Thursday, September 3, 2009

TAKZIAH

1. Saya mengucapkan takziah kepada Tun Dr. Mahathir di atas kepulangan kakak sulung beliau ke rahmatullah kelmarin. Bagaimanapun saya mendoakan agar Tun terus cekal dan kuat untuk membantu membina sebuah tamadun bangsa Melayu yang maju dan mengukuhkan kedaulatan dan martabat negara ini.

2. Takziah juga saya ucapkan kepada rakyat Indonesia khususnya keluarga mangsa yang telah terkorban akibat gempa bumi kuat yang berlaku di negara itu kelmarin.

3. Gempa bumi kuat pada 7.3 skala richter yang berlaku berhampiran Tasik Malaya, Jawa Barat menyebabkan sebahagian besar kawasan di Kepulauan Indonesia mengalami gegaran hingga menyebabkan 35 orang terkorban, lebih 300 yang cedera dan berlaku banyak kemusnahan harta benda di beberapa kawasan.

4. Saya pernah mengulas mengenai bencana gempa bumi ini dalam entry sebelum ini di mana pakar-pakar seismologi telah pun meramalkan akan berlaku gempa bumi yang kuat berhampiran Jakarta. Berdasarkan gempa yang berlaku kelmarin, maka tepatlah ramalan pakar-pakar tersebut dan saya percaya akan banyak lagi risiko gempa susulan kerana pakar-pakar ini juga mendedahkan bahawa kawasan kepulauan Indonesia kini terdedah kepada garisan aktif pergerakan plak bumi yang boleh menyebabkan lebih banyak berlaku gempa bumi pada masa depan.

5. Negara kita juga terdedah kepada risiko ini kerana kedudukannya yang sangat dekat dengan Indonesia.

6. Saya juga mengucapkan takziah kepada semua mangsa banjir di Kedah khususnya penduduk di Daerah Yan kerana sebahagian mereka terpaksa menyambut ketibaan bulan Ramadhan pada minggu lepas di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir akibat kampung mereka ditenggelami banjir kerana limpahan air sungai akibat hujan lebat yang turun berlarutan tanpa henti semenjak minggu lepas.

7. Masalah banjir di Yan ini sering berlaku setiap tahun dan berisiko tinggi apabila kadar hujan yang tinggi ataupun turun berlarutan tanpa henti. Saya percaya mungkin pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kerajaan Negeri Kedah memandang serius isu ini dan mungkin juga telah ada usaha atau perancangan projek penebatan banjir di kawasan itu.

8. Namun, kos projek penebatan banjir ini sangatlah tinggi dan mengambil masa yang panjang untuk disiapkan. Namun, saya fikir strategi jangka panjang harus dikenalpasti kerana projek penebatan banjir bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian, mungkin kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan harus mengambil berat dan lebih prihatin terhadap sebarang bentuk perancangan dan pembangunan projek fizikal di daerah ini pada masa depan.

No comments: