Thursday, February 24, 2011

KASIHI IBU DAN AYAH





Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

1. Nikmat Allah yang selalu kita jarang perasan ialah bila kita masih mempunyai ibu dan ayah. Ramai orang yang tidak peduli pun dia ada ayah dan dia ada ibu. Bila mereka sudah tiada barulah kita akan rasa betapa pentingnya ibu dan ayah dalam hidup.

2. Bila mendengar ceramah ini, perasaan saya sama seperti Ustaz Kazim kerana kami sudah tidak mempunyai ayah. Ayah saya meninggal dunia ketika saya masih tujuh bulan di dalam kandungan emak saya. Arwah ayah saya meninggal dunia pada tahun 1981 pada usianya 47 tahun akibat masalah paru-paru berair. Emak saya beritahu bahawa arwah mengalami sakit berkenaan akibat selalu kena pulang kerja lambat dari sekolah dan sampai ke rumah pun sudah waktu malam kerana terpaksa berulang-alik mengajar di sekolah yang sangat jauh dari rumah kami. Pada waktu itu arwah belum mampu beli kereta kerana menyara kami 8 beradik (termasuk saya yang masih dalam kandungan). Arwah hanya berulang-alik dari rumah ke sekolah dengan motor vespa. Tahun ini, usia saya InsyaAllah akan menjangkau 30 tahun, maka sudah 30 tahunlah arwah telah meninggalkan kami.

3. Walaupun dilahirkan sebagai anak yatim, namun saya bersyukur dilahirkan sebagai anak yatim kerana saya tiada dosa dengan ayah saya, saya tidak pernah derhaka dengan ayah saya. Paling saya bersyukur ialah kerana saya ada ibu yang sangat baik dan mulia yang telah membesarkan kami 8 beradik sehingga menjadi insan yang berguna. Kini emak saya pun sudah berusia 72 tahun pada tahun ini dan Alhamdulillah beliau masih sihat dan ceria. Sekarang giliran kami pula untuk menjaga dan membahagiakan ibu kami.

4, Sekarang ini berapa ramaikah anak-anak yang sanggup menjaga dan membela ibu bapa mereka yang sudah tua? Sepatutnya kita perlu berebut-rebut untuk menjaga ibu dan bapa kerana pada merekalah terletaknya betapa besarnya pahala untuk seorang anak.

5. Kalau kita tengok Al-Quran dan tengok ayat-ayat Al-Quran pun sudah beroleh pahala dari Allah SWT atau mendengar orang membaca Al-Quran pun dapat pahala, apatah lagi jumlah pahala yang akan diperolehi apabila kita membaca Al-Quran.

6. Begitu jugalah kalau kita tengok muka ibu, tengok muka ayah, pun sudah dapat pahala, apatah lagi kalau kita cium tangan ibu dan cium tangan ayah. Betapa besarnya ganjaran pahala apabila kita dapat menjaga mereka, kita hiburkan hati mereka dan bawa mereka pergi berjalan-jalan. Subhanallah, banyaknya pahala untuk kita.

7. Hari ini kalau kita check bil telefon atau kredit handphone masing-masing, berapa kalikah atau berapa sen yang kita telah belanjakan untuk call ibu kita? call ayah kita? yang banyak ialah dibelanjakan untuk call kawan-kawan, girlfriend dan boyfriend, sedangkan ibu yang melahirkan kita dan ayah yang membesarkan kita.

8. Maka manusia ini hanya bila ibu dan ayah sudah tiada, barulah kita akan merasakan betapa sunyinya dunia ini tanpa bapa, betapa sunyinya hidup tanpa ibu.

9. Hari ini yang kita seronok balik beraya di kampung sebab ibu dan ayah masih ada, fikirkanlah suatu hari nanti bila mereka sudah tiada, hanya boleh dilihat dalam gambar sahaja. Nak cium tangan mak dah tak boleh, nak cium tangan ayah dah tak boleh, nak cium pipi mak, nak tidur atas riba mak pun dah tak boleh. Pada waktu itu, baru kita nak sedar betapa pentingnya seorang ibu. Maka sangatlah rugi kalau ketika mereka masih ada kita tidak berbakti kepada mereka, kita tidak menghiburkan mereka dan kita tidak menjaga perasaan ayah dan ibu. Mungkin di atas dunia inilah kali terakhir kita bertemu ibu dan ayah kita kerana mungkin di akhirat nanti belum tentu Allah bagi peluang untuk kita berjumpa mereka semula.

10. Sebab itulah bagi mereka yang masih ada mak, masih ada ayah, tolong layan mereka elok-elok, jaga hati mereka, taatlah pada perintah mereka, ikutlah apa yang baik yang dikata oleh ayah kita, buatlah apa yang baik yang disuruh ibu kita, jangan tengking mereka dan jangan sesekali pun menderhakai mereka.

11. Bila seorang ibu mengandung, dia sedang menanggung beban yang sangat berat kepada dirinya, maka seorang suami wajib meringankan beban isteri ketika isterinya sedang mengandung dan seorang anak pula wajib meringankan beban ibu apabila kita sudah dewasa. jangan biarkan setitik pun air mata ibu mengalir kerana perangai dan kehendak kita.

12. Ibu bapa ni kalau seburuk-buruk ataupun sejahat-jahat manapun sikap anak, apabila si anak balik dan sujud pada kaki mak, mak dan ayah akan terima kembali anak itu. Mana ada mak dan ayah yang sanggup buang terus anak-anak mereka. Tetapi kalau suami isteri, sebaik-baik atau sesayang-sayang manapun pada isteri, apabila bergaduh dan bercerai talak 3 dengan suami, tengok muka pun dah tak mau dah, pada hal dulunya bercinta yang sangat-sangat.

13. Kata Rasulullah SAW bahawa tiga jenis manusia yang tidak akan masuk syurga iaitu anak-anak yang derhaka terhadap ibu bapa, orang yang mengekalkan minum arak dan sesiapa yang memutuskan silatulrahim, bahkan mereka tidak akan dapat mencium pun bau syurga.

14. Sekarang ini saya berada jauh dari ibu saya. Hanya suaranya di telefon menjadi pengubat rindu. Bila saya tengok gambar mak saya, tengok muka dia, tengok kedut pada wajah dia dan tengok kedut pada tangan dia, tangan itulah yang suatu ketika dahulu mencari rezeki untuk bagi saya makan. Walaupun saya tidak sempat berjumpa arwah ayah, tapi syukur Alhamdulillah kerana pencen arwah ayah yang banyak membantu menyara hidup kami sekeluarga.

15. Bagi yang masih ada ayah, tengok pada wajah ayah, tengok pada kedut tangan dia, tangan itulah yang bekerja tulang empat kerat nak bagi kita makan sampailah kita berjaya seperti hari ini. Jangan lupa tu. Ayah kita hari ni sudah jalan terbongkok-bongkok pi masjid, dulu badan dia tegap, badan dia tegap cari rezeki, tapi sampai bongkok pun dia masih bekerja mencari rezeki untuk anak-anak dia.

16. Ayah dan ibu sanggup bergolok-bergadai untuk sara anak-anak, bagi anak-anak makan dan belajar sampailah kita dewasa dan berjaya. Tapi hari ni berapa ramai anak-anak yang sanggup tanggung mak dan ayah mereka pergi haji? Nak beli motosikal kepada ayah pergi masjid pun tak sanggup, nak beli periuk nasi elektrik kepada mak pun dia tak nak. Anak-anak ni handphone boleh tukar sebulan sekali, tapi nak hantar duit belanja kepada mak dan ayah walau seratus dua ratus dalam sebulan pun tak sanggup.

17. Kalau sewaktu mak dan ayah kita masih ada kita tak pedulikan mereka, tunggulah nanti bila mereka dah tak ada, waktu itu menangis air mata darah pun sudah tak berguna, goncang batu nisan pun dah tak boleh buat apa-apa dah. Silap-silap baca doa tahlil pun Allah tak izinkan pahala tu sampai kepada mak dan ayah kita di dalam kubur kerana kita dah jadi anak derhaka.

18. Mudah-mudahan selagi ibu dan ayah kita masih ada, kita dapat sayangi mereka, dapat menjaga dan berbakti kepada mereka. Ingat! bila mereka dah tak ada, hidup ni jadi sunyi, tengok tilam tempat mak baring, tengok bantal tidur mak, tengok baju melayu ayah, menitik air mata kita. Sekarang memang tak menitik lagi air mata kita, sebab hati kita keras, tunggu bila mereka dah tak ada nanti. Masa tu nak mintak ampun pun dah tak boleh dah, mak kita dah tak boleh jawab kepada kita lagi. Kalau masa itu kita derhaka dan tak sempat minta ampun, maka bawalah dosa kita itu mengadap Allah SWT nanti.

19. Ingatlah!. hari ini jika mak kita makan nasi dengan ikan masin, tapi kita makan nasi dengan lauk ayam dan daging, kita tak pernah kisah apa yang ibu dan ayah kita makan di kampung sana, tunggulah...Allah akan soal kita di Hari Kiamat. Setitik air mata mak yang turun kerana jahat mulut dan jahat perangai kita pun Allah akan soal di Hari Kiamat.

20. Sabda Rasulullah SAW : "Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya" (Hadis Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim). Tidak akan putus rezeki bagi anak yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya sepertimana sabda Rasulullah SAW : "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya" (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami).

21. Justeru, hari ini, sesiapa yang masih ada mak, masih ada ayah, inilah peluang untuk kita minta ampun, untuk kita minta maaf...syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

1 comment:

Anonymous said...

Assalammualaikum Syahril, setelah saya terbaca blog saudara, terasa diri terpanggil utk berkongsi rasa dengan sesiapa saja yg sudi membaca. Saya yg ketika ini menjaga ibu mertua yg berusia 82 tahun..Suami merupakan anak sulong dari 5 adek beradek. Yang paling menyedihkan saya dan suami di pertanggong jawabkan menjaga ibu mertua sepenuhnya atas alasan rumah yg di duduki adalah rumah ibu. Saya sebagai isteri hanya mampu berdiam dengan istilah di mana suami di situ lah sang isteri. Pahit getir menjaga ibu mertua yang separa nyanyok amat sakit, Kalau di hitung hari, minggu,bulan dan kini hampir 5 tahun menjaganya terlalu byk yg ingin saya kongsikan. Tanpa sokongan moral dari adek2 ipar menjadikan saya dari seorang manusia yg sihat/cergas dan kini sakit akibat stress yg tidak tertahan. Memang pahala yg kita mahukan kerana itu juga jalan ke syurga. Ya Allah kau kuatkan iman ku, kau berikan aku kekuatan yg luar biasa agar dapat ku berbakti pada ibu mertua. Ya Allah kau bukakan jua pintu2 hati adek2 ipar ku agar mereka melihat dan merasa apa itu kebenaran dan kebesaran kuasa illahi untuk jalan ke syurga...amin..