Kesimpulan yang bermanfaat :
1. Manusia yang beruntung ialah :-
i. Orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib (contohnya Hari Kiamat, Syurga, Neraka, pahala dan dosa)
ii. Golongan yang mendirikan solat
iii.Orang yang menafkahkan sebahagian rezeki yang Allah SWT anugerahkan kepada mereka sama ada dibelanjakan harta pada jalan yang dibenarkan syarak, bersedekah ataupun berwakaf.
2. Orang yang menafkahkan harta mereka pada jalan Allah, kemudian mereka tidak mengungkit-ungkit pemberiannya dan tidak pula menyakiti perasaan si penerima, maka mereka akan memperoleh pahala disisi Allah, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tidak perlu bersedih hati (janganlah kamu takut akan berkurangnya harta kamu kerana dinafkahkan, kerana Allah akan gantikan pemberian itu dengan rezeki yang lebih baik dan berlipat kali ganda lagi). Para sahabat Rasulullah SAW bersedekah sebahagian besar harta-harta mereka, Saidina Abu Bakar r.a pernah mensedekahkan kesemua hartanya ke jalan Allah, tetapi mereka semua tidak semakin miskin, bahkan semakin kaya pula kerana Allah melipatgandakan rezeki mereka.
Firman Allah SWT : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki" (Surah Saba', ayat 39).
3. Ibu bapa adalah golongan yang WAJIB dibelanjakan harta kita kepada mereka, kemudian kepada orang-orang yang hampir dengan kita iaitu isteri, suami, anak-anak, adik-beradik, jiran dan kemudian barulah kepada anak-anak yatim dan fakir miskin.
4. Tanda orang yang bersyukur dengan rezeki yang melimpah-ruah yang dikurniakan oleh Allah SWT ialah memperbanyakkan lagi ibadat (seperti datang solat jemaah di masjid) dan tidak kedekut.
5. Golongan orang yang beriman yang hebat ialah :
i. Orang yang bersabar dan redha (iaitu sabar semasa menerima ujian dan ditimpa musibah dan redha selepas ditimpa ujian dan musibah)
ii. Orang yang benar (tidak menyembunyikan kebenaran, bercakap benar walaupun sakit dan pahit)
iii. Orang yang taat (akan perintah Allah)
iv. Orang yang menafkahkan hartanya
v. Orang yang bangkit sepertiga malam dan meminta ampun kepada Allah SWT selepas Solat Sunat Tahajjud
Firman Allah SWT : "(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur" (Surah Ali 'Imraan, ayat 17).
6. Firman Allah SWT : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui" (Surah Al-A'raaf, ayat 32).
7. Firman Allah SWT : "Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan (Surah Al-Baqarah, ayat 271).
No comments:
Post a Comment