Saturday, August 15, 2009

MASIH TENTANG PPSMI

1. Terbaru dalam blognya Tun Dr. Mahathir mengulas tentang maklumbalas ramai pihak kepada beliau tentang pemansuhan PPSMI.

2. Rata-rata ramai pihak yang kurang bersetuju dengan keputusan telah dibuat.

3. Saya juga mempunyai banyak maklumbalas yang sama iaitu antara alasan utama pihak yang menyokong pemansuhan PPSMI ialah kerana pelajar-pelajar Melayu di luar bandar sukar menguasai kedua-dua subjek itu kerana diajar dalam Bahasa Inggeris.

4. Jadi masalah utamanya kerana mereka kurang bagus dalam Bahasa Inggeris menjadikan mereka sukar menguasai kedua-dua subjek tersebut. Maka wajarlah pada pendapat golongan ini PPSMI dimansuhkan dan sekarang ini mereka ingin menuntut ianya dimansuhkan serta-merta!.

5. Kalau begitu, baguslah Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu kerana mereka mahir dalam bahasa itu.

6. Dari aspek lain untuk membangunkan orang Melayu, kita harus ambil langkah yang sama. Misalnya banyak bukti dan statistik menunjukkan orang Melayu dan bumiputera tidak mahir berniaga, ramai yang gagal dan bankrap.

7. Jadi janganlah suruh orang Melayu berniaga kerana mereka tidak pandai, nanti ramai yang gagal dan bankrap sahaja. Sebaliknya bagilah kepada bukan bumiputera sahaja yang berniaga kerana terbukti mereka sangat berjaya dalam perniagaan di negara ini dan dunia.

8. Orang Melayu dan bumiputera khususnya di luar bandar sangat mahir dalam berkebun, menanam padi, menangkap ikan dan aktiviti pertanian yang lain. Maka wajar kita sokong kepada perkara-perkara yang boleh menjayakan orang Melayu ini dan kita sokong supaya banyak dasar yang lebih berkesan membantu mereka menjayakan aktiviti tersebut. Tidak perlu kita beri peluang mereka berniaga nanti rugi dan bankrap sahaja.

9. Samalah macam PPSMI apabila orang Melayu dikatakan ramai gagal menguasai kedua-dua subjek itu, maka PPSMI dimansuhkan dan diajarkan dalam Bahasa Melayu kerana cara ini akan meningkatkan kejayaan mereka.

10. Begitu juga perlu dalam bidang ekonomi, kerana orang Melayu sering gagal dalam perniagaan, maka, mansuhkan DEB iaitu peruntukkan kepada bumiputera untuk berniaga, kerana terbukti mereka kurang berjaya, berikan kepada bukan bumiputera kerana mereka lebih berjaya. Jadi orang Melayu hanya tumpukan kepada pertanian kerana kerana mereka lebih mahir dalam bidang ini.

11. Itulah hakikat yang sedang kita lihat, orang Melayu masih cuba melihat apakah cara termudah untuk mereka berjaya, mereka tidak mahu laluan yang sukar untuk berjaya yang mempunyai banyak cabaran-cabaran yang boleh menguatkan struktur pembinaan kejayaan mereka.

12. Tetapi dengan hanya memilih cara mudah untuk berjaya maka asas pembinaan tamadun bangsa itu amat rapuh dan kejayaan diperolehi secara mudah menyebabkan kita sukar untuk membina dan mempertahankan kejayaan itu untuk jangka panjang kerana kejayaan yang mudah diperolehi selalunya mudah juga untuk digagalkan kerana asas pembinaan kejayaan bangsa yang tidak kuat..

13. Saya juga orang Melayu. Jika penulisan ini dikatakan saya menghina orang Melayu bermaksud saya juga telah menghina diri saya sendiri.

No comments: