Friday, January 8, 2010

AGAMA DI MALAYSIA

1. Menurut Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) menyatakan Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

2. Dalam Perkara 11 (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

3. Ini bermakna Islam adalah agama yang utama di Malaysia dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

4. Dalam konteks ini, saya bukanlah ingin bersifat perkauman dan prejudis terhadap agama lain tetapi saya berpendapat walaupun Islam adalah agama utama tetapi orang-orang Islam dan pemerintah di Malaysia tidak pernah menyekat atau menghalang amalan penganut-penganut agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian.

5. Amalan agama-agama lain ini mendapat layanan yang baik di Malaysia termasuk dalam konteks pembinaan rumah ibadat seperti kuil, tokong dan gereja telah mendapat peruntukan yang wajar. Terdapat banyak gereja, kuil dan tokong dibina serata tempat di hampir setiap petempatan, daerah dan negeri. Adakalanya bangunan-bangunan dan binaan di kawasan rumah ibadat itu dibina dalam saiz -saiz yang sangat besar dan sangat menonjol. Ini jarang dibantah oleh umat Islam selagi ianya tidak mendominasi masjid-masjid yang terletak berhampiran.

6. Dari aspek melakukan upacara dan aktiviti keagamaan agama lain juga, umat Islam di Malaysia sangat mempunyai tolenransi yang tinggi untuk penganut agama lain melaksanakan upacara agama serta budaya mereka misalnya seringkali agama-agama lain meraikan upacara berkaitan agama mereka di luar rumah ibadah seperti perarakan di atas jalan raya, di tempat awam dan terdapat juga sesetengah sambutan keagamaan mereka diberikan cuti am tahunan oleh pemerintah di negara ini sebagai menghormati orang bukan Islam.

7. Inilah 'kenikmatan' yang sangat bernilai yang telah diberikan oleh pemerintah kepada orang bukan Islam di Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam.

8. Berbeza pula bentuk layanan dan penghormatan kepada agama Islam di kebanyakan negara bukan Islam. Kebebasan agama Islam disekat dan diganggu. Bangunan masjid tidak boleh dibina dengan saiz yang besar dan rekabentuk masjid juga dikawal supaya penonjolan Islam tidak terlalu ketara. Ada negara yang laungan azan tidak dibenarkan sehingga didengari oleh awam, cukup sekadar didengari oleh mereka yang berada di dalam masjid. Bilangan masjid yang dibenarkan amat terhad dan kadang kala tidak mengcukupi. Ada juga negara bukan Islam yang menghalang wanita Islam memakai pakaian yang melambangkan Islam misalnya memakai tudung kepala. Umat Islam sentiasa diragui di sesetengah negara bukan Islam, mereka sering diperhatikan, menerima layanan pemeriksaan yang buruk di lapangan-lapangan terbang akibat sering dikaitkan dengan imej 'pengganas' kononnya. Dengan kata lain, agama Islam menerima layanan yang buruk dan tidak adil di kebanyakan negara-negara bukan Islam.

9. Tetapi di Malaysia, orang bukan Islam diberikan layanan yang baik. Inilah sifat sebenar orang Islam, kerana Islam tidak mengajar penganutnya bermusuhan atau menyekat kebebasan penganut agama lain. Saya fikir toleransi umat Islam di Malaysia sangat baik dan tinggi ke atas bukan Islam. Kadang kala kelebihan yang diberikan kepada penganut agama lain untuk meraikan upacara agama mereka dengan kawalan keselamatan oleh pihak berkuasa dengan baik sekali termasuk pelbagai kemudahan infrastruktur disediakan untuk mereka melakukan upacara agama misalnya terdapat kerjasama pihak berkuasa seperti PDRM yang sanggup memberi kerjasama menutup jalan raya tertentu dan mengawal keselamatan orang-orang bukan Islam sewaktu mereka menyambut perayaan atau upacara agama. Ini tidak dibantah oleh orang Islam kerana mereka hormat kepada keperluan penganut agama lain.

10. Di Malaysia, walaupun Islam merupakan agama rasmi dan utama, namun, tidak pernah umat Islam memaksa bukan Islam agar memeluk Islam atau gerakan-gerakan dibuat untuk meng'Islam'kan orang bukan Islam. Tetapi sebaliknya wujud laporan yang mendakwa wujud gerakan-gerakan oleh agama lain misalnya Kristian yang cuba memurtadkan orang Islam. Inilah balasan yang diterima walaupun tolerasi umat Islam terhadap bukan Islam adalah tinggi.

11. Sebagai contoh, di tempat dan negara saya berada sekarang, iaitu Australia ,umat Islam di sini tidak mempunyai kebebasan beragama sepertimana kelebihan yang diberikan kepada orang bukan Islam di Malaysia. Bangunan masjid yang ada adalah sangat terhad, manakala saiz bangunan masjid pula bolehlah dikatakan sekadar bertaraf 'surau' yang ada di Malaysia, laungan azan hanya boleh setakat didengari oleh jemaah yang ada di dalam Masjid sahaja. Tiada kemudahan infrastruktur yang khusus untuk masjid, dan kadang kala risiko masjid boleh dibubarkan oleh pihak berkuasa di sini jika ada isu umat Islam yang datang bersembahyang Jumaat salah meletakkan kenderaan mereka di tempat yang tidak dibenarkan. Hanya kerana masalah tempat letak kereta, maka orang Islam boleh kehilangan masjid atau hak untuk beribadah secara berjemaah. Di sini juga disebabkan isu berkenaan, umat Islam terpaksa bersolat Jumaat di gelanggang bola keranjang kerana mendapat bantahan pihak berkuasa tempatan (local authority). Manakala, gerakan-gerakan oleh pihak gereja untuk meng'Kristian'kan orang ramai dilakukan secara terbuka dan terang-terangan di tempat awam. Saya sendiri mempunyai pengalaman pernah beberapa kali didekati oleh petugas-petugas gereja untuk menerangkan tentang agama Kristian sewaktu berjalan ke universiti dan tidak cukup aktiviti penyebaran agama Kristian di tempat-tempat awam, mereka juga turut datang rumah ke rumah untuk menerangkan tentang Kristian dalam usaha mereka mempengaruhi orang ramai menganut agama itu.

12. Saya fikir keharmonian beragama di Malaysia haruslah dipelihara sebaik-baiknya. Jika umat Islam boleh bertoleransi dan hormat kepada agama lain, maka seharusnya orang bukan Islam juga harus menghormati agama Islam. Elakkan tindakan-tindakan yang boleh mengganggu sensitiviti orang Islam. Justeru, saya sangat tidak bersetuju dengan tindakan beberapa ahli politik yang bukan Islam yang pernah mempertikaikan tentang isu laungan azan dan bilangan masjid di Malaysia.

13. Ingatlah, isu tentang agama mempunyai sensiviti yang sangat tinggi. Oleh itu, seharusnya sebarang tindakan yang boleh menggugat anutan dan kepercayaan sesuatu agama harus dikendalikan secara bijak.

No comments: