Monday, March 15, 2010

KEUNTUNGAN UNTUK PERLIS ATAU THAILAND?

1. Saya baca satu laporan di dalam akhbar hari ini tentang cadangan pembinaan terowong yang akan menghubungkan antara Perlis dan Wilayah Satun di Thailand (baca sini).

2. Apakah pembinaan terowong berkenaan perlu? Saya fikir tidak.

3. Cukuplah dengan jumlah pintu sempadan yang sedia ada sekarang di Wang Kelian dan Padang Besar di Perlis dan Bukit Kayu Hitam serta Durian Burung di Kedah manakala pintu sempadan yang ada di Kelantan.

4. Perlukah kita mempunyai begitu banyak pintu sempadan dengan negara jiran itu?

5. Alasan cadangan pembinaan terowong itu adalah bagi tujuan pembangunan kedua-dua kawasan berkenaan.

6. Kenapa tidak dibangunkan sahaja pembangunan di kawasan pintu sempadan yang sedia ada seperti Padang Besar dan Wang Kelian. Sedangkan kedua-dua kawasan inipun belum benar-benar membangun.

7. Dari sudut pengalaman sekarang, saya dapati pembangunan di kawasan pintu sempadan (border town) tidak banyak menguntungkan kita, tetapi lebih memberi keuntungan kepada negara jiran.

8. Pembangunan di bandar sempadan negara jiran itu dilihat lebih maju berbanding dengan bandar sempadan di Perlis dan Kedah. Kemajuan bandar sempadan di sebelah Thailand itu merupakan hasil tumpuan rakyat Malaysia dan pelancong asing. Manakala ramai rakyat Thailand juga sedang mengambil kesempatan menjalankan aktiviti ekonomi di bandar sempadan di sebelah Malaysia ekoran kemudahan perhubungan pintu sempadan yang dibuka. Ada kalanya mereka menguasai hampir sebahagian sektor ekonomi di sempadan negara ini.

9. Saya fikir jika fokus pembinaan terowong bagi tujuan memangkin perkembangan sektor pelancongan, maka pelancongan di Satun lah yang akan meningkat kerana Perlis hanya akan menjadi 'laluan' sahaja untuk ke wilayah itu berikutan perkembangan pelancongan semasa di Perlis belum mampu untuk bersaing.

10. Kos pembinaan terowong sepanjang empat kilometer itu dianggarkan memerlukan belanja ratusan juta ringgit. Begitu sangat besar belanja yang diperlukan bagi tujuan ini. Kenapa tidak peruntukan ratusan juta ringgit itu dibelanjakan sahaja untuk kepentingan pembangunan Perlis dan sektor pelancongannya terlebih dahulu? Perlis merupakan salah satu negeri yang masih 'kurang' dari sudut pembangunan dan kemajuan ekonomi.

11. Saya berharap agar kerajaan Malaysia tidak akan bersetuju dengan cadangan ini buat masa sekarang. Fokus yang lebih utama ialah membangunkan dahulu pembangunan keseluruhan negeri Perlis, bukannya mengutamakan kemudahan perhubungan Perlis dengan wilayah negara jiran.

12. Kita tidak mahu menambah lagi sebuah projek gajah putih atau yang hanya 'menguntungkan orang lain' di Perlis khususnya dan Malaysia amnya.

13. Apa pula perkembangan berita tentang pintu sempadan baru di Durian Burung?

1 comment:

waris alam said...

saya bersetuju dengan pendapat encik.kita terlalu mengutamakan pembangunan tanpa menilai manfaat panjang...kenapa hendak dibangunkan kawasan yang tidak perlu sedangkan kawasan sedia ada masih seperti dulu...Mungkin ada yang tidak kena di sini...mungkin pintu masuk ini boleh menjadi manfaat kepada penyeludup dan penyangak...mungkin...mungkin juga mudah untuk petualang atau musuh negara menyelinap masuk...segalanya mungkin...kalau kita lihat di pintu sempadan siapa yang menguasai ekonomi? rakyat thailand atau rakyat malaysia? yang pastinya pembeli ramai dari malaysia? soal nk mengeratkan hubungan antara dua negara bukan asas untuk membuka lebih banyak pintu sempadan...pintu sempadan sedia ada pun masih terlepas pandang ini nak wujud lagi pintu sempadan...yang pastinya rakyat semakin rugi dgn peningkatan kes penyeludupan gula, minyak...silap hari bulan tidak sempat ditutup pintu sempadan jika wujud rusuhan atau perang di thailand...Mungkin kerajaan belum belajar sesuatu...mengutamakan pembangunan negeri perlis adalah lebih baik...mungkin limpahan ekonomi negeri perlis dapat memulihkan pembangunan di kedah yang semakin sepi...