Monday, May 3, 2010

"MENANG-MENANG" SEKALI LAGI?

1. Berhubung isu penyerahan kawasan penggalian minyak di Blok L dan Blok M yang telah diberi milik kepada Brunei dan isu pertindihan tuntutan kawasan Limbang di antara Malaysia dan Brunei, Perdana Menteri membuat kenyataan bahawa sebarang rundingan dan perjanjian yang sedang diusahakan akan bersifat 'menang-menang' (baca sini) dan (baca sini).

2. Dalam bulan Mei dua tahun lalu apabila ICJ membuat keputusan Pulau Batu Puteh menjadi milik Singapura, saya juga mendapati Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menjadi Menteri Luar ketika itu menyatakan bahawa ianya adalah keputusan 'menang-menang'. (baca sini)

3. Merujuk kes Pulau Batu Puteh pada tahun 2008 kita telah kehilangan sebuah pulau yang sebelum itu memang sah milik Malaysia dan kita hanya mendapat 'dua ketul batu'. Kita bukan sahaja kehilangan sebuah pulau tetapi kita juga kehilangan sebahagian besar kedaulatan kawasan perairan negara. Namun, keputusan itu telah dianggap "menang-menang". Saya telah mengulas isu ini dalam blog ini pada 18 Mei tahun lalu (baca sini).

4. Dalam kes tuntutan Limbang ini Tun Abdullah pernah mendakwa tuntutan berkenaan telah selesai namun baru-baru ini Brunei menafikannya. Bermakna tuntutan tersebut belum selesai dan Limbang belum tentu akan jadi milik Malaysia sepenuhnya. Tetapi Blok L dan Blok M sudah pasti menjadi hakmilik Brunei.Sebagai perjanjian, Petronas hanya diberi hak perkongsian usahasama penggalian minyak di kedua-dua blok berkenaan selama 40 tahun.

5. Tun Dr. Mahathir mendakwa simpanan minyak di Blok L dan Blok M mampu mencapai kapasiti 1 bilion tong dan bernilai RM320 bilion. Petronas memaklumkan bahawa kontrak usahasama di kedua-dua blok berkenaan masih dalam peringkat kajian dan perundingan.

6. Saya bimbang tentang istilah "menang-menang" yang digambarkan adakah akan berulang seperti keputusan Pulau Batu Puteh? Kita sudah kehilangan hak ke atas dua blok minyak yang bernilai lebih RM320 bilion dan kita juga belum pasti dengan pemilikan Limbang oleh Malaysia. Adakah hanya mendapat kontrak 40 tahun itu sudah boleh dianggap menang? begitu juga seperti mendapat 'dua ketul batu'?

7. Saya lebih melihat isu ini bukan kerana kehilangan RM320 bilion, tetapi yang lebih berharga ialah kedaulatan perairan Malaysia juga akan berubah kesan penyerahan dua blok berkenaan.

8. Apa yang lebih membimbangkan pastinya keputusan ini akan memberi kesan jangka panjang terhadap isu tuntutan Kepulauan Spratly oleh 6 negara iaitu China, Filipina, Vietnam, Taiwan, Brunei dan Malaysia. Pastinya dalam isu ini, ada 'kelebihan' akan memihak kepada Brunei berbanding Malaysia berikutan kedudukan lokasi Blok L dan Blok M yang hampir dengan kawasan Spratly.



9. Nampaknya dalam isu "menang-menang" ini Malaysia menang apabila dijanjikan kontrak usahasama penggalian minyak selama 40 tahun, tetapi Brunei menang dengan memperolehi hakmilik Blok L dan Blok M, masih 'berpeluang' dalam isu tuntutan Limbang, kedaulatan sempadan perairan antarabangsa Brunei bertambah baik dan Brunei juga saya percaya akan ada 'kelebihan' berbanding Malaysia dalam isu tuntutan Kepulauan Spratly.

10. Namun, saya berharap pemimpin-pemimpin Malaysia yang ada sekarang 'bijak' untuk menghadapi isu ini.

No comments: