1. Firman Allah SWT : "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan". (Surah Al-Hujuraat, ayat 6)
2. Kata Ibnu 'Athaillah : "Orang-orang memujimu kerana apa yang mereka sangka ada pada dirimu. Maka celalah dirimu kerana apa yang engkau ketahui (iaitu keburukan, yang) ada pada dirimu" (Kitab Al-Hikam). Pada hakikatnya, orang memuji kebaikan kita adalah kerana Allah menampakkan kebaikan kita kepada mereka, bukanlah semata-mata kerana diri kita ini memang baik atau sebaik apa yang dikatakan orang, andaikan apa yang dinampakkan oleh Allah pada diri kita adalah keburukan kita, maka tentu tidak ada orang yang memuji kita.
3. Tidak perlu kita membalas kejahatan orang kepada kita dengan kejahatan juga, tetapi saat kita dijahati itu, maka bersabarlah, berlapang dada dan memaafkan. Sebaliknya balas perbuatan jahat mereka itu dengan perbuatan yang baik sepertimana firman Allah SWT : “Hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih adalah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati (tawadhu’) dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Surah Al-Furqaan : ayat 63)
4. Rasulullah s.a.w bersabda : “Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaan untuknya. Dan tidak ada orang yang tawadhu’ (merendahkan diri) kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment