Wednesday, April 21, 2010

BERSANGKA BAIK

1. Apabila sahaja membaca laporan berita-berita utama akhbar (online) di Malaysia menyebabkan saya berasa sangat mual dan jijik. Kerana setiap hari pembaca disajikan dengan laporan yang berunsur fitnah-menfitnah dan cerita-cerita politik yang mengaibkan seseorang sama ada pemimpin, calon pilihanraya dan ahli politik.

2. Sudah tidak ada laporan lain yang lebih bermanfaatkah untuk ditulis, dilapor dan dikongsi oleh para wartawan atau penulis untuk membuka dan membina minda dan pemikiran pembaca? Cara penulisan akhbar sebegini tidak mengembangkan sama sekali pemikiran masyarakat dan rakyat Malaysia, sebaliknya lebih membawa kepada perpecahan.

3. Tidak rasa berdosakah kita menulis tentang keburukan orang lain dan mengaibkan mereka dalam penulisan kita yang kemudiannya boleh dibaca oleh semua orang? Dalam Islam, fitnah itu hukumnya berdosa besar malahan lebih dahsyat hukumnya daripada dosa membunuh.

4. Itu baru laporan di dalam akhbar, belum lagi dibaca blog-blog politik dan laman web peribadi yang lagi dahsyat kerja-kerja fitnah-menfitnah dan mengaibkan orang itu orang ini. Saya sendiri pun sudah tidak lagi membaca blog-blog politik ini kerana bimbang boleh menyebabkan percaya dan taksub dengan fitnah dan rekaan-rekaan cerita yang dicipta.

5. Firman Allah S.W.T. :

"Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku :"hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia" (Surah Al Israa' :53).

"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam shalatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna" (Surah Al Mu'minuun : 1-3).

"Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata :”Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil” ( Surah Al Qashash : 55).

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita lain (karena) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim" (Surah Al Hujaraat : 11).

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang" (Surah Al Hujaraat : 12).

6. Jika pun kita tahu seseorang itu pernah melakukan dosa dan kesilapan seharusnya kita menyimpan keaiban orang itu kerana mungkin dia telah benar-benar bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah dan mungkin dosa-dosanya itu telah Allah ampunkan. Jika dosanya terhadap sesama manusia, mungkin dia telah memohon kemaafan terhadap orang yang dianiayainya dan orang tersebut telah memaafkannya.

7. Jadi kita perlu sentiasa bersangka baik sesama manusia supaya orang lain juga akan bersangka baik kepada kita. Tidak kiralah sama ada bersangka baik dalam urusan politik, pentadbiran organisasi, kehidupan bermasyarakat, sesama ahli keluarga, suami isteri dan dalam kehidupan harian diri sendiri.

8. Diriwayatkan hadith daripada Marzukin Abi Bakar at-Taimiyi, daripada Ummi Darda’, hadith daripada Abi Darda’ (r.a) hadith daripada Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Barangsiapa yang menolak (yakni, merahsiakan) dari rahsia (yakni, keaiban atau keburukan) saudaranya (sesama Islam, maka), menolak (yakni, menjaga) Allah S.W.T dari wajahnya (yakni, mukanya terkena api) neraka pada hari kiamat (kelak)’ (Hadith at-Termidzi, Kitab Wasilah)

9. Setiap perbuatan dan perkataan kita ada pembalasan daripada Allah, jika kita suka mendedahkan keaiban orang lain maka pasti Allah akan membuka keaiban kita pula kepada orang lain.

10. Sesungguhnya ingatlah bahawa jika kedudukan kita yang baik pada pandangan orang lain hari ini, bukanlah kerana kita ini mulia, tetapi kerana Allah menutup keaiban diri kita daripada pengetahuan orang lain.

1 comment:

sejadahburuk said...

SALAM TO U ..

JANGAN MARAH MELAYU TAK BACA BUKU -HISHAMMUDDIN RAIS(bahagian kolum malaysiakini)
ITULAH JAWAPAN KEPADA SEGALA KEBOBROKAN MEDIA DAN PENULISAN SAMPAH DI MALAYSIA