Friday, October 2, 2009

MALAYSIA DAN RISIKO GEMPA BUMI

1. Laporan terkini media menyatakan kesan gempa bumi di Padang, Indonesia telah mencatatkan jumlah kematian sebanyak 1,100 orang dan dijangka jumlah itu akan terus meningkat. Dua hari lepas gempa bumi sekuat 7.6 pada skala richter berlaku di Sumatera Barat berhampiran Padang.

2. Pada tahun lepas saya bersempatan melancong ke sana dan mendapati tahap pembangunan di sana masih dalam keadaan sederhana dan sebahagian kawasan masih mundur. Daya tarikan di sana adalah kebudayaan dan senibina Minangkabau.

3. Tetapi dua hari lepas kawasan itu dilanda musibah gempa bumi. Malaysia juga telah membawa pulang 300 pelajar Malaysia di sana kembali ke Malaysia malam tadi.

4. Pagi ini saya menonton siaran bicara pagi di TV9 yang telah membincangkan isu gempa bumi di mana panel yang membincangkan isu ini ialah Dr. Rosaidi Che Abas, Pengarah Geofizik dan Tsunami, Jabatan Meteorologi Malaysia.

5. Antara maklumat penting hasil perbincngan tersebut untuk dijadikan iktibar :

6. Terdapat gempa bumi pernah dikesan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia seperti di Bukit Tinggi, Pahang dan Manjung, Perak tetapi skala gempa adalah kecil iaitu sekitar 3 pada skala richter. Dari semasa ke semasa gempa bumi kecil boleh terus berlaku di negara ini.

7. Semenanjung Malaysia tidak terletak di dalam garisan Lingkaran Api (garisan risiko gempa bumi) tetapi lokasi kedudukan kita adalah hampir dengan garisan itu menyebabkan kita mudah menerima kesan gegaran gempa.

8. Risiko gempa bumi yang boleh berlaku di Semenanjung Malaysia adalah kurang dari 5.0 pada skala richter kecuali hanya Sabah yang terdedah kepada risiko gempa bumi yang kuat.

9. Menurut pendapat pakar seismologi, kategori gempa bumi kuat dan bahaya adalah ditakrifkan terhadap gempa berukuran 6.0 pada skala richter ke atas.

10. Dalam konteks sejarah gempa bumi, gempa yang paling kuat pernah direkodkan ialah pada ukuran 9.6 skala richter yang berlaku di Chile dan 9.3 skala richter yang berlaku di Sumatera pada tahun 2004.

11. Berikutan gempa bumi di Padang pada dua hari lepas, pakar-pakar meramalkan akan berlaku satu gempa yang lebih kuat pada masa depan pada anggaran 9.0 skala richter sama ada boleh berlaku di utara atau selatan Sumatera, Indonesia.

12. Menurut Pengarah Geofizik dan Tsunami, tahap ketahanan bangunan-bangunan tinggi dan pencakar langit di Malaysia pada masa kini hanya boleh menahan tiupan angin kuat manakala ketahanan dari segi kesan gempa bumi pula bangunan-bangunan tinggi di negara hanya boleh bertahan pada tahap lebih sedikit berbanding daripada kesan gegaran gempa bumi yang berlaku dua hari lepas.

13. Jika merujuk kesan gegaran dua hari lepas di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, terdapat beberapa bangunan tinggi direkodkan mengalami keretakan kecil. Menurut pakar ketahanan bangunan tinggi di negara ini hanya boleh bertahan pada gegaran lebih sedikit sahaja lagi berbanding gegaran 7.6 skala richter yang baru berlaku di Padang.

14. Jadi bagaimana pula nanti dengan ramalan pakar-pakar akan berlaku gempa bumi yang lebih kuat sekitar 9.0 skala richter pada masa depan di utara atau selatan Sumatera?

15. Merujuk entry blog ini yang lepas berkaitan Earthquake Resistant Building di Malaysia, saya fikir usaha ini harus disegerakan.

No comments: