Tuesday, July 28, 2009

KEMAHIRAN KOMUNIKASI MAKLUMAT

Saya setuju dengan pendapat Akalil seperti di dalam entry sebelum ini. Proses komunikasi melibatkan penyampaian maklumat dan penerimaan maklumat. Saya berpendapat masih ramai di kalangan masyarakat kita masih lemah dalam aspek komunikasi dan pengurusan maklumat iaitu kita mudah mempercayai apa jua maklumat yang kita dengar, baca atau yang disampaikan kepada kita tanpa membuat sebarang tindakan pemeriksaan atau siasatan terhadap maklumat itu supaya mendapat kesahihan maklumat dan kefahaman yang lebih jelas.

Akhirnya, apabila kita tidak jelas tentang sesuatu perkara atau maklumat, maka banyaklah kerugian yang kita dapat. Dalam kes ini misalnya, jika pelajar-pelajar tidak pulang ke kampung, maka mereka boleh gunakan tempoh 1 minggu ini menyiapkan tugasan atau assignment kerana library tidak ditutup. Selain itu, mereka juga boleh menggunakan peluang ini untuk keluar mencari maklumat -maklumat berkaitan assignment di organisasi-organisasi luar kerana organisasi lain juga beroperasi seperti biasa. Kalau tinggal di rumah atau di kampung, saya percaya kuranglah perhatian kepada tugasan yang telahpun banyak diberikan oleh pensyarah masing-masing.

Contohnya, semasa saya sedang mencari maklumat di Arkib Negara Malaysia di Alor Setar petang tadi, saya dapati ada beberapa pelajar UiTM Merbok yang datang ke situ untuk mencari maklumat untuk menyiapkan tugasan mereka, mereka tidak pulang ke kampung sebaliknya menggunakan peluang ini untuk menyiapkan tugasan kerana semua kuliah di kampus UiTM juga ditangguhkan selama seminggu.

Seterusnya, satu aspek yang juga sangat penting ialah penyampaian maklumat. Saya fikir wujud kelemahan komunikasi maklumat oleh beberapa pihak di universiti ini kerana pertamanya pengumuman lewat disalurkan terutamanya menerusi email kakitangan dan pelajar. Saya dapati pelajar mendapat tahu dengan lebih awal melalui komunikasi SMS tetapi bagi saya ianya agak kurang sahih kerana dibimbangi ada pihak yang membuat sebaran SMS palsu, maka apabila saya dimaklumkan oleh para pelajar tentang pengumuman ini iaitu ketika kuliah sedang berjalan, justeru saya cuba mendapatkan kesahihan dengan menyemak email staf dan pelajar lalu mendapati belum ada pengumuman itu. Justeru, saya tidak boleh mengesahkan berita itu kepada para pelajar di dalam kuliah saya ketika itu. Saya hanya dapat mengesahkan maklumat ini hanya selepas menghubungi Ketua Jabatan dan membaca email yang lewat dihantar.

Keduanya, saya tidak pasti bagaimana maklumat atau pengumuman ini disampaikan kepada pelajar di DPP masing-masing selain melalui SMS. Saya percaya mungkin wujud kelemahan dan kurang keberkesanan maklumat yang disampaikan menyebabkan ramai pelajar yang keliru dan membuat keputusan meninggalkan kampus seberapa segera. Seharusnya pihak yang bertanggungjawab menyampaikan dan menyebarkan pengumuman ini kepada para pelajar dan warga kampus perlu lebih pantas, berkesan dan lengkap dalam menerangkan maklumat yang penting seperti ini. Seharusnya juga pelajar turut dimaklumkan sama ada mereka diminta meninggalkan kampus atau digalakkan untuk terus tinggal di dalam kampus sahaja (maklumat ini juga tidak dinyatakan dalam email). Mungkin selepas ini pakar dan pelajar dalam bidang komunikasi di universiti ini harus menilai kembali apa yang telah berlaku supaya tidak berulang kejadian sama pada masa hadapan.

2 comments:

secretname said...

sy setuju tu..lps ni kena la ambik iktibar dr apa yg blaku...mcm sy ni new student..email student masih xdpt d gunakan..jd nk refer kat sape?refer kat lect2 n bdk2 junior jela..email lama plk dah stop penghantarannya...sy mmg confuse betul2 psl ni..sgt2 confuse..tp apa pon..da smpai rmh ni tpksa la enjoy kan diri sambil2 wat tugasan..hehe

Syahril Said said...

baguslah Syafa turut luangkan masa siapkan assignment semasa di rumah....:-)