Wednesday, July 7, 2010

CERAMAH PENGHAYATAN PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

1. Alhamdulillah, malam tadi saya berkesempatan dan berpeluang menghadiri Ceramah Penghayatan Peristiwa Israk Mikraj. Ceramah disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Seri Hj. Abdul Hadi Awang bertempat di Hume Global Learning Center, Broadmeadows.

2. Terima kasih dan tahniah di atas usaha pihak Muhajiroon Community Development Association Inc. (MCDA) yang menganjurkan ceramah yang sangat tinggi nilai ilmunya ini untuk diri saya dan sebahagian orang Islam dari Singapura, Malaysia dan Indonesia yang berada di Melbourne ini.

3. Berada jauh di perantauan dan tinggal di sebuah negara bukan agama Islam, rasanya sangat penting sekiranya berpeluang dapat menghadiri program-program dan ceramah agama sebegini sebagai usaha mengukuhkan keimanan, pengetahuan agama dan menambahkan ketakwaan kepada-Nya.

4. Bila difikirkan semula, rasa teramatlah rugi dahulu ketika di negara sendiri agak kurang menghadiri majlis-majlis ilmu agama sebegini walaupun ianya sentiasa diadakan di merata-rata tempat, masjid dan surau. Semoga di masa hadapan pengalaman dan cabaran hidup di sini menjadikan perubahan untuk diri saya sendiri supaya lebih menghargai nikmat menghadiri majlis-majlis ilmu keagamaan apabila balik ke Malaysia nanti. InsyaAllah.

5. Inilah antara kelemahan sifat saya sebagai manusia biasa apabila sesuatu perkara yang mudah didapati, diperolehi dan ada di depan mata tetapi apabila ditambah keselesaan berada di persekitaran tempat sendiri menjadikan saya jarang untuk menghargainya, menjadi leka dan kurang memberi perhatian. Tetapi apabila sesuatu itu sukar didapati, jarang ditemui, ditambah dengan cabaran persekitaran berada di tempat orang menjadikan sesuatu perkara itu sangat berharga, bernilai tinggi dan ingin direbuti. Apatah lagi sekiranya sesuatu itu mendatangkan manfaat yang besar untuk pembangunan agama Islam dan pengukuhan iman.

6. Alhamdulillah, apabila hampir lapan bulan berada di sini sangat memberikan manfaat kepada saya untuk mendidik diri supaya insaf dan sentiasa mencari peluang memperbaiki diri yang serba kekurangan ini, bukan sahaja berusaha menambah ilmu keduniaan yang masih cetek, tetapi lebih penting ialah merebut peluang-peluang yang ada untuk memperbaiki diri, ibadah dan ilmu agama bagi mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Semoga saya tergolong dalam orang-orang yang diampuni oleh-Nya.

7. Pengalaman hidup di sini juga banyak meningkatkan kesedaran diri. Semakin banyak bergaul dengan pelbagai masyarakat di sini yang datang daripada pelbagai latarbelakang agama, bangsa dan negara menyedarkan diri bahawa ilmu dan pengalaman yang ada masih kerdil. Apatah lagi apabila pergaulan bersama masyarakat Islam yang dari pelbagai bangsa dan negara seperti dari Arab Saudi, Iran, Iraq, Australia, Amerika, Bangladesh, Turkey, Russia, Afrika, Indonesia, Malaysia, Singapura dan lain-lain negara lagi menginsafkan diri bahawa ilmu agama dalam diri dan amal ibadah juga masih kerdil berbanding mereka. Itu baru ukuran sesama manusia, mungkin ukuran amal ibadah kepada Yang Maha Esa belum ada satu titik pun kelihatan jika diletakkan pada sehelai kertas untuk dinilai oleh-Nya.

8. Saya amat bersyukur kerana di sini, usaha mengembangkan agama Islam dan ukhuwah masyarakat Islam sangat baik. Banyak program-program pengembangan dakwah dan penyatuan umat Islam sentiasa diadakan walaupun bilangan bangunan-bangunan masjidnya agak terhad atau dihadkan. Tahniah kepada rakan-rakan dari Malaysia serta beberapa pertubuhan yang ditubuhkan oleh anak-anak Malaysia di sini yang sentiasa rajin dan peka kepada keperluan mengadakan program-program berkaitan pembangunan Islam, penyatuan ukhuwah, pembinaan silatulrahim dan keperluan riadah khususnya untuk komuniti rakyat Malaysia di sini. Semoga usaha-usaha yang sedia ada akan terus kekal dan berkembang. InsyaAllah.

9. Berbalik kepada ceramah penghayatan Israk Mikraj, peristiwa besar ini sangat besar juga ertinya kepada seluruh umat Islam. Daripada peristiwa ini jugalah Allah SWT menyerahkan ibadah solat fardhu lima waktu kepada Rasulullah SAW untuk menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam setiap hari. Banyak perkara-perkara yang dilalui oleh Rasulullah SAW sepanjang perjalanan Baginda dalam peristiwa Israk Mikraj ini ada hubungkait yang sangat rapat dengan kehidupan seharian kita dan kehidupan selepas kematian kita, untuk kita tingkatkan amal ibadah, ambil pengajaran serta penghayatan dan memperbaiki diri dalam mencari rahmat dan keredhaan oleh Allah SWT.

10. Terima kasih kepada Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, kerana ilmu yang disampaikan sangat bermanfaat. Walaupun mempunyai kedudukan tertinggi sebagai Presiden PAS, namun beliau menyampaikan ceramah agama sebagai seorang alim ulama, tiada satu pun yang perkatakan berkaitan politik, atau isu-isu semasa di Malaysia atau berkaitan PAS sepanjang ceramah beliau. Inilah ciri-ciri seorang pemimpin yang berkualiti tinggi iaitu tinggi ilmunya, sentiasa merendah diri dalam percakapannya dan alim dalam agama. Semoga perjuangan beliau sentiasa dalam kerahmatan dan hidayah Allah SWT.



No comments: