Saturday, August 29, 2009

PERLU SERIUS ISU AGAMA

1. Apa yang saya dapati dalam masa seminggu ini terlalu banyak isu-isu agama sama ada telah dipersendakan ataupun tidak memberi perhatian yang serius dalam menegakkan kesucian agama oleh pihak-pihak tertentu.

2. Bermula dengan kes hukuman sebat ke atas model Kartika yang dikenakan hukuman sebanyak 6 sebatan kerana 'ditangkap' sedang meminum minuman keras. Saya fikir hukuman sebat itu seperti yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah tersebut adalah setimpal sebagai pengajaran buat model itu.

3. Usahlah ada pihak terutamanya pemimpin politik, parti politik dan pihak-pihak yang tiada kaitan dengan Agama Islam mempertikaikan atau mencampuri keputusan mahkamah tersebut. Hukuman dalam Islam tidak boleh dibandingkan atau disamakan seperti hukuman oleh Mahkamah Sivil.

4. Hukuman menurut syariah Islam bukanlah berasaskan logik akal tetapi ditentukan dengan merujuk kepada sumber Al-Quran, Hadis, Ijmak Ulamak dan nas-nas sahih lain. Hukum Hudud bukan bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah tetapi juga memberi pengajaran kepada orang lain supaya insaf daripada melakukan kesalahan itu.

5. Misalnya, hukuman 'potong tangan' ke atas orang mencuri bukanlah bertujuan 'menghukum' si pencuri yang telah dibuktikan bersalah, tetapi supaya menginsafkan pencuri-pencuri lain yang belum ditangkap atau mereka yang berniat untuk mencuri menjadi takut dan insaf.

6. Manakala urusan menjatuhkan hukuman dalam Islam bukanlah dibuatkan secara membuta tuli, kerana si pesalah harus dibuktikan bersalah dengan mengemukakan saksi-saksi yang sahih , bukti yang mencukupi dan mengambilkira niat serta keinsafan pesalah.

7. Cara hukuman dijalankan juga sangat dititikberatkan dalam Islam, misalnya hukuman sebat ke atas Kartika ini tidaklah sama dengan hukuman sebat yang biasa dijatuhkan oleh Mahkamah Sivil, kerana dari segi ciri-ciri rotan yang akan digunakan, cara-cara sebatan ke atas wanita dan tempat pada bahagian badan yang akan dirotan serta adab semasa sebat sangat dipertimbangkan oleh Islam. Manakala niat menyebat bukanlah untuk mencederakan sebaliknya untuk menginsafkan pesalah.

8. Saya tidak nampak kenapa hukuman itu perlu dipertikaikan oleh pihak-pihak yang mungkin 'jahil' agama ini (saya pun bukanlah orang alim agama juga). Malah saya fikir hukuman yang sering dijatuhkan oleh Mahkamah Sivil mungkin lebih berat dan tidak adil tetapi jarang pula pihak-pihak ini pertikaikan. Jadi janganlah cuba mempersendakan hukum agama.

9. Seterusnya saya sangat 'mengecam keras' tindakan sekumpulan penduduk beragama Islam di Seksyen 23 Shah Alam yang membawa kepala lembu dalam perarakan demontrasi membantah keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk membina kuil di situ.

10. Memanglah saya tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor ini kerana ianya sama sekali tidak mematuhi prosedur perancangan dan tidak menghormati sensiviti penduduk agama Islam yang merupakan majoriti penduduk di situ. Namun, membuat demonstrasi sambil membawa kepala lembu itu bukanlah satu tindakan yang bijak dan betul, tetapi gunakan cara perundingan atau perbincangan dan bukannya cara yang kontroversi sehingga boleh dianggap menghina agama lain kerana Islam melarang kita menghina agama lain serta Islam mengajurkan cara musyawarah dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Kalau perlu, gunakan tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Negeri Selangor dalam mencabar kesahihan keputusan tersebut.

11. Isu lain adalah berkenaan Hadis Palsu tentang Fadhilat atau kelebihan Solat Tarawih pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan ini. Berdasarkan entry saya sebelum ini, saya telah memohon maaf kepada semua pihak dan keampunan daripada Allah S.W.T atas 'kejahilan' saya itu. Namun apa yang saya sangat kesalkan, saya dapati usaha mengawal atau menghentikan penyebaran Hadis Palsu ini masih tidak meluas kerana pertamanya artikel Hadis Palsu ini diletakkan dalam laman web sebuah Jabatan Agama Islam (rujuk entry saya sebelum ini).

12. Malam tadi semasa saya sembahyang Isyak di Masjid di Mergong , Kedah tetapi sebelum Tuan Imam memulakan Solat Tarawih, saya terkejut kerana beliau membacakan Hadis Palsu ini iaitu fadhilat solat Tarawih malam ke-8 kepada semua jemaah. Maka saya simpulkan banyak pihak lagi yang masih tidak tahu tentang perkara ini.

13. Saya tidaklah ingin menegurkan tindakan Tuan Imam itu kerana saya fikir kalau saya beritahu padanya mungkin ianya di masjid itu sahaja, tetapi bagaimana di masjid-masjid atau surau-surau di tempat lain yang saya percaya masih banyak pihak yang tidak sedar kepalsuan Hadis tersebut. Maka sebagai tindakan saya akan ketengahkan perkara ini terus kepada Jabatan Agama Islam Kedah agar mereka lebih peka ke atas pemantauan di semua masjid dan surau di negeri ini.

14. Perkara terakhir ialah saya amat kesal kerana terdapat isu bekas seorang calon pilihanraya yang tewas baru-baru ini dalam satu pilihanraya kecil di Pulau Pinang yang mungkin lebih mementingkan status politik dan strategi kempen pilihanraya berbanding nasib dan hak isteri keduanya (boleh baca sendiri kerana saya tidak suka campur hal rumahtangga orang lain).

1 comment:

waris alam said...

Saya sangat bersetuju pada pendapat En. Syahril dalam isu.Isu Agama bukan satu isu yang perlu menjadi isu permainan dalam kehidupan seseorang kerana agama Islam telah diletakkan asas yang sempurna dan lengkap yang mencakupi urusan dunia dan akhirat. Dalam isu sebat seorang model sambilan ini dapat kita ambil pengajaran bahawa hukum Allah itu adil kerana meminum arak itu satu perbuatan yang haram dan menjadi punca utama dalam keruntuhan akhlak seseorang. Saya sebagai seorang muslim menginsafi akan peristiwa ini dan menjadi satu pengajaran bermakna kepada saya. Kesanggupan model sambilan tersebut dalam menjalani hukuman membuktikan bahawa dia menyedari bahawa perbuatannya menyalahi hukum syarak dan redha dengan hukuman yang ditetapkan. Namun dalam kes ini masih ada individu yang cuba menjadi 'hero jalanan' untuk memperjuangkan sesuatu yang hak. Saya percaya jika kita berpegang pada asas agama yang kukuh..Insyaallah kita tidak akan sesat..Hukuman bukan beerti dibenci namun kasih sayang yang dilontarkan dalam bentuk kesedaran yang memberi pengajaran..Hukuman juga bukan kerana cuba mencari kegagalan cuma membetulkan kesilapan yang telah dilakukan..