Monday, October 26, 2009

KEKALKAN GEOPARK LANGKAWI

1. Ada cadangan supaya sebuah jambatan dibina menghubungkan Pulau Langkawi dan Kuala Perlis.

2. Matlamat utama pembinaan jambatan kononnya untuk memudahkan pulau itu dihubungi melalui kereta oleh pelancong dan penduduk Langkawi ke tanah besar dengan lebih cepat dan menjimatkan kos. Baca sini

3. Selain itu cadangan ini juga dikatakan mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi pulau itu.

4. Seingat saya beberapa tahun lalu bekas Menteri Besar Perlis sebelum ini pun pernah mencadangkan pembinaan jambatan ini.

5. Mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir menolak cadangan ini dengan alasan pulau itu akan sesak dengan kenderaan.

6. Saya hairan adakah mereka yang membuat cadangan ini tahu dan faham akan status Langkawi sebagai GeoPark? Adakah mereka ini tahu bukan senang sesuatu pulau atau tempat itu untuk mendapat pengiktirafan dan mengekalkan status Geopark? Adakah mereka jelas dari segi kriteria dan peraturan yang boleh dan tidak boleh dalam aspek pembangunan untuk mengekalkan status Geopark?

7. Mungkin sayalah yang tidak faham. Kalau mereka yang tidak faham, maka mereka tidak sesuai lagi menjadi pemimpin di Langkawi.

8. Pada pendapat saya pengiktirafan Langkawi dalam senarai GeoPark dunia adalah amat berharga dan tidak ternilai. Langkawi tidak perlukan pembangunan yang terlalu pesat misalnya seperti di Singapura dan Pulau Pinang. Sebaliknya keunikan, keistimewaan, keindahan landskap dan kedamaian alam semulajadi di Langkawi perlu dipulihara dan dikekalkan.

9. Pembangunan di Pulau Langkawi sangat penting, tetapi konsep pembangunan yang betul harus dilaksanakan yang berteraskan ecotourism dan mematuhi garispanduan sebagai geopark.

10. Walaupun tidak ada jambatan seperti sekarang, statistik kedatangan pelancong asing dan tempatan setiap tahun semakin meningkat ke Langkawi.

11. Sebaliknya saya fikir jika pembinaan jambatan dilakukan pada masa hadapan sangat berisiko tinggi menjadikan pulau itu terlalu sesak dengan kenderaan dan pencemaran. Manakala industri tempatan seperti perkhidmatan bot Langkawi dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah akan merosot dan penduduk tempatan juga sukar menjalankan perkhidmatan teksi, kereta sewa dan bas persiaran.

12. Industri pengangkutan berkaitan pelancongan di pulau itu akan merosot manakala yang paling mengerikan mungkin risiko jangka panjang pulau itu akan hilang identiti sebagai geopark pada masa hadapan akibat kepesatan, kepadatan dan pencemaran yang keterlaluan.

13. Saya tahu ada rungutan bahawa jambatan perlu dibina kerana masa perkhidmatan bot yang terhad iaitu sehingga lewat petang sahaja. Justeru, sukar untuk menghubungi pulau itu atau ke tanah besar pada waktu malam jika ada kecemasan. Namun saya fikir alasan ini tidak terlalu konkrit, kerana berbagai altenatif lain boleh dilakukan misalnya diwujudkan perkhidmatan bot khas bagi tujuan kecemasan sama ada oleh pihak LADA, APMM, Polis Marin atau lain-lain agensi sebagai khidmat sosial.

14, Saya bimbang adakah mungkin idea pembinaan jambatan ini disebabkan sudah kekeringan idea lain untuk pembangunan Pulau Langkawi ataupun disebabkan ketandusan projek mega untuk diagihkan kontrak kepada golongan tertentu untuk mendapat keuntungan tanpa memikirkan nilai keunikan pulau yang tidak ternilai itu.

15. Langkawi harus dipulihara sebagai GeoPark.

baca juga di sini

Saturday, October 24, 2009

PENSWASTAAN IJN

1. Kebelakangan ini terdapat usaha oleh pihak tertentu yang cuba untuk menswastakan perkhidmatan oleh pihak Institut Jantung Negara (IJN).

2. Cadangan yang telah dikemukakan ialah sama ada menswastakan sepenuhnya atau sebahagian perkhidmatan IJN. Pihak yang mengemukakan cadangan ini merupakan syarikat swasta yang sememangnya mengutamakan aspek keuntungan semata-mata.

3. Saya fikir usaha tersebut sebagai satu tindakan yang kurang prihatin dan tidak bertanggungjawab terhadap kebajikan keseluruhan rakyat Malaysia. Pihak ini hanya melihat aspek ingin membuat keuntungan daripada masalah utama yang menjadi punca utama kematian paling ramai rakyat Malaysia iaitu penyakit jantung.

4. Kos rawatan dan pembedahan jantung adalah yang paling mahal berbanding rawatan lain dan semestinya ramai rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu untuk menanggung sendiri pembiayaan kos itu sekiranya mendapatkan rawatan dan pembedahan di hospital-hospital swasta. Justeru, IJN adalah pilihan yang terbaik pada masa ini. Manakala hospital biasa milik kerajaan masih masih belum cukup kepakaran dalam aspek pembedahan jantung, justeru banyak kes kritikal dan kompleks akan dihantar ke IJN.

5. Tetapi jika IJN diswastakan sama ada sebahagian ataupun sepenuhnya, maka ramai rakyat yang akan dinafikan hak dan kebajikan mereka mendapat rawatan yang sebaiknya dan ramai yang akan mati lebih cepat di atas sikap ketidakprihatinan kerajaan yang membenarkan menswastakan IJN.

6. Walaupun kos rawatan dan pembedahan jantung adalah mahal tetapi sekurang-kurangnya di IJN masih terdapat saluran perkhidmatan sosial kepada golongan tertentu untuk mendapatkan rawatan dan pembedahan jantung pada kos yang lebih berpatutan berbanding hospital swasta.

7. Saya fikir IJN tidak boleh diswastakan sama ada sebahagian atau sepenuhnya pada masa hadapan kerana majoriti rakyat negara ini bukanlah orang kaya dan dalam hal kebajikan terhadap pesakit kronik dan kritikal seperti penyakit jantung kerajaan perlu menyediakan satu altenatif perkhidmatan bersandarkan aspek kebajikan sosial seperti yang IJN lakukan sekarang.

8. Kita tidak boleh terlalu tamak mengambil keuntungan ke atas risiko penyakit dan kematian orang ramai.

Wednesday, October 21, 2009

JADUAL PENERBANGAN

Jadual penerbangan terkini :

MH1149 Penang - International
Kuala Lumpur International Airport
Sun, 08 Nov
15:20
16:15




MH149 Kuala Lumpur International Airport
Melbourne - Tullamarine International
Sun, 08 Nov
21:35
08:15 (+1)

Tuesday, October 20, 2009

KEBERSIHAN TANDAS MASJID

1. Pada hari Jumaat yang lalu semasa memandu ke Kuala Lumpur saya singgah untuk Solat Jumaat di Masjid Serendah, Selangor.

2. Apa yang sangat menyedihkan ialah apabila saya menggunakan kemudahan tandas di masjid berkenaan saya dapati keadaan tandas yang sangat kotor dan amat menjijikkan.

3. Saya sangat sedih kerana ianya berlaku di Masjid! Rumah Allah! tempat kita selaku umat Islam menjalankan amal ibadah.

4. Walaupun ianya berlaku di tandas yang bangunannya dibina berasingan dengan bangunan masjid, tetapi perkara ini amatlah memalukan.

5. Sebabnya kita semua tahu Islam adalah agama yang suci dan sangat mementingkan kebersihan dalam ibadah dan mengajak semua penganutnya berakhlak mulia. Tetapi apa yang saya lihat sebaliknya yang berlaku.

6. Mungkin ada pihak yang mendakwa isu tandas kotor ini perkara yang kecil dan remeh. Namun, saya fikir jika kita selalu memandang kecil sesuatu perkara, maka tidak ada perkara perkara besar yang akan berjaya kita lakukan dengan sempurna kerana kalau nak jaga kebersihan tandas pun tak mampu macam mana nak capai perkara-perkara yang lebih besar misalnya Ibadat Haji, Zakat, Ilmu Tasauf, Syariah, Hukum Hudud dan lain-lain.

7. Jadi saya harap perkara yang berlaku di Masjid Serendah ini tidak akan berlaku di masjid atau surau di tempat lain. Saya lihat tandas-tandas awam di PLUS Highway, pusat membeli-belah, pawagam, stadium, stesen bas dan bangunan pejabat yang bukan merupakan tempat untuk bersolat lebih bersih berbanding tandas di sesetengah masjid dan surau. Jadi ini amatlah memalukan.

8. Kalau di tempat lain kita boleh jaga kebersihan tandas, mengapa di masjid perkara ini kita ambil mudah. Bersama-samalah kita jaga kebersihan Rumah Allah ini dengan sebaiknya.

9. Bagaimana kita mahu bersolat dengan khusyuk di masjid atau surau jika hati kita tidak tenang kerana bimbang kalau-kalau semasa kita gunakan tandas yang kotor terdapat najis atau kekotoran yang terkena pada pakaian kita. Maka, solat kita tidak akan sah kerana pakaian terkena pada najis tersebut.

10. Ingatlah, jika perkara ini kita anggap kecil dan remeh, maka tidak ada perkara besar yang mampu kita sempurnakan kerana yang kecil pun kita sudah lakukan dengan tidak sempurna.

11. Mungkin juga sesuai untuk baca pendapat blogger ini. Baca sini.

Thursday, October 15, 2009

Wednesday, October 14, 2009

BENCANA PENARAFAN UNIVERSITI?

Satu artikel yang baik untuk renungan berkenaan dengan penarafan universiti


Oleh : DZULKIFLI ABDUL RAZAK

TANGGAL 8 Oktober 2009, apabila keputusan penarafan THES-QS diumumkan, saya sedang berada di bandar Giessen, lebih kurang satu jam dari Frankfurt, untuk memenuhi undangan Persatuan Universiti-universiti Eropah (EUA) yang menjadi penaung utama semua universiti di benua tersebut.

Undangan ini sempena persidangan bertajuk "Pengantarabangsaan melewati sempadan Eropah" dan saya diminta memberi pandangan dari sudut luar Eropah sebagai seorang antara dua pengucaptama - seorang lagi adalah rakan Rektor, Berlin Free University, salah satu universiti tertua dan ternama di Jerman, malah Eropah.

Dewasa ini, e-mel bertalu-talu tiba mengesahkan "bencana" yang menimpa Malaysia. Jika Indonesia dengan gempa buminya, Filipina dengan banjir dan tanah runtuhnya, Samoa dengan tsunaminya dan Jepun banjirnya, bagi Malaysia pula menghadapai bencana gara-gara penarafan IPTAnya. Walaupun hanya beberapa buah IPTA sahaja yang terlibat, kesannya tidak kurang menggugat.

Media gamat dengan liputan berita tersebut. Anehnya hanya yang tersenarai sahaja yang dipertikaikan, sedangkan puluhan yang lain yang tidak langsung tersenarai (termasuk IPTS yang saban diiklan sebagai paling 'global' di akhbar-akhbar) nampaknya terselamat daripada bencana tersebut. Seolah-olah membayangkan lebih baik tidak tersenarai sama sekali daripada tersenarai.

Ini sahaja sudah cukup mengelirukan tentang apa cita rasa yang ingin diluahkan dalam hal ini? Kita belum lagi membincangkan tentang "cita rasa" penganjur THES-QS apabila beria-ia mendakwa penarafannya adalah tepat, bebas dan boleh dipercayai tanpa sebarang ragu-ragu lagi! Walaupun ada bukti sebaliknya! Apa pun kita mengangguk saja.

Sebagai perbandingan suasana di Giessen sewaktu persidangan tersebut cukup aman, biar ratusan rektor universiti Eropah dan benua lain, bersama dengan pegawai tertinggi universiti serta pelajar bersesak-sesak di dewan seminar Justus Liebig Universitat Giessen - sebuah IPTA berusia lebih 400 tahun.

Bandar Giessen merupakan bandar universiti dengan hampir 40 peratus penduduknya terdiri daripada warga universiti tersebut. Universitinya moden disulami tradisi ilmiah dan kesarjanaan yang kental.

Universiti itu juga tidak kurang mempunyai pusat kecemerlangan tersendiri di bawah Inisiatif Kecemerlangan Jerman yang dicontohi Malaysia di bawah Inisiatif APEX. Jelas, Justus Liebig Universitat cukup yakin dengan pencapaian dan jati dirinya.

Penarafan, lebih-lebih lagi oleh sebuah organisasi bertujuan komersial, tidak langsung dihiraukan. Mereka tidak juga apologetic - malah kalaupun ada pengajaran daripada aktiviti penarafan, ia dianggap tidak sesuai untuk dijadikan pengukur institusi pendidikan.

Sebaliknya sesebuah universiti itu mempunyai keperibadiannya tersendiri; wawasan serta keunikannya - selaras dengan kefahaman "pendidikan" (bukan sahaja pelajaran atau kajian) yang memegang amanah ilmu dan kesarjanaan.

Kepelbagaian adalah kekayaannya, dan lagi unik adunan kepelbagaian tersebut - lagi terbina keperibadian universiti berkenaan. Ia bukan kilang yang mengeluarkan barangan tidak bernyawa yang seragam dan diseragamkan supaya mudah dibanding-bandingkan untuk tujuan tertentu.

Ia bukannya seperti peraduan ratu cantik yang menaraf pemenangnya berpandukan formula utama 36-24-36 sebagai yang "ideal" dan semuanya dinilai mengikut sukatan ini; kemudian diberi penarafan 1, 2, 3 dan sebagainya. Wajarkah dua insan dibandingkan berdasarkan aspek luarannya sahaja dan bukan sifat keinsanannya?

Begitu juga hal dengan institusi bergelar "universiti" - lebih-lebih ukuran yang dikenakan lebih mirip kepada bahan perkilangan atau untuk peraduan ratu cantik, atau sebaliknya! Pokoknya asas dan pandangan dunia dan amanah sebuah universiti tulen tidak sama dengan pandangan dunia dan amanah sebuah organisasi bukan pendidikan. Namun inilah yang sering kali dicampuradukkan sehingga memusnahkan sama sekali maksud sesebuah universiti di mata ramai di samping mengusutkan lagi keadaan.

Yang turut mengkagumkan adalah rektor-rektor universiti Eropah yang menghadiri persidangan itu amat jelas tentang tanggungjawab mereka dalam membangunkan sebuah universiti. Autonomi berulang-ulang kali disebut untuk menyatakan kelainan sebuah universiti dengan organisasi lain, terutama yang berbentuk komersial, dan wujud untuk mengaut keuntungan.

Autonomi bagi mereka adalah benteng utama yang perlu dipertahankan dalam mengasuh dan mengangkat maruah sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi. Disini mereka tidak berkompromi sama sekali dan enggan dijadi seolah-olah kerbau dicucuk hidung, diarak-arak atau diarah-arah ke hulu dan ke hilir seadanya saja.

Saya mengandaikan yang persidangan tersebut akan gegak gempita membahaskan soal penarafan apabila dilihat dari perspektif pengantarabangsaan. Saya mengagakkan keputusan THES-QS dijadikan tanda aras mutlak, dan turut menimbulkan "bencana" di Giessen seperti mana di tanah air.

Ternyata saya tersilap sama sekali. Selama dua hari berikutnya isu penarafan tidak sekalipun disebutkan baik oleh para penceramah mahupun peserta. Apabila cuba dicukil pendapat mereka, rata-rata maklum balasnya cukup dingin - kalau dalam bahasa Inggerisnya berbunyi "what about it?" (apa halnya?).

Dan bila dikatakan keputusan THES-QS sudah diumum, kelihatan mereka amat sinis dan jelek sekali, bagaikan menegur: "Siapa mereka ini untuk menjadikan universiti kami bak kerbau cucuk hidung?"

Umum tidak kisah langsung tentang isu tersebut kerana angka-angka penarafan bagi mereka tidak membawa erti apa-apa, kalaupun konsep penarafan boleh diterima. Malah seorang ada bertanya: "Bolehkah saya menaraf lima orang anak saya secara adil dan saksama? Apa lagi berbanding dengan anak orang lain?"

Natijahnya, dalam penarafan kita mesti ikut telunjuk orang lain yang mengadun segala-galanya. Umpama ratu cantik, kita juga perlu memperagakan diri, baik berbikini sekalipun, berlenggang lengguk, tersenyum tersipu-sipu untuk menawan pengadil dengan harapan untuk menjadi ratu!

Jika tidak agak sukar membayangkan apa-apa kejayaan. Apatah lagi turut diperhatikan dalam peraduan seumpama ini calon tuan rumah sering kali akan "menang" sesuatu kalaupun tidak hadiah pertama. Hal ini juga beransur lumrah dalam aktiviti penarafan di mana unsur-unsur penajaan dan sogokan (bagi sesetengah pihak dikatakan "rasuah") sudah mula menular.

Maka pernah universiti disyor mengiklankan nama dan logonya di laman web penaja dengan bayaran sekian banyak supaya lebih "mesra pelanggan" dan "mudah diperkenalkan" dan melonjakkan kedudukan. Malangnya tidak kurang juga yang terjebak dengan "tawaran" tersebut, umpama si ratu cantik meniduri pengadil, dengan harapan agar menang jua. Tidak kiralah jika maruah turut tergadai.

Banyak lagi yang boleh dipersoalkan berkaitan aspek etika dan keutuhan (sama ada cara langsung atau tidak), sekali gus membuka tembelang usaha penarafan khususnya yang berbentuk komersial. Cukup banyak telah ditulis tentang hal ini supaya jangan terperangkap sebagai Pak Turut saja!

Maka di Giessen saya menghela nafas lega! Lebih daripada itu, saya bertambah yakin yang universiti sememang ada maruah dan nilai sendiri dalam kelangsungan menunaikan tanggungjawab sertaJustify Full amanah tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun, apa lagi yang berkepentingan cukup sempit dan anti cendekiawan! Ataupun mencari sanjungan pintas.

Saya juga belajar yang maruah ini ada kaitannya dengan nilai keluhuran dan kejujuran berilmu dan bersarjana, sesuatu yang tak dapat ditolak ansur dalam apa hal sekalipun; jangan sebutlah memperjudikan etika!

Akhir sekali saya sedar kita tidak perlu apologetic sekiranya jati diri ingin diperkasa. Rupa-rupanya universiti yang istimewa itu adalah universiti yang mengerti semua ini dan terus mempertahankan prinsip keilmuan biar "bencana" apa sekali yang mendatang. Bak kata orang tua-tua: Membujur lalu, melintang patah! Pantang maut, sebelum ajal.

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Tuesday, October 13, 2009

SAJAK ADI PUTRA



* Kita perlu lebih ramai lagi 'Adi Putra' di masa hadapan.

HITAM PUTIH KEHIDUPAN

Lihatlah sekitar alam
Dunia luas terbentang
Langit tinggi kebiruan
Pohon-pohon kehijauan
Hembusan bayu yang menyegarkan

Dengarkan di sana-sini
Beburung riang menyanyi
Berbunga aneka warna
Sumber kedamaian jiwa
Mensyukuri nikmat Maha Esa

Begitu berharga kehidupan ini
Bagi mereka yang tahu menghargai
Mengapa terdorong oleh perasaan
Kalau turutkan hati diri menjadi korban

Tiada yang dapat lari dari masalah diri
Hadapi lah dengan tenang
Tiap cabaran yang datang
Atasinya dengan keimanan

Sekadar buat renungan
Untukmu teman tersayang
Hitam putih masa depan
Sendirian menentukan
Hidup ini usah persiakan...

By :
Datuk Sheila Majid

Monday, October 12, 2009

DILEMA

Dulu bangsaku ramai yang menjadi petani
Dulu bangsaku ramai yang menjadi penoreh
Dulu bangsaku ramai yang menjadi nelayan
Dulu bangsaku ramai yang miskin pengetahuan
Tapi, itu semua adalah dulu,
Dulu...

Kini...
Kini bangsaku sering dikaitkan dengan penagihan dadah
Kini bangsaku ramai yang bergelar penjenayah
Kini bangsaku ramai menjadi pelumba haram
dan tak kurang ramainya yang mati di tengah jalan
Kini bangsaku ramai menjadi penghuni pusat-pusat pemulihan
dan bilik kurungan penjara
Kini bangsaku selalu bergaduh kerana politik
Kini bangsaku yang kaya pengetahuan tapi tidak mahu menggunakannya
Kini bangsaku semakin ramai yang menjadi pelajar kelas kedua bawah
Kini bangsaku yang paling ramai tidak mendapat kerja di negara sendiri
Dan kini ramai daripada bangsaku merempat di tanahair sendiri...

Namun, kini sudah ramai bangsaku yang berjaya
Kini semakin ramai bangsaku yang berharta
Tetapi lebih ramai yang mudah alpa dan cepat lupa
Juga paling ramai yang malas berusaha

Wahai bangsaku, fikirkanlah...
Apakah ini perubahan yang kita inginkan?
Adakah ini kemajuan yang harus kita banggakan?
Dimanakah martabat dan maruah bangsa mahu kita letakkan?
Dan, mahukah tamadun bangsa kita diperlekehkan?

Wahai bangsaku,
Generasi sekarang dan akan datang
Sedarilah bahawa usaha kita masih belum tercapai
Dan wawasan kita bukan mudah untuk digapai
Selagi kita masih terus leka dan lalai
Segalanya tidak mungkin akan kita capai
Tanpa usaha dan pengorbanan

Wahai bangsaku,
Berfikir, berusaha dan bertindaklah
Kerana masa hadapan belum menjanjikan syurga buat kita
Kerana perjuangan kita belum selesai....


Ditulis oleh :
Syahril Said
15 Disember 2002
11.33 pm
7F102, Kolej Telekom
Kampus UUM

BENARKAH MELAYU MUDAH LUPA?


Wahai bangsaku....bangsa Melayu
Ingatlah... bahawasanya
Melayu tidak mudah lupa

Melayu tidak mudah lupa
Melayu tidak mudah lupa

Melayu tidak mudah lupa


Dulu bangsanya dipijak

Melayu tidak mudah lupa


Dulu bangsanya retak
Melayu tidak mudah lupa


Dulu bangsanya teriak
Melayu tidak mudah lupa


Dulu bangsanya haprak

Melayu tidak mudah lupa


Dulu bangsanya kelas kedua

Melayu tidak mudah lupa


Dulu bangsanya hina

Melayu tidak mudah lupa


Dulu bangsanya sengketa

Melayu tidak mudah lupa


Dulu bangsanya derita

Melayu tidak mudah lupa


Dulu bangsanya kerdil

Melayu tidak mudah lupa


Dulu bangsanya terpencil
Tiada daulat, tiada maruah,

Tiada bebas

Melayu tidak mudah lupa
Melayu tidak mudah lupa
Melayu tidak akan lupa

Sejarah bangsanya yang lena

Tanah lahirnya yang merekah

Berdarah


Melayu itu bukannya lupa

Cuma bangsanya sekarang yang malas bekerja
Cuma bangsanya sekarang yang malas membaca

Cuma mahasiswanya sering berpuashati

dengan kelas kedua dan ketiga

Cuma remajanya yang hanyut dibawa arus cinta

Cuma pemimpinnya yang asyik bersengketa untuk berkuasa


Semua itu berlaku akibat terleka

Leka kerana dibelenggui rasa selesa

Selesa kerana semuanya telah ada

Selesa kerana semuanya kini mudah belaka

Selesa yang boleh membawa binasa

kepada agama, bangsa dan negara

Ingatlah, ingatlah
Wahai bangsaku

Jangan mudah leka lagi
Kerana perjuangan kita belum selesai.


Ditulis oleh :

Syahril Said

6 September 2001

7.30 am

Kampus UUM

* Ubahsuai daripada Sajak Melayu Mudah Lupa oleh Tun Dr. Mahathir

Sunday, October 11, 2009

BAGAN PINANG

1. Memang telah dijangka, keputusan PRK Bagan Pinang dimenangi oleh Tan Sri Mohd Isa Samad dengan majoriti besar sebanyak 5, 435 undi.

2. Saya fikir kemenangan ini banyak dipengaruhi oleh jasa Tan Sri Isa sebelum ini yang pernah mentadbir negeri itu selama 22 tahun sebagai Menteri Besar. Jasa Tan Sri Isa yang bukan kepalang dalam pembangunan negeri menyebabkan beliau mendapat sokongan padu pengundi tempatan.

3. Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Isa atas kemenangan beliau.

4. Tetapi secara peribadi saya masih berpendirian tindakan Tan Sri Isa bertanding walaupun telah menang dalam PRK Bagan Pinang itu bukanlah satu tindakan yang tepat.

5. Seharusnya pengalaman yang luas dan lama dalam politik dan pentadbiran negeri serta negara menjadikan Tan Sri Isa sebagai seorang pemimpin yang disegani dan dihormati. Apabila seseorang pemimpin yang disegani dan dihormati, maka seharusnya mereka tidak pula bersifat tamak kuasa.

6. Seharusnya tempoh 30 tahun menjadi ahli politik dan 22 tahun pernah menjadi Menteri Besar melayakkan Tan Sri Isa menjadi seorang pakar penasihat yang ulung dalam melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis generasi baru untuk memimpin negeri dan negara. Bukannya beliau terus mencari peluang menggunakan pengaruhnya untuk kepentingan diri mengukuhkan kuasa.

7. Walaupun menang pilihanraya, namun saya fikir UMNO tidak berjaya membuktikan perubahan mereka membersihkan moral parti kerana pemimpin yang menang mempunyai rekod yang kurang bersih dan UMNO kekurangan generasi pelapis yang berwibawa untuk diketengahkan sebagai pemimpin baru bagi mengukuhkan parti tersebut.

8. Kekurangan itu disebabkan sikap ramai pemimpin veteran yang masih tamak kuasa dan hanya mahu menjaga kepentingan diri.

9. Secara peribadi saya fikir jika keadaan ini berterusan, maka usaha dan matlamat pengukuhan parti itu semakin jauh dari sasaran.

10. Hari ini dan masa depan, rakyat semakin bijak menilai dan membuat keputusan.

Friday, October 9, 2009

RISIKO GEMPA : BANGUNAN DI MALAYSIA

1. Entry saya pada 2 Oktober 2009 ada mengulas tentang komen Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mendakwa bangunan-bangunan di Malaysia selamat daripada gempa bumi.

2. Saya fikir mungkin dakwaan Menteri berkenaan bangunan di Malaysia masih selamat kerana beliau hanya merujuk kepada gempa bumi 7.6 skala richter di Padang, Indonesia dan kesannya ke atas Malaysia. Mungkin pada kali ini, kita masih bernasib baik, tetapi bagaimana pula dengan masa hadapan jika berlaku gempa bumi yang lebih kuat seperti yang diramalkan oleh pakar?


3. Beberapa hari lalu saya telah menonton satu rancang bualbicara di salah satu saluran tv di mana tetamu yang dijemput ialah Profesor Dr. Azlan Adnan yang merupakan Profesor Kejuruteraan Gempa Bumi, Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia.

4. Menurut beliau, sehingga kini semua bangunan di Malaysia tidak mempunyai teknologi binaan yang boleh berdepan dengan risiko gempa bumi kecuali hanya satu bangunan sahaja buat masa ini yang dipasang dengan 'pengasing tapak' (base isolator) itupun bangunan yang dieksperimen sahaja.



5. Penggunaan base isolator telah pun digunakan pada bangunan-bangunan di Jepun dan Amerika Syarikat sejak 20 tahun yang lalu lagi, sebagai persediaan menghadapi gempa, tetapi di Malaysia hanya dijadikan eksperimen pada sebuah bangunan.



6. Base isolator ini diperbuat daripada getah dan mengandungi susunan kepingan besi di dalamnya dan dipasang di bawah tiang-tiang bangunan sebagai pengasing antara tanah dan tiang bangunan. Peranan base isolator ini ialah menyerap gegaran yang berlaku pada tanah dan memastikan bangunan dalam stabil apabila berlaku gempa. ini sekurang-kurangnya mengurang kan risiko kemusnahan pada bangunan.

7. Tetapi teknologi ini telah lama dan masih digunakan lagi bersama pelbagai teknologi baru sekarang termasuk rekabentuk Earthquake Building Resistant. Malaysia belum pun mengaplikasi teknologi 20 tahun lepas sekurang-kurangnya.

8. Merujuk kepada Pelan Intensiti Gempa Bumi terbaru yang dikemukakan oleh Profesor itu, didapati tahap risiko kemusnahan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia berada pada tahap VI dan VII. Tetapi pelan intensiti yang ditunjukkan di bawah hanya dapat saya perolehi yang dikeluarkan pada tahun 2004.

9. Menurut Profesor itu juga, sejarah menunjukkan gempa akan berulang pada tempat yang sama antara 100 hingga 200 ratus tahun, malah gempa yang boleh berlaku pada masa depan diramalkan akan lebih kuat berbanding yang sebelumnya. Rajah di bawah menunjukkan gempa bumi yang pernah berlaku (tidak termasuk yang berlaku di Tasikmalaya dan Padang, Indonesia).


10. Rajah di bawah menunjukkan risiko tahap kerosakan yang berlaku di Padang, Indonesia pada 30 September yang lalu dan saya dapati warna yang sama seperti yang saya lihat pada Pelan Intensiti Gempa terbaru yang dikaji oleh pihak UTM terhadap risiko tahap kerosakan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia yang dikemukakan dalam rancangan tv itu.


11. Profesor Dr. Azlan Adnan juga telah mengulas isu ini di media. Baca di sini.

12. Saya fikir saya sendiri sudah tidak perlu berasa terlalu selamat daripada kesan risiko gempa bumi yang berlaku di Sumatera, tetapi saya fikir saya paling tidak selamat apabila mengetahui bahawa bangunan yang saya duduki dan kunjungi di negara ini tiada satu pun mempunyai aspek keselamatan risiko gempa bumi di masa hadapan.

Sunday, October 4, 2009

KONVOKESYEN KE 22 (SIDANG KEDUA)

1. Universitu Utara Malaysia (UUM) sedang mengadakan Majlis Konvokesyen Ke-22 (Sidang Kedua) bermula kelmarin 3 Oktober hingga esok 5 Oktober 2009.

2. Bagi Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM) telah menerima penganugerahan ijazah dalam majlis yang diadakan kelmarin sesi petang. Dalam majlis itu seramai 25 pelajar BDM dianugerahkan ijazah masing-masing.

3. Sekalung TAHNIAH! dan SYABAS! saya ucapkan kepada mereka.

4. Berdasarkan 25 orang penerima Ijazah BDM pada kali ini, seorang pelajar telah mendapat Ijazah Kelas Pertama iaitu Yong Fui Fong, 17 pelajar mendapat Kelas Kedua Atas dan 7 pelajar mendapat Kelas Kedua Bawah.

5. Sekali lagi TAHNIAH! dan SYABAS!

Friday, October 2, 2009

SELAGI BELUM RUNTUH BANGUNAN MASIH SELAMAT

1. Berikut adalah apa saya baca melalui laman web BERNAMA : (atau baca di sini)

Bangunan Di Malaysia Selamat Daripada Gempa Bumi

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang menerima kesan daripada gegaran akibat gempa bumi di Indonesia Rabu lepas tidak perlu bimbang kerana bangunan-bangunan di sini disahkan selamat dan menepati syarat bangunan yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata keselamatan bangunan berkenaan bergantung sepenuhnya kepada pemaju sama ada mereka mematuhi atau tidak prosedur standard bangunan yang ditetapkan kerajaan.

" Jika semua bangunan dibina mengikut standard dan syarat yang ditetapkan, ia semestinya selamat untuk diduduki, semuanya bergantung kepada pematuhan," katanya pada sidang akhbar di sini , Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemaju-pemaju supaya sentiasa mematuhi prosedur standard pembinaan, dan meletakkan keutamaan kepada keselamatan melebihi segala-segalanya bagi pelan bangunan baru.

Beliau mengulas mengenai keretakan yang dikesan pada lima bangunan tinggi di Lembah Klang berikutan gegaran susulan gempa bumi kuat berukuran 7.6 pada skala Richter yang melanda Padang di Sumatera Barat pada 6.16 petang Rabu lepas.


2. Nampaknya setakat itulah jaminan bahawa tahap keselamatan bangunan-bangunan di negara ini khususnya dalam mendepani risiko kesan gempa bumi pada masa hadapan.

3. Melihat kepada paparan melalui media di tv, saya mendapati kesan kemusnahan di Bandar Padang, Indonesia agak teruk. Masih banyak mangsa yang belum ditemui dalam runtuhan-runtuhan bangunan.

4. Saya juga dapat melihat beberapa bangunan yang sempat saya kunjungi sewaktu berada di sana turut runtuh termasuk pasaraya, hotel dan bangunan-bangunan pentadbiran kerajaan. Terlebih dahulu Alhamdulillah syukur rasanya kerana bencana itu tidak berlaku semasa saya berada di sana sebelum ini.

5. Tetapi di Malaysia nampaknya pihak atau jabatan yang terlibat dilihat mudah berpuashati dengan tahap keselamatan bangunan-bangunan di negara ini. Seharusnya satu pernilaian semula harus dilakukan terutamanya terhadap tahap keselamatan semasa bangunan-bangunan tinggi.

6. Selain itu, standard struktur binaan bangunan yang digunapakai sekarang dalam penyediaan sesuatu pelan bangunan harus dikaji semula tentang tahap ketahanan dan keselamatan bangunan. Aspek ketahanan struktur bangunan terhadap risiko gegaran bumi dan teknologi bangunan kalis gegaran gempa bumi harus diteliti dan dijadikan satu syarat penting atau wajib dalam syarat kelulusan pelan bangunan pada masa hadapan seperti yang digunapakai misalnya di Jepun.

7. Kita jangan ambil mudah kerana tidak ada kemusnahan bangunan di negara ini akibat gempa di Indonesia. Belajarlah daripada kejadian keruntuhan stadium di Kuala Terengganu, bila dah runtuh baru nak buat pernilaian. Dah lambat dah...

MALAYSIA DAN RISIKO GEMPA BUMI

1. Laporan terkini media menyatakan kesan gempa bumi di Padang, Indonesia telah mencatatkan jumlah kematian sebanyak 1,100 orang dan dijangka jumlah itu akan terus meningkat. Dua hari lepas gempa bumi sekuat 7.6 pada skala richter berlaku di Sumatera Barat berhampiran Padang.

2. Pada tahun lepas saya bersempatan melancong ke sana dan mendapati tahap pembangunan di sana masih dalam keadaan sederhana dan sebahagian kawasan masih mundur. Daya tarikan di sana adalah kebudayaan dan senibina Minangkabau.

3. Tetapi dua hari lepas kawasan itu dilanda musibah gempa bumi. Malaysia juga telah membawa pulang 300 pelajar Malaysia di sana kembali ke Malaysia malam tadi.

4. Pagi ini saya menonton siaran bicara pagi di TV9 yang telah membincangkan isu gempa bumi di mana panel yang membincangkan isu ini ialah Dr. Rosaidi Che Abas, Pengarah Geofizik dan Tsunami, Jabatan Meteorologi Malaysia.

5. Antara maklumat penting hasil perbincngan tersebut untuk dijadikan iktibar :

6. Terdapat gempa bumi pernah dikesan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia seperti di Bukit Tinggi, Pahang dan Manjung, Perak tetapi skala gempa adalah kecil iaitu sekitar 3 pada skala richter. Dari semasa ke semasa gempa bumi kecil boleh terus berlaku di negara ini.

7. Semenanjung Malaysia tidak terletak di dalam garisan Lingkaran Api (garisan risiko gempa bumi) tetapi lokasi kedudukan kita adalah hampir dengan garisan itu menyebabkan kita mudah menerima kesan gegaran gempa.

8. Risiko gempa bumi yang boleh berlaku di Semenanjung Malaysia adalah kurang dari 5.0 pada skala richter kecuali hanya Sabah yang terdedah kepada risiko gempa bumi yang kuat.

9. Menurut pendapat pakar seismologi, kategori gempa bumi kuat dan bahaya adalah ditakrifkan terhadap gempa berukuran 6.0 pada skala richter ke atas.

10. Dalam konteks sejarah gempa bumi, gempa yang paling kuat pernah direkodkan ialah pada ukuran 9.6 skala richter yang berlaku di Chile dan 9.3 skala richter yang berlaku di Sumatera pada tahun 2004.

11. Berikutan gempa bumi di Padang pada dua hari lepas, pakar-pakar meramalkan akan berlaku satu gempa yang lebih kuat pada masa depan pada anggaran 9.0 skala richter sama ada boleh berlaku di utara atau selatan Sumatera, Indonesia.

12. Menurut Pengarah Geofizik dan Tsunami, tahap ketahanan bangunan-bangunan tinggi dan pencakar langit di Malaysia pada masa kini hanya boleh menahan tiupan angin kuat manakala ketahanan dari segi kesan gempa bumi pula bangunan-bangunan tinggi di negara hanya boleh bertahan pada tahap lebih sedikit berbanding daripada kesan gegaran gempa bumi yang berlaku dua hari lepas.

13. Jika merujuk kesan gegaran dua hari lepas di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, terdapat beberapa bangunan tinggi direkodkan mengalami keretakan kecil. Menurut pakar ketahanan bangunan tinggi di negara ini hanya boleh bertahan pada gegaran lebih sedikit sahaja lagi berbanding gegaran 7.6 skala richter yang baru berlaku di Padang.

14. Jadi bagaimana pula nanti dengan ramalan pakar-pakar akan berlaku gempa bumi yang lebih kuat sekitar 9.0 skala richter pada masa depan di utara atau selatan Sumatera?

15. Merujuk entry blog ini yang lepas berkaitan Earthquake Resistant Building di Malaysia, saya fikir usaha ini harus disegerakan.

Thursday, October 1, 2009

PERJALANAN KE 28

* Sekadar catatan peribadi

1. Alhamdulillah kerana 'perjalanan' ini telah sampai ke angka 28 hari ini. Namun, penting kadang kala untuk melihat kembali masa lalu supaya selalu bersyukur, insaf dan tahu asal-usul sendiri.

2. Namun dengan melihat masa lalu tidak cukup kerana mungkin masa hadapan itu akan lebih panjang daripada masa lalu. Mungkin masa hadapan mempunyai cabaran yang lebih hebat berbanding masa lalu, tetapi pengalaman yang dikutip pada masa lalu amat berharga sebagai bekalan istimewa bagi meneruskan perjalanan ke hadapan.

3. Tetapi perlu diingat apa yang kita miliki hari ini bukanlah milik kita dan apa yang kita akan dapat esok bukanlah semua dari usaha kita tetapi semuanya hanyalah pinjaman daripada-Nya. Maka kita harus redha dan terus bersyukur.

4. Namun yang penting usaha adalah punca kejayaan kerana tidak akan ada kesenangan dan kejayaan yang datang kepada kita dengan mudah melainkan kitalah yang perlu berusaha mencari dan mendapatkannya.

5. Perlu juga diingat walaupun jika usaha itu kita lakukan dengan bersungguh-sungguh dan kerja keras, namun tanpa bantuan dan sokongan orang lain dan tanpa izin-Nya juga belum tentu kita akan berjaya. Justeru, kita perlu hormati, hargai dan berterima kasih kepada mereka yang pernah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menemani kejayaan perjalanan ini.

6. Hari ini angka yang tercatat adalah 28, mungkin selepas ini banyak lagi angka-angka yang akan dihitung dan sebagai manusia kita tidak akan tahu bilakah kita akan sampai ke destinasi tetapi kita perlu tahu ke mana destinasi yang kita harapkan di akhirat nanti.

7. Jika angka ini dirujuk dalam konteks khidmat yang boleh diberikan, jika diambil angka 58 iaitu umur bersara wajib bagi pekerja di negara ini, maka tercatat angka 30 tahun lagi untuk dilalui (jika belum ditakdirkan sampai ke destinasi). Angka ini lebih panjang tempohnya berbanding akan 28 yang telah dilalui.

8. Justeru, sebagai manusia yang kerdil disisi Tuhan, saya berdoa agar jika dipanjangkan usia supaya dapat menempuh perjalanan 30 tahun ini dengan jayanya nanti.

9. Namun, angka 30 tahun ini tidak boleh dipersia-siakan, kerana 'sesuatu' boleh dilakukan sepanjang tempoh tersebut. Jika angka 28 yang berlalu telah memberikan 'sesuatu' kenapa perjalanan 30 tahun seterusnya perlu dibazirkan.

10. 30 tahun : tidak mustahil ada 'kepakaran' yang boleh dibentuk

11. 30 tahun : tidak mustahil ada sebuah 'empayar' boleh dibina

12. 30 tahun : tidak mustahil ada 'pemikiran' boleh dilaksanakan

13. 30 tahun : tidak mustahil ada 'kepimpinan' boleh dijanakan

14. Segalanya tidak mustahil, usaha punca kejayaan dan semuanya atas kehendak dan keizinan-Nya. Amin.

15. Tahun 1988 - 1993 : Sekolah Kebangsaan Suka Menanti, Alor Setar, Kedah.

16. Tahun 1994 - 1996 : Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael, Alor Setar, Kedah.

17. Tahun 1997 - 1998 : Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.

18. Tahun 1999 - 2000 : Kolej MARA Kuala Nerang.

19. Tahun 2000 - 2003 : Bachelor of Dev. Mgmt. (Hons), Universiti Utara Malaysia.

20. Tahun 2003 - 2005 : Master of Science (Planning), Universiti Sains Malaysia.

21. Tahun 2005 - 2009 : Lecturer, Universiti Utara Malaysia.

22. Tahun 2009 (November) - 2013 : PhD in Engineering (Transport), Monash University, Melbourne, Australia.

* Manusia hanya merancang, tetapi Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.