Friday, July 10, 2009

PPSMI

Kerajaan telah membuat keputusan memansuhkan PPSMI dan ianya dilakukan secara berperingkat hinggalah tahun 2012. Apabila orang bertanya apakah pandangan saya tentang pemansuhan ini? Sudah tentu jawapan saya ialah tidak setuju!. Sebelum kerajaan buat keputusan ini lagi, memang saya sudah berpendirian tidak menyokong pemansuhan PPSMI. Bukanlah ini bermakna saya anti kerajaan, walaupun tidak bersetuju, tetapi saya hormati keputusan itu. Bukanlah pula keputusan saya sebab Tun Dr. Mahathir tidak setuju, jadi saya sokong beliau...bukan...ini bukan soal sokong sesiapa, tapi saya ada pendirian tentang isu ini.

Pertama, saya melihat PPSMI bukanlah soal isu Bahasa Inggeris tetapi yang lebih penting penguasaan orang Melayu dalam ilmu pengetahuan sains dan matematik. Mungkin di peringkat sekolah buku-buku teks dan bahan-bahan rujukan kedua-dua subjek ini boleh diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia. Tetapi bila sampai peringkat pengajian lebih tinggi dan profesional, berapa banyak bahan ini dalam Bahasa Malaysia? Kalau kita lihat buku-buku akademik di perpustakaan di universiti-universiti, di kedai-kedai buku terkemuka dan bahan-bahan rujukan di Internet, beratus-ratus ribu malah jutaan bahan dalam Bahasa Inggeris! Tidak berlakukah perubahan minat para pelajar untuk membaca rujukan-rujukan dalam Bahasa Inggeris kerana sudah lama mereka belajar bidang berkenaan dalam Bahasa Malaysia di sekolah? Lebih buruk lagi apabila mereka juga tidak dapat menguasai baik Bahasa Inggeris. Jadi bagaimana pengembangan ilmu dan pengetahuan sains dan matematik di peringkat tinggi boleh ditingkatkan? Dari sudut ini sebenarnya tanpa kita sedar kita telah membataskan pengembangan ilmu sains dan matematik itu sendiri. Boleh saya katakan hampir 100% rujukan peringkat tinggi bagi bidang sains, matematik, kejuruteraan, perakaunan, perubatan, aerospace, dan macam-macam lagi perkembangan teknologi dalam bahasa Inggeris!

Kedua, adakah sesuatu tamadun bangsa itu dihormati dan disegani kerana ketinggian bahasanya atau ketinggian ilmu pengetahuan dan kepakaran mereka? Zaman ini ilmu sains dan matematik amat penting dalam memajukan negara dan tamadun manusia. Jika kita merujuk sejarah perkembangan ilmu sains dan matematik, bidang ini pada awalnya dipelopori oleh tokoh-tokoh ilmuan Islam yang hebat pada zaman kegemilangan tamadun Islam, pada waktu itu semestinya ilmu ini ditulis dan disampaikan dalam bahasa Arab. Kemudian orang-orang Barat mengembangkan tamadun mereka dengan belajar ilmu ini daripada orang Islam, mereka terpaksa belajar ilmu ini dalam Bahasa Arab dan kemudian apabila tamadun Islam runtuh, orang-orang Barat telahpun menguasai serta mengembangkan ilmu sains dan matematik dan menulis di dalam Bahasa Inggeris dan mereka terus menjadi peneraju bidang ini hingga kini. Sebab itulah semua kini semua kepakaran dalam sains dan matematik ditulis dalam Bahasa Inggeris. Orang Jepun juga semas proses pembinaan kemajuan bangsa dan negara mereka terpaksa menuntut ilmu ini daripada Barat dan terpaksa mempelajari dalam Bahasa Inggeris. Sekarang mereka sudah dapat bina teknologi menggunakan Bahasa Jepun. Tapi kita? Semestinyalah kita perlu belajar ilmu sanis dan matematik ini dalam Bahasa Inggeris kerana kepakaran bidang ini ditulis dalam bahasa berkenaan. Apabila kita sudah menguasai bidang ini sekurang-kurang menyaingi Jepun dan Korea saya percaya kita boleh majukan bidang ini dalam Bahasa Ibunda kita. Jadi ilmu lebih penting atau bahasa lebih penting?

Ketiga, saya sangat cintakan Bahasa Malaysia, tapi saya lebih cintakan ilmu pengetahuan yang boleh memajukan bangsa dan negara kita.

Keempat, pada pendapat saya kalau ingin meningkatkan martabat Bahasa Malaysia, maka yang perlu dilakukan ialah meningkatkan kualiti pengajaran matapelajaran bahasa itu sendiri bukanlah kerana ianya tidak digunapakai untuk matapelajaran lain. Kalau Bahasa Malaysia digunakan dalam matapelajaran lainpun, tetapi pencapaian pelajar dalam matapelajaran Bahasa Malaysia sendiri tidak cemerlang, maka tidak sampai juga hasrat untuk meningkatkan martabat bahasa ini. Jika pelajar cemerlang dalam sains dan matematik pun bukanlah bermakna Bahasa Malaysia telah maju, tapi kedua-dua subjek itu yang berlaku peningkatan.

Kelima, sains dan matematik diperkenalkan dalam Bahasa Arab, kemudian bidang ini dimajukan dalam Bahasa Inggeris oleh orang Barat, jadi ianya bukanlah asalnya dari bangsa Melayu. Cuma orang Melayu boleh majukan bidang ini dalam bahasa mereka hanya setelah mereka dapat menguasai hebat ilmu sains dan matematik, seperti mana orang Jepun lakukan.

Keenam, apabila kita telah hebat dalam penguasaan dan kemajuan ilmu sains dan matematik, maka orang lain pula akan belajar bahasa kita untuk mendapatkan kepakaran yang kita ada. Dari situ, Bahasa Malaysia akan tinggi martabatnya. Contohnya, Malaysia telah menjadi rujukan dan negara contoh kepada negara-negara Islam dan negara membangun yang lain pada masa kini hanya setelah kita membuktikan keupayaan kita menguruskan pembangunan dan kemajuan negara dengan baik.

Ketujuh, sekali lagi saya ingin tegaskan pendirian saya, kemajuan bangsa kita hanya diukur berdasarkan penguasaan ilmu pengetahuan yang tinggi barulah kita akan dihormati dan diikuti. Orang tidak mengukur kehebatan kita melalui bahasa kita, tetapi apabila kita menjadi masyarakat yang menerajui ilmu pengetahuan tinggi, orang akan belajar bahasa dan budaya kita. Sayangi pembinaan masa depan bangsa kita perlu melebihi sayangkan bahasa. Bukanlah pula bermakna kita boleh rosakkan bahasa, tetapi kita perlu bijak menilai yang mana lebih utama.

Ini hanyalah pandangan peribadi saya, apa pun kerajaan dah buat keputusan, saya tak minta pun sesiapa setuju dengan pandangan saya...

2 comments:

anies said...

en, sy pn x stuju ppsmi ini di ajar dlm bhasa melayu..pe yg sy nmpk skrg student skolah skrg sdikit sebanyk ada la pningkatan tahap bhsa inggeris depa ni bbanding b4 ni..
byk langkah klu pn nk tngkatkan bhsa ibunda ni..
btol kata en, dkat library n kdai buku terkemuka sume buku n mjalah dlm bhsa inggeris...effect nye nnati generasi pd masa 2 smastinya mengalami kesukaran yang dahsyat en..
sy praktikum kat sni pn tya jga abg2 n kak2 kat cni...dpa pn kta anak depa ada pningkatan dlm b.i berbanding dlu...dpa pn x sutuju gak...

Syahril Said said...

mungkin di sekolah ni tak berapa nampak kesan PPSMI ni, tapi bila masuk ke universiti baru jelas kenapa penting PPSMI...menyesal dulu bangsa pendapatan, menyesal kemudian bangsa binasa..