Sunday, April 18, 2010

PENGUIN PUN SAYANG ANAK

1. Muktahir ini saya dapati isu semasa yang mendapat perhatian perdana di Malaysia ialah kes pembuangan bayi. Isu ini sebenarnya telah lama, tetapi kadang kala dilihat seperti isu bermusim apabila pada waktu-waktu tertentu kes-kes pembuangan bayi meningkat dan menjadi menjadi kerap.

2. Ada bayi yang dibuang ditemui masih hidup tetapi ramai juga bayi yang ditemui sudah tidak bernyawa lagi dan mati dalam keadaan terseksa. Ada bayi yang dibuang di surau, di masjid, di dalam tandas, dalam tong sampah, dalam longkang, dalam sungai dan bermacam-macam tempat lain lagi. Paling malang ada bayi yang dijumpai putus anggota badan kerana dibaham anjing-anjing liar. Sungguh zalim dan kejam! manusia yang sanggup membuang bayi-bayi ini.

3. Saya dapati banyak pihak yang menunjukkan rasa 'cemas' dengan peningkatan kes pembuangan bayi ini hingga berbagai program dan kempen dilancarkan serta merta bagi menangani isu tersebut. Tak kurang juga mereka yang berhati murni dan prihatin mengambil dan membela bayi terbuang itu sebagai anak angkat.

4. Saya pun sokong usaha-usaha berkenaan tetapi isu utama yang harus ditangani bukanlah kes pembuangan bayi semata-mata, tetapi yang lebih utama ialah isu penambahan dan peningkatan bilangan anak luar nikah.

5. Saya ingin merujuk kembali statistik anak luar nikah yang beragama Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) iaitu dalam tempoh lima tahun (sejak tahun 2004) JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Pada tahun 2009 sahaja jumlah pendaftaran anak luar nikah Melayu/Islam ialah 17,303 orang.

6. Tidakkah berdasarkan statistik berkenaan kita dapat mengetahui salah satu punca utama mengapa kes buang bayi meningkat? Saya fikir tidak mungkin bayi-bayi malang yang dibuang itu datang daripada pasangan yang telah bernikah secara sah! Jarang sekali ibu dan bapa yang hidup sebagai suami isteri yang sah ingin melihat bayi-bayi mereka di dalam tong sampah, di dalam longkang dan dibaham anjing!.

7. Hanya mereka yang bernafsu syaitan melakukan maksiat dan berzina sahaja yang tidak bersedia dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap perbuatan terkutuk mereka itu, lalu ada sebahagian daripada kalangan mereka yang mengambil jalan mudah mencampakkan bayi hasil angkara keterlanjuran mereka ke dalam tong sampah, longkang dan sungai.

8. Isu inilah sepatutnya yang menjadi keutamaan untuk ditangani dan diberi perhatian oleh kita semua dan pihak-pihak yang merasa 'cemas' itu. Para pemimpin, alim ulamak, pertubuhan, masyarakat, komuniti, keluarga, ibu bapa dan diri kita sendiri seharusnya berusaha secara bersungguh-sungguh dan istiqamah dalam menyelesaikan masalah gejala anak luar nikah yang menjadi punca berlakunya kes buang bayi ini.

9. Janganlah kita suka melihat kepada orang lain, tetapi lihat pada diri kita dahulu kerana perbuatan yang menghasilkan anak luar nikah mungkin boleh berlaku daripada perbuatan kita sendiri. Oleh itu, saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan kepada semua marilah kita bersama-sama kembali kepada ajaran agama Islam dalam mendidik keperibadian diri, keluarga dan masyarakat supaya esok, lusa, minggu depan atau pun tahun depan kita tidak menjadi manusia yang terkutuk dan hina yang pertamanya menyumbang kepada penambahan anak luar nikah dan keduanya menjadikan tangan kita ini tangan-tangan yang menghumban bayi-bayi kita yang tidak bersalah itu ke dalam tong sampah, longkang, sungai dan untuk dibaham anjing!.

10. Jika hari ini kita fikir kita ini makhluk Allah yang hebat kerana dianugerahkan akal fikiran untuk kita menilai kebaikan dan keburukan, namun kadang kala kita juga patut rasa malu dan perlu belajar daripada makhluk -makhluk Allah yang lain yang tidak mempunyai akal tetapi mempunyai perasaan kasih dan sayang pada anak-anak mereka sepertimana kisah penguin-penguin ini.


No comments: