Saturday, September 5, 2009

PUASA

1. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah berfirman: "Setiap amal anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku membalasi puasanya itu. Puasa itu bagaikan perisai; maka apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan jangan pula berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, maka hendaklah ia mengatakan: 'Aku ini puasa.' Demi Allah, yang diri Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Bagi orang yang puasa ada dua kegembiraan yang menggembirakannya: Apabila ia berbuka ia gembira, dan apabila ia menemui Tuhannya, ia gembira dengan puasanya. " (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2)

2. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah puasa sehingga kami katakan beliau tidak berbuka. Dan beliau pernah berbuka sehingga kami katakan beliau tidak puasa. Belum pernah saya melihat Rasulullah saw. mencukupkan puasa sebulan selain bulan Ramadhan. Dan saya tidak melihat beliau berpuasa (sunat) lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2)

3. Dari Quzatah r.a., katanya: "Aku mendatangi Abu Sa'id Al Khudri r.a., tetapi dia sedang banyak tetamu. Ketika para tetamu itu sudah pergi, aku berkata kepadanya: Aku tidak akan menanyakan masalah yang ditanyakan mereka itu, tetapi aku akan menanyakan perihal puasa dalam perjalanan." Jawab Abu Sa'id, "Kami pernah melakukan perjalanan bersama-sama Rasulullah saw. ke Mekah, sedangkan kami puasa. Lalu kami berhenti pada suatu perhentian. Maka bersabda Rasulullah saw., "Kamu semua sudah dekat ke tempat musuh; berbuka akan lebih menguatkan tubuhmu. Dan itU adalah suatu keringanan." Sebagian kami ada yang puasa sedang sebahagian lagi berbuka. Kemudian kami berhenti pula di tempat perhentian yang lain. Maka bersabda pula Rasulullah saw., "Esok pagi kamu akan menyerang musuh; dengan berbuka akan lebih menguatkan fizikmu; kerana itu berbukalah kamu semuanya!" Sabda beliau itu adalah perintah. Kerana itu berbukalah kami semuanya." Kata Abu Sa'id selanjutnya., "Saya fikir, sesudah itu kami selalu puasa bersama-sama Rasulullah saw. dalam setiap perjalanan." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

4. Dari Hamzah bin 'Amru Al Aslami r.a., bahawa dia bertanya kepada Rasulullah saw., katanya: "Aku kuat puasa dalam perjalanan. Berdosakah jika aku puasa?" Jawab Rasulullah saw., "Berbuka puasa dalam perjalanan adalah suatu keringanan dari Allah. Maka kerana itu, siapa yang mempergunakan keringanan itu baik, dan siapa yang lebih suka puasa tidak berdosa." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

5. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Seutama-utama puasa sesudah puasa Ramadhan ialah puasa bulan Muharram, dan seutama-utama solat sesudah solat fardhu ialah solat malam." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

6. Dari 'Abdullah bin Buraidah, dari bapanya, katanya: "Ketika aku sedang duduk dekat Rasulullah saw., sekonyong-konyong datang seorang wanita lalu dia bertanya: "Aku pernah memberikan seorang hamba sahaya perempuan kepada ibu ku dan kini ibu ku telah meninggal. Bagaimana itu?" Jawab beliau, "Engkau tentu mendapat pahala dari pemberianmu itu, dan sekarang pemberianmu itu kembali kepada mu sebagai pusaka." Tanya wanita itu, "Ibuku punya hutang sebulan puasa. Bolehkah aku puasa untuk membayarnya?" Jawab beliau, "Ya, boleh! Puasalah untuknya!" Tanyanya lagi, "Ibuku belum pernah haji. Bolehkah aku yang menghajikannya? Jawab beliau, "Ya, boleh! Hajikanlah dia!" (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

7. Dari' Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa meninggal dunia sedangkan ia ketinggalan puasanya, (maka puasa yang ketinggalan itu) boleh dipuasakan (dibayar) oleh walinya." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2)

8.
Dari Ziyad Ibnu Jubair r.a., katanya ada seorang lelaki bertanya kepada Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Aku bernazar akan puasa satu hari. Kebetulan harinya bertepatan dengan hari raya Adha atau Fitri. Bagaimana itu?" Jawab Ibnu 'Umar r.a., " Allah memerintahkan supaya membayar nazar. Dan Rasulullah saw. melarang puasa pada hari ini." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

9. Dari Sahal bin Sa'ad r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Di dalam syurga ada sebuah pintu yang disebut Ar Rayyan. Orang-orang yang diperkenankan masuk ke syurga melalui pintu itu pada hari kiamat kelak hanyalah orang-orang puasa, sedangkan yang lainnya tidak diperkenankan. Mereka akan dipanggil, "Hai, orang puasa! Maka masuklah mereka melalui pintu itu. Setelah orang yang terakhir masuk, pintu itu segera ditutup dan dikunci, sehingga yang lain-lain tidak dapat lagi melaluinya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

10. Dari Zuhari r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Apabila kamu diundang orang makan, padahal kamu puasa, jawablah: "Aku puasa!" (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

11. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang makan minum kerana lupa sedangkan dia puasa, maka hendaklah diteruskannya puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang telah memberinya makan dan minum." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2)

12. Dari Abdullah r.a., katanya kami pernah mendengar Nabi saw. bersabda: "Barangsiapa yang telah merasa sanggup untuk berumah tangga, maka hendaklah ia kahwin. Sesungguhnya kahwin itu lebih melindungi penglihatan dan lebih memelihara bagi kehormatan. Dan siapa yang belum sanggup hendaklah dia puasa, kerana puasa itu dapat mengurangi nafsu berahi. (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2)

13. Dari Abu Hurairah r.a., (hadis ini juga dari Qutaibah), katanya: "Orang-orang fakir Muhajirin datang kepada Rasulullah saw., lalu mereka berkata: Orang-orang kaya sudah meraih darjat tinggi serta kenikmatan yang kekal abadi. Tanya Rasulullah saw., "Kenapa begitu?" Jawab mereka, "Mereka solat seperti kami solat, dan mereka puasa seperti kami puasa. Dan mereka dapat bersedekah sedang kami tidak dapat bersedekah. Mereka dapat memerdekakan budak, sedangkan kami tidak." Sabda Rasulullah saw., "Sukakah kamu kuajarkan kepada mu suatu amal, yang dapat memperoleh pahala orang-orang dahulu serta mendahului pahala orang yang sesudah kamu? Dan tidak akan ada orang yang lebih mulia daripadamu, melainkan orang yang mengamalkan seperti amalanmu." Jawab mereka, "Tentu, ya Rasulullah! Sudah tentu kami suka." Sabda Rasulullah saw., "Hendaklah kamu tasbih, takbir dan tahmid, masing-masing tiga puluh tiga kaIi setiap selesai solat. Kata Abu Shalih, "Kemudian orang-orang, itu datang pula kembali kepada Rasulullah saw., lalu kata mereka, "Kami dengar orang-orang kaya itu mengamalkan pula seperti amalan kami." Jawab Rasulullah saw., "Itu adalah kurnia Allah yang dikurniakanNya kepada siapa yang dikehendaki-Nya." (Hadis Sahih Muslim Jilid 1)

14. Dari Mu'adzah r.a., katanya: "Aku bertanya kepada 'Aisyah r.a., 'Mengapa orang haid wajib mengqadha puasa, tetapi tidak wajib mengqadha solat?" Jawab 'Aisyah, "Apakah anda orang Haruriyah?" Jawab ku, "Bukan! Aku bukan orang Haruriyah! Tetapi aku bertanya." Jawab 'Aisyah, "Itulah suatu keuntungan bagi kita (wanita). Kita diwajibkan mengqadha puasa tetapi tidak diwajibkan mengqadha solat." (Hadis Sahih Muslim Jilid 1)

No comments: