Monday, July 6, 2009

ISU MARITIM MALAYSIA

Tahniah saya ucapkan kepada rancangan Talian Hayat di saluran Ntv7 pada episod minggu ini (6/7/2009) kerana telah mendedahkan isu kawalan, keselamatan dan pencerobohan kawasan laut maritim Malaysia.

Hasil pendedahan dan tinjauan oleh krew rancangan ini yang diketuai Wan Kamaruddin Wan Ibrahim, sememangnya menunjukkan masih banyak kelemahan dalam aspek kawalan dan pemantauan keselamatan kawasan maritim di negara ini. Namun rancangan berkenaan hanya tertumpu tinjauan di kawasan maritim di Selat Tebrau melalui kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan.

Menurut Laksama Pertama APMM Wilayah Selatan yang ditemubual dalam rancangan itu, tiada koordinasi yang baik antara agensi-agensi yang bertanggungjawab ke atas kawalan dan keselamatan maritim Malaysia.

Antara agensi yang bertanggungjawab dalam mengawal dan menjaga keselamatan maritim Malaysia ialah Pihak Berkuasa Pelabuhan (kawalan pelabuhan), Jabatan Laut (hal ehwal perkapalan), Polis Marin (Keselamatan), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM - pemantauan dan kawalan keselamatan), Tentera Laut DiRaja Malaysia (keselamatan dan pertahanan), Jabatan Alam Sekitar (pencemaran laut), Polis Gerakan Am (PGA- kawalan keselamatan pantai) dan lain-lain lagi agensi berkaitan seperti KDRM dan UPP yang saya fikir tentulah berkaitan penyeludupan.

Berdasarkan senarai agensi itu, saya fikir sudah mencukupi kalau diukur 'tahap kesediaan' Malaysia dalam menjaga keselamatan maritim negara boleh dianggap menyeluruh. Namun, hasil tinjauan yang dibuat mendapati terlalu banyak isu-isu berkaitan penyeludupan, pencerobohan perairan negara oleh bot-bot nelayan asing, kapal-kapal perdagangan yang tidak berdaftar, beratus-ratus kapal yang berlabuh secara haram di kawasan laut Malaysia dan banyak lagi kes-kes berunsur pencerobohan dan jenayah.

Punca utama dikenalpasti kelemahan kawalan keselamatan maritim Malaysia ialah setiap agensi itu mempunyai bidang kuasa yang berbeza-beza, tetapi tiada satu sistem perhubungan yang cukup jelas yang dapat menggabungkan kerjasama yang lebih kukuh antara satu agensi dengan agensi lain. Maka wujudlah keadaan buat kerja masing-masing. Jika ini dapat diatasi saya yakin kawalan keselamatan perairan Malaysia akan lebih mudah diuruskan dan tahap keselamatan perairan negara boleh ditingkatkan. Ini bukanlah bermakna saya mendakwa perairan negara tidak selamat, tetapi sehingga kini kes-kes penyeludupan dan pencerobohan masih banyak berlaku.

Saya berkeyakinan menulis tentang ini disebabkan saya sendiri pernah berpengalaman menjalankan satu kajian tentang persempadanan Malaysia di Wilayah Utara Semenanjung iaitu sempadan darat Malaysia-Thailand dan sempadan maritim Indonesia-Malaysia-Thailand. Walaubagaimanapun, hasil kajian adalah maklumat sulit. Sepanjang pengalaman menjalankan kajian dengan pasukan penyelidik dari UUM, pihak kami telah mendapat kerjasama yang sangat baik daripada pihak APMM. Dengan pertolongan pihak APMM saya dan rakan-rakan berpeluang membuat tinjauan kawasan sempadan maritim Malaysia-Thailand antara Selat Cincin, Langkawi dan Pulau Taratau, Thailand dan sempadan maritim Malaysia-Indonesia iaitu tinjauan di Pulau Jarak dan Pulau Perak di Selat Melaka.

Saya juga pernah berurusan dengan pihak Jabatan Laut, Polis Marin, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, PGA dan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri. APMM adalah agensi utama yang membantu kajian ini. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak APMM dan khususnya Laksamana Pertama APMM Wilayah Utara.

Oleh itu, apabila menonton pendedahan rancangan Talian Hayat mengenai isu ini amat menarik minat saya dan saya sangat bersetuju punca utama kelemahan isu ini perlu diatasi segera dengan mengadakan sistem perhubungan dan kerjasama yang lebih jelas dan kukuh antara semua agensi yang terlibat dalam kawalan keselamatan maritim Malaysia seperti yang saya sebutkan tadi.

Isu keselamatan negara bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan kedaulatan dan maruah negara kita. Berdasarkan tinjauan Talian Hayat, syarikat telekomunikasi TM telah rugi berjuta-juta ringgit setiap tahun akibat berlaku kerosakkan kabel bawah laut milik mereka telah rosak disebabkan terkena sauh kapal-kapal yang berlabuh secara haram di kawasan maritim Malaysia di samping banyak pencerobohan bot-bot nelayan asing yang datang menangkap ikan secara haram di perairan negara.

1 comment:

Anonymous said...

salam, boleh encik kupas sedikit apa apa pembaharuan ataupun pembaikan yang boleh dilakukan oleh setiap maritime training school di Malaysia supaya sistem maritim di Malaysia berada di tahap yang teratas?