Wednesday, March 16, 2011

SYAFAAT RASULULLAH SAW





Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Sayangnya Rasulullah SAW kepada umatnya sehinggakan di saat kewafatan Baginda pun Rasulullah masih menyebut "umatku, umatku, umatku!" hinggalah pada Hari Kiamat pun Rasulullah masih berdoa kepada Allah agar Allah melindungi umat
Baginda. Oleh itu, antara suami dan Rasulullah, mana dahulu yang kita kena sayang? Kena sayang Nabi Muhammad terlebih dahulu. Antara isteri dan Rasulullah, mana yang kita sayang dahulu? Kena sayang Rasulullah dahulu. Begitu juga antara ibu kita dengan Rasulullah, kena sayang Rasulullah dahulu daripada ibu kita. Apa sahaja pun dalam dunia, manusia yang kita kena paling sayang ialah Nabi Muhammad SAW.

2. Di Hari Kiamat, mak kita tak jumpa, ayah kita tak jumpa, suami kita tak jumpa, anak dan isteri pun kita tak jumpa. Kalau jumpa pun masa kita kena hisab di Padang Mahsyar. Bila suami dakwa isteri dia, bila isteri dakwa suami dia, masa itulah baru akan jumpa. Anak-anak nak dakwa mak bapak, lalu anak-anak kita ditanya "kenapa tak sembahyang ketika di dunia?" lalu anak-anak jawab "nak sembahyang macammana, dah bapa tak ajar! bapak tak suruh sembahyang pun!". Ditanya pula kepada isteri, "kenapa kamu tidak menutup aurat?" kemudian isteri menjawab "nak tutup buat apa, suami tak suruh tutup aurat pun!".

3. Di Hari Kiamat, seperti kita lemas di laut. Cuba kita naik kapal, naik sampan, bot atau feri, bila pecah dilambung ombak, kita jatuh dalam laut. Apa yang kita buat? Ada papan kita pegang, ada tong kita berpaut, ada manusia kita akan panjat atas manusia tu supaya kita tak lemas dan selamat, kalau ada sehelai rambut pun kita akan pegang kalau rambut tu mampu menyelamatkan kita. Itulah bandingan kalau lemas di lautan. Lemas di Padang Mahsyar ni, semua orang dia nak kait, dia tak nak masuk Neraka tu dia akan kait semua orang. Bila ditanya "kenapa kamu tak sembahyang?" dia jawab "bapa saya tak ajar saya, bagaimana saya nak sembahyang!". Dia kait bapa dia padahal di dunia bapa dia dah pun suruh dia sembahyang. bila ditanya "kenapa tak tutup aurat?" dia jawab "suami saya tak suruh tutup aurat!" sedangkan masa kat dunia bila suami suruh tutup aurat dia kata "muda lagi!". Tapi di Hari Kiamat dia dakwa suami dia, sehinggalah di Padang Mahsyar bukan sahaja suami kena dakwa, isteri kena dakwa, mak bapak kena dakwa tetapi termasuk yang kena dakwa ialah Nabi-nabi pun kena dakwa.

4. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW menceritakan Nabi Nuh A.S kena dakwa, bila Allah soal umat Nabi Nuh, "kenapa tak beriman kepada Allah? Bukankah telah dihantar kepada kamu Nuh?" lalu mereka menjawab "Nabi Nuh tidak pun menyuruh kami beriman kepada Allah!" lalu Allah memanggil Nabi Nuh lalu Allah berfirman "Wahai Nuh! Umat kamu mendakwa bahawa kamu tidak menyuruh mereka beriman kepada Allah" dan nabi Nuh menjawab "Sudah saya dakwah kepada mereka supaya beriman kepada Allah, tetapi merekalah yang menolak saya", kemudian Allah bertanya kepada Nabi Nuh "Mana saksi kamu?" padahal sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, tetapi Allah SWT itu Maha Adil, tetap Dia bertanya kepada Nabi Nuh "Mana saksi kamu?", lalu kata Nabi Nuh "saksi saya ialah umat Muhammad SAW". Kita sebagai umat Nabi Muhammad tak pernah tengok pun Nabi Nuh, tapi kenapa kita menjadi saksi? Maka Allah SWT bertanya kepada umat Nabi Muhammad SAW, "Benarkah kamu bersaksi bahawa Nabi Nuh telah berdakwah?", kata umat Nabi Muhammad, "ya! tetapi ditolak oleh umat Nabi Nuh", lalu Allah bertanya kepada umat Nabi Muhammad, "Apa bukti kamu?", lalu umat Nabi Muhammad menjawab, "buktinya telah disebut oleh Allah SWT dalam Al-Quran bahawa umat Nabi Nuh menolak Nabi Nuh A.S".

5. Firman Allah SWT : "Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): "Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya; dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata; Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku; Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman); (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman); Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran)". (Surah Nuh, ayat 1-6)

6. Kalau Nabi yang maksum (tiada dosa) pun kena soal sebab umatnya dakwa di Hari Kiamat, takkan kita tak disoal di Hari Kiamat? Firman Allah SWT : "Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu". (Surah Al-A'raaf, ayat 6)

7. Di Hari Kiamat,
Nabi Muhammad SAW adalah orang paling pertama yang masuk Syurga, tetapi kerana sifat sayang Baginda kepada umatnya sehinggakan Baginda menunggu umatnya di pintu Syurga dan berdoa kepada Allah supaya melindungi umatnya, sehinggakan apabila ada umat Nabi Muhammad yang sama berat timbangan pahala dan dosanya di Neraca Allah, lalu Nabi Muhammad mengambil serbannya dan diletakkan serban Baginda di atas timbangan sebelah kanan iaitu bahagian timbangan pahala orang itu lalu Neraca Allah condong sebelah kanan (pahala) dan Malaikat berkata kepada orang itu "masuklah kamu ke dalam Syurga", kemudian Malaikat mengadu kepada Allah, lalu Allah SWT menjawab "Itulah umat Nabi Muhammad, biarlah dia (Muhammad) nak bagi syafaat kepada umatnya". MasyaAllah, betapa sayangnya Nabi Muhammad SAW kepada kita, maka sebab itulah bila bertembung antara Nabi dan suami maka wajiblah sayang kepada Nabi Muhammad melebihi semua manusia-manusia yang lain. Suami kat dunia ini boleh tinggalkan kita, suami tak tunggu bila isteri lambat, isteri pun kat dunia boleh tinggalkan suami, tapi Nabi Muhammad SAW tunggu kita di Hari Kiamat.

8. Syafaat itu adalah pertolongan dari Allah. Nabi Muhammad SAW mempunyai lima jenis syafaat yang diizinkan oleh Allah SWT iaitu :
i. Melepaskan manusia daripada kesusahan di Padang Mahsyar iaitu dengan memberi manusia minum
air daripada Telaga Kausar (Telaga Nabi) di Padang Mahsyar. Keadaan panas dan dahaga di Padang Mahsyar sangat dahsyat, sesiapa yang dapat syafaat daripada Nabi Muhammad SAW untuk minum air daripada Telaga Kausar tidak akan dahaga sampai bila-bila. Lalu para Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, bagaimana kami boleh dapat minum air dari Telaga Nabi?" lalu Rasulullah SAW menjawab "bila kamu di dunia, kamu bagi minum dan bagi makan pada orang". Jadi, biasakan bagi minum, biasakan bagi makan kepada orang, maka peluang nak dapat minum air dari Telaga Kausar adalah cerah untuk kita.
ii. Memasukkan sesuatu kaum ke dalam Syurga tanpa hisab. Siapakah orang yang dimasukkan ke dalam Syurga tanpa hisab? Orang yang masuk ke Syurga tanpa hisab ialah manusia-manusia yang bertaqwa kepada Allah dan tidak syirik kepada Allah.
iii. Menghilangkan hisab dan azab manusia. Orang ini patut kena azab, patut kena hisab, tetapi Nabi Muhammad mintak tolong kepada Allah, "Ya Allah, tolonglah jangan hisab orang ini".
iv. Mengeluarkan orang yang dimasukkan ke dalam Neraka daripada segala orang yang derhaka dan berdosa lalu dimasukkan ke dalam Syurga. Dari satu hadis Rasulullah, ketika Rasulullah SAW duduk di dalam Syurga, datang Malaikat Jibril, kata Jibril kepada Nabi, "Wahai Muhammad, kamu seronok duduk di dalam Syurga, kamu tak dengarkah apa-apa wahai Muhammad?" kemudian Nabi Muhammad bertanya "dengar apa?" maka Rasulullah pun diam, lalu Baginda mendengar orang menjerit, kata Rasulullah kepada Jibril, "suara siapakah itu Jibril?" lalu Jibril pun menjawab "Itulah suara umat kamu yang sedang disiksa di dalam Neraka". Lalu Rasulullah pun bersujud kepada Allah dan bermohon "Ya Allah, masukkanlah orang-orang yang aku dengar suara mereka menjerit itu ke dalam Syurga, Ya Allah". (Syafaat ini dipersetujui oleh para Jumhur Ulama)
v. Meninggikan darjat manusia di dalam Syurga iaitu menaikkan darjat seseorang manusia yang masuk ke dalam Syurga ke tingkatan Syurga yang lebih tinggi. Syurga juga memiliki tingkatan. Kalau rumah pun ada tingkatan seperti rumah low cost, rumah medium cost dan rumah mewah, begitu juga tingkatan Syurga.


9. Kata Anas bin Malik, "Rasulullah SAW tak pernah marah kalau aku buat salah dalam urusan dunia, Nabi tak marah kalau setakat aku lambat angkat barang, tapi kalau aku buat salah dalam urusan berkaitan agama dan akhirat, barulah Nabi sangat tegas".

10. Amalan-amalan supaya Allah SWT mengampun dan menghapuskan dosa-dosa kita ialah :
i. Beristighfar selepas solat dan melakukan Solat Sunat Taubat. Rasulullah SAW memohon ampun dan beristighfar kepada Allah SWT tidak pernah kurang 70 kali sehari walaupun Rasulullah tidak pernah ada dosa. Sebab itulah Rasulullah SAW berpesan kepada kita supaya perbanyakkan beristighfar setiap kali selepas solat. Sesiapa yang sentiasa beristighfar dan berzikir selepas solat, Allah akan ampun dosanya.
ii. Menyambungkan silatulrahim
iii. Memberi makan kepada anak-anak yatim
iv. Menjamu orang makan. Rasulullah SAW bersabda, "siapa yang beri makan kepada orang yang berbuka puasa, pahalanya sama seperti orang yang berpuasa". Walaupun kita tak berpuasa sunat, tetapi jika kita beri makan kepada orang yang berbuka puasa sunat, pahala yang kita dapat sama seperti orang yang berpuasa sunat itu.

1 comment:

The Cendol Champion said...

Assalamualaikum wbt,

Nak share juga yer...utk jadi peringatan pada diri sendiri...