Thursday, July 2, 2009

JANGAN KONTROVERSIKAN ISU

Penduduk-penduduk Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor, Pulau Pinang telah diarahkan oleh mahkamah untuk berpindah ke tempat lain kerana rumah mereka akan dirobohkan untuk tujuan pembangunan oleh pemilik tanah. Kerja-kerja perobohan yang bakal dilakukan itu adalah sah dari segi undang-undang kerana mereka membina rumah di situ bukanlah di atas tanah hak milik mereka, tetapi tanah tersebut telah dimiliki oleh sebuah syarikat pemaju. Jadi tuan tanah semestinya mempunyai hak yang sah untuk membangunkan tanah miliknya.

Dari segi sejarah pemilikan tanah, pada asalnya tanah berkenaan adalah milik kerajaan dan kemudiannya dijualkan kepada pemaju. Pemaju berkenaan difahamkan telahpun membayar pampasan RM200,000 kepada setiap keluarga yang membina rumah di atas tanah itu, banyak keluarga yang mengambil wang pampasan itu dan telah berpindah ke tempat lain tetapi ada yang tidak berbuat demikian dan tinggal di atas tanah itu hinggalah sekarang. Maka sekarang sudah tiba masa bagi pemaju itu ingin memajukan tanah miliknya, sudah pasti mereka harus berpindah keluar kerana mereka tidak ada apa-apa hak ke atas tanah itu. Tetapi mereka masih berdegil tidak mahu keluar. Lalu pemaju menggunakan saluran perundangan melalui mahkamah untuk merobohkan rumah-rumah di situ.

Jika kita lihat situasi yang berlaku ini, tidak ada apa-apa usaha yang melanggar undang-undang oleh pihak pemaju, tetapi penduduk kampung tersebut yang masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka hanyalah menumpang di atas tanah milik orang selama ini.

Kini mereka cuba mengeruhkan keadaan dengan terus membantah, berdegil, membuat tuntutan yang bukan-bukan dan melibatkan campurtangan pihak luar seperti pertubuhan yang telah diharamkan - HINDRAF.

Apa yang membuatkan saya sangat tidak setuju apabila ada di antara penduduk di situ menjadikan isu ini sebagai isu perkauman. Mereka mengatakan tindakan itu adalah percubaan untuk menghalau kaum India di situ. Ini adalah kerana penduduk di situ semua terdiri kaum India, manakala pemaju atau pemilik tanah pula adalah syarikat Melayu dan Ketua Menteri Pulau Pinang - DAP tidak mahu membantu mereka.

Inilah yang saya maksudkan mereka sengaja mengkontroversikan isu ini yang asalnya adalah isu berkaitan perundangan kepada menjadi isu perkauman pula sekarang. Ini sudah tidak benar sama sekali. Jangan suka putar-belitkan isu ini hingga boleh menimbulkan ketegangan kaum di negara ini. Sekiranya mereka memahami undang-undang sudah tentulah mereka yang harus berpindah keluar atau meminta kerajaan negeri membeli semula tanah itu daripada pemaju lalu mengekalkan petempatan mereka itu, bukanlah membuat provokasi perkauman seperti sekarang. saya fikir inilah budaya yang sangat tidak elok yang sering berlaku di negara kita.

Bukanlah saya ini seorang yang bersifat perkauman (racist), tetapi saya melihat terlalu banyak isu yang berlaku di negara kita kebelakangan ini seringkali disalah anggap sebagai perkauman, akhirnya boleh merosakkan perpaduan kaum yang telah dibina sejak dahulu. Kita harus rasional terhadap sesuatu isu dan mencari penyelesaian secara sah dan mengikut saluran yang betul.

Begitu juga isu berkaitan perobohan pusat penyembelihan babi di Alor Setar yang membuatkan DAP keluar dari Pakatan di negeri itu sebenarnya isu itu juga adalah mengikut saluran perundangan yang sah, bukanlah satu isu kontroversi untuk diskriminasi kepada orang bukan Islam. Sebenarnya pada masa dahulu di tempat yang sama dengan pusat penyembelihan babi itu terdapat juga pusat penyembelihan Islam, tetapi atas arahan kerajaan kerana kawasan itu sudah tidak sesuai untuk mengekalkan pusat penyembelihan, maka pusat penyembelihan Islam telah pun ditutup manakala pusat penyembelihan babi terus beroperasi hingga sekarang hinggalah arahan tegas kerajaan untuk merobohkan pusat penyembelihan berkenaan. Maka ianya juga bukanlah isu diskriminasi kaum, tetapi isu perundangan.

Seharusnya dalam mendepani setiap isu kita haruslah mempunyai maklumat yang tepat dan lengkap, seterus perlu menghormati serta mematuhi undang-undang yang ada. Janganlah sesekali kita mengadili sesuatu isu berdasarkan apa yang kita fikir betul sahaja atau untuk kepentingan diri sendiri kerana perbuatan dan tindakan kita itu tidak betul dan boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan negara.

No comments: