Friday, October 2, 2009

SELAGI BELUM RUNTUH BANGUNAN MASIH SELAMAT

1. Berikut adalah apa saya baca melalui laman web BERNAMA : (atau baca di sini)

Bangunan Di Malaysia Selamat Daripada Gempa Bumi

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang menerima kesan daripada gegaran akibat gempa bumi di Indonesia Rabu lepas tidak perlu bimbang kerana bangunan-bangunan di sini disahkan selamat dan menepati syarat bangunan yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata keselamatan bangunan berkenaan bergantung sepenuhnya kepada pemaju sama ada mereka mematuhi atau tidak prosedur standard bangunan yang ditetapkan kerajaan.

" Jika semua bangunan dibina mengikut standard dan syarat yang ditetapkan, ia semestinya selamat untuk diduduki, semuanya bergantung kepada pematuhan," katanya pada sidang akhbar di sini , Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemaju-pemaju supaya sentiasa mematuhi prosedur standard pembinaan, dan meletakkan keutamaan kepada keselamatan melebihi segala-segalanya bagi pelan bangunan baru.

Beliau mengulas mengenai keretakan yang dikesan pada lima bangunan tinggi di Lembah Klang berikutan gegaran susulan gempa bumi kuat berukuran 7.6 pada skala Richter yang melanda Padang di Sumatera Barat pada 6.16 petang Rabu lepas.


2. Nampaknya setakat itulah jaminan bahawa tahap keselamatan bangunan-bangunan di negara ini khususnya dalam mendepani risiko kesan gempa bumi pada masa hadapan.

3. Melihat kepada paparan melalui media di tv, saya mendapati kesan kemusnahan di Bandar Padang, Indonesia agak teruk. Masih banyak mangsa yang belum ditemui dalam runtuhan-runtuhan bangunan.

4. Saya juga dapat melihat beberapa bangunan yang sempat saya kunjungi sewaktu berada di sana turut runtuh termasuk pasaraya, hotel dan bangunan-bangunan pentadbiran kerajaan. Terlebih dahulu Alhamdulillah syukur rasanya kerana bencana itu tidak berlaku semasa saya berada di sana sebelum ini.

5. Tetapi di Malaysia nampaknya pihak atau jabatan yang terlibat dilihat mudah berpuashati dengan tahap keselamatan bangunan-bangunan di negara ini. Seharusnya satu pernilaian semula harus dilakukan terutamanya terhadap tahap keselamatan semasa bangunan-bangunan tinggi.

6. Selain itu, standard struktur binaan bangunan yang digunapakai sekarang dalam penyediaan sesuatu pelan bangunan harus dikaji semula tentang tahap ketahanan dan keselamatan bangunan. Aspek ketahanan struktur bangunan terhadap risiko gegaran bumi dan teknologi bangunan kalis gegaran gempa bumi harus diteliti dan dijadikan satu syarat penting atau wajib dalam syarat kelulusan pelan bangunan pada masa hadapan seperti yang digunapakai misalnya di Jepun.

7. Kita jangan ambil mudah kerana tidak ada kemusnahan bangunan di negara ini akibat gempa di Indonesia. Belajarlah daripada kejadian keruntuhan stadium di Kuala Terengganu, bila dah runtuh baru nak buat pernilaian. Dah lambat dah...

No comments: