Friday, August 27, 2010

SIKAP BERPECAH-BELAH MEMBELAKANGKAN ISLAM

Kegagalan menguasai ekonomi dan meningkatnya gejala sosial membabitkan masyarakat Melayu adalah disebabkan oleh sikap mereka yang berpecah-belah dan membelakangkan kepentingan Islam.

Sikap berpecah-belah itu merupakan punca mengapa ekonomi Melayu gagal berkembang selama ini.

Akibat taksub kepada kelompok masing-masing, masyarakat Melayu kini berhadapan dengan masalah sosial yang semakin membimbangkan.

"Saya diberitahu oleh seorang pakar perubatan bahawa setiap 15 minit akan lahir seorang anak haram di negara kita. Kalau beginilah ramai anak haram yang akan lahir, apa akan kita bayangkan pada masyarakat?

"Ini menunjukkan masyarakat yang telah hancur, tidak berakhlak dan tidak bertamadun. Kerana apa? Kerana kita berpecah,".

Perpecahan yang berlaku menyebabkan orang Melayu tidak mempunyai banyak ruang untuk menumpukan kepada soal pembangunan ummah.

"Kita berpecah sejak mula merdeka sampai sekarang sehingga kita tidak mementingkan soal pembangunan ummah, kita hanya mementingkan soal kelompok, taksub kepada kelompok.

"Sedangkan keutamaan-keutamaannya kita tinggalkan, baik dari segi kerajaan, intelektual, ulama apatah lagi orang ramai,".

Sehubungan itu, kedatangan Nuzul al-Quran yang disambut dalam bulan Ramadan diharap dapat menyedarkan masyarakat Melayu dengan perkara-perkara yang membelenggu mereka selama ini.

Al-Quran bukan bertujuan digunakan bagi kepentingan sesuatu kaum atau kepentingan puak tertentu tetapi merupakan petunjuk kepada seluruh manusia yang mahu menerimanya.

"Dalam Al-Quran menyebut ada enam rukun hidup bermasyarakat yang perlu kita ikuti iaitu kita tidak boleh hina-menghina, merendah-rendahkan orang lain, perli-memperli, gelar-mengelar (yang tidak baik), berprasangka buruk dan mengumpat antara satu sama lain".

Kerajaan perlu meletakkan kepentingan pelajaran agama itu setaraf dengan pelajaran akademik sebagai langkah awal dalam mencegah keruntuhan akhlak.

"Saya sudah bercakap lama, kita tidak boleh pisahkan pelajaran agama dengan akademik. Kalau pelajaran akademik kita jadikan wajib, kenapa agama kita jadikan sampingan kerana pembangunan orang Islam bergantung kepada pembangunan rohani".

"Kalau soal kerohanian diketepikan, kita maju dari segi material, ada motosikal, ada kereta dikira maju, tetapi itu tidak membawa makna apa-apa kepada kita selain kita makin teruk daripada orang lain".

"Saya tidak akan jemu menegur pihak-pihak tertentu jika ia demi kebaikan umat".

"Saya tidak pernah jemu menyampaikan kebenaran. Saya tidak pernah terencat dengan sebab cacian dan makian orang lain. Kerana bagi saya, yang penting perintah Allah mesti didahulukan,".

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria

(Sumber : Utusan Online) baca sini

No comments: