bersama pensyarah beliau menyampaikan taklimat berkaitan perlaksanaan projek-projek pembangunan di Malaysia serta isu-isu semasa tentang pembangunan projek. Sesi berlangsung hampir tiga jam termasuk sesi soal jawab dengan para profesor dan pensyarah. Kesempatan itu saya berpeluang menanyakan beberapa soalan kepada beliau :

1. Apakah pandangan Tan Sri berkaitan agihan pembangunan dan perlaksanaan projek yang kurang konsisten di negara ini? Misalnya, terdapat peruntukan projek yang secara bermusim (immediate project) seperti faktor pilihanraya dan faktor kepimpinan (wujud lambakan projek di kawasan-kawasan pemimpin terkenal berbanding kawasan yang tiada pemimpin terkenal).

2. Jika merujuk prosedur pembangunan perlulah berpandukan pelan pembangunan yang telah dirancang seperti Local Plan dan Rancangan Kawasan Khas yang mana dalam pelan pembangunan tersebut telah mengenalpasti kawasan-kawasan serta projek-projek yang perlu di lakukan tindakan segera, tetapi apakah pula kaitannya jika immediate project tidak merujuk pelan pembangunan?

3. Apakah pandangan Tan Sri berkaitan perlaksanaan projek jika didapati ada sesuatu projek telah dilambatkan perlaksanaannya apabila pemerintahan kerajaan yang memerintah negeri itu bertukar tangan manakala ada pula projek yang disiapkan lebih awal daripada jadual kerana ingin cepat digunakan dan akhirnya berlakulah tragedi seperti yang berlaku kepada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh di Kuala Terengganu baru-baru ini?

Memandangkan sesi berkenaan adalah sesi tertutup maka jawapan Ketua Pengarah ICU berkenaan terhadap soalan-soalan saya adalah SULIT untuk kegunaaan akademik semata-mata.

No comments: