Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :
Pesan Imam Al Ghazali tentang perkara-perkara yang perlu dijauhi jika ingin menjadi orang yang berjaya dalam kehidupan :
1. Jangan jadi munafiq. Bila kita munafiq, orang dah tak akan percaya kepada kita, orang takkan beri lagi kepercayaan dan orang takkan sebut lagi nama kita. Orang yang munafiq itu antaranya bila bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkir dan bila diberi amanah dia khianat. Antara sifat-sifat lain munafiq ialah bila bangun untuk solat, dia bangun dalam keadaan yang malas untuk solat, berat nak solat, susah nak solat dan bila sedang solat dia main-main, cepat-cepat nak habiskan solat. Munafiq jugak bila berada dalam sesuatu majlis ilmu, maka jiwanya tidak berada dalam majlis ilmu, fikirannya ada di macam-macam tempat, sebab tu orang munafiq jarang boleh ada dalam majlis ilmu. Munafiq jugak ialah orang yang bermuka-muka, lain di belakang, lain di hadapan, di luar lain, di dalam lain.
Orang-orang munafiq berada pada tempah yang paling bawah sekali di dalam Neraka, sama tempat dengan Firaun dan Qarun dalam Neraka dan takkan boleh keluar lagi daripada Neraka. Jadi kita kena elakkan sifat-sifat munafiq ini dan hanya diri kita sendiri yang tahu bahawa adakah ada ciri-ciri munafiq itu dalam diri kita atau tidak. Kalau kita manusia menjadi ibu dan bapa, kalau kita munafiq kepada anak-anak, kita bercakap bohong kepada anak-anak, maka tidak hairan satu hari nanti anak-anak akan bohong kepada kita. Kalau kita mungkir kepada anak-anak, satu hari anak-anak akan mungkir kepada kita.
2. Jangan jadi ujub (riyak). Ujub maknanya ialah perasan baik, rasa diri telah sempurna, merasakan diri tidak ada yang orang boleh complain, ujub juga ialah merasakan diri paling sempurna di kalangan manusia. Bila dia kaya, dia rasa dia paling kaya, bila dia dapat isteri, dia rasa isteri dia paling cantik, bila dia dapat anak, dia rasa anak dia yang paling bijak. Sheikh Ibnu Hatim berpesan, jangan mati dalam keadaan kamu buat tiga perkara di mana kalau ada perangai -perangai ini pada kita tolong berubah, jangan kita bawak sampai mati tiga perkara ini iaitu pertama ialah takkabur. Sheikh Ibnu Hatim berkata "jangan bawa sifat sombong sampai kita mati, kerana orang yang sombong kalau dia mati dalam keadaan sombong, sebelum dia mati, anak dan isteri serta saudara mara takkan pedulikan dia".
Yang kedua ialah hasad, jangan jadi tamak, jangan berperangai tamak sampai ke mati, jangan membawa kedekut sampai ke mati, Sheikh Ibnu Hatim berkata "siapa yang mati dalam keadaan perangainya tamak dan haloba, maka apa yang dia tamak dan apa yang dia halobakan takkan dia dapat rasa dan takkan dia dapat menikmatinya". Yang ketiga, jangan berperangai ujub sampai mati, Sheikh Ibnu Hatim berkata "kalau kita tak berubah sebelum kita mati, mati kita akan bergelumang dengan air kencing dan bergelumang dengan najis kita sendiri".
Sebab itu bila ada orang puji kita, potong pujian itu, supaya tak jadi ujub dan takkabur. Jangan pula kita bila dipuji orang, kita sebut lagi bagus tentang diri kita.
3. Jangan membuat sesuatu perkara yang akan menyesal di kemudian hari. Nak buat sesuatu benda kena berfikir dahulu, jangan buat satu tindakan yang boleh menyesalkan kita. Banyak ibu bapa hari ini yang membuat sesuatu tindakan yang boleh menyesalkan di kemudian hari, misalnya penceraian ibu bapa boleh mendatangkan kesan yang sangat besar kepada kehidupan dan perkembangan anak-anak. Ada orang yang mengugurkan kandungan kerana tidak mahu anak di awal perkahwinan, selepas dia mengugurkan, kemudian langsung Allah tak berikan dia anak selepas itu. Ada anak-anak yang tidak pedulikan ibu bapa mereka semasa kedua ibu bapanya masih hidup, kemudian apabila kedua-keduanya sudah meninggal dunia, barulah dia merasa menyesal atas perbuatannya melawan ibu bapa.
Ada orang yang dah ada isteri, tapi masih bermain cinta dan curang dengan perempuan lain, lalu dia ceraikan isterinya yang baik, dia ambil isteri baru yang belum tentu isteri baru itu baik macam isteri yang telah diceraikannya, tapi bila hidupnya tak tenang bersama isteri baru, barulah dia menyesal atas perbuatannya itu. Banyak isteri yang berlaku curang terhadap suaminya, bermain cinta dengan lelaki lain, dia benci kepada suaminya, dia buang suaminya, mintak cerai dari suaminya,tapi bila dapat suami yang baru, ditamparnya, dipukulnya oleh suami yang baru itu, barulah dia menyesal, sedangkan bekas suaminya dahulu jentik pun tak pernah.
Sebab itu, kalau kita nak buat sesuatu benda supaya kita tak menyesal di kemudian hari, maka lakukanlah 'istikharah' iaitu meminta daripada Allah nak buat pilihan itu supaya Allah tunjukkan pilihan yang terbaik. kita tak tahu apa benda yang akan berlaku di kemudian hari, maka mintaklah petunjuk daripada Allah SWT.
4. Jangan hasad. Hasad terbahagi kepada tiga iaitu yang pertama ialah hasad dengki. Hasad dengki ialah berkehendak supaya orang lain yang dapat nikmat, hilang nikmat itu. Hasad dengki juga apabila kita suka melihat orang lain ditimpa musibah. Orang yang hasad ini kata Rasulullah SAW, akan dibalas balik apa yang dia hasad. Hari ini dia kata kepada orang 'padan muka', satu hari nanti orang lain pula akan kata kepada dia 'padan muka'. Maka janganlah hasad kepada orang, apa yang Allah berikan kepada seseorang, itulah rezeki yang terbaik kepada dia, dan apa yang Allah berikan kepada kita, itulah rezeki yang terbaik untuk kita, masing-masing mengikut rezeki masing-masing.
Yang kedua dipanggil qittah, iaitu kita hasad kepada seseorang dan kita nak jadi macam orang itu. Misalnya, kita tengok perniagaan orang maju, kemudian kita pun nak jadi maju seperti itu. Kita tengok anak orang pandai dan kita pun suruh anak-anak kita menjadi pandai seperti anak orang itu. Kita tengok rumahtangga orang bahagia, maka kita pun cari jalan macammana nak jadikan rumahtangga kita bahagia, tanpa menjejaskan orang lain. Qittah inilah sifat hasad yang terpuji yang mana kita hasad kepada orang lain, tetapi tanpa kita menjejaskan hak orang lain, tanpa menghilangkan rezeki orang, inilah yang disuruh.
Hasad yang ketiga dipanggil qirah iaitu cemburu (jealous). Qirah ialah sifat cemburu dalam hati, tapi dia tak usik orang dan tak jejaskan orang lain, hanya sekadar perasaan cemburu di dalam hati semata-mata, dan ianya tidak berdosa. Sifat ini adalah biasa dalam diri manusia.
5. Jangan panjang angan-angan tetapi tidak mahu berusaha (tu'lul amal). Cita-cita tinggi, tetapi tidak mahu berusaha, hajatnya besar tetapi malas, hajatnya hebat tetapi usaha tidak ada, inilah yang dipanggil tu'lul amal. Ramai orang yang bersifat sebegini. Kita tak dilarang untuk bercita-cita, kerana melalui cita-citalah akan ada pencapaian. Orang yang tidak bercita-cita adalah orang yang gagal. Orang yang tiada cita-cita adalah orang yang lemah. Apabila kita mempunyai cita-cita yang bagus, yang baik, maka inilah yang disuruh dalam agama, kalau tanpa tu'lul amal yang baik manusia tidak akan berubah, bila sakit pun takkan berubat.
Bila kita ada cita-cita kita akan ada usaha dan ada ikhtiar, namun usaha dan ikhtiar itu mestilah dengan cara yang baik dan tidak boleh hingga melampau-lampau. Misalnya ada orang yang sanggup mensyirikkan Allah dalam usaha dan ikhtiar mengubati sakit dengan mempercayai kepada bomoh dan melakukan amalan-amalan khurafat yang kononnya untuk tujuan sembuh. Ramai orang yang sanggup menipu dan menjatuhkan orang lain kerana untuk mencapai cita-cita atau mencapai rezeki dan kedudukan yang lebih baik.
Ramai orang hari ini ingin cepat kaya dan mengambil jalan mudah menyertai pelbagai bentuk skim cepat kaya dan perniagaan MLM. Menurut Persatuan Pengguna Malaysia, hari ini, guru-guru adalah golongan yang paling ramai terlibat dalam skim-skim piramid yang ada dalam pasaran termasuk perniagaan berbentuk MLM. Sedangkan, skim-skim piramid dan MLM ini adalah salah satu bentuk tahap penipuan yang dahsyat dan merugikan orang Islam. Fenomena ini adalah akibat tidak pandai mengurus nafsu, kalau kita pandai menguruskan nafsu, kita tidak akan ditipu, tetapi oleh kerana kita panjang angan-angan nak jadi cepat kaya, nak jadi hidup senang, nak jadi senang tanpa banyak usaha, maka bila dah tak dapat uruskan nafsu lalu kita memilih jalan-jalan yang tanpa kita sedari kita sedang ditipu. Sehingga hari ini, masih ramai orang yang tidak tahu realiti penipuan dalam skim-skim piramid dan penipuan dalam MLM.
6. Jangan jadi orang sombong. Orang yang sombong tidak akan disukai orang. Kalau kita sombong pun kepala kita tak akan sampai ke langit dan kaki kita takkan terbenam ke dalam tanah, darah kita pun sama sahaja dengan darah orang lain, nak sombong apa? Kalau kita ada kereta yang hebat dan mahal pun, tapi kalau pancit, kena berhenti jugak di tepi jalan, sama jugak macam kereta-kereta lain. Kalau kita keturunan hebat pun, mati tetap di tanam di kubur sama macam orang-orang lain jugak. Kalau kita orang kaya, makan nasi pun datang dari beras yang sama macam orang-orang lain makan jugak, jadi apa sebabnya kita nak sombong? Sombong ini adalah sifat pada hak Tuhan, manusia tidak layak ada hak untuk sombong.
Kalau kita nak sombong sebab ada ilmu banyak pun, jika Allah takdirkan kita terjatuh dalam bilik air, terhantuk kepala ke lantai, hilang ingatan kita, jadi apa sangat kita nak sombong? Jangan sombong sangatlah bila ada banyak ilmu, mungkin kita hanya bijak dalam ilmu sains, tapi kita tak pandai dalam ilmu tauhid, tak pandai ilmu fekah. Jadi, kalau kita nak jadi orang yang hebat, janganlah jadi orang yang sombong dan orang yang berlagak. Kadang-kala ada suami yang berlagak dengan keluarga mertua, tak mahu balik kampung isteri, ada isteri yang berlagak dengan keluarga suami, ingatlah, akhirnya orang yang sombong ini saudara mara buang dia, adik beradik pun buang dia, silap-silap bila dia mati pun orang tak peduli.
7. Jangan menyesali sesuatu takdir yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Tolong jangan sebut 'kalau' misalnya jika kita sebut "kalaulah dulu.... mungkin sekarang akan...." 'kalau' macam inilah yang dilarang. Misalnya, kita menyebut "Silap ayah kahwin dengan ibu kamu, kalaulah dulu ayah kahwin dengan makcik Leha, bahagia ayah" atau "Menyesal mak kahwin dengan ayah kamu, kalau dulu mak kahwin dengan uncle John, dah bahagia mak sekarang". Jangan sesekali bercakap sebegini, kerana takdir kita dah berkahwin dengan suami atau isteri kita, benda yang dah berlaku jangan lagi disebut 'kalau'. Dah ditakdirkan Allah, tentulah ada sebabnya mengapa sesuatu itu berlaku.
Ini tidak, selalu kita sebut 'kalau' sikit-sikit kita sebut 'kalau', "kalaulah aku tak ikut jalan ni tadi, dah tentu tak terperangkap dalam jammed ni". Banyak orang macam ini, orang yang sebegini dipanggil sebagai orang yang suka meratapi nasib, orang macam ini takkan berjaya. Sepatutnya kita sebut "kalau jadi macam ni, apa aku nak buat?", sepatutnya kita sebut "oh! jammed jalan ni, tak pa, inilah pengajaran untuk aku, lain kali aku akan ikut jalan lain." Pengajaran, itulah gunanya sesuatu yang berlaku iaitu memberikan pengajaran kepada kita, bukannya menyuruh kita meratapi apa yang berlaku.
8. Jangan jadi tamak. Jangan mengamalkan budaya tamak, haloba, apa yang ada pada tangan orang nak diambil, yang di tangan sendiri pun tak habis, nak rampas yang ada pada tangan orang lain pulak. Tetapi ada tamak yang bagus iaitu tamak di dalam mencari pahala, ini yang kita kena tamak, misalnya majlis ilmu kena pi mengaji, jangan biar orang lain sahaja yang pi belajar. Malu kita bila masjid atau surau dekat-dekat tempat kita ada kuliah mengaji tapi kita tak pi, kita dok tengok orang lain saja pi mengaji.
Tamak yang dilarang ialah tamak dalam harta, tak kenyang-kenyang, sampailah tanah masuk dalam mulut barulah berhenti cari harta. Maka carilah tamak dalam mendapat pahala, selagi boleh puasa sunat, lakukanlah, selagi boleh datang mengaji, datanglah mengaji. Ada orang kata mengaji melalui cd, melalui vcd dan rakaman video di internet tak dapat pahala, ini adalah salah. Rasulullah SAW ada menyebut dalam pengajian kena jadi empat golongan iaitu pertama, jadilah orang yang mengajar, kedua, kalau tak boleh mengajar jadilah orang yang belajar, ketiga, kalau tak boleh belajar secara berdepan jadilah orang yang mendengar majlis ilmu (mendengar melalui cd, radio, tv, vcd dan rakaman video di internet) dan keempat, kalau tidak boleh mendengar majlis ilmu, jadilah orang yang suka kepada majlis ilmu dan orang sayang dengan orang yang mengaji. Kalau kita menjadi empat golongan ini, InsyaAllah kita sentiasa dinaungi barakah dan sentiasa dalam rahmat Allah SWT.
No comments:
Post a Comment