Thursday, September 17, 2009

MEMULAKAN PERJALANAN

1. Jumaat dan Sabtu ini sebahagian besar rakyat Malaysia akan memulakan perjalanan 'balik kampung' beramai-ramai.

2. Namun sebahagian besar juga ada yang akan memulakan perjalanan balik kampung pada hari ini terutamanya sebelah petang lepas waktu pejabat ataupun lepas berbuka puasa dan solat tarawih malam ini. Ini berikutan keputusan prihatin oleh Kementerian Pelajaran yang membatalkan sesi persekolahan pada hari esok untuk memudahkan perancangan perjalanan orang ramai.

3. Saya fikir waktu yang paling kemuncak ialah pada petang Jumaat dan hari Sabtu nanti lebuh raya dan jalan raya akan menjadi semakin sesak dengan kenderaan.

4. Justeru perancangan perjalanan yang selesa harus dirancang untuk mengelakkan kesesakan dan agar selamat tiba di destinasi masing-masing.

5. Tahniah atas sikap prihatin pihak konsesi lebuh raya seperti PLUS yang memberi diskaun ke atas bayaran tol sebanyak hampir 20 peratus difikirkan mampu mengurangkan sedikit kos pengangkutan orang ramai yang menggunakan kemudahan lebuhraya itu. PLUS menganggarkan jumlah kenderaan yang akan menggunakan lebuh raya itu bermula esok akan mencapai 1.3 juta kenderaan berbanding 1 juta pada hari biasa.

6. Syabas juga kepada pihak konsesi LPT yang memberikan ganjaran 'tol percuma' kepada pengguna yang menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan KL-Karak iaitu pada 18 dan 24 September ini bermula jam 12 tengah malam hingga jam 5 pagi. Maka pengguna haruslah bijak merancang perjalanan ketika itu.

7. Tetapi janganlah terlalu mengejarkan diskaun dan tol percuma yang mana kadarnya tidaklah terlalu tinggi hingga menyebabkan ada pengguna yang memandu laju dan secara berbahaya semata-mata untuk mengejar tempoh masa bagi mendapatkan diskaun yang ditetapkan.

8. Ingatlah bahawa nyawa sendiri dan orang lain bukanlah hanya bernilai RM15 dan RM20 seperti kadar diskaun yang ditawarkan di plaza tol. Jadi pandulah secara berhati-hati dan berhemah sepanjang perjalanan nanti.

9. Sebelum memulakan perjalanan pastikan kenderaan dalam keadaan terbaik dan selamat untuk menempuhi perjalanan. Ingatlah juga bahawa nyawa sendiri dan ahli keluarga kita bukanlah bernilai hanya RM200 yang ingin dijimatkan kerana tidak mahu membayar kos servis kereta.

10. Mulakan perjalanan dengan doa dan apabila tiba di destinasi akhiri dengan rasa syukur . Patuhi nasihat dan panduan amalan pemanduan yang baik dan wajib patuhi undang-undang serta peraturan jalan raya seperti kadar had laju, lampu isyarat dan kawasan selekoh.

11. Saya doakan semua mereka yang akan memulakan perjalanan akan selamat sampai ke destinasi di kampung dan kembali semula dengan selamat ke rumah masing-masing setelah habis cuti raya nanti termasuklah kepada semua ahli keluarga saya juga.

12. Selamat balik kampung....

No comments: