Monday, September 14, 2009

REKA BENTUK 'EARTHQUAKE RESISTANT BUILDING'

1. Kejadian gempa bumi pada magnitud 7.3 skala Richter di Tasikmalaya, Jakarta Barat pada 2 September lepas telah mengorbankan banyak nyawa dan ramai yang hilang masih belum dijumpai kerana diramalkan masih tertimbus di bawah runtuhan tanah atau bangunan.

2. Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan dan Malaysia juga turut membantu dari segi menghantar pasukan bantuan penyelamat ke kawasan kejadian untuk membantu walaupun pada ketika ini 'layanan' beberapa pihak di Indonesia terhadap Malaysia 'sangat baik'.

3. Kesan gempa yang berlaku menyebabkan bukan sahaja mengorbankan nyawa manusia, tetapi kemusnahan harta benda seperti kerosakan pada bangunan dan infrastruktur yang roboh dan musnah.

4. Lokasi gempa yang terbaru ini 'tidak jauh' daripada Malaysia.

5. Banyak lagi gempa susulan yang diramalkan boleh berlaku pada masa hadapan.

6. Namun, kita tetap bersama doakan gempa seperti itu tidak akan berlaku lagi.

7. Apapun kita harus menerima hakikat kejadian gempa bumi yang berlaku adalah sebahagian proses semulajadi pada bumi dan tidak dapat dielakkan.

8. Daripada hakikat itu, apakah persediaan kita?

9. Saya fikir salah satu tindakan awal yang boleh kita laksanakan ialah dengan melaksanakan pembinaan bangunan-bangunan yang direkabentuk untuk tahan gegaran yang disebabkan oleh gempa atau juga dikenali sebagai 'earthquake resistant building'.

10. Rekabentuk ini sangat penting terutamanya terhadap bangunan-bangunan pencakar langit.

11. Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun terutamanya telah lama melaksanakan reka bentuk 'earthquake resistant building' ini sebagai tindakan mengurangkan risiko kemusnahan bangunan akibat gempa bumi. Di India pun rekabentuk bangunan ini telah dilaksanakan.

12. Rekabentuk 'earthquake resistant building' bukanlah bermakna bangunan tersebut tidak akan terjejas apabila berlaku gempa, tetapi struktur rekabentuk bangunan ini dapat meminimumkan risiko kerosakan yang boleh berlaku kerana berupaya mengimbangi tahap gegaran gempa pada skala tertentu, sekaligus mengurangkan tahap kerugian kemusnahan harta benda dan kos membaikpulih bangunan apabila berlaku gempa di samping apa yang lebih penting memaksimumkan keselamatan penghuni dalam bangunan.

13. Telah banyak earthquake resistant building dibina di serata dunia dan telah banyak kajian ke atas struktur reka bentuk bangunan ini. Oleh itu, kita tidak perlu menggunakan banyak masa untuk mengkaji lagi rekabentuk bangunan ini, tetapi sebagai langkah awal kita perlu menggunakan teknologi pembinaan dan melaksanakan rekabentuk 'earthquake resistant building' dalam projek-projek pembinaan baru di negara ini.

14. Memanglah kos pembinaan 'earthquake resistant building' lebih mahal berbanding struktur binaan biasa, namun, adalah lebih baik kita membelanjakan kos lebih sedikit untuk membina bangunan seperti ini berbanding jika kita terpaksa menanggung kos yang sangat tinggi untuk membina semula bangunan yang telah roboh akibat gempa.

15. Kita tak perlu 'menunggu' kesan gempa itu sampai ke negara ini baru hendak bertindak. Ketika gempa bumi terkuat pada 8.9 skala richter yang berlaku di Lautan Hindi pada 26 Disember 2004 hingga berlaku tsunami besar di Banda Acheh turut menyebabkan beberapa bangunan di Malaysia di kesan mengalami keretakan kecil (sedangkan lokasi gempa pada ketika itu 'jauh' dari Malaysia).

16. Struktur rekabentuk bangunan-bangunan (terutamanya bangunan pencakar langit) di negara ini pada ketika ini boleh diragui tahap ketahanannya terhadap risiko gegaran gempa bumi. Hakikat peristiwa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu yang runtuh pada bulan Jun yang lalu harus menyedarkan kita bahawa tanpa gegaran gempa kecil pun bangunan di negara ini boleh runtuh. Bagaimana pada masa hadapan jika kita 'diuji' dengan gempa bumi seperti yang berlaku di Indonesia?



No comments: