Wednesday, September 30, 2009

PEMILIHAN PEMIMPIN

1. UMNO telah memutuskan Tan Sri Mohd. Isa Samad dipilih sebagai calon untuk bertanding dalam PRK DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober 2009 nanti.

2. Alasan utama pemilihan beliau menurut Timbalan Presiden UMNO ialah kerana beliau dikatakan mendapat sokongan padu oleh penduduk tempatan di situ dan mereka mahu agar Tan Sri Isa dipilih sebagai calon.

3. Mungkin benar Tan Sri Isa adalah pilihan penduduk tempatan kerana jasa beliau amat banyak terhadap penduduk di situ khususnya dan rakyat Negeri Sembilan amnya di mana beliau pernah menjadi Menteri Besar selama 22 tahun iaitu satu tempoh yang sangat lama. Jasa beliau terhadap pembangunan negeri sangat besar sebab itulah beliau perlu dihormati dan dihargai. Beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

4. Saya fikir kemungkinan peluang untuk beliau menang dalam PRK Bagan Pinang nanti sangat tinggi.

5. Tetapi secara peribadi saya fikir pemilihan beliau sebagai calon untuk bertanding dalam PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober nanti kurang tepat.

6. Rasionalnya beliau tidak perlu dipilih adalah disebabkan rekod beliau yang tidak bersih dalam UMNO kerana pernah didapati bersalah atas tuduhan rasuah semasa pemilihan parti itu suatu ketika dahulu. Kesalahan merasuah perlu dilihat sebagai satu tindakan yang tidak bermoral dan pemimpin yang rasuah merupakan pemimpin yang tidak amanah, justeru orang yang tidak amanah tidak lagi layak diberi peluang untuk memimpin.

7. Memilih pemimpin yang pernah terlibat dalam amalan rasuah juga akan memburukkan imej dan kredibiliti sesebuah parti untuk jangka panjang.

8. Selain itu, saya fikir pengalaman menjadi Menteri Besar selama 22 tahun merupakan satu nikmat dan keistimewaan yang sangat berharga kepada Tan Sri Isa. Justeru, sebagai pemimpin yang baik beliau seharusnya menggunakan pengalaman itu untuk membentuk, mendidik, membimbing dan menasihati golongan muda untuk menjadi pemimpin pelapis.

9. Dengan kata lain, seharusnya beliau tidak perlu bertanding kerana beliau telah mendapat banyak manfaat dan kedudukan hasil pimpinan beliau ini, justeru pada kali ini beliau perlu memberi peluang kepada orang lain khususnya generasi pemimpin muda di situ untuk menimba pengalaman. Sebaliknya, peranan Tan Sri Isa adalah sebagai mentor dan penasihat kepada pemimpin pelapis melalui pengalaman istimewa beliau sebelum ini.

10. Seorang pemimpin yang baik dan hebat pasti tahu di mana kemuncak kedudukannya dan beliau perlu menggunakan pengalaman yang ada untuk membimbing dan membentuk golongan muda untuk menjadi pemimpin pada masa depan bukanlah membolot semua peluang dan ruang untuk kepentingan diri sendiri.

11. Pemimpin yang baik juga perlu mengambil peranan menyediakan golongan pemimpin pelapis yang berkaliber untuk menggantikannya di masa akan datang dan apabila masa itu tiba, beliau harus serahkan kedudukannya kepada pemimpin generasi seterusnya.

12. Oleh itu, pada pendapat saya seharusnya Tan Sri Isa memberi ruang dan kepercayaan kepada calon lain khususnya tenaga yang lebih muda daripada beliau untuk bertanding dan beliau memainkan peranan utama dengan menggunakan pengaruh beliau untuk mengajak pengundi tempatan menyokong calon tersebut.

13. Saya fikir merujuk kepada keputusan yang telah dibuat ini, UMNO didapati kurang memberi kepercayaan kepada pembentukan pemimpin pelapis atau mereka ketandusan pemimpin pelapis yang berkaliber untuk dicalonkan di kawasan itu. Ini sangat tidak baik untuk pengukuhan parti itu di masa hadapan.

No comments: