Tuesday, February 22, 2011

MUSIBAH ZINA DAN MAKSIAT DALAM MASYARAKAT



1. Jenayah buang bayi berlaku hasil perzinaan yang berlaku dalam masyarakat. Bila berlaku perzinaan maka berlakulah buang bayi. Orang yang berkahwin mereka tidak akan membuang bayinya begitu sahaja kecuali orang gila, kalau mereka tidak mampu pun akibat kefakiran dan kemiskinan, mereka akan menyerah bayi mereka kepada orang lain yang sanggup memelihara bayi itu atau kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tetapi orang yang biadap dan tidak ada akhlak ini iaitu mereka yang telah melakukan zina, sanggup melakukan jenayah buang bayi.

2. Dalam perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara mencatatkan bilangan angka yang begitu dahsyat untuk disebut. Daripada tahun 2000 hingga 2008 sahaja, sebanyak 257,000 bilangan anak-anak yang didaftarkan tanpa nama bapa(anak luar nikah). Pada tahun 2004-2006, mula didaftarkan nama anak dengan tidak ada nama bapa, maka kanak-kanak ini tiada ber'bin'kan atau ber'binti'kan sesiapa. Maka inilah nanti keaiban yang besar ke atas umat Islam suatu hari nanti apabila kanak-kanak ini semakin membesar dan dewasa, mereka didedahkan dalam masyarakat tetapi tidak mempunyai nama bapa. Islam menyarankan bagi bayi yang dilahirkan tanpa bapa haruslah di'bin' kan atau di'binti'kan kepada nama ibu ataupun ber'bin'kan Abdullah.

3. Puratanya anak-anak zina yang dilahirkan di negara ini ialah sebanyak 2500 orang sebulan, bersamaan 83 orang sehari atau dalam masa 17 minit 17 saat akan lahirnya seorang bayi yang tidak ada bapa yang rasmi. Daripada perangkaan yang besar itu, sebanyak 35 peratus daripada 257,000 anak luar nikah itu, iaitu 74,723 adalah anak-anak Melayu yang didaftarkan sebagai anak-anak orang Islam.














4. Dalam kajian yang dibuat oleh badan kebajikan yang mengurus hal-hal anak perempuan yang hamil luar nikah mengatakan, biasanya pada hari-hari bersejarah seperti Valentine Day dan sebagainya, dua bulan selepas itu akan ramai gadis-gadis yang datang ke rumah badan-badan kebajikan ini mengadu mereka telah mengandung anak luar nikah.


5. Punca utama berlakunya buang bayi ini ialah perzinaan. Perzinaan berpunca daripada anak-anak yang telah dibiarkan bebas oleh ibu bapa masing-masing. Memanglah banyak lagi faktor-faktor lain kenapa perzinaan berlaku, tetapi punca utamanya atau faktor terbesarnya ialah didikan agama yang tidak diberi kepada anak-anak dan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka, mereka hanya pandai buat anak, tetapi mereka tidak reti untuk mendidik anak-anak mereka bagaimana untuk menjaga maruah dan menjaga diri.

6. Sabda Rasulullah SAW : “Umatku senantiasa dalam keadaan baik, selama tidak tersebar di tengah-tengah mereka anak hasil perzinaan. Namun jika hal itu terjadi, dikhawatirkan Allah Subhanahu wa Ta'ala akan menimpakan azab-Nya secara merata."

7. Bila berlakunya ramai anak zina kata Nabi SAW, Allah akan menurunkan bala bencana ke atas negara dan ke atas umat Islam yang berlaku sedemikian itu. Kerana itulah kita lihat, hari ini berbagai-bagai perkara berlaku seperti kenaikan harga barang yang berterusan, bekalan air tidak mencukupi walaupun hujan mencurah-curah turun, hujan sudah tidak lagi menjadi rahmat kepada kita, hasil mahsul negara yang banyak tetapi masih ramai yang miskin akibat perbuatan-perbuatan orang yang berkuasa ke atas hasil milik negara. Ini berpunca daripada maksiat yang dilakukan dalam masyarakat. Kata Nabi SAW, apabila berlakunya maksiat yang berleluasa dalam masyarakat, Allah SWT akan melantik orang-orang yang memimpin pada umat itu iaitu dari kalangan orang yang tidak baik dari kalangan mereka.

8. Sabda Rasulullah SAW : "Apabila datang kepada kamu seorang yang kamu puas hati dari sudut agama dan akhlaknya, maka kamu kahwinkan anak kamu dengannya segera. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya timbul fitnah di muka bumi ini dan kerosakan yang akan ditempuhnya nanti."(Hadis Riwayat Abu Hurairah)

9. Satu kajian yang dibuat oleh pensyarah UKM kepada 600 orang responden yang berumur 15-20 tahun mendapati mereka mengatakan punca utama berlakunya perzinaan ialah berpunca daripada melihat bahan-bahan lucah yang ada hari ini. Pada masa kini sumber bahan-bahan lucah cukup besar, sama ada melalui cerita-cerita di dalam tv, dvd, internet dan media cetak seperti surat khabar dan majalah.

10. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti".

No comments: