Thursday, September 10, 2009

GAJI PEMBANTU RUMAH

1. Duta Besar Indonesia di Malaysia baru-baru ini menyatakan hasratnya (saya fikir tentulah juga mewakili hasrat negara yang diwakilinya) untuk menuntut Kerajaan Malaysia menetapkan gaji minimum pembantu rumah Indonesia yang bekerja di negara ini 'dinaikkan' kepada RM800 sebulan.

2. Walaupun isu ini belum dikemukakan secara rasmi oleh Kerajaan Indonesia dalam mesyuarat rasmi kedua-dua negara, saya pasti 'rakyat Indonesia' pasti 'tertunggu-tunggu' keputusan Malaysia tentang tuntutan ini kerana meraka 'sangat berminat' dengan maklumbalas negara ini.

3. Sebahagian Rakyat Indonesia telah pun menunjukkan 'minat' mereka kepada Malaysia melalui demontrasi di beberapa daerah di negara itu (susulan isu Tarian Pandek) dengan membakar 'Jalur Gemilang', berniat 'mengancam' rakyat Malaysia di sana dan melancarkan misi 'Ganyang Malaysia'.

4. Walaupun tindakan itu dinafikan oleh kerajaan Indonesia sebagai melambangkan pendirian negara itu, tetapi didapati kerajaan Indonesia kurang serius mengambil tindakan serta mengawal ke atas sebahagian media di sana yang telah menyelar Malaysia.

5. Saya fikir berdasarkan isu gaji minimum pembantu rumah Indonesia ini, sebagai sebuah negara yang 'sangat prihatin' kepada negara jiran, maka kita perlu 'tunaikan' permintaan mereka.

6. Tak apa, naikkan saja kepada gaji minimum kepada RM800 sebulan (bersamaan RUPIAH 2,271,668 juta sebulan) pasti berita itu disambut 'baik' dan disukai oleh rakyat Indonesia. (Saya menonton berita yang menemubual beberapa rakyat Indonesia tentang isu ini menunjukkan mereka sangat 'setuju' kerana kalau bekerja di negara asal mereka sebagai seorang guru pun hanya berpendapatan bersemaan RM400 sebulan).

7. Kita naikkan gaji minimum pembantu rumah Indonesia itu bukan dengan niat untuk 'menyusahkan' majikan-majikan di Malaysia yang telah menggajikan pembantu rumah warga Indonesia, tetapi dalam masa yang sama kita menyediakan pelan altenatif dalam sektor pekerjaan pembantu rumah di negara ini.

8. Saya sangat bersetuju jika kita laksanakan gaji minimum ini pastilah akan 'membebankan' mereka yang memerlukan khidmat 'pembantu rumah' tetapi kesan bebanan itu akan bersifat sementara apabila altenatif pengambilan khidmat pembantu rumah dapat dilaksanakan.

8. Antara altenatif yang kita boleh fikirkan ialah untuk jangka masa pendek seperti mengenalpasti pembantu rumah dari negara lain misalnya dari China (Negara China juga mempunyai ramai penduduk Islam), Thailand dan beberapa negara lain yang sesuai dengan budaya dan agama di Malaysia.

9. Ini akan mengurangkan pergantungan kita kepada khidmat pembantu rumah Indonesia yang 'telah mahal'. Kenapa kita bimbang untuk ambil pembantu rumah dari negara lain? Sedangkan kita makan di restoran nasi kandar yang ramai pekerja berasal dari India dan Pakistan, kebanyakan restoran biasa dikendalikan oleh pekerja dan tukang masak dari Thailand. Kita membeli kain dan karpet daripada peniaga dari Pakistan dan Kemboja, basuh kereta di 'car wash' yang ramai pekerjanya dari Pakistan, pekerja sektor binaan kini terdiri ramai juga pekerja dari Pakistan, Myanmar dan Vietnam. Jadi mereka-mereka ini 'telah ada' di Malaysia dan kita 'telah pun menerima' kehadiran mereka.

10. Kalau fikir mereka ini akan mendatangkan masalah, akibat budaya dan bahasa yang 'berbeza' , tetapi kita selalu pun melihat banyak kes dan 'masalah' melibatkan pekerja-pekerja dari 'negara jiran' itu yang bahasa dan budayanya 'hampir sama'.

11. Tetapi itu hanya untuk jangka pendek, kita juga tidak boleh terlalu bergantung kepada warga asing dalam sektor pekerja tertentu ini, seharusnya strategi jangka panjang perlu memberi ruang dan peluang untuk warga tempatan menceburi industri pembantu rumah di negara ini.

12. Mungkin pada masa kini ramai rakyat tempatan kurang berminat bekerja sebagai pembantu rumah kerana mereka masih banyak pilihan kerja lain (misalnya kerja di kilang) atau terlalu memilih kerja atau sebahagian mereka beranggapan lebih baik 'tidak bekerja' daripada kerja sebagai 'orang gaji'.

13. Justeru, perlu difikirkan altenatif untuk menyediakan pakej pekerjaan sebagai pembantu rumah yang lebih baik kepada warga tempatan pada kadar mampu dibiayai oleh para majikan yang perlukan khidmat pembantu rumah. Misalnya mewujudkan konsep pembantu rumah yang bekerja secara 'part time' waktu pejabat atau waktu yang ditetapkan oleh majikan tanpa memerlukan mereka tinggal di rumah majikan secara sepenuh masa atau mewujudkan kontrak kerja secara hujung minggu sahaja atau kerja secara ikut jam, hari-hari tertentu atau datang bekerja apabila diperlukan dan beberapa altenatif lain yang boleh difikirkan oleh Kementerian Simber Manusia yang berpengalaman dalam pengurusan kerjaya ini.

14. Untuk jangka masa panjang negara kita akan 'untung' dan mungkin bidang pekerjaan pembantu rumah ini telah diterima positif oleh warga tempatan sebagai salah satu punca rezeki.

15. Berkenaan gaji minimum yang dituntut oleh Duta Indonesia itu, tidak pula pernah saya dengar sebuah negara menuntut atau mensyaratkan kepada negara lain untuk menetapkan gaji untuk rakyat mereka yang bekerja di negara luar. Misalnya tidak pula Malaysia menuntut gaji minimum bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, Brunei, Dubai, Arab Saudi, Indonesia, Jepun dan negara-negara lain.

16. Jika tuntutan seperti ini boleh dibuat ke atas negara lain, tentulah seronok untuk bekerja di tempat orang. Pelik....(nanti mungkin Pakistan dan Myanmar juga 'berminat' untuk tuntut perkara yang sama kepada kita).


1 comment:

secretname said...

amboi..lps trawih tus g minum kat kedai kopi yea...hehe
penulisan yg hebat...thniah