Thursday, July 29, 2010

95,000 RUMAH KOS RENDAH

1. Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terdapat lebih 95,000 keluarga yang bependapatan sederhana dan rendah di seluruh negara memerlukan rumah dan tempat tinggal (baca sini).

2. Ini bermakna kerajaan adalah pihak yang mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk menyediakan rumah kos rendah ini memandangkan pihak swasta pastinya tidak akan melihat projek pembinaan perumahan kos rendah sebagai motif utama penjanaan keuntungan syarikat mereka.

3. Setakat ini pihak pemaju swasta hanya diwajibkan membina 30% rumah kos rendah daripada setiap pembangunan projek perumahan yang dibangunkan oleh mereka di sesuatu kawasan.

4. Pada masa kini, tanggungjawab menyediakan rumah kos rendah kini banyak bergantung kepada peruntukan di bawah KPKT, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan syarikat milik kerajaan iaitu pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

5. Harga jualan seunit rumah kos rendah pada masa kini ialah di antara RM25,000 - RM42,000 bergantung kepada lokasi kawasan perumahan dan jenis rumah kos rendah tersebut (rujuk sini).

6. Berdasarkan harga jualan, dapat saya anggarkan bahawa anggaran kos pembinaan sebuah rumah kos rendah ialah antara RM20,000 hingga RM30,000 (jika margin keuntungan ialah pada kadar 30%) atau secara purata boleh dianggarkan kos pembinaan sebuah rumah kos rendah ialah RM25,000.

7. Andaikan kos purata pembinaan sebuah rumah kos rendah ialah RM25,000 dan terdapat 95,000 buah rumah kos rendah perlu disediakan, maka keseluruhan perbelanjaan yang diperlukan ialah hampir RM2.4 billion perlu disediakan oleh kerajaan sekiranya keseluruhan projek ini diletakkan di bawah tanggungjawab KPKT, KKLW dan SPNB.

8. Baru-baru ini kos pembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur telah meningkat daripada RM400 juta kepada RM800 juta (baca sini). Saya tidak tahu apakah keperluan yang mendesak sehinggakan perlunya Istana Negara yang baru perlu dibina. Mungkin Istana Negara yang sedia ada sudah lama dan tidak selamat diduduki lagi. Mungkin...

9. Dengan RM800 juta berkenaan, sebanyak 32,000 unit rumah kos rendah boleh dibina iaitu 1/3 daripada jumlah 95,000 unit rumah kos rendah yang diperlukan oleh rakyat yang berpendapatan rendah.

10. Pada tahun 2006, apabila tindakan kerajaan telah membatalkan projek pembinaan Jambatan Bengkok yang akan menggantikan Tambak Johor, maka kerajaan telah terpaksa membayar ganti rugi atau pampasan kepada syarikat kontraktor yang dilantik iaitu Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) sebanyak RM254.7 juta (baca sini).

11. Dengan wang sebanyak RM254.7 juta tersebut sebanyak 10,188 unit rumah kos rendah boleh dibina kepada rakyat yang berpendapatan rendah. Tetapi baru-baru ini, kerajaan dijangka berkemungkinan akan mengkaji semula keperluan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor. Saya yakin kos projek yang baru itu mungkin akan meningkat berkali-kali ganda berbanding kos asal sepertimana yang terjadi ke atas projek pembinaan landasan berkembar antara Padang Besar-Johor Bahru.

12. Isu semasa juga menunjukkan kerajaan sedang mengkaji keperluan pembinaan Bangunan Parlimen yang baru di Putrajaya. Saya tidak tahu apakah keperluan yang terlalu mendesak sehinggakan Bangunan Parlimen perlu dibina di Putrajaya dan kenapakah isu penyelenggaraan Bangunan Parlimen sedia ada masih tidak selesai sedangkan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan tersebut kerap kali dilakukan.

13. Boleh saya anggarkan jika benar kerajaan mahu membina Bangunan Parlimen yang baru dibina di Putrajaya, mungkin kos pembinaannya dianggarkan sekitar RM200 juta (setelah merujuk kos pembinaan 'Masjid Besi' juga menelan belanja RM200 juta). Sebagai rakyat biasa, saya berpendapat bahawa tidak perlu Bangunan Parlimen yang baru dibina di Putrajaya, tetapi sebaliknya Parlimen boleh dibawa ke Putrajaya dengan menggunakan Putrajaya International Convention Centre (PICC) sebagai tempat persidangan Parlimen. Pada masa kini saya yakin bahawa kemudahan dan kecanggihan PICC belum dimanfaatkan sepenuhnya dan berpotensi tersenarai dalam projek yang dilabel sebagai 'projek gajah putih'.

14. Tetapi jika kerajaan masih mahu membina Bangunan Parlimen yang baru di Putrajaya, maka sekali lagi kos yang tinggi perlu dibelanjakan. Jika kos projek itu dalam anggaran RM200 juta maka dengan jumlah yang sama kerajaan boleh membina sebanyak 8,000 unit rumah kos rendah untuk rakyat berpendapatan rendah. Mungkin para Yang Berhormat (YB) dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat boleh duduk selesa dan sejuk di dalam dewan dan bangunan baru tapi hampir 8,000 keluarga di luar sana masih belum mempunyai tempat tinggal yang bersesuaian untuk mereka.

15. Laporan Ketua Audit Negara 2009 telah mendedahkan bahawa Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh telah mengalami peningkatan kos pembinaan sebanyak RM1.43 bilion iaitu kepada RM5.77 bilion daripada kos asal yang berjumlah RM4.34 bilion. Menurut Ketua Audit Negara, kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM1.14 bilion akibat peningkatan kos berkenaan (baca sini). Mungkin jika dilihat pada jumlah kerugian sebanyak RM1.14 bilion tersebut, ianya boleh membina 45,600 unit rumah kos rendah!

16. Jadi, berdasarkan jumlah perbelanjaan kerajaan ke atas beberapa projek yang mungkin kurang perlu atau bayaran terhadap kerugian yang terpaksa ditanggung, maka kos yang telah dibelanjakan itu jika dinilai keutamaan terhadap golongan berpendapatan rendah, maka sebanyak 95,788 buah rumah kos rendah mampu dibina untuk rakyat miskin dan kurang berkemampuan.

17. Berdasarkan perbelanjaan kerajaan terhadap hanya 4 projek yang telah, sedang atau akan dilaksanakan seperti yang dibincangkan, perbelanjaan tersebut telah menyamai kos pembinaan 95,788 unit rumah kos rendah sekaligus memenuhi keperluan 95,000 unit rumah kos rendah seperti yang dibentangkan dalam kajian oleh KPKT. Jika 95,788 unit rumah kos rendah ini ialah satu realiti, sebenarnya kerajaan berjaya menyediakan tempat tinggal kepada 95,788 keluarga atau bersamaan 478,940 rakyat Malaysia (jika purata 5 isirumah dalam setiap keluarga). Tetapi...

18. ...benarkah rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan...?

No comments: