Sunday, February 13, 2011

PENYEBAB MENJADI KUFUR

















Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

Terdapat golongan manusia yang menjadi kufur di atas LIMA sebab :

1. Mereka mengingkari ilmu Allah SWT dengan juz'iyyat iaitu mereka percaya Allah, tetapi mereka percaya ilmu Allah ada bahagian-bahagian, ada bahagian yang mereka percaya dan ada bahagian yang mereka tidak percaya. Mana bahagian yang mereka nampak sesuai mereka ikut dan mana yang mereka nampak tidak sesuai mereka tolak, maka hukumnya kufur. Misalnya mereka setuju ayam perlu disembelih untuk dimakan, tetapi tidak setuju hukuman orang mencuri perlu dipotong tangan.

2. Mereka mengingkari perhimpunan jasad selepas kematian, iaitu tidak mempercayai bahawa jasad-jasad manusia akan dihidupkan semula pada Hari Kiamat untuk dihisab setiap amalannya semasa di dunia. Firman Allah SWT :
"Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya. (Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): " Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!, Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan). Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan." (Surah Yaa Siin, ayat 51-54)

3. Mereka mengingkari bahawa segala kejadian dan peredaran bintang-bintang di langit adalah tanda Kekuasaan Allah SWT. Manusia hari ini lebih sibuk mengkaji 'bintang-bintang' di bumi misalnya bintang akademi fantasia, bintang RTM dan artis-artis yang digelar bintang. Manusia semakin lupa akan kebesaran dan kehebatan bintang-bintang di langit yang mana jika manusia sentiasa mengkaji dan memikirkan kejadian bintang-bintang di langit maka mereka akan menjadi semakin alim dan mengagungkan Kebesaran Allah SWT. Firman Allah SWT :
"Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; Dan bulan apabila ia mengiringinya; Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap-gelita), Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh - yang melambangkan kekuasaanNya); Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya); Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)." (Surah Asy-Syams, ayat 1-10)

4. Mereka mengingkari hikmah kedatangan Rasul-rasul yang menjadi utusan Allah. Firman Allah SWT :
"Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: 'Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu'. Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta". Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu, "Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata". Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya". Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau". (Surah Yaa Siin, ayat 14-19)

5. Mereka mengingkari sifat-sifat Allah dengan berkata "sesungguhnya Allah menjadikan alam ini dengan sebab atau tabiat". Sedangkan yang sebenar-benarnya Allah SWT menjadikan alam ini adalah harus sahaja bagi Allah bukanlah wajib bagi Allah untuk menjadikan alam ini. Misalnya seperti juga kejadian manusia iaitu harus sahaja Allah untuk ciptakan kita dilahirkan di muka bumi ini, sebab itulah jika Allah memberikan kita jodoh, tidaklah pula wajib bagi Allah untuk memberikan kepada setiap mereka yang berkahwin itu mempunyai anak. Rezeki kita juga, bukanlah wajib bagi Allah untuk berikan kita rezeki, tetapi hanya dengan rahmat, kasih sayang dan ehsan dari Allah sahaja maka Dia berikan nikmat dan rezeki untuk kita.

No comments: