Thursday, July 22, 2010

MELAYU DAN MASA DEPAN

1. Saya cuba untuk elakkan daripada mengulas tentang soal politik, kerana saya tidak layak untuk mengulas perkara ini, walaupun hati saya sangat dekat dengan politik. Tetapi, apabila mengenangkan nasib bangsa sendiri dan masa depan generasi seterusnya, hati saya sedih dan sakit. Bagaimanakah sebuah agama, bangsa dan negara yang bakal kita wariskan kepada anak dan cucu kita nanti, akibat hasil tangan-tangan kita yang sedang merosakkan masa depan mereka?

2. Sedih dan sakit bila melihat Melayu telah berpecah dan bersengketa sesama sendiri. Ya, memang pun Melayu telah lama berpecah, perkara ini bukan isu yang baru. Tetapi samapai bila? Ke mana Melayu selepas ini? Adakah kita akan terus kekal sebagai bangsa yang semakin lemah dan akhirnya tamadun Melayu akan hilang nilainya? Adakah kita rela dan suka melihat apa yang sedang berlaku kepada Melayu sekarang dan merelakan ianya terus berlaku?

3. Ini bukanlah soal kuasa Melayu, kalau difikirkan soal kuasa, setakat mana kuasa yang kita mahu? Adalah mustahil kuasa Melayu akan muncul untuk memerintah dunia, sedangkan bangsa lain pun tidak akan mampu memerintah seluruh dunia. Allah menciptakan kita dengan batasan-batasan kuasa yang tertentu supaya kita tidak menjadi bangsa yang zalim di atas muka bumi ini. Cukuplah jika Melayu mempunyai kuasa untuk memelihara agama Islam, menjaga perpaduan manusia, memelihara tamadun bangsa dan memaju serta memakmurkan bumi Malaysia secara adil dan saksama.

4. Sebagai sebuah bangsa Melayu di Malaysia, kita seharusnya paling bersyukur dan paling bertuah kerana dianugerahkan oleh Allah SWT dengan sebesar-besar anugerah iaitu Islam. Jadi Melayu itu Islam, Islam itu adalah orang Melayu di Malaysia. Sepatutnya apabila Islam itu adalah Melayu dan Melayu itu orang Islam, maka kita seharusnya boleh menjadi sebuah bangsa yang paling bertamadun dan contoh bangsa yang terbaik kepada bangsa-bangsa lain kerana kemuliaan dan keagungan Islam itu ada pada orang Melayu. Namun, akibat perpecahan, kita telah menjadi sebuah bangsa yang lemah, saling bersengketa sesama sendiri, Islam dan Melayu tidak dihormati.

5. Sedihnya di Malaysia pada masa kini, Melayu telah berpecah kepada empat golongan iaitu UMNO, PAS, PKR dan golongan mereka yang berkecuali dari mana-mana kumpulan politik ini. Politik telah menciptakan perpecahan Islam dan Melayu. Akibat perpecahan ini, kita tidak bersatu hati, lebih malang lagi kita bertelagah dan bersengketaan sesama sendiri. Semakin kurangnya nilai-nilai Islam dalam diri kita yang menyeru kepada ummah yang bersatu padu. kita lebih dilihat suka menjatuhkan antara satu sama lain. Politik menjadikan kita ego untuk bersaing dalam mendapatkan kuasa dan kedudukan. Politik juga bukan sahaja memecah-belahkan Melayu kepada UMNO, PAS dan PKR, tetapi memecah-belahkan Melayu di dalam UMNO, Melayu di dalam PAS, dan Melayu di dalam PKR untuk merebut kuasa di dalam parti masing-masing. Akhirnya menjadikan matlamat dan perjuangan kita lebih kepada untuk mendapatkan dan mengekalkan kuasa berbanding memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

6. Di sini harus kita akui bahawa politik Melayu semakin kotor dan tercemar, misalnya di dalam UMNO pemilihan pemimpin-pemimpin dari peringkat bawah hingga ke peringkat tertinggi sangat tercemar dengan gejala rasuah dan nepotisme, hinggakan ramai yang berebut untuk mendapatkan kerusi sebagai pemimpin dari peringkat cawangan hingga ke peringkat majlis tertinggi kerana menganggap kedudukan tersebut sebagai lesen untuk menjana kekayaan dan mencipta nama. Tidak apa rasuah dan nepotisme, asalkan jawatan tersebut dapat diperolehi, maka matlamat pemimpin Melayu di sini bukanlah untuk perjuangan agama, bangsa dan negara tetapi lebih kepada kepentingan diri sendiri dan kroni. maka wujudlah pemimpin-pemimpin yang kurang berkualiti.

7. Kepada pemimpin-pemimpin sebegini, ingatlah, kita bukan hidup untuk selama-lamanya, begitu juga kita bukan akan berkuasa untuk selamanya, janganlah apabila kita sudah kehilangan kuasa dan kedudukan nanti, baru timbul rasa menyesal dalam diri kita terhadap keburukan dan kerosakan yang telah kita lakukan, kemudian apabila kita telah kehilangan kududukan dan kuasa, lalu melihat orang Islam dan Melayu masih jauh ketinggalan, kemudian merasa teramat menyesal dan baru berfikir mengapalah ketika sedang berkuasa kita tidak memimpin dengan jujur dan amanah, tidak mengambil peluang melaksanakan suruhan agama Islam dan tidak memperjuangkan mengubah nasib bangsa Melayu. Pada waktu itu, menyesal sudah tidak ada gunanya lagi, hanya tunggu dan lihatlah sahaja kerosakan yang terus berlaku kepada Islam dan Melayu akibat kerakusan tangan-tangan pemimpin kita.

8. Gejala yang berlaku dalam UMNO juga boleh dan telah berlaku juga di dalam PAS dan PKR kerana selagi bernama manusia, harta, pangkat dan kedudukan tidak akan lepas daripada hawa nafsu manusia. Melayu di dalam PAS dan PKR juga tidak lepas daripada keinginan untuk mendapat kedudukan dan pangkat. Manusia tidak sabar apabila diuji dengan pangkat dan kuasa, akhirnya mereka lupa kepada tanggungjawab sebagai pemimpin. Walaupun memperjuangkan Islam dan keadilan, namun, PAS dan PKR juga turut menyumbang kepada perpecahan Islam dan Melayu. Akibat matlamat keinginan yang tinggi untuk berkuasa dan menjatuhkan UMNO, maka tindakan-tindakan yang dilakukan boleh membelakangi kehendak Islam dan merugikan Melayu.

9. Islam akan terus lemah dan orang Melayu akan terus rugi di Malaysia selagi mereka bersengketa akibat perjuangan politik yang berbeza matlamat melalui UMNO, PAS dan PKR. Kita perlu bersatu untuk memenuhi tuntutan agama Islam dan memperbaiki nasib Melayu. Saya tidak fikir konsep bersatu itu perlu diterjemah dalam cara UMNO, PAS dan PKR perlu bergabung menjadi satu parti politik, mungkin perkara ini sukar akibat berbeza dasar dan matlamat perjuangan.

10. UMNO dan PAS perlu terus wujud sebagai dua parti politik Islam dan Melayu yang boleh bekerjasama secara konsisten dalam melaksanakan syariat Islam dan memberi keadilan terhadap pembangunan Melayu serta bangsa lain di negara ini. Daripada itu, persengketaan sesama Islam dan Melayu dapat dijauhi dan agihan kuasa dapat dibuat secara adil dan toleransi antara kedua-dua parti. Mungkin ramai dari kita yang sedar atau tidak, MCA, GERAKAN dan DAP sebenarnya bekerjasama untuk menjaga bangsa mereka walaupun parti-parti ini berada dalam kumpulan yang berlainan.

11. Antara Melayu dan Islam, Islam itu lebih penting. Justeru, agenda utama dalam UMNO dan PAS harus meletakkan Islam sebagai matlamat utama dalam pentadbiran dan pengagihan pembangunan negara. UMNO perlu memberhentikan retorik tentang perjuangan kepentingan Melayu dan Bumiputra kerana keadilan dalam Islam itu pasti akan memihak kepada Melayu dan juga adil kepada agama serta bangsa-bangsa lain.

12. Untuk terus relevan, UMNO haruslah akui dan sanggup mengubah keadaan dalaman mereka terhadap sistem memilih pemimpin agar bebas dari semua bentuk rasuah dan nepotisme. Hanya melalui perubahan ini, UMNO akan kembali pulih dan mempunyai pemimpin-pemimpin yang jujur dan amanah dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara. PAS pula haruslah bersedia membuang perasaan dendam mereka untuk menjatuhkan UMNO, sebaliknya PAS juga harus bersedia menjadi sebuah parti besar bersama UMNO untuk memperjuangkan agama Islam, memartabatkan maruah Melayu dan melaksanakan kedilan untuk semua agama dan bangsa di negara ini. Harus diakui bahawa orang Melayu tidak boleh kehilangan UMNO dan PAS. Cuma kita tidak mahu satu bertindak sebagai pemerintah, satu lagi bertindak sebagai pembangkang, lalu persengketaan terus berlaku. Apa yang kita mahu ialah kedua-duanya bekerjasama sebagai satu haluan dan matlamat yang sama demi Islam, Melayu dan Malaysia.

13. Ingatlah bahawa di Malaysia, Islam itu adalah orang Melayu dan orang Melayu itu adalah Islam, jika Islam dinobatkan sebagai matlamat yang tertinggi, InsyaAllah keadilan akan terlaksana, Melayu akan maju dan agama serta bangsa lain akan menikmati keadilan dan kesenangan di bumi Malaysia.

14. Saya memohon maaf sekiranya ulasan saya ini mungkin tidak menyenangkan sesetengah pihak, saya bukanlah orang yang layak mengulas perkara ini, namun sekadar menyatakan kerisauan terhadap nasib orang Islam dan Melayu, anak dan cucu saya di masa hadapan. Jika kerosakan yang sedang berlaku sekarang tidak ditegur atau diperbetulkan, maka kita berisiko mewariskan sebuah tamadun dan negara yang rosak kepada mereka, akhirnya generasi depan pasti akan menyalahkan kita kerana kita tidak menggunakan nikmat masa, kuasa dan kepintaran yang dianugerahkan kepada kita untuk memperbaiki nasib diri dan bangsa sendiri. Bukankah Allah SWT telah berjanji akan menolong sesuatu kaum yang ingin mengubah nasib mereka sendiri? Sebagaimana firman Allah SWT : "...Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..." (Surah Ar-Ra'd, ayat 11).

14. Saya juga ini menekankan bahawa saya tidak menyatakan bahawa semua pemimpin yang ada sama ada dalam UMNO atau PAS atau PKR adalah tidak jujur dan amanah, ramai daripada mereka sangat jujur dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Namun, sistem yang ada sekarang hampir rosak dan perlu diperbaiki.

15. Beberapa sahabat dan kawan pernah menyatakan kepada saya "Hang perlu masuk politik suatu hari nanti". Menjadi pemimpin adalah amanah dan tanggungjawab yang sangat besar, bukan semua orang layak menjadi pemimpin, mungkin saya juga tidak layak. Menjadi pemimpin bukan sekadar kerana kita dipilih menjadi pemimpin, kalau kerana sekadar kita dipilih, mungkin ramai yang boleh dipilih dan ada juga yang sanggup membeli 'undi' agar mereka dipilih. Akhirnya, pemimpin yang dipilih itu, bukanlah seorang yang 'layak memimpin' tetapi hanyalah 'orang yang mahu jadi pemimpin'. Seorang 'pemimpin' ialah apabila dia benar-benar tahu apa itu amanah dan tanggungjawab bukan sekadar tahu apa itu pangkat dan kuasa.

16. Mungkin saya boleh menjawab kepada sahabat dan kawan-kawan saya, "Pada masa kini, terlalu banyak fitnah dikaitkan dengan politik seperti mahu jadi pemimpin kerana inginkan harta kekayaan, mahu jadi pemimpin kerana ingin mencipta nama, mahukan kedudukan dan pangkat serta penghormatan. Jadi untuk elakkan fitnah sebegini, sebelum ingin masuk politik atau menjadi pemimpin, kenalah kayakan dulu diri dengan ilmu yang bermanfaat terutamanya tingkatkan dulu ilmu agama, bina nama melalui kepakaran daripada ilmu yang dipelajari, daripada kepakaran orang akan mengenali kita, bila orang yang berilmu, dia akan hormat pada orang, barulah orang juga akan hormat pada kita, daripada ilmu yang bermanfaat kita boleh membantu mengubah keadaan kepada yang lebih baik, barulah orang akan memerlukan perkhidmatan kita, biarlah orang memerlukan perkhidmatan kita kerana kebaikan yang boleh kita berikan, kemudian berkhidmatlah dengan jujur dan amanah kerana agama, bangsa dan negara, InsyaAllah mungkin daripada itu barulah kita ada ciri-ciri seorang pemimpin. Cabaran menjadi pemimpin juga besar apabila dikaitkan dengan mencari kekayaan, maka carilah kekayaan dan binalah empayar kekayaan daripada ilmu yang bermanfaat itu sebelum menceburi politik, supaya tiada lagi fitnah untuk kita dalam soal harta dan kedudukan, dan InsyaAllah ketika itu jika dipilih untuk menjadi pemimpin pun adalah atas kelayakan dan keyakinan masyarakat terhadap kita dan Allah akan memberi laluan yang mudah untuk kita memikul amanah dengan jujur kerana kita telah berusaha mengatasi segala fitnah-fitnah ini".

No comments: