Wednesday, January 6, 2010

AGIHAN PEMBANGUNAN

1. Memasuki tahun 2010 ini mengingatkan saya tentang Pelan Tindakan Kedah Maju 2010. Secara rasionalnya saya berpendapat ketika pengenalan pelan tindakan tersebut sekitar tahun 2001, ianya mungkin masih tidak berdaya menjadikan negeri Kedah sebagai sebuah negeri maju pada tahun 2010.

2. Ini terbukti sehingga hari ini didapati Kedah masih tersenarai antara negeri di kedudukan yang tercorot dari segi tahap pembangunan dalam senarai pembangunan negara.

3. Tetapi saya yakin jika usaha perlaksanaan pelan tindakan itu dilakukan dengan konsisten, betul dan berkesan sejak awal pelancarannya mampu menjadikan Kedah pada hari ini berada antara kelompok 5 negeri teratas dalam senarai negeri yang membangun.

4. Namun, malangnya Pelan Tindakan Kedah Maju tidak dapat bertahan lama, kerana Menteri Besar yang mengasaskannya tidak lagi mampu berada di kerusi kepimpinan negeri akibat masalah kesihatan.

5. Pengganti beliau iaitu Menteri Besar seterusnya lebih berminat dengan 'Kedah Gemilang' dan sehingga beliau digantikan dengan Menteri Besar sekarang, saya masih tidak dapat mengetahui apakah ke'gemilang'an negeri yang telah dicapai.

6. Pusat kajian Kedah Maju 2010 iaitu Unit Tindakan Kedah Maju 2010 (UTKM 2010) yang ditubuhkan di UUM juga telah ditukar kepada NCER Research Center (NCER RC) dan kini dikenali sebagai Kedah Sustainable Development Center(KSDC).

7. Belum sempat pembangunan Kedah mencari arah "gemilang'', selepas Mac tahun 2008 sehingga kini fokus pembangunan negeri bertukar pula kepada 'Kedah Sejahtera'. Maka negeri Kedah Darul Aman akan menjadi 'aman' dan 'sejahtera'.

8. Berbalik kepada PTKM 2010, saya fikir walaupun ianya dilihat mustahil menjadikan Kedah sebuah negeri maju pada tahun ini, namun jika ia dilaksanakan secara konsisten oleh kepimpinan negeri sama ada yang 'dahulu' atau yang 'sekarang' sekurang-kurangnya kini mungkin lebih banyak perubahan dan kemajuan telah dicapai di negeri itu. Tetapi sikap kepimpinan yang lebih mementingkan 'ideologi' peribadi dalam mentadbir negeri menjadikan pembangunan yang telah dirancang tidak konsisten dan menyebabkan sasaran pembangunan negeri sukar dicapai.

9. Dari aspek pembangunan negara, saya dapati tahap agihan dan jurang keseimbangan pembangunan kawasan dan negeri masih sukar dicapai. Kesan politik terhadap agihan pembangunan masih tinggi terutamanya dipengaruhi oleh faktor pemimpin dan parti politik.

10. Sebelum ini agihan projek pembangunan lebih banyak tertumpu di Pulau Pinang dan kini aliran tumpuan pembangunan teralih pula kepada Koridor ECER terutamanya di Pahang.

11. Manakala agihan pembangunan kepada negeri Kelantan masih rendah menjadikan negeri Kelantan terus menghuni kedudukan tercorot dalam konteks pembangunan. Manakala Sabah dan Sarawak mendapat banyak suntikan pembangunan selepas sahaja keputusan PRU ke-12 yang lalu (Sabah mendapat bantuan pembangunan lebih RM3 bilion).

12. Menuju kepada pencapaian Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, ukuran kemajuan bukan sahaja terletak kepada kemajuan yang ditonjolkan di Putrajaya, Lembah Klang dan koridor pembangunan ECER, tetapi tahap kemajuan negara perlu diukur melibatkan kemajuan semua negeri di Malaysia termasuk juga Kelantan. Begitu juga keseimbangan pembangunan bandar dan luar bandar harus ditingkatkan.

13. Justeru saya percaya jika trend mempolitikkan pembangunan ini berlanjutan dan agihan pembangunan hanya berdasarkan 'kawasan terpilih' sahaja, maka sukar untuk negara mencapai sasaran Wawasan 2020.

14. Kita hanya ada masa lagi 10 tahun untuk ini.

No comments: