Friday, August 20, 2010

RAMADHAN DI MELBOURNE

1. Hari ini genaplah seminggu umat Islam di Melbourne menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. Inilah juga pengalaman pertama saya menyambut Ramadhan di perantauan.

2. Memanglah tidak boleh dibandingkan suasana menjalani ibadah Ramdhan di sini dengan di Malaysia. Kalau ingin dibandingkan, sudah tentulah sekarang juga saya akan pulang ke Malaysia.

3. Di sini Ramadhan mungkin hanya dirasai di malam hari apabila umat Islam berkumpul untuk berbuka puasa dan bersolat tarawih. Tapi di siang harinya biasa sahaja seperti bulan-bulan lain kerana di Malaysia umat Islam lebih ramai berbanding orang bukan Islam, maka suasana berpuasa itu lebih dirasai, tetapi di sini orang Islam adalah minoriti, manakala di sini di mana-mana pun boleh lihat orang bukan Islam sedang makan dan minum.

4. Umat Islam di Melbourne menyambut Ramadhan dalam musim winter, ketika bersahur suhu kadangkala sehingga 3-4 darjah celcius, makanan yang berkuah telah membeku di dalam periuk perlu dipanaskan. Pulang dari tarawih pula hampir ingin berlari-lari agar cepat sampai ke rumah kerana kesejukan.

5. Di sini tiada peluang untuk merasai suasana hiruk-pikuk di bazaar Ramadhan dan melihat gelagat pelbagai manusia yang berbondong-bondong membeli juadah untuk berbuka puasa. Terkenang sewaktu di Malaysia hampir setiap hari dalam bulan Ramadhan ketika memandu pulang dari pejabat, saya akan menelefon ibu menanyakan apakah lauk yang ingin dibeli untuk berbuka pada hari itu. Jika ada lauk yang dikirimkan ibu, saya akan singgah di Bazaar Ramadhan Stadium Darul Aman atau Bazaar Ramadhan Mergong. Tetapi di sini tiada Bazaar Ramadhan dan tiada pilihan lauk untuk berbuka. Setiap hari saya dan housemates akan bergilir-gilir memasak menu yang sama iaitu ayam yang ditukar-tukar resepi. Di sini juga masih ramai pelajar Islam yang masih di dewan kuliah ketika tiba waktu berbuka puasa. Ada yang terpaksa hanya meneguk air di dalam dewan kuliah sebagai menikmati waktu berbuka.

6. Setiap kali waktu berbuka, terkenang saat kegembiraan ketika berbuka puasa bersama ibu tercinta dan keluarga di Malaysia. Namun, kenangan itu perlu di simpan untuk Ramadhan tahun ini dan dua tahun akan datang. Perjuangan mencari ilmu yang bermanfaat itu adalah lebih utama, perjuangan ini belum selesai.

7. Apabila sampai masa solat tarawih, terkenang juga keseronokan ketika bertarawih di Malaysia, setiap malam bersama teman sekampung menziarahi dan menunaikan solat tarawih di masjid-masjid di sekitar Alor Setar. Namun, nikmat itu juga perlu di simpan untuk beberapa tahun ini. Perjuangan belum selesai.

8. Perjuangan belum selesai, perjuangan belum selesai, perjuangan belum selesai...

9. Tetapi diri ini berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana pengalaman yang sedang dilalui ini bukanlah satu ujian, tetapi adalah sekadar satu anugerah pengalaman yang istimewa dari Allah SWT untuk memperbaiki dan mematangkan diri. Apalah sangat cabaran seorang rakyat Malaysia menyambut Ramadhan di Melbourne ini berbanding ujian dan dugaan Allah SWT ke atas jutaan umat Islam yang menjadi mangsa banjir di Pakistan dan ribuan umat Islam yang sedang menderita di Palestine.

10. Jika di sini saya bersahur dan berbuka dengan menu yang sama setiap hari dalam keadaan suhu yang sejuk, tetapi jutaan umat Islam di Pakistan tiada makanan untuk di makan ketika berbuka dan tiada tempat tinggal untuk berteduh. Situasi banjir dan mangsa banjir di Pakistan, lihat di sini dan di sini.



11. Begitu juga ribuan umat Islam di Gaza yang tidak cukup makanan dan tiada tempat tinggal yang sempurna akibat kemusnahan perang.



12. Jika ketika berbuka puasa saya terkenangkan ibu dan keluarga di Malaysia, tetapi ribuan anak-anak kecil di Palestine telah tiada ibu dan bapa, mereka telah menjadi anak yatim dan tiada kehidupan yang sempurna.



13. Maka bersyukurlah sebanyak-banyaknya kepada Allah SWT agar kita menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur dengan setiap ujian-Nya ke atas kita kerana mungkin ujian yang kita sedang hadapi itu adalah sangat kecil berbanding ujian-ujian yang Allah berikan kepada umat Islam yang lain.



14. Justeru, sempena bulan Ramadhan yang mulia dan penuh barakah ini, di mana doa-doa orang yang berpuasa diterima oleh Allah, marilah kita turut sama mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk umat Islam di Pakistan dan Palestine serta di tempat-tempat lain yang sedang menderita dan kurang bernasib baik berbanding kita. InsyaAllah.

No comments: