Friday, July 31, 2009

PERJUANGAN BELUM SELESAI

Pada tarikh 31 Julai setiap tahun merupakan sambutan Hari Pahlawan. Kesempatan ini saya mengucapkan selamat Hari Pahlawan terutamanya kepada semua bekas-bekas pahlawan dan pemimpin negara yang telah berkorban dan terkorban dalam memerdekakan negara dan mempertahankan kedaulatan negara ini. Sanjungan yang sangat tinggi pula saya tujukan kepada semua pahlawan dan pemimpin negara yang sedang menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah menjaga keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara ini setiap masa sama ada di darat - bandar, hutan, gunung, di laut dan udara. Memelihara dan memajukan negara dari aspek pemantapan ekonomi, sosial dan pemerintahan.

Tanpa budi dan bakti mereka mungkin saya dan kita semua belum tentu dapat hidup dengan aman dan harmoni di negara ini seperti yang sedang kita nikmati pada hari ini. Mereka adalah pejuang-pejuang yang patut kita hormati dan sanjungi. Tetapi secara peribadi apa yang amat saya kesalkan ialah dahulunya ketika kita dijajah, kita bersatu hati, bekerjasama dan berjuang bersama-sama menghalau penjajah, menentang musuh negara dan bersepakat menjaga kedaulatan negara untuk menjadikan negara ini berdaulat, bebas dan harmoni. Itulah yang generasi terdahulu telah wariskan kepada kita. Tetapi sebaliknya apabila negara kita tidak dijajah lagi, kembali berdaulat, telah membangun, harmoni dan selamat, kita pula yang cuba mencetuskan pergaduhan, demontrasi jalanan, membakar api perkauman, menjatuhkan kehormatan institusi beraja dan menjual maruah bangsa, agama dan negara.

Sebagai warganegara Malaysia saya fikir kita patut berterima kasih dan bersyukur dengan kedaulatan dan nikmat kemajuan yang sedang kita kecapi sekarang. Selaku manusia biasa, saya mungkin tidak akan menjadi seorang pahlawan yang menggunakan kekuatan fizikal dan kemahiran senjata dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara. Tetapi selagi ada kehidupan untuk saya dengan izin-Nya pasti saya akan menggunakan peluang itu dengan membina kekuatan ilmu dan amal pada diri sendiri untuk meneruskan perjuangan menjaga diri, agama, keluarga, bangsa dan negara. Namun saya sedar, perjuangan yang dicakapkan bukanlah sesuatu yang semudah percakapan dan perjuangan itu tiada penghujungnya kecuali di penghujung nyawa.

Perjuangan Belum Selesai

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati
Dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa
Para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan
Dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Tugas kita bukan kecil
Kerana mengisi kemerdekaan
Rupanya lebih sukar dari bermandi
Keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
Kalau bangsaku asyik mengia
Dan menidakkan,
Mengangguk dan membenarkan,
Kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?

Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya.

- Tun Dr. Mahathir Mohamad


No comments: